Thursday, September 15, 2022

Setuju, Harakah jadi lidah perjuangan Islam.. & DAP mahu TPM..

 


1. Pendukung PAS, PN perlu jadikan Harakah media utama

PASIR PUTEH: Bekas Adun Limbongan Drs Zainuddin Awang Hamat bertekad menyumbang idea dan keringat bagi memastikan akhbar Harakah terus menjadi lidah perjuangan Islam.

Beliau berkata, peluang sebagai assabiqun akan dimanfaatkan bagi membantu media milik PAS terbabit untuk menyebarkan maklumat kepada orang ramai.

Katanya, beliau begitu ghairah untuk memanfaatkan pengalaman sebagai bekas wakil rakyat dan pendidik bagi memperkasakan jemaah melalui Harakah.

“Ini kerana misi dan visi Harakah meneruskan kesinambungan perjuangan gerakan Islam di negara ini bermula pada Mac 1987.

“Sejak tarikh itu Harakah terus melangkah ke hadapan sehingga menjangkau usia lebih 35 tahun sekarang, sedangkan industri media di seluruh dunia berdepan dengan kesuraman,” katanya di sini.

Menurutnya juga seruan pimpinan PAS pada muktamar PAS di Alor Setar baru-baru ini jelas mahu semua ahli dan pendukung PAS dan Perikatan Nasional (PN) menjadikan Harakah sebagai media utama.

Kata beliau Ketua Penerangan PAS Pusat Senator Ir Ts Khairil Nizam Khiruddin menyarankan  Harakah  dijadikan bahan kempen wajib ketika jentera turun padang menemui pengundi.

Katanya, Harakah satu-satu media boleh digambarkan bercorak Islamik di negara ini yang masih bertahan sehingga sekarang.

Menurutnya kejayaan itu kerana mendapat sokongan dan dukungan padu penyokong PAS dan PN di seluruh negara.

“Tanpa sokongan tersebut tentunya Harakah sukar untuk terus beroperasi, sedangkan peranannya begitu penting sebagai saluran maklumat untuk rakyat.

“Sedangkan syarikat akhbar lain yang begitu gah sebelum ini pun banyak yang sudah ditutup kerana masalah kewangan,” ujarnya.

Malah beliau beliau menyokong kenyataaan Ir Khairil Nizam supaya jentera penerangan PAS bersikap  defensive dan ofensive bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak lama lagi.

Katanya, strategi menyerang perlu dilakukan dan bukan sekadar menjawab isu dibangkitkan pihak lawan. – HARAKAHDAILY 14/9/2022

2. Jangan sehingga tergadai maruah kita  


BH ONLINE melaporkan pada 19 Januari 2017:

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan DAP mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, hasrat itu disuarakan sendiri DAP yang mahu jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan berkenaan diserahkan kepada salah seorang pemimpin parti itu.
_____

Berhempas pulas DAP berjuang sejak PRU 1969 untuk naik menjadi sebahagian tonggak yang menentukan hala-tuju negara.

Support base’ atau sokongan teras mereka terletak pada para pengundi bukan-Melayu khasnya pengundi Cina. Mereka sedar jika mengharapkan sokongan bukan-Melayu semata-mata mereka tidak akan mampu menguasai Pusat, mungkin sekadar Pulau Pinang.

Lantas berdekad-dekad pelbagai strategi mereka gunakan. Usaha meningkatkan keahlian dan sokongan di kalangan orang-orang Melayu tidak berapa berhasil kerana stigma orang Melayu terhadap perjuangan berasaskan sosialisma apatah lagi yang dikepalai oleh pimpinan bukan-Melayu.

Lalu mereka memutuskan perlu cari batu loncatan atau kuda tunggangan di kalangan parti Melayu yang boleh mereka lompat atau tunggang bagi memperolehi kejayaan.

PRU ke-14 mereka tunggang PKR, PAN dan PPBM (ketika itu), meletakkan Tun Dr Mahathir sebagai ‘poster boy’ terbukti mereka berjaya.

Mereka tidaklah pantas meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri (walau layak) tetapi mereka menguasai Kabinet dan kerajaan melalui beberapa portfolio kritikal antaranya:

Menteri Kewangan, Menteri Komunikasi, Menteri Sumber Manusia, Menteri Pengangkutan, Menteri Perladangan dan Komoditi.

Dan selama 22 bulan pemerintahan PH kita telah lihat betapa kerajaan ketika itu ditadbir dan diurus berdasarkan pengaruh dan dominasi DAP. Bayangkan kalau kaduk naik junjung melebihi 22 bulan.

Kini kita akan berhadapan PRU ke-15 pula. Bersediakah kita menggadaikan maruah menyerahkan bumi dipijak ini kembali ke tangan mereka? Fikirkanlah, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 13/9/2022


Komen Weblog Ibnu Hasyim
: Setuju, Harakah jadi lidah perjuangan Islam.. 

... & DAP, setelah gagal mentadbir 22 bulan, masih tak sedar diri mahu TPM pula..

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

1 comment:

Anonymous said...

Selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menolak saman fitnah dikemukakan Ahmad Dusuki Abd Rani terhadap Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa; warganet dilihat berduyun-duyun ‘sekolahkan’ ulama Pas itu.

Hantaran Ahmad Dusuki di Facebook mengenai ganjaran besar kepada individu yang melakukan solat jenazah nampaknya dibanjiri komentar dan sindiran orang ramai.

Pengguna Facebook yang menggunakan akaun atas nama Pakchu Al-kelantani menegaskan golongan agama yang dilabelnya Tok Lebai sebenar dan beriman tidak akan menipu dan mendukung fitnah.

“Masya-Allah. Adegan fitnah yang hidup menyubur pada masa kini telah diterajui dan dipelopori oleh kumpulan yang berperwatakan ala-ala lebai. Nauzubillahiminzalik,” tulisnya diikuti sebanyak 120 tanda ‘suka’ hanya selepas tiga jam dimuatnaik.

Sementara itu, Abdul Rahman Razali pula menasihatkan Ahmad Dusuki yang merupakan bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Ulama Pas supaya tampil memohon maaf.

“Benda mudah saja ustaz. Kalau ustaz berjiwa besar, ustaz minta maaf dan tarik balik perkataan ustaz.

“Sementara kita semua ni hidup, mintalah maaf. Buang ego yang ada jauh-jauh. Tak jatuhlah maruah kerana memohon maaf atas kesilapan yang kita buat. Hakikat manusia itu berbuat silap,” nasihat Abdul Rahman lagi.

Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menolak saman fitnah dikemukakan Ahmad Dusuki berhubung dakwaan isu penjualan aset Lembaga Tabung Haji (TH) kepada orang bukan Islam.

Ahmad Dusuki juga diarah untuk membayar kos sebanyak RM11,000 kepada Mujahid yang merupakan bekas menteri hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Peguam Norazmir Zakaria yang mewakili Mujahid dalam kes itu memaklumkan bahawa saman fitnah oleh Dusuki difailkan ekoran ciapan Mujahid pada 22 November 2020 selepas tersebarnya video ceramah Ahmad Dusuki yang mendakwa aset TH dijual kepada orang bukan Islam.

Ciapan Mujahid itu adalah seperti berikut:

“Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.

Rentetan itu, Ahmad Dusuki yang juga bekas calon Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menuntut Mujahid membuat permohonan maaf melalui siaran akhbar serta ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails