Thursday, September 01, 2022

PH dikelilingi ‘pemberi rasuah’, memang takut RUU355..

 


1. PH dikelilingi golongan ‘pemberi rasuah’

ARTIKEL yang ditulis baru-baru ini oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, mengenai ‘Hapuskan Pemberi Rasuah‘, benar-benar membuatkan golongan pemberi rasuah seperti cacing kepanasan. 

Seperti yang dijangkakan, bukan sahaja golongan pemberi rasuah tersebut yang kepanasan, PH yang dikelilingi oleh golongan pemberi rasuah turut menerima bahang yang sama. Oleh sebab itu, pemimpin DAP yang paling awal menyerang tulisan Presiden PAS tersebut diikuti oleh juak-juak mereka.

Secara jelas tulisan Presiden PAS tersebut menyebut, golongan pemberi rasuah ini majoritinya bukan-Bumiputera. Sememangnya umum mengetahui pemberi rasuah lazimnya adalah dari golongan kaya dan saudagar perniagaan, atau istilah yang biasa digunakan ialah ‘tauke’. 

Golongan kaya dan saudagar perniagaan ini majoritinya adalah bukan-Bumiputera. Bagaimanapun, bukanlah bermaksud semua golongan kaya dan saudagar perniagaan terlibat, sebaliknya segelintir dari mereka yang melakukannya.

Seperti biasa, PH khususnya DAP akan memainkan isu ini menggunakan sentimen perkauman. Mereka mendakwa Presiden PAS menuduh majoriti bukan-Bumiputera adalah pemberi rasuah, dengan tujuan menjarakkan masyarakat bukan-Bumiputera dari PAS. 

Ada perbezaan yang ketara antara ayat yang digunakan oleh Presiden PAS ‘majoriti pemberi rasuah adalah bukan-Bumiputera’ dengan naratif yang dimainkan oleh DAP ‘majoriti bukan-Bumiputera adalah pemberi rasuah’. 

Rasuah (bribery) adalah sebahagian dari korupsi, iaitu melibatkan pemberian hadiah tertentu termasuklah wang kepada pihak yang ada kuasa yang lazimnya anggota pentadbiran dan pegawai kerajaan. Sebagai pulangan, pemberi hadiah tersebut mendapat habuan dari segi tidak diambil tindakan penguatkuasaan atau memperolehi keistimewaan membolot projek atau lain-lain habuan seumpamanya. Selain dari rasuah, amalan lain yang termasuk dalam korupsi ialah salahguna kuasa, kronisme dan nepotisme.

Sebahagian besar rasuah di Malaysia sangat berkait rapat dengan Industri Maksiat (Sin Industry) yang melibatkan kegiatan perjudian sama ada berlesen atau tidak berlesen, pusat-pusat hiburan seperti kelab malam, ejen-ejen pinjaman riba (Along) dan seumpamanya. Industri Maksiat ini pula bergantung rapat dengan kegiatan Ekonomi Gelap (Black Economy) yang meliputi kegiatan haram seperti penyeludupan, pengedaran dadah, pelacuran, pemerdagangan manusia, gangsterisme (triad) dan lain-lain. 

Menurut Laporan Bank Dunia tahun 2019, kegiatan Ekonomi Gelap di Malaysia dari segi saiz dagangannya adalah 26.1 peratus daripada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK). Anggaran yang pernah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, jumlah dagangannya mencecah RM300 bilion setahun, itupun mengambil kira saiz dagangannya adalah 21 peratus dari KDNK bukannya 26.1 peratus. Persoalan besar yang timbul, bagaimana kegiatan Ekonomi Gelap ini tidak boleh dikesan (boleh lari daripada membayar cukai).

Mereka yang terlibat dengan Ekonomi Gelap ini biasanya mempunyai proksi-proksi perniagaan untuk menyimpan dana mereka di dalam bank-bank tempatan atau bank-bank persisir. Tidak mungkin dana yang jumlahnya mencecah RM300 bilion itu hanya disimpan di bawah tilam atau bantal. Kegiatan seperti ini berkait rapat pula dengan sindiket penggubahan wang haram (money laundering). Jadi, tauke yang terlibat dengan Industri Maksiat dan Ekonomi Gelap inilah yang banyak terlibat dengan pemberian rasuah.

Di zaman Perdana Menteri ke-4, Dr Mahathir Mohamad, pemilik Industri Maksiat dan Ekonomi Gelap banyak menghimpit golongan yang berkuasa ketika itu. Selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan golongan ini cuba menghimpit pihak berkuasa di zaman Pak Lah. Bagaimanapun bila Pak Lah memperkenalkan Islam Hadhari dan seterusnya menegaskan bahawa Malaysia adalah Negara Islam, harapan golongan ini mula pudar lalu mencari ‘Tuan Baru’ dari kalangan parti-parti politik bukan-Bumiputera.

Pada tahun 2015 kerajaan telah mengisytiharkan pelaksanaan GST yang merupakan ancaman kepada pemain-pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap. Meskipun ada segelintir berpandangan GST masih tidak mampu mengekang kegiatan Industri Dosa dan Ekonomi Gelap, secara teorinya GST boleh menjejak kegiatan pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap ini. Tindakan kerajaan melaksanakan GST mendorong pemain-pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap mengalihkan sokongannya kepada pembangkang.

Pada tahun 2016, Presiden PAS telah berusaha untuk membawa usul persendirian RUU355. Ramai pihak termasuk para ulama tidak menyedari, RUU355 ini adalah mimpi ngeri yang sangat ditakuti oleh pemain-pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap. Sebenarnya, pemerkasaan Hukum Jenayah Syariah dan Mahkamah Syariah lebih dibimbangi oleh golongan ini dari pelaksanaan GST. Pindaan RUU355 ini adalah pengekang pelanggan-pelanggan Industri Dosa dan dan Ekonomi Gelap khususnya orang Islam dari terlibat.

Sekiranya Hukum Syariah didaulatkan dan Mahkamah Syariah diperkasakan kegiatan Industri Dosa dan Ekonomi Gelap boleh lumpuh disebabkan kehilangan pelanggan-pelanggan. Mahu tidak mahu, bagi pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap usul untuk meminda RUU355 mesti dihalang. Bagi menghalang pindaan RUU355 ini, mereka bertenggek kepada parti-parti politik tertentu untuk menentang langkah yang diambil oleh PAS dengan menggunakan pelbagai alasan termasuklah alasan perkauman.

Jelas sekali pemain-pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap ini amat memusuhi PAS. Bagaimanapun, mereka tidak berani untuk menonjolkan diri mereka di khalayak umum untuk berpolitik melawan PAS. Untuk menentang PAS dalam arena politik, mereka mengelilingi musuh politik utama PAS iaitu PH. Pemain-pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap inilah yang ramainya tergolong sebagai pemberi rasuah. Apabila Presiden PAS menyerang mereka, PH yang dikelilingi oleh mereka pun jadi kepanasan.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat– HARAKAHDAILY 1/9/2022


2. RUU355: PAS tidak pernah lupa!  


ALOR SETAR: PAS di dalam kerajaan mempergiat usaha menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU355 bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, pelbagai sudut telah dilihat khususnya aspek Perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU355 tersebut lebih komprehensif, seterusnya dapat memperkasa bidang kuasa tersebut. 

“Mengenai isu RUU355, PAS tidak pernah lupa! Kita juga di dalam usaha untuk memperkasa dan memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah setanding dengan Mahkamah Sivil. 

“Aspek pemerkasaan Mahkamah Syariah meliputi pelbagai aspek yang penting seperti meningkatkan tahap kompetensi Hakim Syarie, Pendakwa Syarie dan Pegawai Penguatkuasa Agama.

“(Juga) penambahbaikan aspek tadbir urus dan prasarana Mahkamah Syariah, penggubalan dan pindaan undang-undang Syariah sedia ada dan penyeragaman dan penyelarasan undang-undang Syariah,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyatakan perkara tersebut dalam Ucaptama Ketua Pemuda PAS di Muktamar Tahunan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-63 bertema ‘Pemuda Generasi Sejahtera’ di Hotel Raia, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, antara langkah yang telah diambil untuk memperkasa dan menaik taraf Mahkamah Syariah supaya sesuai dengan perkembangan semasa ialah dengan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji dan menggubal Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2022. 

“PAS bukan sekadar beretorik tentang Islam. Apabila diamanahkan dengan kepimpinan, keindahan dan kesyumulan Islam akan diterjemahkan dalam pemerintahan dan urusan negara. Inilah komitmen dan usaha yang ditunjukkan oleh PAS. 

“Alhamdulillah kesannya, rakyat semakin yakin dengan kemampuan PAS di dalam tadbir urus serta kepimpinan berkualiti yang ditonjolkan oleh kepimpinan PAS dan ahlinya,” ujar beliau.

Jelas beliau, kewibawaan, kemampuan urus tadbir cemerlang dan integriti tinggi ditunjukkan di negeri-negeri ditadbir serta di kementerian-kementerian diamanahkan memberikan suatu ‘vibe’ sangat positif kepada rakyat Malaysia. 

“Kita telah membuktikan walau hanya separuh penggal PAS di dalam kerajaan, pencapaian urus tadbir yang ditunjukkan adalah ‘commendable’ dan membanggakan. Alhamdulillah. PAS mampu memimpin!” bangganya. – HARAKAHDAILY 1/9/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: PH memang jelas dikelilingi oleh ‘pemberi rasuah’. Pemain-pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap inilah yang ramainya tergolong sebagai pemberi rasuah. 

Maka sokonglah PAS dan kumpulan partinya dalam PRU15 ini..

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment