Wednesday, October 05, 2022

Sekat sesawang pedofilia, pornografi. & bongkar lombong haram.

 


1. 400 laman sesawang pedofilia, pornografi disekat

KUALA LUMPUR: Sebanyak 400 laman sesawang berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak berjaya disekat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) setakat Ogos lalu.

Tindakan itu melalui kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan SKMM adalah usaha untuk mewujudkan medium tindakan sekatan terhadap media sosial yang tidak selamat dengan lebih cepat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata kerajaan berusaha dengan pelbagai cara untuk membendung jenayah pedofilia dan pornografi kanak-kanak melalui media sosial.

Bagaimanapun, katanya usaha itu bukan semata-mata tanggungjawab kementerian, malah perlu ditangani bersama oleh ibu bapa, keluarga dan komuniti.

“KPWKM juga memperkukuhkan usaha menangani isu ini melalui kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak).

“Kita juga mengadakan forum melalui program media untuk memberi kesedaran kepada kanak-kanak mengenai pengaruh media sosial,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar (BN-Lenggong) di Dewan Rakyat, hari ini.

Shamsul meminta penjelasan KPWKM, iaitu sama ada kerajaan berpuas hati dengan usaha dan pencapaian setakat ini dalam membendung gejala pedofilia dan pornografi membabitkan kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun.

Menjawab persoalan itu, Siti Zailah berkata, KPWKM semestinya tidak berpuas hati selagi gejala dan jenayah berkenaan tidak dibanteras.

Menurutnya, antara pendekatan KPWKM untuk mencegah jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak adalah melalui program advokasi, pencegahan, intervensi dan perkhidmatan sokongan sosial.- HARAKAHDAILY 5/10/2022


2. Teknologi moden bongkar perlombongan haram NR-REE di Kedah 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR: Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Sistem Pemantauan Hutan Menggunakan Penderiaan Jauh (FMRS) berjaya membantu membongkar aktiviti perlombongan haram nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bernilai jutaan ringgit di Sik, Kedah.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kegiatan di Hutan Simpan Bukit Enggang dikesan melalui paparan imej yang jelas menggunakan GIS dan FMRS, selain aduan orang awam kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.

Katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah kemudian menyerbu lokasi itu dan menahan warga asing yang disyaki terbabit dalan aktiviti itu.

“Bukan GIS tidak berjaya, tetapi ada kemungkinan tidak berkesan sepenuhnya apabila imej tidak dapat dikesan kerana faktor seperti mungkin dilitupi pokok kanopi tebal dan sebagainya.

“Di Sik, aktiviti perlombongan dibuat dalam keadaan camouflage (penyamaran). Khemah yang digunakan tidak ada beza dengan hutan. Kabin yang dibina menggunakan warna hijau. Namun GIS membantu (mengesan) walaupun tidak sepenuhnya,” katanya menjawab soalan tambahan Wong Tack (PH-Bentong) di Dewan Rakyat, hari ini.

Wong meminta Kementerian Tenaga dan Sumber ASli (KeTSA) menjelaskan faktor kerajaan masih menggunakan GIS jika dikatakan tidak berkesan sepenuhnya.

Sementara itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) meminta penjelasan KeTSA berhubung tindakan selanjutnya terhadap pihak yang terbabit dalam kegiatan perlombongan haram NR-REE di Hutan Simpan Bukit Enggang.

Takiyuddin berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menahan seorang warga China di tempat kejadian dan menyita peralatan perlombongan pada 28 September lalu.

Ketika tangkapan dibuat di kawasan hutan terpencil, katanya Jabatan Perhutanan Negeri Kedah turut menemui pelbagai NR-REE bernilai jutaan ringgit.

“Kerajaan amat serius dalam usaha membanteras pembalakan haram dan perlombongan haram. Jadi, inilah tindakan dan hasil yang telah dibuat oleh kerajaan dan agensi terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sekat sesawang pedofilia, pornografi. & bongkar lombong haram. 

Ini antara pemimpin-pemimpin yang aktif bekerja dan tidak mandom. Serlahkan mereka..

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails