1. Presiden PAS dedah usaha PH tawan Perak, Selangor dan N9. DAP ‘perguna’ Melayu seperti pernah dilakukan PAP.
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendedahkan muslihat DAP yang mesti diketahui dan diwaspadai oleh rakyat, sekali gus menyeru para pengundi PRU15 untuk menolak Pakatan Harapan (PH).
Pendekatan terkini DAP katanya, adalah dengan menggunakan orang Melayu sebagai calon PRU15 yang dibongkar perkara itu oleh beliau dalam ucapan-ucapan pada siri Jelajah Presiden PAS di Perlis dan Kedah sejak kelmarin.
“Ini nak ingat, Singapura tahun 50-an, Ketua Menteri Singapura, Datuk Hamid Jumat. Saya ingat nama lagi, generasi awal ingat. (Kemudian) Tahun 60-an, Lee Kuan Yew menang pilihan raya. Dia ambil orang Melayu jadi calon.
“Parti PAP – People Action Party, (atau) PETIR (Parti Tindakan Rakyat). Osman Wok, Yusuf Ishak, macam-macam namanya jadi Menteri-menteri Melayu di Singapura. Dia (PAP) letakkan orang Melayu jadi calon (bertanding pilihan raya).
“(Yang) jadi Presiden, Lee Kuan Yew (pun) pakai songkok (dan) berucap Bahasa Melayu. Orang Singapura tertarik, akhirnya PAP menawan Singapura. (Tetapi) Apa jadi pada orang Islam-Melayu Singapura lepas pada itu?” ujar Tuan Guru.
Sambungnya, pada tahun 1963, Singapura menyertai Malaysia dan PAP menubuhkan cawangan di Semenanjung Tanah Melayu, namun Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra menganggap itu satu bahaya lalu mengambil tindakan mengeluarkan Singapura daripada Malaysia.
Menurut beliau, PAP Tanah Melayu setelah itu menukar nama kepada DAP yang bermakna DAP adalah anak kelahiran PAP di mana sekarang ambil orang Melayu menjadi calon dan terdapat parti kerjasama dengan mereka.
“Saya tak tahulah berapa upah dia bagi. Ini keadaan yang sangat merbahaya (di mana mereka) nak tawan Perak, nak tawan Selangor, tawan Negeri Sembilan. Kalau kita berpecah, ini sangat bahaya. Kita mesti bersatu tolak PH.
“Kita minta orang Umno berehat sekejap. Sokong kami PN (PERIKATAN NASIONAL) ni, biar kita ambil alih dulu. Dalam Umno itu keruh, orang BN sokong kitalah sekejap. Jangan kelahi masa ni.
“Saya sebut tadi anjing kadang-kadang pandai pada kita, anjing dalam kampung, dia kelahi-kelahi masuk rusa, kijang ke, anjing luar, dia bersatu kejar, habis semua kejar belaka. Lepas itu dia kelahi baliklah. Nak kelahi, kelahilah.
“Ini biar kita bersatu dulu bersama beri kepada gabungan baru Perikatan Nasional yang baru, yang ada semangat, yang jernih dalam masa kita memerintah, tak ada apa-apa kes lagi. Biar Umno rehatlah sekejap. Mari sama dengan kita. Sokong.
“Biar kita menang pilihan raya, kita buat perubahan, buat perubahan, pinda kawasan-kawasan pilihan raya. Ubah kawasan pilihan raya. Kalau cukup majoriti dua pertiga. Banyak perkara kita boleh buat. Insya-Allah,” ujarnya.
Seru beliau, PAS mengajak rakyat membuat perubahan di mana PAS akan bertanding lebih 60 kerusi Parlimen dan berusaha untuk menang sekurang-kurangnya 40 kerusi terutama yang telah pernah dimenangi.
Begitu juga setelah memerintah Kelantan, Terengganu, Kedah serta berada dalam kerajaan campuran, PAS cuba untuk menguasai negeri Perlis, Pahang dan Perak pula demi menyelamatkan keadaan.
“Ada orang kita (Melayu-Islam) ni bekerjasama dengan DAP, ketua dia umumkan nak laksanakan Malaysia ini satu bangsa Malaysia saja. Mana nak hapus? Tak boleh, Tuhan jadikan macam-macam bangsa Melayu, Cina, India, tak boleh hapus kebangsaan ini.
“Dia nak hapus. Tak jadi salah dengan banyak bangsa, yang penting adil untuk semua. Dan dia merancang letak calon-calon Melayu. Banyak yang tak tahu siapa DAP ini. DAP ialah parti PAP di Singapura.
“PAP memerintah Singapura, orang Melayu-Islam dilenyapkan sedikit demi sedikit. Ada orang kita sanggup kerjasama dengan dia, makan gaji dengan dia. Jadi calon dia, nak buat macam mana?
“Jadi kita mesti selamatkan keadaan. Mesti Islam berkuasa. Islam memerintah, Islam mentadbir bersama dengan PERIKATAN NASIONAL,” seru beliau.
Terdahulu dalam ucapannya, Tuan Guru turut mendedahkan tindakan DAP-PH dalam membawa agenda Barat dan Komunis ke negara ini menerusi ICERD, Statut Rom dan pelbagai program mereka mengiktiraf unsur asing luar itu. – HARAKAHDAILY 2/11/2022
2. Apabila Melayu DAP memegang teraju
DAP ini merupakan sebuah parti yang mendukung perjuangan sekular, bercita-cita mahu mewujudkan sebuah Malaysia yang sama-rata, tiada beza antara kaum dan agama, iaitu sebagaimana terkandung dalam gagasan ‘Malaysian Malaysia‘ yang dicipta mereka legasi dari mendiang Lee Kuan Yew.
Cita-cita perjuangan ini walaupun tampak adil dan saksama pada kaca mata Barat, ia sesungguhnya cuba merombak dan menghapuskan kontrak sosial yang sedia terjalin, yang terlakar dalam lipatan sejarah negara apabila penduduk asal Tanah Melayu iaitu orang-orang Melayu bersetuju dengan rela hati berkongsi bumi bertuah ini dengan kaum pendatang Cina dan India yang dibawa masuk penjajah Inggeris, memberikan mereka kerakyatan dengan syarat dilindungi dan dipertahankan hak dan kepentingan anak-anak asal Tanah Melayu.
Kepentingan ini termasuklah Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan selain hak dan keistimewaan orang-orang Melayu Bumiputera.
Ternyata bagi DAP sejak tertubuhnya Malaysia pada tanggal 1963, kontrak sosial yang dimaksudkan seolah menjadi tidak relevan. Kerana itu bagi mereka gagasan ‘Malaysian Malaysia‘ tadi perlu dihidupkan kembali agar lahir dan terbentuk sebuah Malaysia baru yang sekular serta liberal, yang meletakkan kaum-kaum utama dalam negara setaraf dan sama sekali gus menghapuskan sebarang hak dan keistimewaan yang dikira mendiskriminasi.
Tuntutan perjuangan ini mengancam kedudukan orang-orang Melayu serta survival politik mereka kerana ianya akan menghapuskan segala warisan dan nilai-nilai jati diri umat Melayu Islam itu sendiri.
Sejak penubuhan mereka DAP yang didominasi pimpinan dan ahli bukan Melayu khasnya dari kaum Cina termasuklah sebahagian kaum India cuma bergerak aktif sekitar kelompok kaum ini sahaja. Ahli-ahli mereka rata-rata bukan Melayu dan mereka popular di kalangan masyarakat bukan Melayu kerana sering ke hadapan dalam memperjuangkan kepentingan kelompok ini.
Isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, pendidikan Cina dan Tamil, pembelajar dan penggunaan bahasa Cina dan Tamil, rumah ibadat dan acara keagamaan serta perayaan bukan Islam diperjuangkan oleh parti ini.
Mereka juga membela kaum bukan Melayu apabila berlaku konflik antara kaum ini dengan pihak berkuasa, kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan. Mereka menjadi wira apabila berhadapan dengan pihak berkuasa.
Tetapi dengan sokongan bukan Melayu semata-mata DAP sedar mereka tidak akan mampu memiliki kekuatan politik di peringkat Nasional. Mereka mungkin boleh berkuasa di Pulau Pinang kerana bentuk demografi penduduk di sana. Tetapi untuk menguasai negeri-negeri lain apatah lagi berkuasa di peringkat Persekutuan mereka tidak akan mampu jika cuma menguasai sokongan bukan Melayu.
Parti Komunis Malaya atau PKM yang diharamkan dahulu pun mengalami masalah yang sama. Perjuangan mereka hanya disokong oleh penduduk bukan Melayu, manakala orang-orang Melayu tidak terpengaruh dengan fahaman Komunis.
PKM bawah kepimpinan mendiang Chin Peng lalu menubuhkan pasukan-pasukan Melayu yang dikuasai sepenuhnya oleh pejuang PKM Melayu dengan harapan mendapat sokongan masyarakat Melayu, lalu ditubuhkan Regimen ke 10. Tetapi gagal kerana orang-orang Melayu menolak fahamannya yang tidak percayakan Tuhan serta hakikatnya didominasi masyarakat bukan Melayu.
Kerana itu DAP mewujudkan Pakatan dengan parti-parti politik Melayu yang boleh mereka pengaruhi dan kuasai. DAP kini berkolaborasi dengan PKR dan PAN dalam Pakatan Harapan (PH).
PH sendat dengan bau perjuangangan DAP sehinggakan apabila mereka menguasai Putrajaya pada PRU ke 14 lalu, gelombang demi gelombang tuntutan perjuangan DAP terpaksa diterima dan dilaksanakan.
Tetapi DAP tidak pernah berpuas-hati. Walaupun mereka memperolehi laba politik yang besar melalui kejayaan menunggang tokoh dan parti-parti politik Melayu, sifat curiga tetap ada terhadap rakan-rakan mereka. DAP bukannya percaya sangat pada Tun Dr Mahathir sebelum ini dan kini Anwar serta Mat Sabu.
Kerana itu DAP terus melahirkan pimpinan Melayu mereka sendiri dengan anggapan jika tokoh-tokoh Melayu yang mereka lahirkan itu mendapat tempat dan akhirnya mampu membina kekuatan menembusi kubu-kubu penduduk Melayu, akhirnya DAP boleh berdiri sendiri tanpa perlu menunggang lagi mana-mana parti termasuklah PKR dan PAN.
Hari ini menjelang PRU ke 15 DAP sudah mula berani memperkenalkan calon-calon Melayu di kerusi-kerusi Parlimen tertentu termasuk di kerusi-kerusi majoriti Melayu. Dikhabarkan mereka akan meletakkan calon-calon Melayu di Kedah, Perak, Selangor dan Pahang.
Calon-calon ini pada perkiraan mereka punya potensi kiranya undi Melayu di kawasan berkenaan berpecah lantaran menyokong BN atau PN dan mereka pula menguasai ‘solid’ undi bukan Melayu.
Sama ada mereka mampu menang atau tidak tertakluk kepada pola pengundi di kawasan-kawasan ini. Pada PRU lalu mereka menang satu kerusi Parlimen melalui calon Melayu di Raub dan beberapa calon Melayu di kerusi-kerusi DUN, selain mampu menawan kerusi-kerusi Melayu melalui calon-calon bukan Melayu.
Jika kali ini mereka berjaya, bermakna DAP akan bergerak lebih agresif membawa agenda perjuangan mereka. Wakil-wakil Melayu bertopengkan DAP ini akan menjadi bukti bahawa orang-orang Melayu pun sudah mula terbuka dan sanggup mengorbankan warisan dan hak mereka demi melahirkan sebuah Malaysian Malaysia.
Ketika itu mereka akan menjadikan bukti bahawa orang-orang Melayu sendiri sudah sanggup memeluk dan mendakap fahaman sekularisma iaitu pemisahan antara agama dan kerajaan atau pemerintahan.
Agama ini biar menjadi perkara ‘personal‘ atau peribadi tidak perlu lagi diurus oleh kerajaan atau dilindungi kuasa kerajaan.
Agama biar diamalkan di masjid, gereja, kuil dan tokong atau di rumah masing-masing, sebagaimana agama dan amalan lain. Tiada keperluan untuk diJabatankan atau diwujudkan Kementerian untuk satu-satu agama, biar ia diurus sendiri oleh penganut masing-masing sebagaimana di negeri maju yang lain.
Jika ketika itu kita bantah maka mereka akan memperagakan wakil-wakil Melayu mereka sama ada yang berstatus Ahli Parlimen mahupun ADUN sebagai bukti bahawa, orang-orang Melayu sudah tak kisah akan hal-hal ini.
Oleh itu berhati-hatilah kita. Calon-calon DAP ini mungkin berkelayakan atau berpengalaman tetapi mereka dilatih dan sangat yakin dan percaya pada perjuangan DAP.
Satu undi untuk mereka bermakna kita rela agama dan bangsa kita dirobah mengikut rentak dan kemahuan DAP.
Beringat sebelum, terlambat. Jangan terhantuk baru mahu terngadah, takut segalanya sudah hilang buat selamanya.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 3/11/2022
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Presiden PAS dedah lagi.. & Bila DAP pegang Teraju..
Tahniah kepada Presiden PAS yang mendedahkan usaha PH tawan Perak, Selangor dan N9. DAP ‘perguna’ Melayu seperti pernah dilakukan PAP.
Begitu juga tahniah kepada Roslan Shahir Mohd Shahir dari Harakahdaily yang mendedahkan 'Apabila Melayu DAP memegang teraju'
Undilah PAS dan rakan kumpulannya!
No comments:
Post a Comment