Friday, October 28, 2022

Tawaran baru BN, atau tolak calon 'sudah tertolak'? PN sasar Pahang.

 


1. Tawaran baharu politik negara

KUALA LUMPUR: Bagi menyesuaikan landskap politik semasa, parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) dilihat mengemukakan tawaran-tawaran baharu yang bukan saja memperjuangkan kepentingan rakyat, malah ke arah membentuk kepemimpinan negara.

Langkah reformasi politik ini yang ketara sekali kali ini ialah menonjolkan calon muka baharu, pemimpin muda serta kalangan profesional, termasuk tokoh berprofil tinggi yang bukan berlatar belakang politik.

Keadaan ini bagi pemerhati dan veteran politik ia agak berbeza dengan pilihan raya umum terdahulu yang lebih menonjolkan institusi parti, manifesto dan aku janji serta mengemuka calon-calon lama, termasuk yang dikitar semula yang disifatkan kurang realistik dalam perubahan zaman.

Lebih-lebih lagi, PRU15 ini membabitkan sekitar 21.17 juta pengundi dengan pertambahan hampir tujuh juta adalah pengundi baharu yang rata-rata mahukan tawaran 'lebih segar' dalam memperjuangkan permintaan mereka.

Antara parti yang mendahului membuat tawaran seperti ini ialah Barisan Nasional (BN) apabila menampilkan 21 calon muka baharu daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor.

Hanya Pengerusi Perhubungan Negeri, Tan Sri Noh Omar kekal calon muka lama.

Antara calon baharu yang disebut-sebut bertanding Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT), Isham Jalil.

Ini sejajar dengan hasrat BN-UMNO yang menetapkan bahawa calon yang ditonjolkan untuk PRU15 yang dianggap 'ibu segala pilihan raya' terdiri 70 peratus muka baharu, mengambil pendekatan sama ketika mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini yang menyaksikan gagasan itu membolot kemenangan besar.

BN Johor dikatakan mengemukakan beberapa muka baharu akan bertanding di kerusi Parlimen di negeri yang pernah menjadi kubu kuat UMNO.

Nama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan dilaporkan tiada dalam senarai berkenaan, namun kemudian dinafikan Ahmad. Beliau disebut-sebut akan dibawa ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Antara calon muka baharu di Johor ialah Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambros; Ketua Pemuda UMNO Muar, Mohd Helmy Abd Latif dan Presiden Ikatan Anak Mersing (IAM) yang juga Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk Seri Dr Adham Baba, Muhammad Syukri Ibrahim.

Calon berprofil tinggi

Kelmarin, PKR mengumumkan tujuh calon berprofil tinggi dalam kalangan profesional dan berpendidikan tinggi termasuk anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, Nik Omar sebagai calon PRU15.

Enam lagi calon adalah bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman yang bertanding di Perak, bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa), Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (calon PH Pahang) dan Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr Noraishah Abdul Aziz (calon PH Wilayah Persekutuan).

Seterusnya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop (calon PH Selangor); bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha (calon PH Negeri Sembilan) dan pelajar doktor falsafah UM, Fathin Amelina Fazlie.

Gerakan Tanah Air (GTA) juga menyusul apabila mengumumkan dua selebriti sebagai calon mereka iaitu Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri serta pelakon yang juga pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi.

Turut dicalonkan aktivis organisasi Islam, Datuk Aminuddin Yahya, peguam dan aktivis sosial, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz atau Buzze Azam dari Parti PUTRA.

DAP pula mengumumkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Young Syefura Othman, mempertahankan kerusi Parlimen Bentong dan beliau dijangka bertembung dengan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang diuar-uar mewakili BN.

Setakat ini, PAS, BERSATU yang bernaung dalam gagasan Perikatan Nasional (PN) masih belum jelas tawaran yang mahu dikemukakan. Namun, malam kelmarin Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Presiden BERSATU, mengumumkan Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin, sebagai calon gabungan itu bagi kerusi Parlimen Putrajaya menentang penyandang, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dari BN.

Ketika diajukan soal tawaran baharu parti-parti yang bertanding pada PRU15 ini, Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, tawaran calon saja masih tidak mencukupi, kecuali jika tokoh yang ditampilkan sudah mencipta nama besar, personaliti yang kukuh dan dikenali ramai.

Katanya, pengundi sekarang sudah matang terutama di kawasan bandar yang lebih rasional dan realistik menimbangkan tawaran yang diberikan.

"Apa pun, faktor parti itu masih lagi yang utama menjadi pilihan pengundi, bukan hanya calon. Ini kerana belum terbukti lagi mana-mana calon boleh mengatasi parti dalam pertimbangan pengundi.

"Lihat saja contoh dalam beberapa pilihan raya yang lalu, beberapa tokoh yang bertanding calon Bebas walaupun mereka dikenali, disukai ramai serta populis, mereka masih tidak mendapat sokongan," katanya.

Beliau menjelaskan, faktor 'parti' itu sendiri masih penting berbanding calon kerana seseorang yang bertanding perlu ada jentera dan sokongan ahli serta akar umbi.

"Namun, dalam kes tertentu ada individu yang sudah mantap kedudukannya, sudah dikenali ketokohan, kewibawaan dan diakui jasanya seperti kes Tan Sri Shahril Samad di Johor Bahru, walaupun atas tiket Bebas, beliau masih dipilih walaupun dalam PRU14 beliau gagal mempertahankan kawasan itu serta kalah kepada calon lebih muda dan muka baharu," katanya.

Raduan percaya bagi kawasan tertentu seperti Putrajaya, Lembah Pantai atau kawasan bandar lain, pengundi lebih rasional dalam membuat pemilihan yang mana mereka menilai berdasarkan merit calon.

Bagi kawasan luar bandar, pengundi katanya membuat pertimbangan berasaskan parti bukannya faktor calon selain tertarik kepada tawaran dan janji politik.

"Contohnya, jika Khairy Jamaluddin (Menteri Kesihatan) menjadi calon di Putrajaya, sudah tentu beliau boleh menang besar, namun di kawasan lain terutama sokongan 50-50 peratus, sukar untuk menentukannya," katanya.

Mengenai tindakan Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan calon profesional serta berprofil tinggi dalam PRU15, Raduan berkata, formula itu pernah digunakan PAS, AMANAH dan PKR pada beberapa PRU dan pilihan raya kecil yang lalu.

"AMANAH dan PAS ada mengemukakan calon profesional, namun dalam PRU lalu hampir semua kecundang manakala UMNO masih terikat dengan amalan meletakkan calon dari Bahagian atau mereka yang menganggotai jawatankuasa parti," katanya.

Calon miliki kelebihan

Dalam kes penyandang jawatan yang melompat parti seperti calon PN dari BERSATU, beliau berkata, calon berkenaan juga ada kelebihan kerana mereka mendapat sokongan undi PAS selain faktor calon yang sudah banyak berjasa di kawasan diwakilinya.

Beliau memberi contoh kerusi Parlimen Jeli disandang Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz dan Ahli Parlimen, Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

"Perlu diingat dalam kes seperti Mas Ermieyati kita tidak boleh perlekehkan keupayaannya kerana dengan jawatan yang ada dalam kerajaan, sudah tentu beliau sudah menabur budi dan diingati rakyat atas jasanya di sana," katanya.

Mengulas isu sama, penganalisis politik Prof Datuk Dr Nasruddin Mohamed berkata, ada beberapa aliran mengenai pola pengundi pada PRU15 kali ini membabitkan kumpulan pengundi yang harus diambil kira parti yang bertanding.

Pertama katanya, kelompok terbesar pengundi, mungkin dalam anggaran 60 peratus cenderung melihat dan memilih berdasarkan pertimbangan parti yang bertanding.

"Kumpulan ini mempunyai sentimentalisme sangat mengukuh dalam kalangan pengundi berusia 40 tahun dan ke atas.

"Kelompok ini berlatarbelakangkan pendidikan sosial yang dipengaruhi secara jelas oleh pertimbangan jati diri bangsa, nasionalisme, patriotisme dan sentimen survival bangsa.

"Mereka tahu dan menghargai kedudukan parti seperti UMNO dalam konteks perjuangan survival bangsa manakala parti seperti PAS pula dilihat sebagai wadah memperjuang syiar Islam," katanya.

Beliau juga percaya kelompok berkenaan sudah sebati dan setia dengan perjuangan parti walaupun mereka bukan partisan.

Mengenai tawaran parti politik dengan meletakkan muka baharu yang muda dan profesional, beliau melihat tiada tawaran yang boleh dianggap mengagumkan pengundi.

"Pengundi mengharap sesuatu yang kepentingan mereka diperjuangkan secara langsung, misalnya isu menyediakan pekerjaan tetap, pemansuhan cukai tertentu dan kemudahan pembiayaan tertentu khusus untuk orang muda," katanya.

Veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Albar pula berpendapat sebaliknya. Beliau menyifatkan langkah beberapa parti politik mencalonkan tokoh profesional, muka baharu dan muda sebagai satu perkembangan yang baik dan politik sihat.

"Ini satu yang baik apabila kita ada kumpulan calon muda dan profesional. Apa yang lebih utama ialah kita kena 'breakaway' atau pecahkan amalan politik lama dan masuk kepada politik masa depan.

"Orang muda, profesional dan bebas isu integriti ini lebih bertenaga tanpa legasi lampau. Lihat saja di United Kingdom (UK), Perdana Menterinya berusia 42 tahun. Di Malaysia, PRU kali ini adalah peluang untuk parti politik mengambil tindakan untuk berubah," katanya.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo pula berkata, pengundi sememangnya membuat penilaian ke atas parti terlebih dahulu berbanding calon.

Katanya, siapa calon itu menjadi pertimbangan kedua termasuk dalam kes calon guna semula termasuk mereka yang melompat parti.

"Bagi calon lompat parti saya percaya sokongan hanya 50-50, manakala pemimpin yang membuat 'comeback' kerana kalah pada PRU yang lalu jika mereka pemimpin dikenali dan ada jasa serta berpengaruh maka mereka akan dipilih kali ini," katanya. (BH)


2. PN sasar terajui Pahang PRU15 

KUANTAN: Sepatutnya kerajaan mencari masa yang lebih tenang untuk menarik lebih ramai rakyat keluar mengundi dan bukannya memilih masa yang agak kelam kabut.

Menteri Luar Dato’ Seri Saifuddin Abdullah berkata, tarikh untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) sepatutnya mengambil kira masa yang lebih tenang.

Katanya kerajaan boleh mengambil pedomen apa yang berlaku di Ukraine baru-baru ini apabila Rusia menggadakan referendum di wilayah Ukraine ketika dalam suasana perang.

“Ada pihak tanya saya mengenai pendirian Malaysia mengenai referendum tersebut, saya mengatakan tidak wajar kerana suasana perang,” katanya
pada program Sembang Santai Pemuda Kampung Beserah di sebuah restoran di sini semalam.

Turut bertindak sebagai ahli panel Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu dan wakil anak muda Zulfadli Zakariah.

Pada 27 September lepas Rusia mengadakan referendum di empat wilayah Ukraine membabitkan wilayah Luhansk, Donetsk, Kherson dan Zaporizhzhia yang terletak di timur dan tenggara Ukraine.

Berikutan itu negara Barat mengecam referendum tersebut kerana ia diadakan ketika dalam suasana perang.

Saifuddin yang juga Pengerusi Bersatu Pahang berkata, begitu juga situasi di Malaysia sekarang, PRU15 diadakan dalam suasana musim tengkujuh yang boleh menyukarkan rakyat keluar mengundi.

Bagaimanapun katanya agak bernasib baik apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mengundi pada hari Sabtu.

Menurutnya juga PN akan bertanding di 14 kawasan parlimen dan 42 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada PRU15, 19 November ini.

“Rundingan mengenai calon PN yang akan bertanding sudah selesai 100 peratus dan kita serah kepada pemimpin PN Pusat untuk mengumumkannya.

“Begitu juga rundingan calon PN di seluruh negara sudah selesai 99 peratus. Rundingan calon PN tiada masalah kerana tiada parti yang bertindak sebagai abang besar,” katanya.

Menurutnya juga PAS sebelum ini mempunyai lapan Adun di Pahang dan akan dibantu Bersatu dan Gerakan bagi mencapai sasaran PN terajui Pahang pada PRU kali ini.

Andasura yang juga bekas Adun Beserah pula berkata, ruang masa sepatutnya diberi kepada Undi18 bagi membolehkan mereka mempunyai kesedaran untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih. – HARAKAHDAILY 26/10/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tawaran baru BN, atau menolak calon sudah tertolak?

PRU15: Dilaporkan tanding 3 penjuru terbesar BN, PN, PH. Tumbukan awal BN, keperibadian Ismail Sabri bonus buat kekebalan penumbuk BN. 

PAS Terengganu mengelak, dengan tepisan '20 manifesto PAS Terengganu ditunaikan.' Tepisan mengelak yang ditujukan PAS Terengganu kepada PH (memerintah 22 bulan tapi gagal tunaikan janjinya). Merembas juga kesan tumbukan itu kepada BN yang memerinth Malaysia lebih lama lagi). Begitu kira-kira, gambaran awal di gelanggang silat/kuntau PRU 15 ini... 

Lepas itu BN Ahmad Zahid syorkan 3 TPM pula. Sama dengan PH Anwar Ibrahim untuk memancing parti dari Sabah dan Sarawak. Satu ciptaan pukulan baru BN. 

Sebaliknya PAS dan PN terus mengorak langkah mengira-ngira akan memiliki 5 MB negeri, sesudah Kelantan, Terengganu, Kedah, tambah 2 lagi Perlis dan Pahang. Dan tolak GTA Tun M.

Kini, konon 'tawaran baru BN', seolah-olah lahirkan kekuatan penumbuk baru BN. Tapi rupanya, cuma proses menyaring, mengkemas kini atau menolak calon yang 'sudah tertolak'.

Maka, eloklah PN sasar MB Pahang pula. Sekian.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

2 comments:

Anonymous said...

Berdasarkan kajian dan analisis, semua parti tidak akan mendapat kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan persekutuan kerana pecah undi.

Parti Islam PAS pula akan memenangi banyak kerusi parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah dan mungkin Pahang dan sebilangan kerusi di negeri-negeri lain yang mempunyai ramai pengundi Melayu.

Maka PAS berpeluang untuk menjadi king maker dalam pembentukan kerajaan persekutuan.

PAS juga mungkin berpeluang untuk membentuk kerajaan negeri di Pahang.

Untuk mencapai matlamat ini, ahli dan penyokong PAS perlu berkempen secara bijaksana dalam media sosial dan menentang propaganda karut marut dan politik persepsi yang disebarkan oleh cyber trooper dedak ternakan pihak lawan.

Rakyat telah sedar mereka telah dikencing dengan pelbagai janji palsu dan politik persepsi oleh puak roket dan sekutu liberal mereka.

Rakyat juga telah sedar puak kluster mahkamah yang didakwa terlibat dalam pelbagai skandal yang merugikan rakyat dan negara.

Unknown said...

Bn + ph.. Nyahkan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails