Thursday, October 27, 2022

Deepavali, Rasulullah & Dr Balachandran. Firdaus Wong & Botak Chin.

 


1. Mungkin ini sisi PAS belum ramai orang tahu

KUALA LUMPUR: “Mungkin ini sisi PAS yang belum ramai orang tahu,” ujar Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menerusi catatan di laman Facebook semalam, beliau memetik ucapan ringkas Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Dr Balachandran Gopal Krishnan dengan tajuk ‘Orang INDIA Ajak Kita Hayati Sirah Rasul SAW’.

Dalam ucapan sempena Deepavali, Dr Balachandran dipetik sebagai berkata: “Rasulullah SAW berperanan sebagai ketua negara yang memimpin Madinah dalam keadaan berbilang kaum”.

“Beliau juga merupakan Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) kepada YAB Menteri Besar Terengganu.

“PAS membuka ruang kepada orang bukan Islam yang ingin bersama berjuang,” kata Tuan Ibrahim.

Menurutnya, mereka diberikan kedudukan khas dalam Dewan Himpunan Pendukung PAS (dulu Kelab Penyokong PAS) dengan jumlah keahlian lebih kurang 60,000 orang.

Tambahnya, ramai ahli DHPP juga secara sukarela belajar Sijil Asas Kefahaman Islam di Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM).

Katanya lagi, Pengerusi DHPP ialah Balasubramaniam yang dilantik sebagai Senator Dewan Negara.

Pada PRU14 lalu, ujarnya seramai 17 orang ahli DHPP dipilih untuk menjadi calon PAS antaranya Kong Tuck Wah (Rawang), M Yougan (Kampar) dan G.S Santokh Singh (Pandamaran).

Tambahnya, salah seorang pegawai khas kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah juga adalah ahli DHPP iaitu R Kumutha.

“Walau bagaimanapun, beliau telah meninggal dunia kerana komplikasi Covid-19. Mendiang merupakan Ketua Wanita DHPP dan ahli PAS sejak 2008 yang sangat kuat bekerja.

“Beliau turut pernah dinobatkan sebagai Wanita Cekal PAS pada tahun 2018,” ujarnya yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air. – HARAKAHDAILY 25/10/2022

2. Saya berbangsa Cina dan berasal dari Jinjang Utara - Firdaus Wong

APABILA disebut Jinjang, ramai yang gerun kerana dikatakan salah seorang gangster paling ganas Malaysia iaitu Botak Chin bersama sekutunya menjadikan Jinjang sebagai tempat persembunyiannya.

Di Jinjang juga terdapat beberapa kumpulan  gangster Cina sewaktu saya membesar di situ. Adalah sesuatu yang biasa melihat budak-budak Cina Jinjang menggunakan perkataan kesat dan sumpah seranah ketika berborak apatah lagi ketika bertengkar.

Malahan tidak keterlaluan jikalau saya katakan bahawa perbualan itu jadi lebih ‘mesra’ apabila perkataan kesat dijadikan imbuhan tambahan awalan, akhiran, apitan dan sisipan.

Sudah tentu saya yang membesar dengan dikelilingi kawan-kawan Cina dan menonton drama serta filem Hong Kong juga tidak terkecuali menggunakan perkataan seumpama itu. Sumpah seranah dan berkata kesat dah jadi seperti santapan harian. 

Jiwa seperti kekosongan andai tidak sumpah seranah atau berkata kesat di kalangan sahabat-sahabat saya. 

Saya juga perasan orang Melayu tidak mempunyai banyak kata-kata kesat yang 100 peratus berasal dari Bahasa Melayu kerana majoriti perkataan kesat yang digunakan orang Melayu adalah dari Bahasa Cina atau Tamil atau Inggeris yang telah dimelayukan.

Barangkali orang Melayu diajar dengan adab Islamiah maka jikalau mereka terasa nak marah atau memaki, mereka akan berlapik dan gunakan bahasa yang lebih sopan seperti;

“Bertuah punya budak.”

“Kurang asam.”

“La Illaha illalah.” (Tapi budak bukan Melayu sebut La Illala sahaja sebab tak faham)

Tetapi selepas memeluk Islam dan mula belajar mengenai adab dan akhlak dalam Islam, saya belajar menahan diri dari menggunakan perkataan kesat dan kasar walaupun perkataan seperti itu telah sebati dengan hidup saya. Kenapa?

Kerana bila saya memeluk Islam, saya perlu ikut ajaran Islam bukannya Islam kena ikut saya. Sehinggakan sahabat-sahabat saya yang belum Muslim yang telah lama mengenali saya perasan saya tidak lagi sumpah seranah dan berkata kesat. Mereka kenal dan tahu level sumpah seranah saya dulu.

Saya tidak boleh menggunakan alasan bahawa saya berasal dari Jinjang dan adalah biasa untuk saya sumpah seranah dan gunakan perkataan tidak elok maka is ok untuk saya terus menggunakan hari ini dalam kehidupan seharian. 

Bayangkan pula kalau saya berceramah di dalam surau dan masjid tetapi sumpah seranah dan berkata kasar dan kesat? Saya tak boleh menjustifikasi tindakan saya itu kerana Nabi diutuskan untuk menyempurnakan akhlak:

“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

[Hadis Riwayat Ahmad (2/381)]

Islam tidaklah menghalang budaya dan adat resam dan malahan meraikannya selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Bagi diri saya dan sahabat-sahabat yang beragama Islam, perkataan kita adalah cerminan akhlak kita. 

Kita tundukkan akal dan hawa nafsu kita pada perintah Allah dan RasulNya bukannya menjustifikasi atau menukar perintah Allah dan RasulNya untuk disesuaikan dengan hawa nafsu kita.

Tak mampu berkata baik, kita diam sahaja. Islam dah ada guideline yang jelas kita follow je.

FIRDAUS WONG WAI HUNG 
Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) – HARAKAHDAILY 27/10/2022 

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Deepavali: Rasulullah SAW & Dr Balachandran. Firdaus Wong & Botak Chin. 

Kisah-kisah di atas menggambarkan bahawa agama Islam bukan hanya milik dan monopoli bangsa Melayu saja, terutama di Malaysia. Kerana Islam adalah agama sejagat, bahkan boleh diperkatakan atau didakwahkan kebenarannya oleh kawan-kawan kita yang bukan dan belum Islam. Sama juga seperti yang Islam Firdaus Wong, menceritakan mengenai Botak Chin seorang gangster ganas.

Syabas Dr Balachandran teruskan menyampaikan Islam atau berdakwah walaupun masih belum Islam.

Sekian.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment