Saturday, November 19, 2022

PN Pahang yakin terajui negeri. Menuju ke Putrajaya

 


1. PN Pahang yakin dapat kepercayaan rakyat terajui negeri

KUANTAN: Dato’ Seri Saifuddin Abdullah amat yakin rakyat negeri ini akan memberikan kepercayaan kepada PERIKATAN NASIONAL Pahang untuk menerajui pentadbiran negeri pada 19 November ini.

Beliau selaku Pengerusi PERIKATAN NASIONAL negeri berkata, ini berdasarkan kepada kempen yang telah berlalu selama hampir seminggu

Katanya, respons positif rakyat dan kekuatan tawaran PERIKATAN NASIONAL iaitu Prihatin, Bersih, Stabil boleh memberi jaminan bahawa PN dapat menawan negeri ini.

“Kita yakin bahawa Kerajaan PERIKATAN NASIONAL Negeri Pahang adalah bersifat inklusif dan dalam masa yang masa menjunjung prinsip Perlembagaan Persekutuan sekali gus menepati keperluan masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama di negeri Pahang,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PERIKATAN NASIONAL P.082 Indera Mahkota di sini, hari ini. Hadir sama ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdul Jabar dan Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Ranndy Yap Kim Heng.

Tambahnya, respons yang sangat positif daripada rakyat dan kekuatan tawaran PN sama ada di peringkat kebangsaan, mahupun negeri boleh memberi jaminan bahawa PN dapat membentuk kerajaan baru di Pahang.

“Keyakinan kita terhadap sokongan ini adalah berasaskan sambutan dari para pengundi di mana kita berkempen dalam masa hampir dua minggu ini baik dari segi kerusi DUN mahupun bagi kerusi Parlimen di Pahang.

“Gelombang sokongan kepada PN semakin hari semakin meningkat, dan saya percaya hari ini dan esok, apabila pengundi muda pulang dari perantauan dan kami hendak ucapkan selamat pulang ke Pahang untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” ujarnya.

Begitu juga, ujar beliau pengundi muda dan golongan Undi 18.

“Saya cukup yakin yang mereka akan memberikan sokongan yang padu kepada sebuah kerajaan baharu yang bakal dibentuk oleh PN di Pahang,” tambahnya.

Pada PRU kali ini, beliau yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota berdepan dengan tiga lagi calon iaitu Dr Mohamad Nor Sundari (Pejuang), Zuraidi Ismail (PH) dan Datuk Quek Tai Seong (BN).

Sementara itu, Ustaz Rosli berkata, PAS juga melihat gelombang sokongan terhadap PERIKATAN NASIONAL begitu tinggi sehingga kini dan dijangka terus melonjak sehingga 19 November ini.

Katanya, dengan sokongan dan gelombang terhadap PERIKATAN NASIONAL itu, PAS yakin dapat menang sekurang-kurangnya 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita sudah menang sehingga lapan kerusi DUN sebelum ini, namun begitu ada beberapa kerusi yang majoriti kecil. Senario politik PRU14 sama dengan senario politik di PRU15, iaitu kita bertanding tiga penjuru,” katanya.

Pada ketika itu, ujar beliau PAS menggunakan kekuatan sendiri sahaja, tetapi pada kali ini PAS tidak keseorangan, ditambah Bersatu dan Gerakan dalam PERIKATAN NASIONAL.

“Jadi kita yakin sokongan daripada Bersatu, Gerakan, dan penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu berjasa kepada rakyat, dan melonjakkan undi kita sekali gus ambil alih DUN yang kita kalah tipis.

“Contohnya di Pulau Tawar, Semambu, Cheka dan beberapa kerusi yang ada. lebih kurang 11 kerusi yang kalah bawah pada 1,000. Jadi dengan pengundi tegar PAS, campur dengan pengundi dari rakan Bersatu dan Gerakan, Insya Allah menjadi kenyataan,” katanya yang mempertahankan kerusi DUN Tanjung Lumpur. – HARAKAHDAILY 17/11/2022


2. Dari Pahang menuju ke Putrajaya 

PAHANG boleh diletakkan sebagai indikator penting untuk mengukur hakikat sokongan rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL, sekali gus menyumbang kepada usaha gabungan itu untuk menerajui pentadbiran Putrajaya.

Kerana PRU15 bermula tanpa menampakkan sebarang gelombang kepada mana-mana gabungan termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), mahupun parti-parti lain yang turut bertanding kali ini.

Begitu juga dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN di Sabah. Kerana rakyat Malaysia masih di fasa pemulihan pandemik COVID-19 dan kebimbangan untuk memasuki musim tengkujuh.

Ditambah muak dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan, selain berlakunya tiga kali pertukaran teraju negara dan telahpun berlangsungnya beberapa PRN iaitu di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor.

Gelombang sokongan sebenarnya telahpun berlaku seawal selepas PRU14 dahulu terutama melibatkan kaum Melayu dan Bumiputera. Kerajaan PH yang didominasi DAP telah mencederakan perasaan majoriti rakyat dengan teruk.

Selain gagal menunaikan janji dan manifesto, pemimpin PH ketika itu terlalu meremehkan dan seakan mengejek hal-hal rakyat. Ditambah banyaknya tindakan keterlaluan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama terutamanya.

Himpunan Membantah ICERD 812 dan Statut Rom yang cuba diratifikasi PH adalah referandum penolakan rakyat kepada gabungan tersebut. Sekali gus gelombang ketika itu telah membawa peralihan sokongan.

Blok sokongan kembali membesar kepada parti-parti Melayu-Islam, namun kewujudan berasingan PN dan BN menyebabkan kedudukan peluang kepada ketiga gabungan itu menjadi sama rata saat memasuki gerbang PRU15.

Namun, dua minggu tempoh kempen PRU15 menyerlahkan sokongan ketara yang bergelombang kepada PN dan tidak kurangnya PH. Malang pula buat BN yang nampak agak tidak gagah walaupun banyak ‘dibantu’ oleh media arus perdana.

Oleh itu, sekiranya PN berjaya memperolehi majoriti kerusi di Pahang, ia jelas menunjukkan wujudnya ‘Gelombang Melayu-Islam’ pada PRU15 ini. Malah diyakini pergerakan atau pengaruh sama turut melanda di Perak dan Perlis.

Dengan memenangi banyak kerusi di negeri-negeri tersebut khususnya Parlimen, sudah memungkinkan PN menghampiri majoriti mudah ke Putrajaya. Kerana PN sudahpun dilihat amat bersinar di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Selain memerlukan sumbangan kerusi dari Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah, PN dijangka memuktamadkan perolehan majoriti kukuh sekiranya GPS sedia membentuk kerajaan bersama.

Perancangan untuk Pahang

PAS seperti dikenali sejak dahulu, tidak pernah meminta jawatan, namun sentiasa bersedia menawarkan kesanggupan menerajui pemerintahan secara kolektif. Pun begitu, PAS telah disebut terbuka akan mengetuai Kerajaan PN di Pahang dan Perlis.

Pengumuman itu datangnya daripada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga calon Perdana Menteri ke-10 dan bekas Perdana Menteri ke-8. Kelayakan itu sememangnya terlihat dan tersandar meyakinkan kepada PAS.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang bertanding di N.04 Cheka bagaikan ‘sirih pulang ke gagang’. Beliau dilihat sebagai tokoh utama untuk membawa kemenangan kepada PN, sekali gus calon Menteri Besar Pahang.

Ternyata, kepulangan beliau itu bersama gagasan penting untuk membawa negeri Pahang Darul Makmur ke satu tahap lagi. Beliau mengemukakan betapa Pahang amat memerlukan pelan induk pembangunan infrastruktur dan ekonomi.

Antara contoh diberikannya adalah Bandar Lipis yang dari segi sejarahnya adalah Ibu Negeri pertama bagi negeri Pahang. Namun kesalinya, setelah Ibu Negeri dipindah ke Kuantan dan berlaku pembinaan lebuh raya, Lipis menjadi bandar mati.

“Mesti ada satu pelan pembangunan, penstrukturan supaya pembangunan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan mengambil kira faktor pembangunan yang ada di Bandar Lipis,” ujar beliau yang turut bertanding di P.024 Kubang Kerian.

Begitu juga Maran katanya, dari bandar pesat membangun, namun pembinaan lebuh raya tanpa susur keluar ke bandar itu, sebaliknya dibuat ke Srijaya dan Chenor telah menyebabkan Maran ketinggalan berbanding Srijaya dan Jengka.

Pahang juga ujarnya, memerlukan daya tarikan, termasuk menaik taraf jalan raya sedia ada antaranya daripada Bentong sampai Jerantut yang masih seperti zaman kemerdekaan dahulu, kecuali sedikit pembinaan dilakukan.

“Sebab itu bila kita susun pelan pembangunan, mesti ada sesuatu yang kita berusaha supaya Bandar Lipis menjadi bandar satelit yang boleh berfungsi untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan di kawasan Pantai Timur. Insya-Allah bila ada highway sepatutnya jadi bandar yang membangun.

“Tapi kalau highway tak bersambung dengan bandar ataupun jauh daripada exit ke bandar, akhirnya bandar ni akan mati. Industri dah tak ada kawasan kita, jadi perlu pelan pembangunan ke arah memajukan,” ajunya.

Beliau ternyata memiliki pandangan besar untuk menyusun pelan pembangunan Pahang dengan lebih sistematik dan terancang secara keseluruhannya. Di mana turut mendapat perhatiannya adalah keupayaan Kerajaan Tempatan (PBT).

Menurutnya, banyak PBT di Pahang tidak memiliki kemampuan kewangan menyebabkan pelan pembangunan daerah tidak dapat dirancang sebaiknya. Sedangkan, daerah tersebut memiliki sumber bumi yang sangat besar.

Ustaz Tuan Ibrahim berkata, sumber diambil tidak mendatangkan hasil kepada daerah tersebut tetapi dikawal oleh negeri. Sedangkan ujarnya, jika 10 peratus daripada hasil sumber diambil itu diberikan kepada PBT, banyak usaha dapat dibuat ke atas daerah.

“Sebab itu PBT perlu ada duit, negeri Pahang tak perlu kepada benda baru pun. Saya tengok jangan letak beban pada rakyat dengan naik cukai tanah. Cukai tanah kita memang kita akuilah, kalau pertanian itu murah sangat. RM8 setahun.

“Tetapi yang besar sekarang ni ialah semak balik premium balak negeri Pahang. Waktu PAS memerintah Kedah, kita semak premium balak. Akhirnya, kita dapat sekali ganda jumlah hasil premium balak. Pahang (pun) perlu semak premium balak, perlombongan bijih besi, emas.

“Lipis ni pun banyak lombong emas. Tapi apa faedah manfaat kepada orang duk Lipis? Bayangkan kalau 10 peratus hasil lombong dapat ke PBT Lipis, macam-macam pembangunan kita boleh buat. Tapi ini kena mengubah dasar.

“Nak ubah dasar, kita kena ubah pemerintahan pentadbiran,” ujarnya menyeru kemenangan majoriti diberikan kepada PN agar kehendak dan kuasa politik yang dimandatkan membolehkan perubahan berlaku di negeri Pahang.

Selain aspek pembangunan dan ekonomi tersebut, beliau juga melihat potensi yang banyak kepada negeri Pahang dalam sektor pelancongan dan sejarah. Juga tanah luas bagi sektor pertanian dan agromakanan yang diperlukan negara.

Selesai isu Pahang

Ustaz Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) sebelum ini malah pernah menjayakan migrasi air antara Kerajaan Pahang dengan Kerajaan Persekutuan. Sebelumnya ia gagal dimuktamadkan rundingan semasa di bawah Kerajaan BN dan PH.

Sedangkan tempoh beliau menjawat jawatan itu belum mencecah tempoh dua tahun, bahkan perkara tersebut tanpa manifesto. Dengan demikian, banyak masalah perkhidmatan perbekalan air di negeri itu akan dapat ditangani dan diselesaikan.

Maklumnya, dari perjanjian termeterai kedua pihak, hutang sebanyak RM2 bilion dihapus kira dan Kerajaan Persekutuan bersetuju pula memberi pinjaman kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) sebanyak RM1 bilion.

Kata Dato’ Tuan Ibrahim, tanpa manifesto juga, Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghapuskan hutang saham FELDA yang membelenggu hidup para peneroka dan keluarga mereka berjumlah keseluruhan RM8.3 bilion.

Paling utama, PN Pahang dalam tawarannya kepada rakyat negeri itu meletakkan tonggak pertamanya adalah menjadikan agama sebagai teras dalam pelan pembangunan negeri Pahang. Itulah kekuatan sebenar yang meliputi segenap sektor.

Menanti detik perubahan

Pahang sudah lebih 60 tahun bersama BN dan menjadi dua negeri bersama Perlis yang ditinggalkan rakyat buat parti itu setelah menerima penolakan besar PRU14 lalu. Namun nampaknya negeri itu kekal stagnan tanpa perubahan di bawah BN sejak itu.

Oleh itu amat diyakini bahawa Pahang akan menjadi titik dan kayu pengukur kepada ‘Gelombang Melayu-Islam’ untuk memandatkan kepercayaan kepada PN. Jika wujud, bermakna ia juga akan melanda Perak dan Perlis sekali gus Putrajaya.

Andai tercapai keputusan seperti itu, maka untuk PRU15 ini PAS telah menghadiahkan 4P iaitu Pahang, Perlis, Perak dan Putrajaya buat PN.

IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my – HARAKAHDAILY 19/11/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: PN Pahang yakin terajui negeri. Menuju ke Putrajaya. 

Insya Allah!

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails