Idris (depan, tengah), Mohd Daud (tiga dari kiri) dan Mohd Nizam (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran Bijaktani Hidroponik Asnaf MAIWP di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil 2, Kuala Lumpur pada 13 September 2022. (FOTO: HARAKAHDAILY/ Jamal Kemala)
MAIWP lancar Program Bijaktani Hidroponik Asnaf
KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kini tampil memperkenalkan Program Bijaktani Hidroponik kepada 30 orang peserta yang terdiri daripada golongan asnaf terpilih yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Wilayah Persekutuan untuk mengusahakan tanaman seperti kangkung, sawi, sawi putih, salad, bayam dan kailan secara hidroponik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, MAIWP telah memberi peluang kepada asnaf yang tinggal di PPR untuk memanfaatkan ruang dan kemudahan yang ada untuk bertani secara moden.
Menurut beliau, program berkenaan adalah usaha untuk mengenengahkan kepada orang ramai dan masyarakat di luar sana akan tanggungjawab MAIWP yang sangat komited dalam membangunkan golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.
“Kita laksanakan Program Bijaktani Hidroponik di Wilayah Persekutuan sebagai model untuk kita mengupayakan para asnaf dan masyarakat yang terkesan akibat Covid-19 dan peningkatan kos sara hidup pada hari ini.
“Program yang diusahakan oleh MAIWP khusus buat golongan asnaf ini dapat memberi peluang kepada mereka yang tinggal di kawasan PPR merasai pengalaman bertani secara moden, di samping membantu mereka menjana pendapatan daripada hasil pertanian dan seterusnya melahirkan usahawan tani yang berdaya saing.
MAIWP telah bekerjasama dengan Persatuan Penduduk PPR yang bertindak sebagai pemantau dalam pelaksanaan Projek Bijaktani Hidroponik Asnaf bagi membantu memasarkan hasil tuaian kepada pihak berkaitan. (FOTO: HARAKAHDAILY/Jamal Kemala)“Alhamdulillah, hari ini kita semua dapat menyaksikan permulaan kepada program ini,” ujar beliau ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bijaktani Hidroponik Asnaf MAIWP di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil 2, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak MAIWP kerana menyusun gerak kerja dan program berterusan sepanjang tahun dalam menyantuni asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya; wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Ismadi Sakirin; dan wakil-wakil persatuan penduduk.
Mengulas lanjut, Idris berkata, krisis kesihatan awam iaitu penularan wabak Covid -19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia telah menyebabkan kehidupan masyarakat di negara turut terjejas.
Idris menaruh harapan agar kesemua peserta yang terpilih dalam Program Bijaktani Hidroponik Asnaf MAIWP agar mengambil peluang yang ada untuk memajukan diri, mempraktikkan kemahiran yang diajar untuk menjadi usahawan tani yang berjaya. (FOTO: HARAKAHDAILY/Jamal Kemala)“Lantaran itu, ia menyebabkan rakyat hilang mata pencarian. Apabila situasi ini berlaku, mereka yang dahulunya berada jauh daripada parameter asnaf, kini telah terjerumus ke dalam golongan asnaf,” ujarnya lagi.
Idris berkata, MAIWP sentiasa komited dalam pembangunan insan untuk golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.
Beliau turut memberitahu bahawa agensi hal ehwal agama Islam peringkat Persekutuan telah menggerakkan kapasiti agensi untuk turun ke lapangan membantu masyarakat yang terjejas khususnya akibat Covid-19.
Golongan asnaf di PPR Wilayah Persekutuan adalah sasaran utama Program Bijaktani Hidroponik Asnaf MAIWP. (FOTO: HARAKAHDAILY/Jamal Kemala)“Sepanjang bulan Ogos lepas, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Persekutuan telah mengagihkan sebanyak RM 24.88 juta melalui Program Musa’adah Agensi Islam di seluruh negara.
“Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sejak 1 Januari 2022 sehingga 31 Julai 2022, telah mengagihkan sebanyak RM440,239 juta menerusi pelbagai skim bantuan yang telah ditawarkan kepada mereka yang berkelayakan.
“Dalam rekod kita, sehingga kini, setiap bulan, MAIWP telah membantu lebih 30,200 ketua keluarga di ketiga-tiga Wilayah iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan),” jelas beliau.
Justeru, beliau yang mewakili Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), turut meminta MAIWP bergabung bersama agensi-agensi lain seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk memberikan latihan dan bimbingan keusahawanan kepada asnaf di Wilayah Persekutuan khususnya.
Sehubungan itu, beliau berkata jumlah dana zakat yang diperuntukan bagi pelaksanaan keseluruhan Program Bijaktani Hidroponik ini adalah sebanyak RM556,220.
“Adalah sangat bermakna sekiranya agensi pengurusan zakat seperti MAIWP dapat menonjolkan bahawa Islam itu bukan hanya dapat menangani isu-isu kemiskinan dalam kalangan umat Islam semata-mata bahkan secara tidak langsung akan membantu mereka untuk keluar daripada kemiskinan,” ujarnya.
Beliau turut menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) kepada MAIWP agar pada tahun ini seramai 2,000 orang asnaf yang menerima bantuan zakat keusahawanan ini diperkasa, dibangunkan dengan program nilai tambah dan dipantau perkembangannya agar mereka kelak berjaya setidak-tidaknya mampu membawa keluarga keluar dari kepompong kemiskinan.
“Saya yakin dan percaya bahawa MAIWP yang telahpun bergerak melaksanakan pelbagai perancangan dan program memperkasa asnaf ini mampu merealisasikan KPI yang telah ditetapkan.
“Apa yang penting, kita di MAIWP dan agensi Islam terus membangunkan potensi asnaf dengan kemahiran, ditambah pula dengan semangat tinggi para asnaf sendiri, insya-Allah program yang kita rancang ini dapat mencapai objektifnya,” ucap beliau.
Program Bijaktani Hidroponik Asnaf bukti MAIWP yang sentiasa komited dalam pembangunan insan untuk golongan asnaf di Wilayah Persekutuan. (FOTO: HARAKAHDAIKY/Jamal Kemala)Tambahnya, sokongan dan kerjasama pelbagai agensi dan komuniti juga diperlukan bagi memastikan program komuniti sebegini bergerak dengan lancar.
Oleh itu, MAIWP telah bekerjasama dengan Persatuan Penduduk PPR yang bertindak sebagai pemantau dalam pelaksanaan projek ini bagi membantu para asnaf memasarkan hasil tuaian kepada pihak berkaitan.
Sehubungan itu, beliau turut meminta MAIWP memperluaskan program ini kepada lima buah PPR di Wilayah Persekutuan iaitu PPR Taman Mulia, Parlimen Cheras; PPR Seri Alam, Parlimen Cheras; PPR Raya Permai, Parlimen Bandar Tun Razak; PPR Hiliran Ampang, Parlimen Titiwangsa; dan PPR Batu Muda, Parlimen Batu.
“Adalah diharapkan agar semua peserta yang terpilih dalam program sebegini dapat mengambil peluang yang ada untuk memajukan diri, mempraktikkan kemahiran yang diajar agar mungkin suatu hari nanti mereka ini mampu menjadi usahawan tani yang berjaya,” – HARAKAHDAILY 13/09/2022
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Terima kasih dan penghargaan kepada pihak MAIWP kerana menyusun gerak kerja dan program berterusan sepanjang tahun dalam menyantuni asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Al-hamdulillah, begitu hebatnya Islam dalam menangani rakyat miskin dan termiskin. Tiada agama yang lebih baik dari Islam!
Undilah PAS dan rakan kumpulannya!
1 comment:
Pilihanraya kali diharap dapat kemukakan calon yg bersih dan bebas mahkamah.
Yg ada kes mahkamah pandai bercakap. Ya lah nak tutup salah laku. Kononnya jujur, kononnya laksana amanah. Calon spt ini mcm masuk bakul, sendiri angkat.
Yg dr pee hancing tak sudah sudah tibai melayu. Dark side dapig langsung x disentuh. Motto parti liberal melayu jahat dapig baik. Hati berpanau.
Post a Comment