Tuesday, November 22, 2022

'Tiada keputusan PM..'- Anwar. & konspirasi -Annuar Musa.

 

Menurut Anwar, setakat ini masih belum ada keputusan berhubung calon yang layak untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu. - Foto Astro AWANI

1. Pasca PRU15: 'Tiada keputusan siapa Perdana Menteri buat masa ini' - Anwar

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar perlu ada kesepakatan dan kerjasama dari semua pihak untuk membentuk kerajaan yang kukuh dan inklusif dari segala aspek termasuk ekonomi.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, setakat ini masih belum ada keputusan berhubung calon yang layak untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu.
"Tuanku menitahkan untuk menghadap Baginda bagi menyampaikan pandangan bahawa perlu ada kesepakatan, kerjasama semua pihak supaya kesepakatan itu kukuh dan boleh tumpu perhatian dan kebajikan rakyat dan memulih ekonomi.
[TERKINI] Sidang Media Datuk Seri Anwar Ibrahim I 22 November 2022
"Kerajaan yang akan ditubuhkan kelak harus mewakili semua pihak, semua kaum dan wilayah. Dalam erti kata sebenar, inklusif," kata Anwar dalam satu sidang media selepas selesai menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, di sini, pada Selasa.
Jelas Anwar, beliau juga telah memberikan beberapa pandangan kepada Baginda.
Justeru, sedikit masa diperlukan oleh pihak Istana Negara untuk membuat pertimbangan sebelum keputusan muktamad dibuat oleh Al-Sultan Abdullah berdasarkan kebijaksanaan dan hemah Baginda. (AA)

2. Wujud konspirasi kelirukan Agong pilih siapa PM - Annuar 
Sebarang dokumen cuba dimanipulasi pihak berkonspirasi terbatal dan tidak sah serta tidak berperlembagaan - Annuar. FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa mendakwa wujud konspirasi terancang apabila ada pihak cuba mengelirukan Yang di-Pertuan Agong dalam soal pemilihan Perdana Menteri ke-10.

Tanpa merujuk kepada siapa, Ketua UMNO Bahagian Ketereh mendakwa, pihak terbabit mengemukakan dokumen bercanggah Perlembagaan dan bertentangan keputusan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) diumum hari ini.

"Difahamkan ada pihak sekali lagi cuba 'misled' (mengelirukan) Yang di-Pertuan Agong dengan dokumen bukan saja bercanggah Perlembagaan malah bertentangan keputusan Dewan Tertinggi BN hari ini. 

"Perbuatan menjayakan 'konspirasi terancang' ini amat dan melanggar resolusi diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini serta keputusan Dewan Tertinggi BN," katanya dalam hantaran di Facebook, malam ini.

Semua 30 Ahli Parlimen BN dilaporkan sepakat memutuskan untuk berkecuali daripada menyokong mana-mana nama dicalonkan sebagai Perdana Menteri, selain bersedia untuk menjadi pembangkang.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi dilaporkan membincangkan pendirian BN dan ahli parlimen berhubung pelantikan Perdana Menteri serta penubuhan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan 30 Ahli Parlimen BN untuk mengadap baginda secara individu di Istana Negara, esok pada jam 10.30 pagi

Dalam pada itu, Annuar berkata, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bakal menamatkan polemik pemilihan Perdana Menteri dengan baik dan lancar.

Namun, katanya, kerumitan yang wujud dalam isu ini disebabkan ada pihak dalam BN membuat pakatan sulit atau konspirasi sejak sebelum PRU15, tanpa menyedari perkara itu menjadi satu kesalahan besar serta tidak sah dan terbatal.

"Pertama, dasar parti 'No Anwar, No DAP' diputuskan dalam perhimpunan agung adalah 'binding' (mengikat) semua orang dan tak boleh dirombak mana-mana individu. Sebarang tindakan bercanggah dengan dasar parti adalah 'null and void'.

"Kedua, pendirian anggota parlimen dipilih, untuk menentukan siapa mereka sokong bagi memegang jawatan Perdana Menteri, mesti dibuat tanpa sebarang tekanan sesiapa. Ahli parlimen berhak membuat keputusan mengikut dasar parti diputuskan secara sah.

"Sebarang dokumen lain cuba dimanipulasi adalah terbatal dan tidak sah serta tidak berperlembagaan. Justeru kita yakin kebijaksanaan dan sikap adil serta berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai penguasa mutlak dalam melantik Perdana Menteri," katanya.

Annuar berkata, beliau difahamkan setiap Ahli Parlimen BN akan diberi peluang menyatakan sendiri pilihan mereka, sesuai dengan kehendak perlembagaan dan masalah konspirasi yang terbongkar, akan diurus UMNO dan BN.(BH)

Komen Welog Ibnu Hasyim'Tiada keputusan PM..'- Anwar. & konspirasi -Annuar Musa.

Tunggu lagi esok.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

7 comments:

Anonymous said...

Ke mmg MPs PAS cuma tau angguk2, geleng2, tunduk2 je,

Anonymous said...

RAKYAT TIADA KEPENTINGAN
AHLI AKAR UMBI UMNO TIADA KEPENTINGAN
30 MP UMNO ADA KEPENTINGAN
9 ADUN UMNO PERAK ADA KEPENTINGAN
APA AHLI AHLI AKAR UMBI NAK JAWAB PADA RAKYAT..!?
YANG PUPUS ADALAH UMNO LEPAS INI...

Anonymous said...

Yg kata pas x bijak, itu ayat komunis dapig dan khadamnya nuar. Nuar sangat berkepentingan.

Anonymous said...

Sebarang dokumen yang dibuat bagi memberi tekanan kepada ahli Parlimen daripada menyokong mana-mana Perdana Menteri adalah tidak terpakai dan terbatal.

Bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, dasar ‘no Anwar, no DAP’ seperti yang diputuskan oleh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) adalah dasar yang terikat dan tidak boleh dirombak oleh mana-mana individu.

Konspirasi terancang yang dibuat pihak tertentu adalah amat serius dan telah melanggari dasar PAU dan keputusan Dewan Tertinggi BN.

Rakyat yakin pada kebijaksanaan dan sikap adil dan berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai penguasa mutlak dalam melantik seorang Perdana Menteri

Anonymous said...

(ABATA) Agama Bangsa dan Tanah Air dan UMNO tidak boleh dipisahkan.

JIKA 26 ahli parlimen Umno tidak menyokong Perikatan Nasional (PN), maka membuktikan, bahawa parti itu tidak mengutamakan asas utama perjuangan parti itu.

Adalah jelas, sebahagian besar ahli parlimen yang bersama PN adalah mereka yang mewakili kaum terbesar dalam negara. Menolak kerjasama dengannya, menunjukkan ketidak setujuan, bahawa kaum terbesar dalam negara menjadi pemerintah atau kerajaan.

Jika selepas mengadap YDP Agong, jika terbukti, para MP Umno menolak PN, maka setiap rakyat negara ini khususnya melayu/bumiputera perlu mempertikai perjuangan parti itu, yang bermisi demi Agama Bangsa dan Tanah Air (ABATA).

Anonymous said...

Sebagai parti yg punyai majoriti MP terbesar, ramai yang cadang YDPA melantik Hj Hadi sebagai PM10.

Anonymous said...

Setuju. Sangat setuju.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails