KLUANG: Lebih 200 bendera Pakatan Harapan (PH) di laluan Kampung Parit Kuari, dekat Ayer Hitam di sini, dicabut dan dibuang ke dalam parit, dipercayai dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Calon PH bagi Parlimen Ayer Hitam, Sheikh Umar Bagharib Ali menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, petugas yang memacak bendera menyedari kejadian itu sekitar 8 pagi semalam, selepas enam jam dipasang.
"Kami amat kecewa terhadap sikap politik samseng sebegini dan mengutuk mana-mana pihak yang menggunakan taktik kotor serta tidak bertamadun dalam pilihan raya.
"Sikap ini mencalarkan demokrasi yang membenarkan parti-parti politik berkempen secara sihat dan mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga pihak berkuasa," katanya.
Bagaimanapun, Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor mengarahkan petugas PH di Parlimen itu supaya tidak melakukan sebarang tindak balas di luar sempadan undang-undang pilihan raya.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung insiden bendera parti politik dicabut atau dibuang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, kerusi Parlimen itu akan menyaksikan persaingan tiga penjuru membabitkan penyandang Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dari Barisan Nasional, Sheikh Umar dan calon Perikatan Nasional Muhammad Syafiq A Aziz.
Pada PRU lalu, Ka Siong memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti tipis, iaitu 303 undi.
SPR menetapkan 19 November sebagai hari pengundian PRU15, manakala pengundian awal pada 15 November. - BERNAMA
2. Umpama beruang kutub curi keli
TORA datang lagi. Teringat iklan mat Sentul, terbayang Rafizi yang muncul lagi. Rafizi adalah tokoh manipulasi PKR. Apabila tamat PRU Rafizi akan ‘pulas’ stereng bersembunyi untuk orang lupakan penipuan dan fitnah beliau.
Jika dilihat dalam PRU15 ini, PN adalah satu-satu parti yang hampir tiada liabiliti. Musuh PERIKATAN NASIONAL hanya mampu bermain dengan persepsi yang diulang dari ‘hear say‘ yang mungkin dari tidur mereka yang bermimpi di siang hari. Jauh sekali untuk mencari liabiliti dalam PAS. Yang ada pun sudah tersingkir sendiri membawa diri.
Rafizi sangat sedar keadaan ini. Seperti PRU14, PAS dibebani menjawab RM90 juta. Habis masa melayan tuduhan tanpa bukti RM90 juta itu. Akhirnya PAS terperangkap apabila menyaman seseorang di luar negara yang menghabiskan masa, tenaga dan wang yang sepatutnya diguna untuk berperang di medan pilihan raya.
Kali ini Rafizi datang lagi dengan angka RM2 bilion. Wow, malangnya yang dituduh ialah Timbalan Presiden PAS. Sepatutnya beliau mencari pimpinan lain yang boleh didatangkan keraguan. Kesilapan pertama beliau ini menunjukkan sedikit kecacatan pada pelan awal.
Tidak mustahil beliau akan berpindah kepada tokoh lain dalam tempoh terdekat. Terlalu sukar bagi pengundi menerima Tuan Ibrahim terlibat dengan kes sebegini. Sama seperti bercerita beruang kutub curi ikan keli.
Jika diteliti pendedahan Rafizi, ia ternyata omong kosong membina persepsi. Rafizi akan bermula dengan membina persepsi. Kemudian beliau akan mengheret beberapa perkara dari persepsi tersebut dengan fakta yang tiada kaitan langsung dengan persepsi awal. Saya kemukakan contoh.
Beliau mengaitkan Tuan Ibrahim melalui KASA dengan tuduhan dan ayat kosong, ‘saya mendapat maklumat’ ‘saya difahamkan’ ‘akan menganugerahkan’ dan beberapa ayat lain. ‘kepada syarikat…’.
Langkah kedua, beliau akan membawa ‘fakta’ mengenai keburukan syarikat dan kaitannya dengan politik.
Keburukan dan masalah syarikat serta kaitan dengan politik adalah benar, tetapi kaitan dengan kisah awal tidak langsung berlaku. Itulah kaedah manipulasi politik Rafizi.
Perkara ini akan diulas dan diolah oleh pemimpin lain dan media PH mengikut ‘kemahiran fitnah’ masing-masing. Maka berlegarlah olah fitnah seperti kisah S Aisyah.
Saya bawa analogi lebih mudah. Saya menuduh adik saya mencuri ikan untuk diberi kepada kucingnya. Padahal ikan masih ada dalam pinggan. Ditutup dengan tudung saji. Lalu saya menyambung cerita kucing makan ikan. Adik sayang dengan kucing. Adik pegang kucing. Itu semua benar, tetapi adik tidak langsung ambil ikan yang kemas tersimpan bawah tudung saji.
Gaya Rafizi ini tidak jauh beza dari mana-mana kalangan pemfitnah lain. Ia adalah teori yang diambil dari Abdullah bin Ubay dalam kisah fitnah kepada S Aisyah isteri Rasulullah.
Abdullah bin Ubay tidak menyebut S Aisyah berzina. Namun beliau membuka ruang kepada fitnah tersebut dengan ayat penuh manipulasi seperti ‘Aisyah yang masih muda hanya berdua dengan Safwan dalam musafir panjang. Apa yang dibuat?
Akhirnya yang dihukum Qazaf bukan Abdullah bin Ubay tetapi tiga orang Sahabat yang beriman. Inilah kelicikan Abdullah bin Ubay. Sama seperti Rafizi yang menggunakan teori fitnah beliau.
FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 8/11/2022
APABILA Tuan Guru Presiden PAS menyebut secara jelas bahayanya ancaman Komunis dan kaitannya dengan DAP, terus pemimpin utama mereka melenting kepanasan.
Adakah kita masih ingat kisah rampasan buku komik propaganda ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ pada tahun 2019 ketika era pemerintahan Pakatan Harapan dahulu?
Komik itu diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri kerana ianya berunsur mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.
Siapa penerbit komik tersebut? Ia diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Pulau Pinang yang dibiayai Kerajaan DAP Pulau Pinang.
Komik propaganda versi Bahasa Melayu turut diedar di Sekolah Menengah Kebangsaan.
Siapa dalang utama komik tersebut? Hew Kuan Yew atau lebih dikenali sebagai ‘Superman’ di kalangan penyokong DAP.
Lim Guan Eng yang merupakan Setiausaha Agung DAP pada ketika itu turut menulis kata pengantar untuk komik itu.
Walaupun Superman ini tidak lagi menjadi ahli DAP tetapi kaitannya dengan DAP masih belum terputus.
Dia merupakan kurator muzium yang menjadi penerbit komik dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Bersama China-Malaysia (JBC) yang dilantik oleh Tan Kok Wai, pemimpin DAP.
Apabila Kementerian Pendidikan melarang pengedaran komik tersebut di sekolah dan institusi pendidikan ia dikecam hebat oleh 43 pemimpin akar umbi DAP termasuk beberapa ADUN DAP yang membantah keputusan itu.
Jadi, sebelum DAP buat-buat lupa hal ini pastinya rakyat Malaysia tetap ingat igauan mimpi ngeri ketika PH berkuasa 22 bulan dahulu.
SYED AHMAD FADHLI – HARAKAHDAILY 21/10/2022
Komen Weblog Ibnu Hasyim: PH dibuang ke parit, kisah beruang kutup & DAP lupa?
Kisah-kisah di atas, membuktikan gendang perang pilihanraya mula dipalu. Pemfitnah-pemfitnah terus beraksi. Pendokong Islam perlu menelitti dan menyedari 'teori yang diambil dari Abdullah bin Ubay dalam kisah fitnah kepada S Aisyah isteri Rasulullah SAW. Seperti yang dilakukan oleh Rafizi-Anwar, sekarang.
Undilah PAS dan rakan kumpulannya!
No comments:
Post a Comment