Sunday, November 13, 2022

Jangan biarkan negara kita begini. Kebuluran..

 


1. 4 sekeluarga di Jakarta maut disyaki kerana kebuluran

JAKARTA: Mayat empat keluarga ditemui di rumah mereka di Kalideres di Jakarta Barat Khamis lalu, dipercayai maut akibat kebuluran.

Portal CNN Indonesia melaporkan, polis menemui empat mayat wanita dan lelaki dewasa daripada keluarga sama, berumur antara 42 tahun hingga 71 tahun.

Ketua Polis Jakarta Barat, Komisioner Pasma, berkata mayat terbabit ditemui di lokasi berbeza di dalam rumah berkenaan.

"Mayat bapa ditemui di bilik tidur di bahagian belakang manakala mayat bapa saudara pula berada di ruang tamu dalam kedudukan bersandar di sofa.

"Mayat ibu dan anak, kedua-duanya berada di ruang bilik tidur di bahagian depan," katanya.

Ketua Komuniti kawasan berkenaan, Asiung, berkata penemuan empat mayat itu dibuat selepas penduduk setempat memecah masuk rumah berkenaan akibat tidak tahan dengan bau busuk yang datang dari rumah itu.

"Apabila bau semakin kuat, saya selaku ketua rukun tetangga mengambil tindakan memecah masuk ke dalam rumah dengan diiringi pegawai keselamatan tempatan dan kakitangan pengurusan wilayah.

"Saya terkejut melihat mayat di ruang tamu dan ketika menyuluh di seluruh rumah yang gelap itu saya temui tiga lagi mayat dan saya kenali salah satunya bernama Dian iaitu anak penghuni rumah," katanya.

Tambah beliau, selepas menjalankan pemeriksaan, pasukan forensik mendedahkan mereka tidak menemui sebarang kesan parut atau luka pada empat mayat berkenaan.

Polis mengesyaki kematian empat mayat itu adalah kerana sudah terlalu lama tidak makan dan minum.

"Berdasarkan pemeriksaan, tiada makanan dalam perut mayat-mayat ini, jadi doktor mengesyaki mereka meninggal dunia kerana tidak makan atau minum dalam tempoh yang agak lama sehingga otot-otot turut mengecut.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati keluarga malang ini sudah meninggal dunia sejak tiga minggu lalu tetapi kematian setiap mereka berlaku pada masa yang berbeza," kata Pasma. - AGENSI


2. Krisis kebuluran, dimanakah kita? 

BAYAN LINNAS SIRI KE-47: KRISIS KEBULURAN DI MADAYA: DIMANAKAH KITA?

MUKADIMAH

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan laporan dari akhbar-akhbar tempatan dan media sosial yang menceritakan tentang musibah yang menimpa saudara mara seagama kita di kawasan Madaya, Syria. Kelaparan dan kebuluran mereka hasil dari kepungan tentera pemerintah sejak berbulan lalu benar-benar mendukacitakan.

Pihak Astro Awani merakamkan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria (MLLFS), Syahrir Azfar Saleh yang berkata : Laporan yang kami dapat Madaya telah dikepung tentera Assad dan Hizbullah sejak tujuh bulan lepas yang menyebabkan segala bentuk makanan dan bantuan disekat. Mereka kini menderita akibat kebuluran.

“Dalam laporan sama kami diberitahu terdapat periuk api ditanam di sekitar kawasan tersebut bagi menghalang penduduk keluar menyelamatkan diri,” Katanya lagi.[1]

Justeru, Bayan Linnas kali ini merasa terpanggil untuk memberi penjelasan tentang permasalahan yang berlaku serta menerangkan tanggungjawab kita sebagai seorang Islam terhadap saudara mara kita di Madaya, Syria.

INSAN DAN UJIAN DALAM KEHIDUPAN

Di dalam al-Quran Allah S.W.T telah menceritakan hakikat kehidupan manusia yang tidak dapat lari dari ujian. Ia datang dari segenap aspek dan penjuru. Sebahagian orang diuji dengan kehilangan harta benda. Sebahagian lain pula diuji dengan kehilangan insan-insan yang tersayang, kelaparan dan dahaga yang bersangatan, dan sebagainya. Ini berbetulan dengan firman Allah S.W.T:

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَيۡءٖ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٖ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ ١٥٥

Maksudnya: Dan nescaya Kami akan menguji kalian dengan sedikit daripada perasaan takut, rasa lapar, kekurangan harta benda, kehilangan nyawa (kematian), serta tumbuh-tumbuhan dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar.

Surah al-Baqarah (155)

Kata Saidina Ibn Abbas R.anhuma ketika menafsirkan ayat ini: Allah S.W.T mengkhabarkan kepada kaum mukminin bahawa sesungguhnya dunia ini adalah medan ujian. Sesungguhnya Dia jugalah yang menguji kalian di atas dunia ini serta Dia memerintahkan mereka (golongan beriman) untuk bersabar. Rujuk Tafsir al-Thabari (3/220)


PERSAUDARAAN KITA MERENTASI BENUA

Sebaik sahaja kita mengetahui bahawa puluhan saudara kita telah meninggal dunia disebabkan kebuluran di Madaya, jiwa muslim mana yang tidak sedih. Mata mana yang tidak menangis. Hubungan persaudaraan atas nama sesama muslim diibaratkan seperti suatu jasad. Sekiranya satu anggota berasa sakit, demikian anggota badan yang lain turut terkesan. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W :

 

تَرَى الْمُؤْمِنِينَ فِي تَرَاحُمِهِمْ وَتَوَادِّهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى عُضْوًا تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ جَسَدِهِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Maksudnya: Kau melihat kaum mukminin dalam kasih sayang, rasa cinta, dan saling membantu sesama mereka seperti sebuah jasad. Apabila satu anggota mengadu sakit, anggota lain pun tidak boleh tidur dan merasa demam.

Riwayat al-Bukhari (6011)

 

Kata al-Imam Ibn Abi Jamrah Rahimahullah ketika mengulas hadis ini : Secara zahirnya perkataan  تَرَاحُمتَوَادُد ,  تَعَاطُفhampir membawa makna yang sama. Akan tetapi di antara ketiganya terdapat perbezaan makna. Adapun ‘tarahum’ maksudnya ialah mereka berkasih sayang antara satu sama lain kerana persaudaraan iman dan bukannya kerana perkara lain. Manakala ‘tawaadud’ pula ialah perhubungan yang mendatangkan kasih sayang seperti saling menziarahi dan saling memberi hadiah. Adapun ‘ta’aathuf’ adalah mereka saling membantu dan tolong-menolong antara satu sama lain. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar al-Asqalani (10/439)

Oleh yang demikian, hadis ini jelas mengajar kita bahawa apabila kita mendengar dan mengetahui terdapat saudara mara kita yang sedang berada di dalam keadaan lapar, dahaga, dan kebuluran, maka menjadi kewajipan bagi kita sebagai seorang mukmin untuk menghulurkan pertolongan.

 

MADAYA : KEDUDUKAN DAN KRISIS KEBULURAN

Madaya adalah sebuah pekan kecil di kawasan berbukit yang terletak di barat laut Damsyik, ibu negara Syria. Ia terkenal sebagai salah sebuah pusat percutian ternama di Syria. Ia terletak di bawah wilayah Rif Dimashq. Mempunyai populasi penduduk sekitar 10000 orang pada tahun 2004 dan kebanyakannya adalah bermazhab Sunni.

Menurut laporan Human Appeal, 40000 penduduk Madaya telah terputus hubungan dengan dunia sejak awal Julai 2015. Makanan dan bekalan air telah dihadkan dan tidak ada makanan yang dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sejak Oktober.  Penduduk di sana sehingga terpaksa memakan rumput dan juga tanah untuk meneruskan kehidupan. Demikian juga terdapat laporan yang mengatakan terdapat penduduk yang dibunuh ketika sedang meninggalkan bandar tersebut dalam usaha mencari bekalan makanan.[2]

11 Januari yang lalu, pihak PBB telahpun melakukan konvoi menuju ke sempadan Madaya dalam usaha untuk menyampaikan bekalan makanan kepada penduduk-penduduk di sana. Terlalu banyak kanak-kanak yang sedang kelaparan di kawasan tersebut.[3]

 

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB KITA

Di bawah ini merupakan beberapa cadangan yang kami berikan sebagai tanda kecaknaan dan usaha kita untuk meringankan beban saudara mara kita di Madaya, Syria.

Pertama : Berdoa kepada Allah S.W.T supaya meringankan beban saudara seagama kita di Madaya, serta memberikan pertolongan kepada hamba-hambanya yang tertindas di sana. Rasulullah S.A.W berkata :

الدُّعَاءُ سِلاَحُ المُؤمِن

Maksudnya: Doa adalah senjata orang mukmin.

Riwayat al-Hakim (2/162)

 

Begitu juga Rasulullah S.A.W mengajar kita untuk mendoakan saudara semuslim kita tanpa pengetahuan mereka. Bahkan di antara doa yang mustajab ialah doa seseorang kepada saudaranya tanpa pengetahuannya. Ini berdasarkan sebuah hadis dari Abu Darda R.anhu bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلاَّ قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Maksudnya: Tidak ada seorang pun hamba muslim yang berdoa untuk saudaranya tanpa pengetahuan orang tersebut melainkan malaikat akan berkata: Untuk kamu juga seperti yang kamu doakan.

Riwayat Muslim (2732)


Kedua : Mendermakan sedikit daripada harta kita kepada pertubuhan-pertubuhan yang kita yakin dan percaya supaya ianya dapat disalurkan kepada mangsa kebuluran di Madaya.

Amalan menderma dan bersedekah ini sememangnya dituntut dalam agama. Bahkan pahalanya lebih besar apabila kita bersedekah kepada golongan yang tertindas dan berada di dalam kesusahan. Alangkah baiknya jika kita dapat menderma kepada saudara mara kita di Madaya walaupun hanya dengan jumlah seringgit. Hal ini berdasarkan petunjuk Nabi S.A.W yang bersabda:

اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَة

Maksudnya: Peliharalah diri kalian dari api neraka sekalipun (menderma) dengan separuh dari buah kurma.

Riwayat al-Bukhari (6540)


Ketika mengulas berkenaan hadis ini, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah berkata: Di dalam hadis ini terdapat galakan bersedekah dengan sesuatu yang sedikit. Kata beliau lagi: Sesungguhnya sedekah yang sedikit itu dapat memelihara orang yang bersedekah dari api neraka. Rujuk Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari (3/284)

Justeru, mudah-mudahan dengan seringgit yang kita sedekahkan demi membantu saudara mara kita di Madaya dapat menjadi benteng yang memelihara kita dari api neraka di akhirat kelak.

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Kita menitiskan airmata dan berasa amat hiba sebaik sahaja mendengar dan melihat apa yang berlaku kepada saudara mara kita di Madaya, Syria. Sebahagian gambar mangsa kebuluran di sana yang diviralkan oleh media-media tempatan benar-benar menghibakan. Kita sangat-sangat  berharap supaya pihak PBB berusaha lebih gigih memainkan peranan dalam membela nasib mereka yang malang ini.

Persoalan yang perlu ditimbulkan oleh setiap orang Islam yang berada di Malaysia: Di manakah kita dalam isu ini ? Apakah sumbangan yang boleh kita lakukan di atas tanggungjawab saudara seagama ? Ingatlah pesan Rasulullah S.A.W :

اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَة

Maksudnya: Peliharalah diri kalian dari api neraka sekalipun dengan (menderma) separuh dari buah kurma.

Mudah-mudahan sedikit sumbangan yang kita berikan akan dinilai oleh Allah S.W.T sebagai amalan soleh yang memberatkan neraca timbangan kita di hari akhirat kelak.

Kami benar-benar terharu dan menitiskan airmata serta berasa bimbang apabila membaca hadis Rasulullah S.A.W yang bersabda :

 لَيْسَ الْمُؤْمِنُ الَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ‏

Maksudnya: Bukanlah orang mukmin itu seorang yang kenyang sedangkan jirannya berada dalam keadaan lapar.

Riwayat al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad (112)

Akhir kalam, marilah kita sama-sama berdoa dan bermunajat kepada Allah S.W.T supaya diberikan pertolongan dan kekuatan kepada hamba-hamba-Nya di Madaya, serta dihilangkan ke atas mereka musibah kelaparan dan kebuluran yang mereka hadapi. Amin.

Akhukum Fillah

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

19 Januari 2016 bersamaan 9 Rabiul Akhir 1437 H.

[1] http://www.astroawani.com/berita-dunia/penduduk-di-madaya-syria-menderita-akibat-kebuluran-mllfs-88565

[2] https://humanappeal.org.uk/appeals/save-the-starving-people-of-madaya/

[3] http://www.un.org/apps/news/story.asp?NewsID=52976#.VpykzSp97IU


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Jangan biarkan negara kita begini. Kebuluran..

Marilah kita sama-sama berdoa dan bermunajat kepada Allah S.W.T supaya diberikan pertolongan dan kekuatan kepada hamba-hamba-Nya di sini serta dihilangkan musibah kelaparan dan kebuluran. Amin.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails