Monday, September 05, 2022

S'pura ulangi insiden sama.. & seludup pelajar UK.

 

Lokasi tanah runtuh di tapak pembinaan flat BTO, Clementi NorthArc, berhampiran Clementi Avenue 6, Singapura. (FOTO: Berita Harian Singapura)

1. Tanah runtuh terbaharu di Singapura ulangi kejadian tahun lepas

SINGAPURA: Kejadian runtuhan tanah di kawasan tapak pembinaan flat Bina Ikut Tempahan (BTO), Clementi NorthArc, berhampiran Clementi Avenue 6 akibat hujan lebat, mengulangi insiden sama yang berlaku di beberapa kawasan di Singapura pada tahun lepas.

Dalam kejadian terbaharu itu, sebahagian daripada jalan penyambung dari lokasi kejadian ke Taman Ulu Pandan ditutup kepada orang awam.

Lembaga Taman Negara (NParks) dalam kenyataan pada hari ini, Ahad (4 Sept) berkata, jalan penghubung tersebut bagaimanapun telah dibuka semula apabila kerja-kerja pemulihan dan pembaikan diteruskan susulan kejadian tanah runtuh berkenaan, lapor CNA.

Dalam kejadian tanah runtuh pada awal pagi Jumaat (2 Sept) lalu itu, jalan penghubung ke Taman Ulu Pandan di Clementi berhampiran projek flat BTO yang hampir siap berkenaan telah merekah di kawasan berhampiran sebuah longkang di kawasan tersebut.

Sementara itu, bahagian jalan penyambung taman yang lebih dekat dengan tapak kejadian di Clementi, jajaran antara Boon Lay Way dan Jalan Clementi, bagaimanapun masih lagi ditutup.

“Ini disebabkan oleh kerja pemulihan dan pembaikan yang berterusan dan terancang serta potensi risiko banjir,” kata NParks dalam catatan Facebook. 

Orang ramai di lokasi tanah runtuh di tapak pembinaan flat BTO, Clementi NorthArc pada 2 Sep 2022. (FOTO FAIL: CNA/Try Sutrisno Foo)

Dalam pada itu, jalan penyambung taman di luar kawasan ini, dari Clementi Road ke Commonwealth Avenue West, kini telah dibuka.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura dalam pada itu berkata, kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat yang berlaku di tapak pembinaan flat berkenaan telah menyebabkan berlaku ‘anjakan tanah’ ke Sungei Ulu Pandan, menghasilkan kerosakan pada jalan penyambung ke Taman Ulu Pandan, dengan seorang pejalan kaki mengalami kecederaan ringan. 

Kejadian tanah runtuh disebabkan hujan lebat pada 2 September 2022 menyebabkan jalan penghubung taman di Clementi berhampiran tapak pembinaan flat Clementi NorthArc terpaksa ditutup sebelum ini. (FOTO: Berita Harian Singapura)

NParks menegaskan bahawa ia akan bekerjasama dengan agensi air nasional Singapura, PUB untuk memantau dengan teliti ramalan hujan dan paras air di terusan, dan akan menutup sementara jalan-jalan penyambung taman apabila perlu.

Dalam catatan Facebook berasingan pada Ahad, PUB menggesa orang ramai mengelak daripada menggunakan penyambung jalan ke Taman Ulu Pandan semasa hujan lebat.

“Sekiranya banjir berlaku, kekal di tanah tinggi dan elakkan berjalan melalui air banjir,” kata PUB.

Jalan raya penyambung ke tapak pembinaan flat Clementi NorthArc mengalami keretakan akibat tanah runtuh pada awal pagi 2 September 2022. (FOTO: Berita Harian Singapura)

Terdahulu, pada Januari 2021, CNA melaporkan bahawa berlaku beberapa kejadian tanah runtuh dan runtuhan lereng bukit di beberapa kawasan di Singapura ekoran hujan lebat, termasuk di pulau-pulau selatan. 

Salah satu kawasan yang terjejas terletak berdekatan Hotel Furama Riverfront apabila lereng bukit antara Jalan Minyak dengan jalan belakang hotel, runtuh. 

Pihak berkuasa sudahpun mengeluarkan arahan untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan yang dijalankan di bahagian yang terjejas di tapak pembinaan flat Clementi NorthArc, sehingga diberitahu kelak. (FOTO: Berita Harian Singapura)

Satu lagi kawasan adalah di Pasir Ris yang mengalami tanah runtuh adalah di kawasan lereng bukit dekat Loyang Avenuue yang menyebabkan beberapa pagar penghadang di sepanjang terusan monsun pecah dek runtuhan tanah.

Insiden tanah runtuh secara kecil-kecilan juga dilaporkan berlaku pada ketika itu di pulau-pulau selatan negara itu seperti Kusu. – HARAKAHDAILY 4/9/2022

2. Kanada siasat dakwaan perisiknya seludup remaja UK ke Syria 

Tiga pelajar Bethnal Green Academy dirakam di Lapangan Terbang Gatwick, menuju ke Turkiye untuk ke Syria pada 17 Februari 2015. (FOTO PA)

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berikrar akan melakukan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan bahawa seorang pengintip yang bekerja untuk badan perisikan Kanada telah menyeludup tiga pelajar sekolah United Kingdom ke Syria pada tahun 2015.

Dalam kenyataannya pada Rabu (31 Ogos) waktu tempatan, sehari selepas beberapa saluran berita UK melaporkan mengenai ejen perisikan Kanada yang terbabit dalam pemerdagangan manusia ke Syria, Trudeau berkata, beliau telah mendapat maklumat mengenai perkara tersebut dan kini dalam proses melakukan siasatan secara menyeluruh dan terperinci, lapor TRT World.

“Pihak kami akan terus memastikan pengawasan sewajarnya dilakukan dan jika perlu, melakukan langkah selanjutnya,” tegasnya.

Menurut laporan Times Britain, Shamima Begun yang berusia 15 tahun dan dua rakannya, Kadiza Sultana, 16, dan Amira Abase,15, yang merupakan pelajar pintar di Bethnal Green Academy, di timur London menerima bantuan daripada ‘orang dalam’  Perkhidmatan Perisikan Keselamatan Kanada (CSIS) untuk diseludup masuk ke Syria yang dilanda perang ketika itu.

Ketiga-tiga remaja berkenaan menjadi tajuk berita utama pada 17 Februari 2015 apabila kelibat mereka dirakam CCTV di Lapangan Terbang Gatwick, London untuk terbang ke Istanbul, Turkiye; dan keesokannya, mereka sekali lagi dirakam berada di terminal bas di Istanbul, membawa beg pakaian mereka dalam cuaca bersalji menaiki bas utuk ke Syria.  

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau beliau telah mendapat maklumat mengenai perkara kes pengintip yang bekerja untuk badan perisikan Kanada yang didakwa menyeludup tiga pelajar sekolah United Kingdom ke Syria. (FOTO BBC)

Polis UK telah melancarkan pencarian secara besar-besaran untuk mengesan ketiga-tiga remaja berkenaan pada ketika itu, sudah terlambat kerana mereka sudah berjaya melintasi sempadan Turkiye-Syria.

“Kanada mengetahui tentang nasib ketiga-tiga gadis remaja berkenaan tetapi mendiamkan diri semasa pihak polis Britain menjalankan pencarian antarabangsa besar-besaran untuk mengesan mereka.

“Kanada secara peribadi mengakui penglibatannya hanya apabila ia bimbang kes itu terdedah, dan kemudian berjaya meminta Britain untuk menutup akan penglibatannya dalam kes berkenaan,” lapor akhbar Britain itu. 

Shamima, Kadiza dan Amira dirakam CCTV ketika berada di terminal bas Istanbul, Turkiye untuk ke Syira pada 18 Februari 2015. (FOTO Daily Record)

Apabila ditekan tentang kes berkenaan pada sidang akhbar, Trudeau mempertahankan keperluan perkhidmatan perisikan untuk lebih ‘fleksibel dan kreatif dalam pendekatan mereka… dalam tugasan  mereka untuk memastikan Kanada selamat dalam dunia yang sangat berbahaya ini’.

Pada masa yang sama, tambahnya, CSIS mesti mematuhi ‘peraturan ketat’ undang-undang Kanada.

“Kami menjangkakan peraturan itu dipatuhi,”  kata Trudeau.

Laporan Times juga turut memetik buku baharu karya oleh bekas wartawannya, Richard Kerbaj yang berjudul, The Secret History of the Five Eyes, bahawa CSIS telah merekrut Mohammed al Rasheed sebagai ejennya apabila lelaki itu melawat kedutaan Kanada di Jordan untuk mendapatkan suaka.

Rasheed kemudiannya ditangkap oleh pihak berkuasa Türkiye pada 2015 dan didapati memiliki dokumen perjalanan, termasuk tiket bas, milik Begun dan kedua-dua rakannya itu. 

Buku karya penulisan bekas wartawan Times. Richard Kerbaj, The Secret History of the Five Eyes mengaitkan kerajaan Kanada dengan kes penyeludupan ketiga-tiga Shamima, Kadiza dan Amira ke Syria. (FOTO Amazon.co.uk)

Ia menyebabkan Kanada hanya secara peribadi mengakui penglibatannya dengan Rasheed dan meminta Britain untuk membantu menutup kes berkenaannya, ujar kandungan buku karya Kerbaj itu.

Tulisan dalam buku berkenaan juga juga mendakwa Kanada gagal menghalang perjalanan ketiga-tiga gadis tersebut kerana mereka telah sampai ke Syria pada ketika Rasheed dimaklumkan mengenai situasi itu.

Kini berusia 23 tahun dan telah dilucutkan kewarganegaraan British, lapor Yahoo! News,  Begun kekal di kem pemindahan di utara Syria ketika dia merayu keputusan untuk menghalangnya daripada dipulangkan ke pangkuan keluarganya di Britain.

Sementara, tambah laporan itu, Kadiza Sultana dan Amira Abase, dikatakan terbunuh dalam serbuan udara tentera Rusia atau hilang tanpa dikesan. – HARAKAHDAILY 1/9/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Singapura ulangi insiden sama, adalah suatu kesilapan dan kelalaian besar, jenayah sebuah kerajaan terhadap rakyat. 

Begitu juga dalam kes Kanada siasat dakwaan perisiknya seludup remaja dari UK ke Syria.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails