Tuesday, December 27, 2022

Hadiah buat rakyat Argentina Disember 19..

 

Lionel Scaloni (dalam bulatan) memberi motivasi kepada pemainnya ketika masa tambahan final Piala Dunia menentang Perancis di Stadium Lusail. - AP

DOHA: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni yang menjadi perancang di sebalik kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti gergasi Amerika Selatan itu ke atas Perancis pada aksi final Piala Dunia 2022 menyeru seluruh rakyat negara itu untuk menikmati kejayaan berkenaan.

"Ini adalah detik untuk dinikmati, terutamanya rakyat Argentina," kata Scaloni kepada saluran media rasmi Piala Dunia di Doha selepas aksi final yang penuh dramatik di Stadium Lusail.

Argentina mendahului 2-0 pada separuh masa pertama dan 3-2 ketika berbaki seminit sebelum tamat masa tambahan menerusi dua gol Lionel Messi dan satu gol Angel Di Maria sekali gus meletakkan pasukan itu di ambang kejuaraan.

Bagaimanapun, hatrik Kylian Mbappe membolehkan Perancis kekal bersaing sehingga mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti.

Penjaga gol, Emiliano Martinez menyelamatkan sepakan Kingsley Coman dan Gonzalo Montiel yang berjaya menyempurnakan sepakannya memberikan Argentina kejuaraan Piala Dunia buat kali ketiga dan yang pertama sejak mendiang Diego Maradona membantu pasukan itu memenanginya pada 1986.

"Inilah yang berlaku hari ini, mereka (Perancis) bertindak balas dan pujian perlu diberikan kepada mereka," kata Scaloni, 44, yang turut membimbing Argentina memenangi Copa America tahun lalu, sekali gus menamatkan penantian 28 tahun untuk trofi utama.

"Secara keseluruhannya, ia adalah satu pencapaian yang luar biasa untuk berada di puncak, ia adalah sesuatu yang unik."

Scaloni turut memberi penghormatan kepada kedua ibu bapanya apabila berkata: "Mereka mengajar saya untuk tidak berputus asa dan tidak menentang orang lain sebaliknya terus bergerak ke hadapan. Hari ini, ia membuahkan hasil.

"Saya bertuah berada di sini dan berterima kasih kepada semua," katanya. - AFP

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment