Tuesday, November 01, 2022

“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah.."

 


1. Lebah dalam Al Quran..

Lebah merupakan salah satu binatang yang Allah sebut di dalam kalam-Nya. Ini boleh dilihat pada surah an-Nahl, ayat 68, Allah berfirman yang berbunyi begini: 

“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: “Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia.” 

Didalam surah an-Nahl, Allah telah menceritakan tentang kisah lebah. Lebah merupakan makhluk Allah yang akan memberi banyak manfaat kepada manusia dan juga alam walaupon saiz badannya kecil.

Didalam surah an-Nahl, ayat 69 pula, Allah menceritakan tentang manfaat cairan (madu) yang terhasil dari perut lebah. Firman Allah yang berbunyi begini:

“Dari perut lebah itu keluarlah minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat, yang menyembuhkan bagi manusia.  Sesungguhnya pada  yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.” (Surah an-Nahl, ayat 69)

Lebah merupakan binatang yang menghasilkan madu. Sudah Allah nyatakan didalam al-quran dimana madu merupakan penawar kepada pelbagai penyakit. Malah, rasanya yang yang sedap dan manis memudahkan kita untuk memakan madu. Antara khasiat madu adalah meningkatkan sel darah merah, melembapkan kulit dan menjadi penawar kepada masalah batuk.

Dizaman serba moden ini, madu turut dijadikan bahan dalam produk-produk kecantikan. Hal ini kerana, madu terbukti terkandung dengan pelbagai vitamin dan khasiat untuk kegunaan luaran dan dalaman manusia.

Makhluk Allah yang rajin dan bersungguhan

Allah SWT menciptakan lebah sebagai makhluk yang kecil, namun semangat dan kesungguhan ia bekerja cukuplah hebat.  Seekor lebah mampu melawat sekurang-kurangnya 50,100 kuntum bunga dalam masa sehari. Jika dikira pada kumpulan lebah dari sarang yang sama, mereka boleh melawat sehingga 22,500 kuntum bunga hanya dalam masa sehari.

Bayangkanlah bagaimana lebah bekerja. Kesungguhan mereka berkerja tiada tandingan dan mereka bergerak semua atas aturan Allah. Didalam satu paun madu, lebah-lebah ini perlu mencari 2 juta kuntum bunga. SubhanAllah, lebah sememangnya ciptaan Allah yang hebat.

2. Saintis dapati lebah mampu bersukan 
Penyelidik dari Queen Mary University of London, Samadi Galpayage memaklumkan kumpulan lebah itu dilihat mendekati dan bermain dengan bola kecil itu berulang kali. - Unsplash

LONDON: Sekumpulan penyelidik menjalani kajian terhadap seekor lebah dan mendapati serangga itu berkebolehan bermain ‘bola sepak’.
Memetik laporan portal The Sun, kajian dijalankan terhadap beberapa ekor lebah dengan sebiji bola kecil.
Suatu yang mengejutkan apabila penyelidik mendapati beberapa ekor lebah dilihat menolak sebiji bola berulang kali walaupun tidak mempunyai tujuan untuk bertindak demikian.
Sama seperti permainan bola sepak antara manusia, lebah muda dilihat lebih sibuk ‘bermain bola’ berbanding serangga yang lebih tua dengan mengerumuninya sebanyak 117 kali.
Ujian seterusnya mendapati lebah memilih untuk pergi ke arah bola berbanding makanan.
Penyelidik dari Queen Mary University of London, Samadi Galpayage berkata, kumpulan lebah itu dilihat mendekati dan bermain dengan bola kecil itu berulang kali.
Kajian juga menunjukkan walaupun lebah memiliki saiz dan otak yang kecil, ia lebih bijak daripada makhluk robot yang kecil.
3. Mahkamah beri perlindungan kepada lebah California   
Lebah California mendapat perlindungan di bawah Akta Haiwan Terancam. - Gambar hiasan
LOS ANGELES: Sebuah mahkamah rayuan di California baru-baru ini telah memutuskan lebah boleh mendapat perlindungan sebagai haiwan terancam seperti mana ikan dan burung.
Keputusan itu yang dikeluarkan pada 31 Mei lalu mengubah penghakiman terdahulu yang mendapati lebah tidak boleh dianggap sebagai hidupan terancam di bawah Akta Spesies Terancam California.
Sebelum ini sebuah mahkamah rendah membuat keputusan yang memihak kepada kepentingan pertanian dengan berhujah Akta Spesies Terancam negeri hanya melindungi burung, mamalia, ikan, amfibia, reptilia termasuk tumbuhan dan bukannya lebah.
Keputusan terbaharu ini adalah kemenangan bagi kumpulan alam sekitar serta Suruhanjaya Ikan dan Mergastua negeri yang telah mendesak untuk menyenaraikan empat spesies lebah sebagai serangga terancam.
Mahkamah itu juga membenarkan suruhanjaya tersebut untuk menyenaraikan spesies invertebrata seperti lebah sebagai terancam walaupun ia bukannya haiwan akuatik.
4. Puluhan penguin ditemui mati akibat disengat lebah 
Penguin Afrika diklasifikasi sebagai spesies terancam dengan hanya kira-kira 50,000 ekor di seluruh dunia. - Gambar hiasan
SEBANYAK 63 penguin Afrika ditemukan mati akibat diserang sekawan lebah di selatan Cape Town, kata Persatuan Pemuliharaan Burung.
Ini kali pertama kejadian seumpamanya berlaku di Pantai Boulder, kawasan yang sering dikunjungi pengunjung.
Bangkai penguin bersama lebah dijumpai di pesisir pantai Bandar Simon, pada Isnin.

Bedah siasat yang dilakukan hanya menemukan kesan disengat lebah pada bangkai penguin di bahagian mata dan sayap sirip.
Seekor penguin didapati disengat sebanyak 27 kali.
Penguin Afrika diklasifikasi sebagai spesies terancam dengan hanya kira-kira 50,000 ekor di seluruh dunia.
Siasatan berhubung kejadian masih dilakukan pegawai daripada Agensi Taman Negara Afrika Selatan (SANParks) masih lakukan dan menyatakan lebah selalunya tidak akan menyerang penguin.
"Selalunya penguin ini akan hidup bersama lebah dan sifat lebah ini ia tidak akan menyerang tanpa sebab.
"Mungkin sarangnya diganggu menyebabkan ia menjadi agresif," kata seorang ahli biologi marin yang bertugas di SANParks, Dr Alison Kock kepada portal berita BBC.
Jumaat lalu seekor penguin Afrika ditemukan mati akibat disengat lebah di Cape Town.
Sebelum ini, tujuh ekor penguin Afrika dijumpai mati di Pusat Akuarium Florida, Amerika Syarikat namun punca kejadian masih belum diketahui.
5. Saintis Belanda latih lebah kesan COVID-19  
InsectSense telah mengembangkan mesin prototaip yang dapat melatih lebah untuk mengesan virus, dan diharap dapat digunakan di negara-negara berpendapatan rendah. - Gambar hiasan
KEMELUT pandemik yang mencengkam dunia sekarang ini membuka kepada pelbagai peluang dan kemungkinan baharu dalam dunia penyelidikan di makmal sains.
Terbaru, sekumpulan saintis Belanda mengharapkan hasil daripada kumpulan 'sukarelawan' unik untuk membantu umat manusa yang berdepan COVID-19, iaitu dengan melatih lebah bagi mengesan virus korona menerusi ujian rapid.
Penyelidik teknologi serangga yang baru memulakan start-up InsectSense dengan kerjasama Wageningen University di Belanda mengumumkan mereka telah melatih lebih 150 lebah untuk mengenal pasti sampel yang mengandungi virus COVID-19 berdasarkan bau.
Dalam eksperien itu, kumpulan lebah berkenaan diberi larutan air gula setiap kali ia terkena sampel yang dijangkiti.
Kerana kepekaan lebah terhadap bau, serangga istimewa itu dapat dilatih hanya dalam masa beberapa minit untuk mengesan volatil dan bau, kemudian mengaitkan larutan dengan sampel positif.
Para saintis menyatakan bahawa latihan itu menunjukkan hasil yang sangat positif.
Menurut siaran akhbar, InsectSense telah mengembangkan mesin prototaip yang dapat melatih lebah untuk mengesan virus, dan diharap dapat digunakan di negara-negara berpendapatan rendah.
"Bukan semua makmal memiliki kepakaran, terutama di negara berpendapatan rendah," kata Wim van der Poel, seorang profesor di Universiti Wageningen, kepada The Washington Post.
"Lebah boleh didapati di mana-mana, dan pengendaliannya juga tidak terlalu rumit," tambahnya.
Walaupun hasil kajian tersebut belum diterbitkan dalam jurnal, Van der Poel yakin saringan COVID-19 menggunakan dapat mencapai kadar ketepatan sekitar 95 peratus dengan menggunakan beberapa ekor bagi setiap sampel.
Penyelidikan mengenai lebah dijalankan selepas beberapa agensi merekrut anjing bagi membantu dalam ujian saringan COVID-19, termasuk NASCAR.
Seorang jurulatih dari Thailand yang mengetuai salah satu program rekrut anjing memaklumkan haiwan tersebut dapat melakukan pengesanan dengan ketepatan 95 peraus dalam jangka masa enam bulan.
6. Lebah juga tinggalkan desa, kini bersarang di aras bumbung kota New York! 
Andrew Cote dan seorang penternak sibuk memasang kotak sarang lebah madu di atas aras bumbung sebuah bangunan yang dilatari barisan pencakar langit bandar raya New York. - Reuters
KOTA konkrit New York yang serba penuh dengan bangunan tinggi dan sentiasa dalam keadaan hiruk-pikuk mungkin dianggap lokasi yang tidak mesra lebah.
Namun, dalam situasi ancaman penggunaan racun serangga di kawasan ladang dan desa, para pembuat madu yang bersayap ini sedia untuk berhijrah ke bandar.
Kira-kira 2.4 juta lebah madu Itali ditempatkan di dalam sebuah van untuk dibawa berpindah ke rumah baharu pada Jumaat lalu. Van itu kemudiannya diletakkan berdekatan Dakota Apartments di Central Park, iaitu lokasi yang antara penghuninya sejak tahun 1973 ialah balu mendiang John Lennon, Yoko Ono.
“Ini tahun pertama kami melakukan ini di luar The Dakota. Kami dengar Yoko suka madu,” ujar Presiden Persatuan Penternak Lebah New York, Andrew Cote. 
Cote menunjukkan antara kotak sarang lebah yang dibekalkannya kepada pembeli berminat. - Reuters
Cote, yang merupakan pengasas Andrew’s Honey, memandu dari Georgia untuk menghantar lebah-lebah itu. Van yang dipandunya itu membawa 200 pakej kotak kayu dan skrin, yang setiap satunya mengandungi 12,000 lebah.
Di lokasi yang dijanjikan, para penternak lebah berbaris untuk mengambil pakej kotak yang ditempah dari Cote. Setiap satunya berharga antara AS$159 (RM658) atau AS$205 (RM848), bergantung kepada masa tempahan dibuat.
"Lebah-lebah ini dijual mengikut berat, sama seperti keju,” ujarnya.
Beberapa pembeli menyimpan kotak sarang itu di dalam beg, manakala Ray Sage mengikat dua kotak lebah yang dibeli ke basikalnya untuk dibawa pulang ke bahagian Lower East.
"Saya perlu mengayuh basikal dengan perlahan dan berhati-hati,” kata Sage. 
Semakin ramai warga New York kini berminat untuk menjadi penternak lebah urban. - Reuters
Bilangan penternak lebah urban kian bertambah, dengan kebanyakan sarang lebah kini ditempatkan di aras bumbung pencakar langit atau bangunan pejaba, kata Cote.
Pihak berkuasa New York telah meluluskan ternakan lebah pada 2010 dan sejak itu ratusan sarang telah didaftarkan, menurut Jabatan Kesihatan.
Populasi lebah di seluruh dunia merekodkan pengurangan ketara, dengan sebahagiannya disebabkan penggunaan racun serangga dan bahan kimia yang meluas di kawasan luar bandar.
Selain itu, kekurangan jenis tanaman yang pelbagai juga membuatkan lebah-lebah tidak mendapat cukup sumber untuk hidup dan menghasilkan madu.
“New York pula tidak mempunyai masalah tersebut, menjadikannya habitat yang sihat untuk lebah,” ujar penduduk Bronx, Alan Markowitz.
Markowitz yang juga penternak lebah, menjalankan aktiviti tersebut di taman komuniti La Finca del Sur, iaitu kawasan yang dikelola kumpulan wanita bukan kulit putih.
"Satu per tiga daripada apa yang anda masukkan ke dalam mulut memerlukan ejen pendebungaan. Di dalam kota, percaya atau tidak, lebah boleh hidup dengan baik kerana secara umumnya kurang penggunaan racun serangga.,” jelasnya.
(IH)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Lebah juga berzikir kepada Allah SWT. Apabila lebah melakukan tabi'e dalam kehidupannya seperti yang Allah perintahkan, bererti ia sedang berzikir. Bunyi muzik geselan rumpunan pohon bambu ditiup angin di belantara juga adalah zikir.
Manusia yang tidak patuh kepada apa yang Allah SWT perintahkan, bererti kehidupannya lebih hina dari binatang lebah dan rumpunan bambu tersebut. Umpamanya, manusia Muslim diperintahkan membantu perjuangan Islam dan kebenaran ummat, tetapi tidak diindahkan, juga lebih hina lagi.
Undi PAS dan perjuangan menegakkan negara Islam adalah fardhu 'ain setiap Muslim, selagi negara Islam belum tertegak. Berdosalah umat Islam selagi negara Islam tidak tertegak di negaranya sendiri.
Sekian.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails