Wednesday, September 28, 2022

Ulama tersohor Yusuf Al-Qaradawi meninggal dunia

 


1. Ulama tersohor Yusuf Al-Qaradawi meninggal dunia

DOHA: Ulama tersohor Sheikh Yusuf al-Qaradawi meninggal dunia pada Isnin pada usia 97 tahun, lapor Agensi Anadolu memetik akaun Twitter rasminya.

Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) yang berpangkalan di Doha turut mengesahkan mengenai berita sedih pemergian ulama itu dalam satu kenyataan di laman sesawangnya.

Qaradawi, ulama kelahiran Mesir yang berpangkalan di Qatar, ialah pengasas IUMS. – BERNAMA

2. Umat Islam berduka kematian Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi 


KUALA LUMPUR: Kematian ulama tersohor, Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi, turut mencetuskan kesedihan umat Islam di negara ini dengan pemimpin yang pernah mendampingi beliau ketika hayatnya berkongsi pengalaman mereka di media sosial.

Bagi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, pemergian Syeikh Yusuf mengingatkan betapa umat Islam semakin menghampiri zaman yang disabdakan oleh Rasullullah SAW.

"Sesungguhnya Allah tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekali gus daripada hamba-Nya, tetapi Allah menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim.

"Ketika itu orang ramai melantik ketua mereka dalam kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan." Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)," katanya dalam satu ciapan di Twitternya, hari ini.

Allahyarham Syeikh Yusuf meninggal dunia pada usia 96 tahun dilahirkan di Mesir, tetapi menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Qatar dan menetap sehingga akhir hayatnya.

Zulkifli berkata, tidak keterlaluan dikatakan kebanyakan ulama memanfaatkan jujukan karyanya yang amat bermanfaat kepada ummah.

"Walaupun beliau tidak menjadi seperti yang dicitakan iaitu Syeikhul Azhar, hakikatnya beliau adalah antara Syeikhul Ummah yang menjadi panutan seluruh dunia.

"Selamat jalan wahai Syeikhul Ummah, pemergianmu ditangisi dunia dan seisi. Moga bersua satu hari nanti di negeri yang abadi," katanya.

Sementara itu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata dunia kehilangan permata ummah, seorang ulama yang mencetak banyak kader dakwah dan membangunkan pemikiran umat melalui karya tulisannya yang sangat banyak.

"Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi.

"Semoga Allah mencucuri rahmat kepada Allahyarham, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di kalangan solihin," katanya.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau secara peribadi amat merasai kehilangannya.

"Sumbangan dan legasi ditinggalkan ternyata membekas dalam sanubari setiap umat Islam.

"Semoga Allah SWT memberi tempat dan ganjaran yang teristimewa buat beliau," katanya dalam ciapan di Twitternya. (BH)

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails