Monday, September 19, 2022

Wanita berpakaian ihram diminta tampil.. & dana i-Belia.

 

Foto daripada Facebook Idris Ahmad.

1. Wanita berpakaian ihram seperti lelaki di Mekah diminta tampil

BUKIT GANTANG: Wanita yang tular di media sosial kerana berpakaian ihram seperti lelaki di Mekah diminta tampil bagi membantu siasatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

“Patutnya dia perlu berani tampil ke hadapan sebab dia berani tunjuk gambar berada di sana (Mekah) dengan berpakaian ihram seolah-olah ingin menimbulkan provokasi, mengapa perlu takut,” katanya kepada pemberita selepas Program Berjalan Teguh Bersama di Dataran Tarbiah di sini hari ini.

Pada 1 Sept lepas, Idris dilaporkan berkata individu tersebut telah pulang dari Tanah Suci namun masih belum mendapatkan maklumat bagi mengesannya.

Menerusi video yang tular pada 12 Ogos, wanita berkenaan berada di Mekah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki dan difahamkan menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi khidmat agensi.

Terdahulu, program hari ini yang bertujuan merapatkan ukhuwah rakyat di kawasan Parlimen Bukit Gantang dihadiri ribuan peserta dari pelbagai lapisan umur.

“Walaupun dengan keadaan cuaca yang kurang baik, kita berjaya menghabiskan perjalanan sepanjang 2.5 kilometer dari Dataran Tarbiah hingga ke Arena Futsal Bukit Gantang,” tambahnya. – BERNAMA

2. Permohonan dana i-Belia dibuka hari ini 

KUALA TERENGGANU: Pendaftaran Bantuan i-Belia dibuka selama 20 hari, bermula hari ini sehingga 6 Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan, pendaftaran i-Belia dibuka secara dalam talian melalui dua kategori.

“Kategori pertama ialah untuk belia bujang dan yang kedua adalah belia mahasiswa.

“Kerajaan negeri telah meluluskan lebih RM20 juta dengan jangkaan penerima seramai 135,974 orang di mana setiap penerima akan menerima RM150 setiap seorang,” katanya.

Tambah Wan Sukairi, kerajaan negeri membuka peluang untuk mendaftar kepada semua belia termasuk perantau.

Jelasnya, i-Belia menetapkan pemohon mestilah berumur di antara 18 tahun hingga 39 tahun berdasarkan syarat ditetapkan.

“Antaranya, status pemohon adalah masih bujang pada tarikh permohonan.

“Bagi pemohon yang bekerja, jumlah pendapatan bulanan tidak melebihi RM1,500 sebulan, manakala bagi yang belum bekerja pendapatan isi rumah mestilah tidak melebihi RM2,500.

“Semua permohonan perlu dibuat secara dalam talian melalui sistem i-Bantuan,” katanya.

Permohonan boleh dilakukan di https://ibantuan.terengganu.gov.my bagi pemohon dalam negeri Terengganu.

Manakala, bagi perantau perlu membuat permohonan di https://ibantuan.terengganu.gov.my/perantau-belia/

Semua pemohon mestilah rakyat Terengganu dan pengundi berdaftar di negeri Terengganu.

Sebarang pertanyaan, boleh hubungi pusat khidmat DUN tempat mengundi masing-masing. – TRDI.my

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails