Soo Wincci (dua dari kanan) ketika menyertai program di Masjid Al Mursyid Gurung, Pauh, Perlis, semalam. Foto Harian Metro
HALAMAN HIBURAN
Dahulu saya takut pergi masjid - Soo Wincci
KUALA LUMPUR: "Selama ini, saya sering takut untuk ke masjid kerana selalu orang cakap, bukan Islam dilarang masuk. Di Kuala Lumpur pun saya tak pernah masuk mana-mana masjid."
Demikian kata pelakon dan penyanyi, Dr Soo Wincci, 37, yang mengaku tenang dan tersentuh apabila dapat menjejakkan kaki di masjid ketika menghadiri program di Masjid Al Mursyid Gurung, Pauh, Perlis, semalam.
Wincci berkata, hatinya tenang dapat berkumpul dengan ramai hadirin berbeza agama dalam majlis ceramah berhubung topik keharmonian itu.
"Saya sebenarnya sangat tersentuh apabila dijemput menjadi panel ceramah itu. Banyak topik yang dikupas mengenai keharmonian negara dan lebih 100 orang hadir dari pelbagai latar belakang agama.
"Sesi selama lebih tiga jam itu begitu intim. Ini sekali gus menepis pandangan saya terhadap larangan masuk masjid sebelum ini kerana kehadiran saya dan penceramah berbangsa India ke sana sangat dialu-alukan," katanya.
Bekas Miss World Malaysia 2008 itu turut bersyukur dapat menimba banyak ilmu berkenaan Islam di program itu.
"Saya gembira apabila ustaz yang terbabit berfikiran terbuka dan moden. Mereka memberi kami jawapan yang tepat untuk pelbagai persoalan kami ingin tahu.
"Program itu sememangnya suatu perbincangan yang cukup bagus dan membuka mata. Ini pengalaman pertama yang sangat berharga untuk saya," katanya. - Harian Metro Online
BERITA BERKAITAN
No comments:
Post a Comment