Saturday, October 08, 2022

Ambil Peluang Bajet 2023 -Dr Samsuri. & AS dalang letupan gas..

 


1. Ambil peluang, manfaat daripada Bajet 2023 – Dr Samsuri

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru seluruh jentera kerajaaan negeri, sektor swasta dan rakyat negeri itu agar mengambil peluang dan manfaat daripada Bajet 2023.

“Terlebih dahulu saya ingin ucapkan terima kasih atas beberapa projek yang diumumkan untuk Terengganu antaranya SK Paya Dusun, PPR Marang, penanaman semula ladang Orang Asli di Kemaman, pengurusan sisa pepejal di Pulau Perhentian dan projek pemuliharaan sungai di Muara Sungai Merang,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, malam ini.

Menurutnya, Bajet 2023 juga telah memberikan perhatian serius untuk sektor pertanian terutamanya bagi membasmi kemiskinan, melindungi pesawah padi, meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, mengusahakan pertanian lestari, melaksanakan projek pertanian moden, memberi galakan kepada perniagaan dan usahawan pertanian serta membangunkan infrastruktur adalah sangat tepat dalam menangani isu sekuriti makanan di negara ini.

Selain itu, katanya inisiatif-inisiatif ini juga penting untuk Negeri Terengganu memacu sektor pertanian agar memberi sumbangan yang lebih signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus menjadikan negeri itu lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ketidaktentuan pada masa hadapan.

Tambahnya, pelbagai bantuan tunai yang akan diberi berserta dengan inisiatif untuk memberdaya golongan sasar adalah pendekatan yang sangat strategik untuk kebaikan jangka panjang para penerima.

“Kerajaan Negeri Terengganu menyambut baik pendekatan ini,” ujarnya lagi.

Beliau juga berharap, Negeri Terengganu diberi keutamaan untuk mendapat manfaat daripada dana yang disediakan bagi membiayai infrastruktur pelancongan serta bagi menggalakkan, mempromosi dan memasarkan produk pelancongan di negeri itu.

“Insya-Allah Belanjawan 2023 Terengganu Darul Iman yang akan dibentangkan pada penghujung November nanti pula akan memberikan keutamaan kepada tiga teras.

“Sekali lagi, terima kasih dan tahniah atas pembentangan Bajet 2023 yang menyeluruh. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati negara dan negeri kita,” katanya lagi.

Petang tadi, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat yang keseluruhannya berjumlah RM372.3 bilion. – HARAKAHDAILY 7/10/2022


2. AS dalang letupan saluran paip gas asli Nord Stream? 

Pihak berkuasa Norway mendakwa dron yang tidak dikenali dikesan terbang berhampiran lokasi saluran paip Nord Stream yang pecah, sehari sebelum kejadian pada 30 Sept 2022. (FOTO: Businessinsider)  

Banyak pihak menuduh Rusia bertanggungjawab di sebalik pengeboman saluran paip bawah lautan yang menhubungkan Rusia dan Jerman, di Laut Baltik pada 30 Sept 2022. (FOTO: The Australian)

NEW YORK: Dakwaan seorang profesor University of Columbia, di sini, yang mengandaikan Amerika Syarikat berkemungkinan telah mensabotaj saluran paip Nord Stream di Laut Baltik yang pecah akibat dibom baru-baru ini, kini telah menghalakan jarum syak wasangka dalang kejadian itu ke arah AS – bukan terhadap Rusia seperti yang didakwa sebelum ini.

Ketika muncul dalam wawancara dengan Bloomberg  TV pada Selasa (4 Okt) waktu tempatan, Prof Jeffrey Sachs melayangkan idea bahawa sepasang saluran paip gas asli – Nord Stream 1 dan 2 di bawah lautan yang menghubungkan luar pantai dari Vyborg di Rusia ke Greifswald di Jerman yang pecah dan bocor akibat suatu letupan kuat pada minggu lalu itu, adalah ‘strategi’ AS untuk mengadakan sekatan ekonomi terhadap Rusia. 

Siapakah dalang dan motif di sebalik kebocoran misteri Nord Stream kini menimbulkan banyak persoalan dan perbahasan. (FOTO: TRT World)

Kenyataan kontroversi Sachs itu menyebabkan hos program tersebut bertindak menamatkan siaran wawancara berkenaan dengan serta-merta, lapor New York Post.

Walaupun belum diketahui pihak mana sebenarnya yang bertanggungjawab dalam kejadian itu, yang menurut pegawai kerajaan Eropah merupakan ‘tindakan sabotaj yang disengajakan’,  namun pakar siasatan sebelum ini secara umumnya bersetuju bahawa Rusia adalah suspek utama.

Pengaruh NATO

“Terdapat banyak bukti bahawa pengeboman Nord Stream adalah operasi ketenteraan AS, mungkin dengan negara ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang lain,” kata Sachs kepada TRT World.

“Walaupun tiada yang pasti, bukti pada peringkat ini menunjuk ke arah AS sebagai punca paling mungkin di sebalik kejadian yang berlaku itu,” tambahnya.  

Selain Rusia, kemungkinan dalang yang mensabotaj Nord Stream kini dihalakan kepada Amerika Syarikat pula. (FOTO: YouTube)

Komen Sachs itu muncul apabila dia mengatakan bahawa naratif Barat tentang ‘serangan tanpa provokasi’ oleh Moscow ke atas Kiev adalah hujah yang ‘tidak kuat’. 

“Percubaan AS untuk membawa pengaruh NATO ke Ukraine dan Georgia adalah sebab utama perang tersebut,” tegas Sachs.

Sachs yang lebih daripada sekali telah dinamakan antara 100 pemimpin dunia paling berpengaruh oleh majalah berprestij, Time, memetik pelbagai bukti kenapa dia berhujah  bahawa AS adalah dalang yang mensabotaj Nord Stream. 

Prof Jeffery Sachs (kanan) ketika muncul dalam wawancara di Bloomberg TV pada 4 Oktober 2022 di samping hos program tersebut. (FOTO: Wionews)

“Pada awal Februari tahun ini, hampir tiga minggu sebelum serangan Rusia ke atas Ukraine, Presiden Joe Biden memberi amaran: “‘Kami (AS) akan menamatkan’ Nord Stream jika Rusia menggunakan kekuatan tentera terhadap Ukraine,” jelas Sachs.

Tambahnya, pada masa itu, Biden begitu yakin tentang saluran paip gas asli Rusia-Jerman itu sehingga dia menjawab soalan tentang bagaimana Nord Stream akan berakhir dengan cara yang jelas.

“Biden berkata, ‘saya berjanji kepada anda bahawa kami akan dapat melakukannya’. Ucapan  tahniah melalui Twitter oleh bekas Menteri Luar Polan, Radek Sikorsk pula berbunyi: ‘Terima kasih, Amerika Syarikat’ sudah tentu juga sangat tidak masuk akal,” tambah Sachs. 

Kebocoran saluran paip gas asli Nord Stream dikatakan tidak akan pernah menguntungkan Rusia. (FOTO: Protothema.gr)

Tetapi bukan itu sahaja, ujarnya lagi bahawa terdapat banyak laporan pesawat AS terbang di ruanh udara Nord Stream beberapa jam sebelum letupan itu berlaku. 

“Saya tidak boleh mengesahkan dakwaan ini secara bebas, tetapi ia diperkatakan secara meluas,” ujar Sachs lagi.

Terdahulu, Moscow menafikan meletupkan saluran paip Nord Stream yang menyebabkan bekalan gas Rusia ke negara-negara seperti Jerman tidak dapat beroperasi, yang mana ia sebenarnya adalah sumber pendapatan penting untuk Kremlin. 

Saluran paip gas asli bawah laut sepanjang 1,224 kilometer ini menghubungkan antara bahagian luar pantai dari Vyborg di Rusia ke Greifswald di Jerman. (FOTO: Gulf News)

“Ironinya, jika Rusia meletupkan Nord Stream, ia  tidak akan menguntungkan Rusia, jadi tiada alasan rasional kenapa Kremlin mahu memusnahkannya,” kata Sachs. 

Mengulas lanjut, ujarnya, terdapat sedikit kemungkinan jika ada negara selain AS yang mempunyai keupayaan (dan motivasi) untuk meletupkan saluran paip gas asli berkenaan. 

“AS juga mempunyai rekod prestasi memusnahkan infrastruktur negara lain, termasuk saluran paip Soviet pada 1980-an,” tegas Sachs.

Kebenaran dalam keraguan

“Selepas sebanyak empat letupan berlaku menyebabkan Nord Stream pecah dan bocor, media Barat menerbitkan cerita yang menuding jari kepada Rusia kerana mensabotaj saluran paip berkenaan. 

“Namun sejak awal lagi, kedua-dua media dan pemimpin Barat serta Rusia bersetuju bahawa kebocoran saluran paip Nord Stream itu berlaku adalah kerana sabotaj dan bukan secara tidak sengaja,” ujar Sachs.

Presiden Rusia, Vladimir Putin menafikan Rusia mensabotaj Nord Stream tetapi mendakwa ia adalah angkara sabotaj Barat (FOTO: Edules)

Tambahnya, media Barat ingin menyelaraskan dengan naratif AS mengaitkan Rusia dengan sabotaj terhadap Nord Stream, tetapi ‘fakta perkara itu berlaku di seluruh dunia apabila saya bercakap dengan orang ramai, mereka fikir AS melakukannya’,”  kata Sachs semasa tampil dalam wawancara dengan Bloomberg, sehingga mengejutkan hos program itu.

Dalam pada itu, Gregory Simons, seorang profesor bersekutu di Institut Kajian Rusia dan Eurasia di Universiti Uppsala, adalah antara pakar akademik yang memilih untuk meragui dakwaan Barat berhubung dengan konflik Ukraine, berikutan pepatah terkenal ahli falsafah Perancis, Rene Descartes bahawa “Untuk mencari kebenaran, adalah perlu sekali dalam perjalanan hidup kita untuk meragui, sejauh mungkin, tentang semua perkara.” 

Dua kebocoran dikesan berlaku terhadap Nord Stream pada 30 Sept 2022 yang kini menimbulkan spekulasi siapakah dalangnya. (FOTO: YouTube)

“Jika seseorang melakukan analisis kaitan kos-manfaat tentang siapa yang mendapat manfaat, hanya ada satu penerima yang jelas, terutamanya berdasarkan masa, yang bukan kebetulan,” kata Simons kepada TRT World, merujuk kepada AS. 

“Masa letupan (di Nord Stream) berlaku adalah apabila terdapat perbincangan oleh Jerman untuk melunakkan pendiriannya terhadap sekatan Rusia sebagai balasan untuk gas asli,” jelasnya.

Simons percaya Jerman tiada kepentingan membuat perancangan mensabotaj Nord Stream, kerana ia bukan untuk kepentingan negara itu yang ketika ini berdepan dengan ketidakpuasan yang semakin bertambah dalam kalangan rakyatnya terhadap perkembangan ekonominya, khususnya impak kekurangan tenaga, selain bakal enghampiri musim sejuk. 

“Keganasan polis terhadap orang awam hanya akan berlaku sebelum kos melebihi sebarang faedah daripada langkah keras dan paksaan untuk kekal selaras dengan kepentingan AS,” katanya. 

Beliau  juga mempersoalkan bagaimana kejadian itu akan memberi manfaat kepada kepentingan Rusia. 

Simons menarik perhatian kepada fakta bahawa letupan berlaku di perairan wilayah Denmark dan Sweden, dan bukannya lebih dekat dengan Rusia, bermakna ia secara operasi akan lebih berisiko untuk Moscow. 

“Perlu ingat orang Rusia boleh ‘menamatkan aliran gas’  jika mereka mahu menghukum Barat,” katanya. 

“Dalam situasi letupan Nord Stream ini, Rusia telah kehilangan manfaat  ke atas Jerman dan Kesatuan Eropah (EU) kerana ia tidak dapat membekal atau menghalang gas melalui operasi saluran paip itu. Ia akan menjadi langkah bodoh jika Rusia yang mensabotaj Nord Stream,” hujahnya lagi.

Sejarah AS dan Nord Stream

Membuka semula lipatan sejarah, AS lebih kepada melihat bahawa Nord Stream sebagai lanjutan pengaruh Rusia ke atas Eropah melalui Jerman. 

Pada 2014, bekas Setiausaha Negara AS, Condoleeza Rice, secara terbuka menyatakan AS berusaha untuk mengurangkan pergantungan Eropah pada platform tenaga Rusia dan sebaliknya, meningkatkan pergantungan benua itu pada platform Amerika. 

Kebocoran saluran paip gas asli Nord Stream di Laut Baltik telah menghasilkan pelepasan gas rumah hijau dalam jumlah yang besar. (FOTO: Grid News)

Menariknya, dengan perang Ukraine, senario Rice telah sebahagiannya menjadi kenyataan apabila banyak negara Eropah mula berpindah dari Rusia ke AS, justeru letupan Nord Stream baru-baru ini mungkin mempercepatkan lagi proses berkenaan.

“Ini juga peluang yang besar,” kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, merujuk kepada dakwaan sabotaj Nord Stream dan bagaimana Eropah boleh berpindah dari Moscow ke Washington untuk bekalan gas mereka, pada Jumaat (30 Sept) lalu dalam satu sidang akhbar.

Selepas letupan yang merosakkan saluran paip Nord Stream, tiga negara –  Jerman, Sweden dan Denmark bergerak bersama-sama membentuk unit siasatan bersama untuk menyiasat punca letupan.

“Sudah tentu, kita harus mempunyai fikiran terbuka dan siasatan terbuka dan telus, tetapi itu tidak mungkin dalam keadaan itu. Sekurang-kurangnya masyarakat dunia harus mendesak untuk siasatan terbuka sedemikian,” tegas Sachs lagi kepada TRT World.

“Kemusnahan (kebocoran) saluran paip Nord Stream menimbulkan ancaman besar kepada keamanan dunia (susulan pelepasan gas rumah hijau dalam jumlah yang besar), dan ia segera  harus disiasat hingga ke akar umbi,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2022

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails