Friday, December 09, 2022

Gabenor wanita Islam Thai.. & Kartel masalah pesawah.

 

Pateemoh Sadeeyamu. - Foto AGENSI

1. Gabenor wanita Islam pertama Thailand tekad banteras dadah, tingkat taraf hidup penduduk

PATTANI: Gabenor wanita Islam pertama Thailand, Pateemoh Sadeeyamu komited dalam membanteras penyalahgunaan dan penagihan dadah, sekaligus meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan.

Pateemoh, Gabenor Pattani yang baharu mahu bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk membasmi penyalahgunaan dadah khususnya di kalangan belia.

"Kajian mendapati dadah adalah masalah utama mengancam keselamatan negara dan merosakkan masa depan para belia di empat wilayah di selatan Thailand.

"Statistik daripada pihak penjara mendapati 80 peratus banduan terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah di selatan Thailand. Sehubungan itu, membasmi penyalahgunaan dadah merupakan salah satu fokus saya," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Pateemoh berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan termasuk Komander Tentera Bahagian Ke-4 Leftenan Jeneral Santi Sakuntanark untuk mengkaji semula peraturan dan polisi kerajaan dalam usaha memerangi gejala penagihan dan penyalahgunaan dadah.

Selain itu, beliau berikrar untuk meningkatkan sosio-ekonomi dan taraf hidup penduduk tempatan.

Pateemoh, 57, adalah antara 37 pegawai tinggi dari Kementerian Dalam Negeri (Interior Ministry) dilantik untuk mengisi kekosongan jawatan gabenor bulan lalu.

Bekas timbalan gabenor Phatthalung, Narathiwat dan Yala itu mempunyai pengalaman luas dan pemahanan mendalam akan empat wilayah di selatan itu.

Selain itu, beliau pernah berkhidmat di Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), sebuah agensi kerajaan tempatan yang menyelaraskan pentadbiran wilayah sempadan selatan.

Pateemoh turut berterima kasih dengan lantikannya sebagai gabenor di Pattani.

"Ini adalah satu pengiktirafan kerajaan terhadap golongan wanita dalam menerajui kerajaan tempatan khususnya di selatan Thailand.

"Saya berharap lantikan ini akan memberi inspirasi dan motivasi kepada golongan wanita bukan sahaja di selatan Thailand tetapi seluruh negara untuk membina kerjaya dan profesion dan sekaligus membuktikan wanita setanding dengan lelaki dalam setiap aspek," katanya.

Sementara itu, Pengarah Deep South Watch, satu kumpulan pemikir yang memantau keganasan di selatan, Dr Srisompob Jitpiromsri berkata lantikan Pateemoh adalah petanda positif bahawa kerajaan prihatin dan komited untuk membawa pembangunan ke wilayah paling selatan di Thailand.

"Ini adalah satu titik permulaan yang baik. Pateemoh akan memainkan peranan yang penting untuk membangun Pattani dan juga membawa kedamaian di wilayah selatan," katanya.

- BERNAMA


2. Kartel punca masalah pesawah, beritahu Sanusi kepada Anwar 

PETANI sawah padi miskin bukan kerana syarikat-syarikat konglomerat tidak membantu mereka memberi wang RM10 juta atau RM50 juta. Mereka miskin kerana kitaran penghasilan padi dan industri padi telah dikawal oleh kartel-kartel besar sejak puluhan tahun lamanya. 

Malah sebelum wujudnya BERNAS dan LPN pun petani sudah miskin. Sejak sistem padi kunca mula dikenakan oleh pemborong dan pengilang padi, kemiskinan pesawah padi telahpun direncana supaya tidak akan berakhir.

Lama sebelum wujudnya MADA pada 1973, pesawah padi telahpun miskin. Jeha dan Lahuma, adalah watak sebenar keluarga petani Melayu miskin dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, dan kemiskinan Jeha dan Lahumalah yang mendorong ditubuhkan MADA. 

Setelah sekian bilion ringgit bantuan dan subsidi diturunkan melalui agensi-agensi di rancangan penanaman padi, petani kekal miskin, laba dan manisnya telah pergi kepada pihak lain. 

Segala sudut dalam industri padi, daripada input benih, baja, racun, mesin dalam proses penanaman sehinggalah kepada pemasaran, pengilangan, dan pengurusan skim bantuan – ada pihak yang telah mengawalnya sejak puluhan tahun dan merekalah pihak yang paling beruntung. Mereka inilah sebenarnya kartel padi.

Kartel padi telah membelit sistem, kaedah dan proses dalam industri penanaman padi dengan pelbagai pendekatan. Dari atas sampai bawah, dari benih subsidi padi sampai ke timbangan dan potong basah di kilang, dari traktor, jetuai hinggalah kepada lori, dari input baja, racun, kuota benih dan variety, dari parit gila hingga ke MAFI, dari PPK hingga ke NAFAS, semuanya berada dalam mulut naga.

Jika keseluruhan sistem yang terbelit ini tidak dirungkai, 10 orang Syed Mokhtar pun tidak akan berupaya mengeluarkan petani daripada kemiskinan mereka. 

Berapa lamakah seorang Syed Mokhtar sanggup memberikan RM50 juta setahun untuk menyelesaikan kemiskinan pesawah padi? Mengarahkan orang kaya import beras menyumbang kepada petani adalah langkah populis, menunjuk-nunjuk, bukan langkah menyelesaikan masalah kemiskinan petani.

YAB MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 6/12/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Gabenor wanita Islam Thai.. & Kartel masalah pesawah. 

Gabenor wanita Islam pertama Thailand, Pateemoh Sadeeyamu komited dalam membanteras penyalahgunaan dan penagihan dadah, sekaligus meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan, selatan Thai.

Di Malaysia, Kartel mnjadi punca masalah pesawah, Sanusi MB Kedah beritahu kepada PM 10 Anwar. Al-hamdulillah!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

1 comment:

Anonymous said...

Tumpo parti kris. Lambat sangat pecat presiden. Udah ramai yg kena pecat pulok.
Zaman atok, sorang jer kena pecat.
Zaman ajib, muhiaddin kena pecat.
Zaman wak, paling ramai kena pecat.
Bila pecat muhiaddin, parti mula hilang ahli.
Masa wak, mungkin parti sedang nazak.
Jom pakat pakat keluar parti.
Bior wak sorang jer yg tinggal.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails