Thursday, December 22, 2022

Cabul, tunjuk kemaluan.. Biadap MP Hulu Langat. & MoU paksa parti PH-BN..

 

Yap Jian Sheng, dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi empat pertuduhan termasuk mencabul kehormatan wanita dan perbuatan lucah di hadapan kanak-kanak - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

1. Penjara, denda RM6,000 cabul, tunjuk kemaluan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM6,000 terhadap seorang pembantu restoran kerana mencabul kehormatan dan menunjukkan kemaluan kepada wanita.

Yap Jian Sheng, 24, menjalani hukuman penjara bermula kelmarin iaitu hari tangkapan dan akan dipenjara tiga minggu lagi jika gagal membayar denda berkenaan.

Majistret Nuzul Izzah Shaharuddin menetapkan keputusan itu selepas Jian Sheng mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan seorang wanita warga asing berusia 27 tahun.

Kesalahan mengikut Seksyen 294(a) KK yang memperuntukkan penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-keduanya.

Dua kesalahan terbabit dilakukan di sebuah residensi sama di Kepong, Sentul, pada jam 2 pagi dan 1.30 pagi masing-masing 14 serta 19 Oktober lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diana Mohamad Saad, memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

"Tindakan tertuduh juga menyebabkan mangsa trauma dan takut. Kejadian itu berlaku pada Oktober lalu, namun mangsa masih ingat insiden yang berlaku.

"Tertuduh bukan saja mengancam keselamatan mangsa, namun kepada masyarakat secara menyeluruh," katanya.

Bagaimanapun, Jian Sheng yang tidak diwakili peguam meminta hukuman minimum kerana perlu menanggung keluarga.

"Saya belum berkahwin dan hanya kerja di restoran selain tinggal di rumah majikan.

"Bapa sakit dan tak bekerja, manakala ibu hanya seorang penjaja. Saya minta denda dan hukuman dikurangkan," katanya.

Sementara itu, Jian Sheng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua lagi pertuduhan amang seksual membabitkan dua remaja perempuan.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal dengan memeluk dan menyentuh kemaluan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

Dengan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Jian Sheng juga didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menunjukkan kemaluan kepada seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 15 (a) (i) akta sama yang membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Dua kesalahan berkenaan dilakukan di sebuah residensi sama di Kepong, Sentul, pada jam 6.30 petang dan 8.30 malam masing-masing 11 Oktober dan 25 November lalu.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin, memohon tertuduh tidak diikat jamin kerana mendatangkan risiko kepada masyarakat.

"Ia memandangkan kesalahan terhadap kanak-kanak dilakukan di kawasan berlainan sekali gus wujud masalah jika tertuduh dilepaskan. Tertuduh tidak akan dapat dikesan jika diberi jaminan kerana tiada tempat tinggal tetap," katanya.

Bagaimanapun, Jian Sheng memohon diberi jaminan atas alasan sudah insaf.

"Saya tidak minta apa-apa kecuali jaminan. Saya diberitahu pengurus saya akan menjadi penjamin, namun setakat ini tidak nampak kehadirannya dalam mahkamah," katanya.

Hakim Tasnim Abu Bakar kemudian tidak menetapkan sebarang jaminan dan sebutan kes seterusnya pada 31 Januari tahun depan. (BH)


2. Perkataan biadab MP Hulu Langat perlu kena tindakan 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen (MP) Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, yang mengeluarkan perkataan biadap semalam.

Awang ketika menjelaskan kekecohan semalam memberitahu bahawa beliau menyatakan: “kami tak mahu menjadi kera.”

Bagaimanapun, katanya Mohd Sany membalas dengan berkata: “Pendang beruk.”

Menurutnya, tindakan Hulu Langat menyalahi Peraturan Mesyuarat Perkara 36(4), iaitu penggunaan sesuatu bahasa, perkataan atau ungkapan yang kurang sopan (biadap) atau apa-apa pernyataan seksis oleh Ahli-ahli Dewan adalah merupakan kesalahan.

Bagaimanapun, Johari berkata tidak `clear’ (jelas) mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Hulu Langat menyebabkan Awang meminta perkara itu diteliti.

Ketika Awang menyuarakan perkara ini, Lip Lim Eng (PH-Kepong), menyampuk dengan mempersoalkan mengapa perkara ini tidak dibangkitkan semalam.

Bagaimanapun, Awang membalas dengan meminta Lim Eng diam kerana tidak tahu apa-apa mengenai perkara dibangkitkannya. – HARAKAHDAILY 20/12/2022


3. MoU paksa parti PH-BN sokong Anwar tidak berperlembagaan 

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan PH-BN menandatangani perjanjian persefahaman bagi menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim dianggap bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin berkata bahawa tindakan melaksanakan MoU dengan memaksa setiap wakil rakyat blok yang menyokong kerajaan PH-BN mengundi sokong Anwar dianggap sebagai bertentangan hak kebebasan bersuara dan berpersatuan.

Menurutnya, tindakan itu dianggap sebagai menyekat dan merosakkan demokrasi dan kebebasan parlimen.

“Langkah itu bertentangan dengan hak-hak setiap individu hendak bercakap,” katanya ketika membahas usul undi percaya kepada perdana menteri pada sidang parlimen hari ini.

Terdahulu usul tersebut dibentang Timbalan Perdana Menter,i Dato’ Seri Fadillah Yusof. 

Baru-baru ini, parti-parti blok PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan menandatangani perjanjian bagi menjamin kestabilan politik serta memacu ekonomi.

Antara kandungan perjanjian itu kegagalan Ahli Parlimen dalam kerajaan PH-BN menyokong perdana menteri dalam usul percaya, perbekalan, atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan, dikira meletak jawatan.

Hamzah berkata bahawa peraturan tersebut jelas bercanggah dengan perlembagaan.

Beliau yang juga ahli parlimen Larut turut meminta perdana menteri mengambil tindakan terhadap media asing yang cuba mengungkit semula isu liwat.

“Tindakan tegas perlu diambil kepada media terbabit kerana memberi gambaran tidak baik terhadap perdana menteri,” ujarnya.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) turut menyokong hujah Hamzah dengan menyebut MoU persefahaman bertentangan dengan Akta Kontrak dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

Malah katanya, Majlis Peguam Malaysia juga menyifatkan MoU tersebut sebagai bertentangan dengan pelembagaan. – HARAKAHDAILY 19/12/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Cabul, tunjuk kemaluan.. Biadap MP Hulu Langat. & MoU paksa parti PH-BN..

Itu berbagai macam biadap..

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails