Wednesday, September 21, 2022

'Poster boy' Zahid Hamidi bukan jaminan. LG Eng berimankah?

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpelukan bersama Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada majlis pelancaran Briged MIC peringkat kebangsaan di Arena Axiata, Bukit Jalil. - NSTP/Aswadi Alias

1. 'Poster boy' bukan jaminan Ismail Sabri jadi PM

KUALA LUMPUR: Penegasan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai 'poster boy' Barisan Nasional (BN) bukan jaminan beliau kekal menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata tiada inisiatif jelas dilihat dalam menjadikan Ahli Parlimen Bera itu sebagai bakal Perdana Menteri.

"Persoalannya adakah Ahmad Zahid akan menepati janji? Ini bukan jaminan yang wajib dilaksanakan sebab antara Ahmad Zahid dan Ismail Sabri, tidak ada usaha atau inisiatif ketara dibuat supaya Ismail Sabri dilihat sebagai bakal Perdana Menteri selepas PRU15.

"Sebagai contoh, apa salahnya Ahmad Zahid serahkan jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada Ismail Sabri kerana beliau adalah Perdana Menteri ketika ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan Ismail Sabri akan dipilih sebagai Perdana Menteri jika parti itu memenangi PRU15.

Mazlan berkata, jaminan Ismail Sabri sebagai bakal Perdana Menteri penting kerana beliau perlu diberi peranan yang bukan sekadar memimpin gabungan BN tetapi juga dalam urusan berkaitan pilihan raya.

"Katakanlah BN menang besar pada PRU15, sebagai Presiden UMNO dan ketua parti majoriti, Ahmad Zahid sepatutnya menjadi Perdana Menteri.

"Justeru, buat apa lantik seorang Naib Presiden sebagai Perdana Menteri, itu logik yang jelas.

"Jadi seperti apa yang berlaku di Johor, akhirnya bekas Menteri Besar tak dilantik (semula), orang lain yang tak dijangka pula dilantik sebagai Menteri Besar. Saya fikir Ismail Sabri pun memahami situasinya sekarang," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata walaupun Ismail Sabri diangkat sebagai 'poster boy' BN, kuasa menentukan pelantikan Perdana Menteri adalah Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sama seperti isu pelantikan Menteri Besar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

"Parti boleh mencadangkan tetapi terpulang kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong menentukannya. Jadi untuk masa sekarang memang kita tak hairan 'poster boy' adalah Ismail Sabri.

"Tidak salah parti mencalonkan siapa, sesuai dengan prinsip berparti, prinsip berpolitik dan sebagainya tetapi akhirnya ada ruang dalam Perlembagaan negara yang perlu dipatuhi iaitu budi bicara Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Beliau berkata, kenyataan Ahmad Zahid yang mengulangi pendirian parti berhubung perkara itu menunjukkan wujud kestabilan politik dalam UMNO.

"Pengumuman itu juga mengesahkan setakat dalam pertimbangan parti, Ismail Sabri masih calon Perdana Menteri. Ini memberi keyakinan dengan rekod baik dimilikinya, Ismail Sabri boleh diangkat menjadi Perdana Menteri pada PRU15.

"Beliau tidak mencetuskan kontroversi besar yang boleh menggugat kepercayaan pengundi atas pagar itu sendiri terhadap BN," katanya. (BH)


2. Lim Guan Eng itu berimankah?

TAK semena-mena Salehudin Ayob melompat dengan tulisan minda Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang melabel pimpinan PH tak beriman dan bermoral. Agak lucu apabila Salehudin Ayob ingin mengadu Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada Persatuan Ulamak Sedunia. Terasa macam kanak-kanak yang merengek dan nak mengadu. Sadis betul Salehudin Ayob dengan tulisan itu.

Minat saya untuk mengulas timbul apabila Mat Sabu yang juga Presiden PAN pun mula terkoyak. Mat Sabu Agak agresif apabila menyifatkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang ada masalah dalaman berkaitan kenyataan Presiden PAS itu.

Apa kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang sangat menyentuh hati nurani dua pemimpin kanan PAN itu? 

Dalam rangkap keempat tulisan Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyebut ‘ramai di kalangan PH yang tidak beriman (berakidah) dan bermoral (berakhlak) secara terbuka mengumpul kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah”.

Jika diteliti tulisan ini tiada silap salahnya. Sebelum ini pemimpin PAN juga yang melompat kecacingan apabila Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan bukan-Melayu sebagai pemberi rasuah. Namun isu yang disensasikan hingga report polis itu senyap dengan terdedahnya kajian ilmiah peringkat universiti.

Kali ini mereka melompat apabila istilah tidak beriman dan berakhlak. Cepat sangat terasa. Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak menunjukkan siapa tetapi menyebut PH secara umum. Dalam PH ada DAP selain PAN dan PKR. 

Apakah Mat Sabu dan Salehudin Ayob terasa sedih apabila Lim Guan Eng dan Nga Kor Meng dikategorikan tidak beriman? Kuat betul ukhuwah geng PAN dengan DAP ini. Namun umum mengetahui bahawa PAN adalah kuku bagi isi DAP.

Apakah PAN dan pemimpinnya terlalu tandus isu hingga tulisan yang begitu jelas cuba dipersepsikan dan mengheret kembali isu kafir mengkafir?

Di saat PAS menyerang isu rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan kuasa kehakiman termasuk isu pengampunan Dato Seri Anwar Ibrahim yang menjadi ‘Perdana Menteri bakal’ PH, isu beriman yang disensasikan oleh Mat Sabu dan Salehudin Ayob.

Apakah dua pimpinan ini khasnya PH tidak tahu lagi mana satu peluru yang harus ditujukan kepada PAS hingga ‘bekalan makan tengahari’ mereka pun dilontarkan kepada PAS.

Bagi yang turut menjadi kakak tua kepada pimpinan PAN itu sewajarnya merujuk tulisan Presiden PAS yang agak panjang lebar di page Tuan Guru. Itu lebih menunjukkan kewarasan dalam mengulas politik.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 19/9/2022

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails