Tuesday, November 29, 2022

K'jaan minoriti. Dominasi siapa? DAP Islamofobia..

 


1. Kerajaan minoriti yang disokong rakyat minoriti

ROMPIN: Kerajaan minoriti yang ditubuhkan ketika ini hanya mendapat sokongan rakyat minoriti negara ini dan didominasi oleh DAP dan bukan-Islam, demikian kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, lebih 80 peratus kaum Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak telah memilih Perikatan Nasional serta Parti Gabungan Sarawak dan Parti Rakyat Sabah mencukupkan majoriti memilih kerajaan yang sah.

“(Majoriti ini) Dominasinya ialah orang Islam Bumiputera. Tiba-tiba tubuh kerajaan minoriti. Suruh kita sokong kerajaan minoriti,” bidasnya dalam ceramah di SRITI Darul Ummah Mentara, Pianggu, Tioman, di sini semalam.

Jelas beliau, kerajaan minoriti itu hanya terdiri daripada PKR, DAP dan PAN serta kononnya daripada Umno di mana di pihak Umno sendiri wujud kekecohan dan protes yang menandakan wujud perkara tidak sihat berlaku.

Bahkan beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyatakan bahawa kerajaan minoriti ini disokong oleh perompak, lanun, gangster, kongsi gelap, pemberi dan penerima rasuah yang disebut mereka dalam kempen PRU15 lalu.

“Dalam ucapan bukan main. Menentang rasuah, menentang perompak, menentang lanun. Bila tubuh kerajaan, panggil yang jenis-jenis ini untuk cukupkan jumlah. Macam mana nak suruh kami terima?

“Kami ada maruah. Kita orang Islam kena ikut hukum agama kita. Perintah Allah mengatasi perintah segala pemerintah yang ada dalam dunia ini. Ini mesti faham.

“Ada orang kata betullah dia punya tema ‘Kita Boleh!’. (Rupanya) Semua boleh, yang halal pun boleh, yang haram pun boleh, yang menipu pun boleh, semua boleh.

“(Jadi) Macam mana kita nak ikut kerajaan minoriti? Yang ada macam ni dalam kerajaan itu. (Sedangkan) kita majoriti. (Caranya) Kita sabar, kita masih hormat adab-adab demokrasi,” jelas beliau menegaskan pendirian PAS.

Dalam sidang media selepas ceramah itu, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan minoriti boleh ditubuhkan mengikut konsep demokrasi, tetapi mesti dipilih dari parti terbesar dan bukannya dari parti kecil.

Malah beliau tidak menolak untuk rombakan perlu dibuat dengan mengikuti semula proses demokrasi yang betul, malangnya ketika ini demokrasi itu tidak dihormati di mana sepatutnya parti majoriti dipilih bagi mengembalikan kerajaan.

Tambahnya, PAS telah memerintah Kelantan, Terengganu dan Kedah serta terbaharu Perlis dengan berharap Kerajaan Pusat menghormati konsep federalisme walaupun ketua kerajaan kini dipersoalkan syarat kelayakannya.

“Cukup syarat ke tidak, tak tahulah. Tengok dalam kitab, cukup tak syarat? Bekas dihukum oleh mahkamah kerana kesalahan-kesalahannya. Dia minta pengampunan. Kalau tak salah kenapa minta pengampunan?

“Ini boleh jadi ketua negara? Kemudian dalam ucapan-ucapan pula nak tentang rasuah, nak tentang salah guna kuasa. Nak tentang itu ini, tentang perompak harta negara. Tiba-tiba bersekongkol dengan mereka yang macam itu dalam kerajaan nak cukupkan jumlah.

“Ini satu penipuan terhadap rakyat. Rakyat mesti balas penipuan ini. Jangan biarkan satu kemungkaran yang besar. Kita mesti lawan,” ujarnya menyeru penduduk DUN Tioman memberikan ‘pengajaran’ itu.

Beliau berharap pengundi memilih Perikatan Nasional termasuk di Parlimen P.017 Padang Serai agar menolak parti yang menyatakan ‘Kita Boleh!’ itu di mana bermaksud semua perkara boleh dilanggar semudahnya. – HARAKAHDAILY 29/11/2022


2. Abdul Hadi dakwa Kerajaan Perpaduan tak didominasi pemimpin Islam

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi menegaskan parti itu menolak pelawaan menyertai Kerajaan Perpaduan disebabkan gabungan berkenaan tidak didominasi pemimpin Islam.

Memperkukuhkan lagi keputusan dibuat PAS bersama gabungannya menerusi Perikatan Nasional (PN), Timbalan Pengerusi PN itu juga menggelar kerajaan itu sebagai kerajaan minoriti dan turut mendakwa 'cakap tidak serupa bikin'.

"Islam melihat dominasi umat Islam yang memimpin. Orang Melayu Islam (sebanyak) 80 peratus atau lebih memilih PN...bersama kaum lain.

"Bukan Melayu saja termasuk ada India, China dan bukan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

"(Sokongan ini) mencukupkan jumlah majoriti untuk memilih (PN) sebagai kerajaan yang sah mengikut Islam," katanya dalam Ceramah Umum Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang disiarkan di Facebook Abdul Hadi malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, hakikatnya Kerajaan Perpaduan yang menerajui Malaysia kini dikuasai parti DAP yang meraih jumlah kerusi terbesar dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

"Yang dominasi sekarang adalah DAP, (parti) bukan Islam. Dalam PKR, sebahagiannya sahaja Islam daripada 30 kerusi dimenangi mereka, sebahagian lagi bukan Islam. DAP pula meraih 40 kerusi.

"Dengan jumlah minoriti ini tertubuhnya kerajaan minoriti, malah perkara ini turut menimbulkan kekecohan, protes dalam UMNO, ini menandakan ia perkara tak sihat (sedang berlaku)," katanya yang tidak menafikan menyayangi persahabatan dengan UMNO dan sedar tidak semua pemimpin dalam parti itu menyokong kerajaan 'minoriti' yang dibentuk itu.

Bahkan, Abdul Hadi turut memberitahu PN tidak menerima kerajaan dipimpin PH itu disebabkan ia disokong oleh 'individu dan kumpulan' yang berpegang kepada perkara yang tidak selari dengan prinsip perjuangan gabungan mereka.

"Kerajaan minoriti ini disokong oleh pemberi rasuah dan penerima rasuah. (Dulu) bukan main kata menentang rasuah, tetapi bila nak tubuh kerajaan sanggup bergabung untuk cukupkan jumlah (sokongan).

"Macam mana kami nak terima, kita ada maruah. Perintah Allah SWT mengatasi perintah yang ada di dunia ini," katanya.


3. DAP Islamofobia: Apakah salah menyatakan kebenaran? 

ADA yang tidak senang duduk apabila Presiden PAS, Tan Sri Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menyatakan pendapat beliau berkenaan DAP sebagai parti ekstrem dan mempromosi Islamofobia. Apakah salah jika menyatakan kebenaran di era kerajaan baharu hari ini?

Hakikatnya, apa yang disebutkan oleh Presiden PAS adalah berasaskan fakta yang benar. Dalam setiap perlakuan serta tindak tanduk, DAP terlihat jelas menolak asas Perlembagaan Persekutuan, bersikap Islamofobik dan rasis.

Kenyataan tersebut disokong oleh tindakan dan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan DAP seperti berikut:

i) Sehingga kini, DAP masih berpegang pada Deklarasi Setapak yang berhasrat mengubah status Bumiputera dalam Malaysia. Deklarasi tersebut tidak ditarik balik sehingga kini.

ii) Gesaan Senator Lantikan DAP, Nga Hock Cheh pada April 2019 untuk menggugurkan status kaum termasuk status Islam pada MyKAD, kononnya atas dasar mewujudkan identiti nasional.

iii) Pendirian Ngeh Koo Ham pada tahun 2014, yang menyatakan hak untuk murtad patut diberikan kepada orang Islam. Sehingga kini kenyataan tersebut tidak ditarik balik.

iv) Kenyataan Nga Kor Ming pada 14 November 2022 sewaktu kempen PRU-15, yang menyatakan gabungan PN sebagai kerajaan Taliban hanya kerana ketegasan PAS berkenaan kawalan aktiviti maksiat.

v) Kenyataan tokoh besar DAP, Lim Kit Siang pada Oktober 2022 yang menyebut Malaysia tidak memerlukan Ketuanan Melayu, sebaliknya hanya perlukan Ketuanan Malaysia.

Kesemua kenyataan dan pendirian ini, jelas menunjukkan pada kita mengenai sifat malignan DAP terhadap fabrik sosial negara. Malah, tak perlu tunggu Presiden PAS membuat laporan polis pun, rakyat sendiri sudah lama melaporkan perbuatan dan tindak-tanduk DAP untuk diambil tindakan mengikut lunas undang-undang. Antaranya:

i) Laporan polis oleh NGO Islam pada 22 Februari 2022 terhadap keceluparan pemimpin DAP, P Ramasamy terhadap Majlis Agama Islam Perlis,

ii) Laporan polis oleh Pemuda PAS Malaysia pada 7 Julai 2021 terhadap kenyataan penghinaan oleh Lim Kit Siang berkaitan isu Kerajaan Allah, dan,

iii) Laporan polis oleh NGO UMMAH pada 19 November 2022 berkenaan kempen rasis oleh tokoh DAP, Hew Kuan Yew.

Apa yang disebut oleh Presiden PAS bukanlah suatu fitnah, dan beliau hanya menyatakan perkara sebenar yang berlaku. Hakikatnya, PAS mengakui dan menjunjung perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terhadap kerajaan hari ini. Semua kerajaan yang terbentuk dan mendapat perkenan Baginda adalah sah di sisi Perlembagaan, sama seperti mana kerajaan PERIKATAN NASIONAL yang terbentuk pada Mac 2020 walaupun dituduh kerajaan pengkhianat dan tebuk atap. 

Kebenaran itu pahit untuk ditelan. Namun sepahit mana kebenaran itu, ia harus diakui. Sama seperti hakikat kerajaan ini dianggotai sebuah parti yang bersifat pesimis terhadap Islam dan bangsa Melayu, walau bagaimana pun cuba dinafikan, ia tidak pernah mengubah fakta sebenar halatuju dan perjuangan mereka.

HANAFI ZULKAPLI
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 29/11/2022

Komen Weblog Ibnu HasyimKerajaan minoriti. Dominasi siapa?  DAP Islamofobia..

Walaupun di negara umat Islam, 'Kerajaan Perpaduan' ini, masih minoriti tidak didominasi oleh pemimpin Islam.

Kenapa jadi begitu, tepuk dada tanya iman, bukan tanya rakus selera...

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails