PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sementara hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala hari pengundian awal ialah pada 15 November ini.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Menara SPR, dekat sini, sebentar tadi.
Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula 5 November bagi semua calon dan parti politik bertanding hingga jam 11.59 malam, 18 November.
Katanya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah juga akan diadakan serentak bagi mengisi kekosongan kerusi terbabit.
"Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU15 dan PRK DUN Bugaya, Sabah adalah daftar pemilih terkini hingga daftar pemilih tambahan pada Ogos 2022 yang dikemaskini hingga 9 Oktober 2022 membabitkan 21,173,638 pemilih.
"Ia membabitkan 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 anggota tentera serta pasangan, 118,794 polis serta pasangan termasuk anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara," katanya.
Pada masa sama, Abdul Ghani berkata, PRU15 diadakan bagi mengisi kekosongan 222 kerusi Parlimen, serta 42 kerusi Dewan Negeri Pahang, 15 kerusi DUN Perlis, dan 59 kerusi Dewan Negeri Perak.
Abdul Ghani berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara sudah dibuka bermula daripada 10 Oktober lalu untuk PRU15 dan daripada 13 Oktober bagi PRK DUN Bugaya, Sabah.
Tarikh tutup permohonan adalah 2 November bagi kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media.
"23 Oktober pula adalah tarikh tutup bagi kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan 26 Oktober membabitkan kategori 1C iaitu agensi dan organisasi," katanya.
Abdul Ghani berkata, seramai 363,515 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU15 dan PRK DUN Bugaya Sabah.
Sebanyak 8,958 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi atau saluran dan 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 970 tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan.
"Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 9,536 buah dengan 39,318 tempat mengundi atau saluran.
"PRU-15 dan PRK DUN Sabah ini dianggarkan memerlukan peruntukan RM1.01 bilion," katanya.
Terdahulu, Abdul Ghani berkata, SPR sudah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung pengisytiharan pembubaran Parlimen penggal ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Oktober lalu.
Beliau berkata, SPR juga menerima surat pemakluman berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-14 bagi tiga negeri iaitu Pahang dan Perlis bertarikh 14 Oktober serta Perak pada 17 Oktober lalu oleh Yang Dipertua DUN masing-masing.
"Seterusnya pemakluman rasmi juga telah diterima daripada Yang Dipertua DUN Sabah setelah Proklamasi Darurat (No.3) dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.3) dibatalkan, mengenai kekosongan bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri Bugaya, pada 12 Oktober lalu," katanya
Tiga negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan serta tiga lagi negeri ditadbir PAS, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu sebelum ini memutuskan untuk mengadakan pilihan raya DUN masing-masing tahun depan.
Enam negeri berkenaan menyumbang keseluruhan 245 kerusi DUN.
Bagi 239 lagi kerusi DUN di Sabah, Sarawak, Johor dan Melaka pula, semuanya tidak akan dipertandingkan memandangkan negeri itu baru selesai mengadakan PRN.
Pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.
Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada jam 3 petang.
Pembubaran kira-kira sembilan bulan sebelum penggal Parlimen Ke-14 berakhir pada 15 Julai 2023, sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai PRU15.
Ismail Sabri memaklumkan, beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Agong tengah hari 9 Oktober bagi menyembah warkah permintaan kepada baginda mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.
Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat bagi tiga kawasan pilihan raya, iaitu Parlimen Grik di Perak, Batu Sapi di Sabah serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya juga di Sabah.
Pembatalan itu membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sepatutnya diadakan pada 2020, tetapi ditangguhkan bagi mengekang penularan COVID-19, dilaksanakan serentak dengan PRU kali ini.
Seiring peningkatan jumlah daftar pemilih SPR bagi PRU15 susulan pengenalan Undi 18 dan daftar pemilih automatik, tempoh mengundi rasmi juga dilanjutkan sehingga jam 6 petang, berbanding 5 petang pada pilihan raya sebelum ini.
No comments:
Post a Comment