Thursday, September 22, 2022

Zakat Emas, temui tapak bijih emas. Britain “Pulangkan!” berlian.

 


1.  Zakat emas, kewajipan yang jarang diperkatakan

KUALA LUMPUR: Mengeluarkan zakat adalah wajib bagi umat Islam yang memenuhi syarat-syaratnya dan antara zakat lazim ialah zakat fitrah, pendapatan dan harta.

Namun, amat jarang diperkatakan tentang zakat emas, baik yang dimiliki sebagai perhiasan diri ataupun pelaburan.

Perintah Allah SWT tentang pembayaran zakat aset bernilai tinggi itu jelas dalam Surah At-Taubah, ayat 34 dan 35, yang antara lain menjanjikan balasan neraka jahanam bagi mereka yang tidak menginfakkan emas milik mereka ke jalan Allah menerusi zakat.

Celik zakat emas

Dari segi perdagangan, emas merupakan aset selamat yang menjadi pilihan pelabur kerana nilainya yang stabil dan umumnya kental sekalipun berlaku ketidakstabilan geopolitik global, tidak seperti komoditi lain yang berisiko merudum.

Lantaran itu juga semakin ramai umat Islam di negara ini memilih pelaburan emas, baik dalam bentuk saham, emas fizikal seperti jongkong dan syiling atau barang perhiasan. Namun, bagaimana pula dengan tahap kefahaman mereka tentang zakat emas?

Bagi Siti Hidayah Zulkifli, 25, dia didedahkan kepada “pelaburan” emas sejak kecil apabila ibunya sentiasa membelikan emas perhiasan untuk dia dan adik-beradik sebagai simpanan bagi kegunaan masa depan.

Pada masa sama kata suri rumah itu, dia juga didedahkan kepada kaedah pengiraan zakat emas, baik untuk barang kemas ataupun pelaburan emas oleh ibu bapanya.

“Emas perhiasan wajib dibayar zakat apabila jumlah berat emas yang disimpan itu menyamai atau melebihi nisab 800 gram (bagi Kuala Lumpur dan Selangor) dan melepasi tempoh masa 12 bulan (setahun) yang dipanggil cukup haul.

“Jika emas perhiasan atau pelaburan sudah melebihi kadar uruf emas dan cukup tempoh setahun, pemiliknya perlu membayar zakat pada kadar 2.5 peratus daripada harga emas (mengikut harga semasa) dan berat emas yang dimiliki,” katanya kepada Bernama. 

Berbeza dengan emas perhiasan, emas fizikal yang diniatkan sebagai pelaburan untuk mendapatkan keuntungan, lazimnya dalam bentuk syiling, jongkong dan wafer, wajib dizakatkan apabila mencapai nisab minimum 85 gram.

Pelabur emas fizikal, Suzanna Ismail, 42, berkata jongkong emas yang dimilikinya mempunyai tarikh pembelian, sekali gus memudahkannya mengingati tempoh membayar zakat.

“Kalau cukup tempoh haulnya setahun, dan nisab cukup 85 gram, maknanya dah kena bayar zakat. Saya mula bayar zakat jongkong emas ini sejak Disember 2021,” kata pegawai Angkatan Tentera Malaysia itu.

“Sekalipun orang lain tidak tahu kalau kita tidak bayar zakat, bagi saya berzakat adalah tanda kita bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan kepada kita. Sebagai tanda kita bersyukur, kita wajar pulangkan balik sebahagian daripada rezeki yang dikurniakan itu untuk dikongsikan dengan yang lain,” tambahnya.

Emas perhiasan tak perlu bayar zakat?

Dalam pada itu, ada kefahaman dalam kalangan sesetengah umat Islam bahawa emas perhiasan tidak perlu dizakatkan, asal si pemilik sentiasa memakainya.

Mengulas kefahaman itu, Pengurus Kanan Unit Syariah dan Antarabangsa Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Ahmad Husni Abdul Rahman berkata ulama berpandangan emas yang dipakai pada asasnya tidak dikenakan zakat walaupun harta tersebut merupakan mal zakawi (harta yang boleh dikenakan zakat).

Namun, disebabkan wujud trend pembelian dan pemilikan emas perhiasan melebihi kewajaran, Mazhab Al-Shafie menetapkan satu tanda aras bagi pengeluaran zakat emas perhiasan.

“Setelah pemilikan emas perhiasan seseorang itu sampai ke tahap jumlah nisab emas perhiasan tersebut, maka ia sudah melebihi tahap kewajaran pemakaian emas perhiasan, dan diwajibkan membayar zakat kerana dianggap melebihi keperluan.

“Takkan semua benda yang kita miliki hanya untuk diri kita sedangkan ada orang lain yang lebih memerlukan? Maka diletakkan satu kadar.

“Kadar yang ditetapkan di Wilayah Persekutuan dan Selangor ini, iaitu sebanyak 800 gram (minimum), bukan dibuat secara suka-suka, tetapi diputuskan selepas kita membuat kajian tentang pemilikan emas perhiasan di kedua-dua wilayah ini,” jelasnya.

Pembayar zakat emas meningkat

Mengulas lanjut, Ahmad Husni berkata jumlah pembayar zakat emas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor meningkat dari tahun ke tahun, menunjukkan tahap kesedaran umat Islam tentang kewajipan itu juga bertambah baik.

Ujarnya, ketika penularan pandemik Covid-19 memuncak di negara ini dalam tempoh dua tahun lepas, PPZ-MAIWP menjangkakan jumlah mereka yang menunaikan zakat berkurangan kerana ramai yang terkesan termasuk kehilangan pekerjaan dan sebagainya.

“Bagaimanapun, barangkali disebabkan kesedaran terhadap kewajipan, masyarakat lebih dekat dengan Maha Pencipta selepas dilanda musibah Covid-19 (dan berlaku peningkatan jumlah pembayar zakat emas).

“Bahkan kita mencapai kutipan tertinggi sepanjang operasi ketika musim pandemik COVID-19. Jadi itu menunjukkan meskipun ramai yang terkesan (oleh pandemik),  musibah yang melanda itu membawa rahmat.

“Atas kesedaran itu mungkin mereka tampil untuk membantu orang yang lebih memerlukan melalui zakat,” ujarnya.  

Qada’ bayar zakat emas

Dalam pada itu, beliau berkata individu yang sebelum ini tidak pernah menunaikan zakat emas atas faktor kejahilan, perlu berbuat demikian selepas mengetahui kewajipannya.

“Setelah kita tinggalkan pada saat ia diwajibkan (cukup haul), maka perkara tersebut wajib kita qada’ (ganti) sebagaimana kalau kita meninggalkan solat, maka kita wajib qada’ solat dan puasa itu.

“Begitu juga ibadah zakat. Kalau kita terlepas daripada menunaikan pada saat kewajipannya (cukup haul), ia wajib diganti semula. Bagaimanapun, penggantiannya adalah berdasarkan waktu kewajipan itu ditinggalkan (bayar mengikut kadar pada waktu itu) dan tidak digandakan serta tiada denda dikenakan,” jelasnya.

Jelas beliau,  konsep sama terpakai sekiranya anak-anak mewarisi harta berbentuk emas daripada orang tua mereka yang telah meninggal dunia dan mengetahui emas tersebut tidak pernah dibayar zakat.

“Sebagai solusi, sebelum dibahagi-bahagikan emas itu kepada waris-waris yang berhak, perkara utama yang perlu dibuat ialah membayar zakatnya terlebih dahulu. Selagi dia tidak tahu (mengenai zakat emas) dia tidak berdosa, tetapi bila dia sudah tahu, dia kena laksanakan terus dengan segera,” katanya.

Kemudahan di PPZ-MAIWP

PPZ-MAIWP menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan umat Islam berzakat, antaranya pembayaran terus di kaunter, perbankan Internet, portal PPZ-MAIWP, potongan gaji serta e-dompet, selain Kempen Zakat Emas yang dilaksanakan oleh MAIWP bersama HABIB Jewels.

 Kempen Zakat Emas itu bertujuan meningkatkan kesedaran menunaikan zakat emas khusus kepada para pelanggan HABIB.

Mengangkat tema ‘Permata Firdausi’, kempen itu juga turut menawarkan pelbagai hadiah istimewa berupa baucar tunai HABIB bernilai hingga RM10,000 dan 10 syiling wafer emas edisi terhad HABIB untuk pembayar bertuah yang menunaikan zakat emas di PPZ-MAIWP bermula 1 hingga 30 Sept 2022.

“Kita juga ada kempen menerusi dakwah di media massa dan dakwah-dakwah yang dijalankan di masjid serta surau seperti bacaan khutbah pada hari Jumaat untuk menggalakkan masyarakat kita menunaikan zakat emas.

“Bila kita laksanakan satu kempen secara khusus, kita akan menggerakkan seluruh jentera yang ada di PPZ, sama ada di peringkat pemasaran, dakwah, aktiviti dan soal jawab,” katanya, menambah PPZ-MAIWP turut menyediakan poster berkaitan zakat emas untuk disebarkan menerusi media sosial, di samping terlibat dengan penggerak media dan pempengaruh. – BERNAMA

2. Tapak bijih emas, tembaga RM24b ditemui di Madinah 

JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan penemuan tapak baharu untuk deposit emas dan bijih tembaga di wilayah Madinah  yang dijangka mampu menarik jumlah pelaburan tempatan dan antarabangsa mencecah sehingga AS$533 juta (RM24 bilion).

Badan Kajian Geologi Saudi, (SGS) yang diwakili oleh Pusat Tinjauan dan Penerokaan Mineral berkata, penemuan bijih emas adalah di sekitar sempadan Aba Al Raha, manakala tembaga ditemui di empat tapak di kawasan Al Madiq dalam wilayah Wadi Al Faraa, di Madinah, lapor Saudi Press Agency.

Sementara Al Arabiya melaporkan bahawa penemuan bahan galian berharga baharu itu turut dijangka memberi sebanyak 4,000 peluang pekerjaan baharu.

Ia adalah antara penemuan terbaharu tahun ini, yang akan membantu mengembangkan sektor perlombongan Saudi, selaras dengan matlamat yang ditetapkan oleh Vision2030 Putera Mahkota Mohammed Salman yang bertujuan untuk mengemudi negara ke arah ekonomi pasca minyak yang pelbagai.

Pada Julai lepas, Menteri Industri dan Sumber Mineral Saudi, Khalid Al-Mudaifer berkata bahawa kerajaan itu berjaya menarik lebih AS$8 bilion dalam modal langsung asing dalam industri perlombongannya tahun lepas, berikutan undang-undang yang diluluskan yang mendorong pelaburan dalam sektor itu.

Pada awal 2022, kerajaan Saudi berkata ia sedang mencari untuk menarik pelaburan bernilai AS$170 bilion dalam sektor perlombongannya menjelang akhir dekad ini. 

Bagaimanapun, kadar pembangunan dan eksploitasi lombong perlahan sejak Riyadh mengumumkan pada 2018 bahawa aset bahan galian di negara itu  dianggarkan mencecah AS$1.3 trilion.

Gulf News pula melaporkan penemuan terbaharu bijih  emas dan tembaga itu mewakili potensi yang menjanjikan cari gali mendapan kuprum khas, daripada mineral kalkosit (Cu2S), yang bertaburan, serta beberapa mineral karbonat kuprum sekunder.

“Penemuan berkenaan akan mempercepatkan kadar pelaburan perlombongan di Kerajaan, dan dengan itu, akan menyokong Wawasan Kerajaan 2030 dan ekonomi negara Saudi.

“Penemuan ini di pelbagai lokasi di Arab Saudi akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dengan kemasukan pelabur tempatan dan antarabangsa untuk membuat pelaburan dalam sektor perlombongan yang berkembang maju,” ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 21/9/2022


3. “Pulangkan!” – Afrika Selatan tuntut berlian daripada Britain 

Berlian dikenali dengan jolokan Great Star of Africa yang menghiasi objek penting kerabat diraja British (gambar tengah) ini diperoleh dari lombong di Afrika Selatan pada tahun 1905. (FOTO: Gacialisdtiyk.com)

CAPE TOWN: Gesaan semakin meningkat kedengaran dari Afrika Selatan terhadap keluarga diraja British agar memulangkan semula berlian yang terbesar di dunia yang didakwa sebenarnya ‘dicuri’ dari negara itu.

Dikenali sebagai Bintang Besar Afrika (Great Star of Africa) atau Cullinan I, berlian yang dipotong daripada permata yang lebih besar selepas ditemui di sebuah lombong di Afrika Selatan pada tahun 1905 itu, dikatakan telah diserahkan kepada keluarga diraja British oleh pihak berkuasa kolonial Afrika Selatan dan kini dipasang pada tongkat kerajaan kepunyaan mendiang Ratu Elizabeth II, lapor CNN

Tuntutan untuk memulangkan Cullinan I dan berlian-berlian lain  semakin lantang kedengaran sejak kemangkatan baginda ratu dan ramai rakyat  Afrika Selatan melihat pemerolehan permata oleh Britain sebagai tidak sah.

Kemangkatan baginda ratu yang bakal disemadikan pada hari ini (19 Sept)  telah membuka kembali perbahasan tentang kolonialisme di Afrika Selatan dan bagaimana ia berkaitan dengan warisannya. 

Media di Afrika Selatan telah membahaskan pemilikan berlian unik itu, dengan turut menyelitkan isu tuntutan untuk pembayaran ganti rugi buat negara itu. 

Berlian terbesar pernah ditemui di dunia ini, kini dianggarkan berharga antara AS$400,000,000 hingga AS$2 bilion. (FOTO: CNN)

“Berlian Cullinan I mesti dikembalikan ke Afrika Selatan berkuat kuasa serta-merta,”  kata aktivis Thanuxolo Sabelo kepada media tempatan, lapor CNN lagi. 

“Bahan galian negara kita (Afrika Selatan) dan negara-negara lain berterusan memberi manfaat kepada Britain dengan mengorbankan kepentingan rakyat kita,” tegasnya. 

Lebih 6,000 orang telah menandatangani petisyen meminta Bintang Besar Afrika dikembalikan dan dipamerkan di muzium Afrika Selatan.

Apabila Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa baru-baru ini menyiarkan tweet memuji baginda ratu, ramai yang memberi reaksi bahawa tentang isu berlian Cullinan I yang dikatakan dicuri oleh UK dari negara itu.

Seorang netizen dalam reaksinya di Twitter Ramaphosa menulis, “Adakah anda (Cyril Ramaphosa)  bertanya kepadanya (Raja Charles II)  tentang bilakah dia akan membawa balik berlian Afrika Selatan?,” manakala seorang lagi menyiarkan reaksi terhadap pelantikan Raja Charles III sebagai ‘panggilan tugas pertamanya adalah untuk mengembalikan berlian Afrika Selatan!’. 

Menurut laporan Buzz.ie pula, seorang ahli parlimen di parlimen Afrika Selatan, Vuyolwethu Zengula, telah menggesa kepimpinan negara itu menuntut UK memulangkan berlian berkenaan, selain menyeru agar negara itu keluar daripada menjadi ahli Komanwel.

“Afrika Selatan kini sepatutnya meninggalkan Komanwel, menuntut ganti rugi untuk semua kerosakan yang dilakukan oleh Britain di negara ini, merangka semula perlembagaan baharu berdasarkan kehendak rakyat Afrika Selatan, dan menuntut pemulangan semua emas, berlian yang dicuri oleh Britain ” katanya, lapor timeslive.co.za.

Membuka kembali lipatan sejarah, apabila berlian asal Cullinan I ditemui di Lombong Utama Pretoria pada tahun 1905, ia sangat besar dan luar biasa sehingga pemeriksa berlian, Thomas Wells pada mulanya menyangka ia hanyalah sekeping kaca. 

Namun pemeriksaan lebih lanjut mendedahkan berlian tidak berwarna seberat 1.33 paun itu adalah yang terbesar pernah ditemui. 

Kepingan berlian terbesar di dunia ini telah dipecahkan kepada sembilan bahagian kecil. (FOTO: Wikipedia)

Syarikat penyelia koleksi diraja keluarga diraja British, The Royal Collection Trust pula berkata, berlian Cullinan I  telah diserahkan kepada Raja Edward VII pada 1907, dua tahun selepas penemuannya di lombong persendirian milik Sir Thomas Cullinan di wilayah Transvaal lama Afrika Selatan.

Berlian itu dipecahkan kepada dua bahagian, yang kemudiannya bertukar menjadi sembilan kepingan yang lebih kecil secara keseluruhan.

Sekeping daripada berlian 530.2 karat itu kemudian telah ditambahkan pada Sovereign’s Scepter with Cross, suatu objek yang dikatakan suci buat keluarga diraja British berbentuk seperti cokmar yang wujud sejak tahun 1600-an, yang sering digunakan semasa upacara pertabalan keluarga diraja Britain, khususnya pada tahun 1910; di samping ia juga dipamerkan kepada umum di Jewel House di Menara London. 

Merujuk kepada Cullinan-Diamond.com, nilai berlian Cullinan I tiada tandingan adalah kerana keunikannya yang cukup terserlah.

Tidak lama selepas ia ditemui, berlian berkenaan dijual kepada kerajaan Transvaal dengan harga 150,000 pound sterling.

Pada tahun 1907, apabila berlian itu dihantar ke England, ia telah diinsuranskan dengan harga AS$1,250,000, yang bersamaan dengan  kira-kira AS$123,000,000 pound sterling pada masa ini.

Sekeping berlian Cullinan Diamond, Great Star of Africa itu kini dianggarkan bernilai antara AS$400,000,000 hingga AS$2 bilion, namun ia sekadar anggaran kerana berlian berkenaan tidak sama sekali akan dijual pada masa hadapan memandangkan ia adalah sebahagian daripada aset paling berharga disimpan oleh The Royal Collection Trust. – HARAKAHDAILY 19/9/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Zakat Emas, temui tapak bijih emas. Britain “Pulangkan!” berlian.

Kini, gesaan semakin meningkat kedengaran dari Afrika Selatan terhadap keluarga diraja British agar memulangkan semula berlian terbesar di dunia yang didakwa sebenarnya ‘dicuri’ dari negara itu.

Britain dan keluarga diraja British, negara pencuri?


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails