Saturday, October 22, 2022

A.Hadi calon Muhyiddin sebagai PM. Zahid putar belit.

 


1. Hadi mengaku gerakkan Langkah Sheraton, calonkan Muhyiddin sebagai PM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui beliau memulakan Langkah Sheraton, bertujuan menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) selepas PAS beranggapan gabungan itu sedang berusaha menghapuskan hak keistimewaan Melayu.

Presiden PAS itu berkata, ia berikutan protes besar-besaran ke atas cubaan PH meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Kuala Lumpur, sebelum ini.

Penyandang kerusi Parlimen Marang itu juga mengakui memulakan langkah bagi menghentikan rancangan PH dengan membincangkan kaedah menggulingkan gabungan berkenaan bersama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya bertemu UMNO bagi tujuan sama apabila Muhyiddin bersetuju, sebelum beliau kemudian mengumumkan BERSATU keluar daripada PH sejurus ketiga-tiga pihak mencapai konsensus mengenai perkara berkenaan.

"Ketika itulah saya mencadangkan beliau sebagai Perdana Menteri yang seterusnya. UMNO bersetuju dan Perikatan Nasional (PN) dibentuk bagi menggantikan PH. PN bukan kerajaan pintu belakang.

"Pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri diperkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika berucap pada Majlis Himpunan Penyatuan Ummah sempena Sambutan Ke-32 Pentadbiran Membangun Islam di Kota Bharu, Kelantan, malam tadi seperti dilapor portal Harakahdaily.

Pada Februari 2020, sekumpulan Ahli Parlimen PKR dilapor meninggalkan parti itu ekoran Langkah Sheraton, bertujuan menumbangkan PH selepas gabungan berkenaan menerajui kerajaan selama 22 bulan.

Sementara itu, Hadi mendedahkan, UMNO mahu PAS memutuskan kerjasama dengan BERSATU jika mahu Muafakat Nasional (MN) diteruskan, sejurus pemimpin UMNO menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan orang ramai supaya memilih pemimpin yang mampu menerajui pentadbiran negara berdasarkan prinsip Islam, serta bukan kerajaan yang hanya menabur pelbagai janji. (BH)


2. Dia jemput saya jumpa, bukan saya jemput dia”, Presiden PAS dedah Zahid putar belit fakta 

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memutarbelit fakta berhubung pertemuan mereka sebelum ini dengan mengatakan kononnya beliau yang meminta untuk berjumpa.

Abdul Hadi berkata, Presiden UMNO itu yang sebenarnya meminta untuk berjumpa dengan beliau bagi membincangkan bentuk kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun sebaliknya kata beliau, Ahmad Zahid menyatakan kepada media perkara yang tidak benar.

“Yang mutakhir dia jemput saya jumpa. Bukan saya jemput dia. Dia jemput saya jumpa.

“Dia sebut dalam media, saya minta nak jumpa dia… Terbalik, tapi tak apalah kita pergi,” katanya semasa berucap dalam Himpunan Penyatuan Ummah yang diadakan di Kelantan malam tadi, lapor Agenda Daily.

Beliau merujuk laporan media awal bulan ini mengenai pertemuan mereka yang mana Ahmad Zahid mengemukakan tiga syarat sekiranya Pas mahu menjalin semula kerjasama politik dengan parti itu.

Dalam laporan itu, Ahmad Zahid mendakwa Abdul Hadi yang hendak berjumpa dengannya bukannya beliau.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Ahmad Zahid memutarbelitkan cerita, kerana sebelum ini pernah didedahkan satu klip audio rakaman perbualan beliau dengan gurunya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Zahid pada awalnya menafikan rakaman tersebut palsu tetapi Anwar sebaliknya mengakui berhubung perbualan dalam klip audio tersebut yang merancang untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut pertemuan dengan Ahmad Zahid, Abdul Hadi berkata, Presiden UMNO itu memberinya kata dua sama ada memilih kerjasama dengan UMNO atau Bersatu.

Malah katanya, beliau diberi tempoh beberapa hari oleh Ahmad Zahid untuk membuat keputusan mengenainya.

“Bila pergi jumpa, dia beri syarat. Kalau nak masuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), mesti putus dengan Bersatu. Dia (Zahid) panggil hari Rabu, dia beri tempoh sehingga hari Jumaat pukul 12 malam. Ooh sedap, dia nak ajar kita Pas.

“Kita bincang-bincang takkan kita nak berpisah dengan Bersatu rakan kita yang pertama kita ajak. Sebab itu kita ajak, kita sama-sama perpaduan ummah mesti melibatkan semua bukan Pas dengan UMNO saja,” katanya lagi.

Selepas membuat pertimbangan susulan syarat diletak UMNO, Abdul Hadi berkata, Pas memilih untuk meneruskan kerjasama dengan Bersatu bersama-sama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan menolak Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

“Kalau Pas dengan UMNO sahaja bukan perpaduan ummah kerana ia mesti melibatkan semua.

“Akhirnya kita ambil keputusan, ringkas ceritanya kita tolak PH kita tolak BN kita bersama dengan Bersatu dengan rakan-rakan parti lain,” katanya lagi.

Hadi menjelaskan langkah menolak PH disebabkan terdapat parti dalam gabungan itu yang menolak Islam secara terang-terangan dan mahu Malaysia menjadi sebuah negara sekular dan liberal.

Sementara BN pula, Hadi menyifatkan UMNO masih terdapat pemimpinnya yang terpalit dengan kes rasuah dan masih tidak insaf.
....
https://wartarakyat.com.my

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment