Wednesday, October 12, 2022

'.. alih hakikat desakan UMNO punca bubar Parlimen'? & Fitnah.

 

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah

1. 'Tuduhan Ismail Sabri kepada PN, hanya mahu alih hakikat desakan UMNO punca bubar Parlimen'

KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mengaitkan pembubaran Parlimen dengan surat dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh 12 menteri Perikatan Nasional (PN), hanya untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah yang dihadapinya.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata beliau yakin rakyat mengetahui alasan sebenar mengapa Perdana Menteri mahu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.

Katanya, ia tidak lain adalah berpunca daripada tekanan dan desakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya ingin menjelaskan bahawa surat terbabit bertujuan bagi menyuarakan kebimbangan rakyat supaya PRU-15 tidak dilaksanakan dalam musim tengkujuh di mana berkemungkinan berlaku banjir.

"Sebaliknya pada masa ini, rakyat mahu kerajaan memberi sepenuh tumpuan kepada langkah pemulihan ekonomi, mengawal kenaikan harga barang dan menyediakan peluang pekerjaan," katanya menerusi kenyataan yang dikongsi menerusi Facebook.

Semalam, Ismail Sabri berkata, tindakan tidak wajar 12 menteri Kabinet mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong mencetuskan ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan yang diketuainya.

Perdana Menteri berkata, tindakan menteri terbabit jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata, bahkan sejak akhir-akhir ini ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, PN akan terus mendahulukan kepentingan rakyat, terutama dalam tempoh yang mencabar ini.

"Ini adalah antara sebab mengapa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melancarkan Skuad Prihatin Nasional khusus untuk berdepan bencana banjir ketika Majlis Pelancaran Jentera PN Pahang baru-baru ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan 12 menteri Kabinet daripada PN mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian gabungan itu menolak PRU-15 diadakan tahun ini.

Perkara itu disahkan beberapa menteri termasuk Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang menyatakan menteri daripada gabungan itu berpendirian kebajikan rakyat adalah perkara penting perlu diberikan tumpuan ketika ini.

BERITA BERKAITAN

2. Henti fitnah, menghina di medsos 

Foto daripada Facebook Ustaz Marzuk Shaary.

KUALA LUMPUR: Masyarakat khususnya netizen di negara ini diseru supaya menghentikan perbuatan memanipulasi media sosial (medsos) sebagai medium untuk menyebar fitnah, tohmahan dan kata-kata berbaur hinaan dan cacian terhadap sesuatu isu yang tular.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata media sosial seharusnya dijadikan medan penyebaran dakwah dan akhlak Islam.

“Ini mudah terjadi disebabkan sifat media sosial itu sendiri yang dapat menyembunyikan identiti seseorang melalui pelbagai tetapan seperti tanpa nama (anonymous) dan tanpa dilihat (unseen) serta boleh digunakan untuk mencipta pelbagai identiti palsu (fake account) yang tidak dikenali,” katanya ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1444H di sini hari ini.

Ahmad Marzuk berkata perkembangan itu menjadi virus yang amat bahaya dalam masyarakat terutama umat Islam dan mereka dilihat semakin jauh meninggalkan nilai akhlak Islam sebenar.

“Perbuatan menyebar fitnah di media sosial sama ada dalam bentuk penulisan mahupun ilustrasi dengan perkongsian maklumat tidak tepat berbaur provokasi dan penghinaan boleh mewujudkan budaya tidak sihat dalam kalangan masyarakat.

“Penentuan salah atau benar seseorang itu bergantung kepada penerimaan masyarakat, bukan lagi dinilai melalui syariat agama,” katanya.

Katanya fitnah kini menjadi norma baharu yang diterima umum, sedangkan ia mencerminkan keruntuhan akhlak masyarakat dan perlu dihentikan segera.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dinobatkan sebagai Tokoh Utama Maulidur Rasul Wilayah Persekutuan pada sambutan kali ini.

Alimuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) menerima anugerah tersebut atas khidmat bakti dan sumbangan signifikan beliau dalam memartabatkan syiar Islam dan pendidikan Islam di Malaysia khususnya di Wilayah Persekutuan, termasuk memperkenalkan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) serta mengkaji dan menaik taraf sukatan pelajaran peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Selain itu, pekerja am pembersihan Alam Flora Sdn Bhd, Arbaani Talib menerima Anugerah Tokoh Khas Individu atas dedikasi dan komitmen tinggi yang ditunjukkan beliau sepanjang menjalankan tugas yang tidak banyak diceburi atau dianggap remeh atau kotor oleh sebilangan masyarakat.

Anugerah Khas Kategori Organisasi pula diberikan kepada Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar (Kategori Masjid), Surau Putra Al-Amin, Putrajaya (Kategori Surau/Surau Jumaat), Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha, Labuan (Kategori Sekolah Menengah Kebangsaan), Sekolah Rendah Agama Salahuddin Al-Ayubi, Kuala Lumpur (Kategori Sekolah Rendah Agama) dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kuala Lumpur (Kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: '.. alih hakikat desakan UMNO punca bubar Parlimen'?  & Fitnah.

Renung baik-baik..

 Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment