Friday, October 07, 2022

Agung menerima PM, buku b/Peguam Negara & Wakaf..

 

Foto daripada Facebook Istana Negara.

1. Majlis menghadap PM berkaitan mesyuarat pra-Kabinet

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara hari ini.

Menurut catatan di Facebook Istana Negara, mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berhubung urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

Turut dimuat naik empat keping gambar menunjukkan Ismail Sabri mengadakan perbincangan bersama Seri Paduka.

Pergerakan Perdana Menteri hari ini menjadi tumpuan media susulan spekulasi mengenai pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertiup kencang.

Pada Selasa, Ismail Sabri mengesahkan beliau akan menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada hari ini, dan banyak spekulasi mengaitkan pertemuan itu bagi memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran Parlimen.

Perdana Menteri memasuki pintu pagar utama Istana Negara pada 3.49 petang dengan menaiki kenderaan rasmi kerajaan dan sempat melambai ke arah petugas media yang menanti sejak pagi, sebelum dilihat meninggalkan pekarangan Istana Negara pada 4.45 petang. – BERNAMA


2. PDRM siasat penyebaran laporan buku bekas Peguam Negara 

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung penyebaran laporan siasatan buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk 'My Story: Justice in the Wilderness' oleh laman web Malaysia Today.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, dalam satu kenyataan hari ini berkata, siasatan terhadap laman web tempatan itu dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas selepas PDRM menerima satu laporan polis berhubung penyebaran maklumat itu yang disiarkan dengan tajuk, 'Rahsia: Laporan Siasatan Ke Atas Buku Tan Sri Tommy Thomas'," katanya.

Tinjauan terhadap laman web berkenaan mendapati laporan berkenaan dimuat naik hari ini dan boleh dimuat turun oleh pengguna.  

Pada 30 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Tommy berhubung pelbagai dakwaan yang terkandung dalam buku dihasilkannya.

Berdasarkan siasatan, pasukan petugas itu mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman, pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan, tindakan tidak sah, salah guna kuasa serta kecuaian profesional, serta kenyataan berbaur hasutan. – BERNAMA


3. Sistem wakaf di Malaysia semakin berkembang 

SABAN hari semakin berkembang sistem wakaf di Malaysia. Dalam Parlimen hari ini, saya ditanya oleh Pontian berkenaan pencapaian semasa dan perancangan masa depan sistem wakaf. 

Melalui Bajet 2022, Kerajaan Persekutuan menyediakan dana berjumlah RM10 juta bagi kegunaan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) antaranya untuk pelaksanaan Wakaf Halal – Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Wakaf Pertanian Bersepadu (WATANI) dan Wakaf Bencana dan sebagainya. 

Pautan portal YWM
https://www.ywm.gov.my/ 

Penglibatan badan korporat dalam kerjasama dan menawarkan produk wakaf juga meningkat seperti Pemodalan Nasional Berhad (PNB), Waqaf FELDA, CIMB Islamic dan Bank Rakyat. 

Lebih membanggakan kerjasama strategik antara kementerian dan YWM merancakkan lagi inovasi wakaf. Contohnya projek Wakaf Air dan Wakaf Masjid Hijau bersama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). 

Pautan projek Wakaf Air
https://www.ywm.gov.my/wakaf-air 

Selain itu, tanah-tanah wakaf dibangunkan dengan projek yang berimpak tinggi terutamanya dalam sektor pendidikan, ekonomi, kesihatan, perumahan dan kebajikan. 

Antaranya seperti Pangsapuri Wakaf Siti dan Hajjah Norijah di Sungai Nibong, Pulau Pinang, Taman Sultan Sallehuddin di Teluk Chengai, Kedah, Pusat Hemodialisis di Batu Pahat, Johor dan pembinaan Bazar Rakyat di lokasi terpilih di seluruh negara. 

Turut dilaksanakan juga adalah potongan cukai tidak melebihi 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi sumbangan wakaf tunai yang diberikan kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan universiti awam. 

Ketika ini kerajaan sedang membangunkan Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) bagi tempoh 2022 hingga 2030 untuk memperkasa dan merancakkan perkembangan wakaf di negara ini. 

Pelan ini mengambil kira pelbagai aspek ke arah menambah baik pengurusan hal ehwal wakaf termasuk merangka pelbagai inisiatif bagi melonjakkan sumbangan wakaf kepada kewangan sosial Islam. 

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa komited dalam mengembangkan inovasi wakaf di negara kita selaras dengan agenda tahun 2022 adalah tahun pemerkasaan institusi wakaf. 

Besar harapan saya agar masyarakat kita turut bersama-sama menyokong dan menyumbang kepada pembangunan wakaf di Malaysia.

YB SENATOR USTAZ IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 6/10/2022


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Agung menerima PM, buku b/Peguam Negara & Wakaf..

Insya Allah, al-hamdulillah!

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails