Monday, December 05, 2022

DAP belajar PRU14 22 bulan, burukkan Islam, PH=BN..

 


1. DAP belajar daripada PRU14, elak berulang kerajaan 22 bulan

ROMPIN: DAP bersembunyi dari menunjukkan wajah dan watak-watak sebenar parti itu sepanjang PRU15 ini kerana tahu rakyat sangat menolak mereka, demikian kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kerana itu jugalah menurutnya, DAP meletakkan calon-calon Melayu bertanding di kawasan Melayu di mana penonjolan parti itu sedang lakukan adalah perubahan imej dan pendekatan, namun dengan media yang terbuka, rakyat dapat menilai.

Hinggakan sindirnya, satu bendera DAP pun tidak kelihatan dan beliau mencabar Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng mahupun mana-mana pimpinan DAP tampil pada PRK N.42 Tioman dan P.017 Padang Serai, tanpa berselindung di sebalik apapun.

Beliau berkata demikian pada sesi ditemubual dihoskan Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya dalam Sembang Santai sempena PRK N.42 Tioman di Bandar Baru Rompin, di sini semalam.

Menjawab mengenai PAS yang dikatakan asyik menyerang DAP, beliau menegaskan tentangan terhadap dasar dan pembawaan cauvinis serta perkauman oleh parti itu di mana hal tersebut sememangnya diketahui ramai.

“Ini bukan perkara baru, 22 bulan cuba tengok balik, buka balik fail lama waktu pemerintahan tersebut.  Ada pihak yang mengatakan bahawa kerajaan hari ini bukan didominasi oleh DAP. Tapi sebenarnya parti yang paling besar di kalangan mereka ialah DAP. 

“Dan ini di antara isu yang jelas. Bagi kita, kita nak penyatuan perpaduan negara dipelihara dan kita tak mahu melihat bahawa ada elemen perpecahan. Islam mengajar perpaduan. Islam menganjur keharmonian, Islam menganjurkan soal perpaduan antara semua bangsa dan kaum.

“Maka kalau kita sebagai parti Islam, dasarnya begitu, arahan Allah begitu, arahan Nabi begitu, maka kita follow. Dan tak timbul kita anti kaum-kaum lain di negara kita,” jelasnya bahawa perseteruan dengan DAP bukanlah bersifat anti kaum.

Sebaliknya PAS akui beliau, melantik kaum bukan-Melayu dan bukan-Islam duduk dalam kerajaan ditadbirnya, serta tidak berlaku isu perkauman di negeri-negeri diperintah PAS di mana kaum-kaum berkenaan hidup tanpa masalah.

Bidas beliau, DAP telah membawa sikap perkauman yang sempit dan nilai-nilai tidak membina seperti ditunjukkan parti itu sewaktu PAS membawa RUU355 berkaitan peruntukan perundangan Mahkamah Syariah di Parlimen.

"Siapa yang bawa fail ke mahkamah dua tiga kali? DAP juga ya. Sama juga bila isu tulisan Jawi, siapa yang timbulkan? DAP juga. Isu institusi Raja-raja, satu masa sampai kritik dengan bendera terbalik. Siapa dia? DAP juga. Jadi itu di antara sebab-sebabnya. 

“Kalau kita lihat semua sekali, kenapa (terjadi sesuatu isu)? Maka kita akui bahawa di sebaliknya ialah (adanya) DAP. Bukan kita anti-Cina, bukan anti-India. Saya hubungan peribadi waktu jadi Menteri, saya berjumpa Ketua Menteri Pulau Pinang, pemimpin DAP saya jumpa.

“Dan mereka pun datang jumpa saya, bincang masalah dalam negara. Saya kata okey, kita cuba bantu. Saya tak pernah kira kawasan itu DAP, negeri DAP. Sebab itu parti yang memerintah. Tapi dari segi rakyat, kita jaga. Contohnya bila berlaku bencana alam, bukan tanya parti mana.

“Jadi kita sebagai Menteri, kita luluskan peruntukan bajet semua kawasan, termasuk kawasan DAP. Sebab itu saya beritahu orang Cina, kami tak pernah benci kaum Cina. Tapi bila kita dalam konteks parti, pertembungan dasar parti tersebut.

“Kita harus menerima hakikat bahawa DAP banyak menimbulkan, mengganggu pelbagai sentimen,” ujar beliau yang kini ADUN Cheka, Pahang dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan. – HARAKAHDAILY


2. DAP sering pamer agenda burukkan Islam 

KOTA BHARU: DAP tidak mampu lagi menafikan parti itu sering bersikap ekstrem dan giat mempromosi Islamofobia seperti yang berlaku sekarang.

Ketua Penerangan PAS Kelantan Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, situasi itu dapat dilihat antaranya kenyataan pemimpin DAP Perak Nga Kor Ming yang mendakwa, Malaysia akan menjadi ‘Afghanistan’ sekiranya Bersatu yang berasaskan Melayu dan PAS dengan dasar Islamnya berkuasa.

Katanya laporan tersebut dikeluarkan portal yang ada hubungan rapat dengan DAP.

“Ia tidak dapat dinafikan lagi biarpun Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil cuba mempertahankan DAP dengan mendesak pemimpin PAS membuat laporan polis.

“Lebih malang lagi, kenyataan-kenyataan ekstrem tersebut berterusan dikeluarkan pemimpin DAP tanpa ada teguran sekutu mereka dalam Pakatan Harapan terutamanya Amanah yang sebelum ini mendakwa sebuah parti Islam,” katanya pada kenyataan di sini.

Baru-baru ini Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan DAP yang juga komponen Pakatan Harapan (PH) sebagai parti ekstrem dan mempromosi Islamofobia.

Mohd Nassuruddin yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, perkembangan mutakhir ini, kenyataan pemimpin DAP jelas mempamerkan agenda yang berniat memburukkan Islam.

“Ibaratnya, tidak mampu sekadar menutup bangkai gajah dengan nyiru.
Menjadi sunnatullah bahawa sesiapa jua musuh sentiasa berusaha untuk memadamkan cahaya Allah namun pastinya gagal.

“Sejarah menyaksikan betapa berlakunya di beberapa negara, gerakan Islam sering ditekan dan pemimpinnya dipenjara, malah ada yang diseksa dan dibunuh.

“Namun atas kehendak Allah, sampai masanya kemenangan tetap datang dan tiada siapa mampu menghalangnya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 30/11/2022


3. Rupa-rupanya undi PH dapat BN, undi BN dapat PH 


KUALA LUMPUR: Penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini menyangka kedua-dua parti terbabit membawa agenda yang berbeza.

Ketua Penerangan Bersatu, Dato’ Wan Saiful Wan Jan berkata, rupa-rupanya apa yang difahami pengundi ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu tidak berlaku.

“Rupa-rupanya undi PH dapat BN, dan undi BN dapat PH. Habis seluruh negara ditipu oleh PH dan BN yang sanggup menjual maruah diri demi jawatan dan harta,” katanya pada program Agenda Awani, di saluran Astro Awani malam tadi.

Sebelum ini BN secara jelas menolak PH, malah ia dipertegaskan pada Perhimpunan Agung Umno tahun lepas ‘No Anwar No DAP’. 

Bagaimanapun kelmarin, Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan memberitahu bahawa kerjasama BN dan PH yang merangkumi DAP pasca PRU15 tidak akan menghilangkan identiti dan prinsip parti itu.

Malah menurutnya prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu adalah untuk berdepan PRU15 dan bukannya selepas PRU15.

Wan Saiful berkata, berdasar perkembangan yang berlaku itu menyebabkan rakyat semakin muak dengan pemimpin politik. 

“Mereka yang merosakkan kepercayaan rakyat, habis semua orang politik terpalit. Sedangkan tidak semua orang politik begitu.

“Saya harap rakyat sedar bahawa tidak semua orang politik itu sama. Yang sama hanyalah PH dan BN. Tolonglah, jangan tuduh kami sama seperti PH dan BN,” ujarnya. 

Beliau juga bimbang perkembangan politik negara yang berlaku sekarang menyebabkan rakyat makin muak dan tidak mempercayai lagi orang politik.

Menurutnya sentimen seperti itu menjadi lebih meluas apabila rakyat melihat kerakusan orang politik mengejar kuasa, seperti yang ditunjukkan PH dan BN. 

“Kami dalam PN tegas berpegang dengan prinsip. Kami ada agenda perjuangan jelas dan kami mahu kerajaan yang bersih demi menjaga kebajikan rakyat. 

“Kami tak sanggup menggadai prinsip semata-mata untuk mengejar jawatan dan harta. 

“Saya nak tanya penyokong BN dan PH. Apa perasaan saudara saudari dengan pemimpin PH dan BN hari ini? Ada rasa malu dengan sikap pemimpin anda, atau semuanya sudah beriman dengan konsep ‘malu apa bossku?’,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/12/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: DAP belajar PRU14 22 bulan, burukkan Islam, PH=BN..

Kini itulah realitinya.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment