1. Harga telur turun ke tidak?SHAH ALAM - Harga telur ayam terus menjadi tanda tanya apabila Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu masih 'mengunci mulut' meskipun perkara itu telah dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.
Anwar sebelum itu memaklumkan, Mohamad Sabu akan mengumumkan harga telur baharu yang lebih rendah pada Selasa.
Namun beliau dalam kenyataan hanya menyatakan mengenai langkah mengimport telur daripada beberapa negara sudah dikenal pasti dalam usaha menampung keperluan pasaran tempatan pada harga yang lebih rendah.
Katanya, itu antara langkah jangka pendek yang diambil kementeriannya, selain akan memastikan telur ayam yang diterima itu selamat daripada penyakit dan menepati piawaian ditetapkan.
Bagaimanapun, Mohamad langsung tidak menyebut mengenai harga telur ayam yang dijanjikan lebih rendah itu.
Di Semenanjung, harga siling bagi telur Gred A ialah 45 sen; 43 sen bagi telur Gred B; dan 41 sen bagi telur Gred C.
Di Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan pula, harga siling berbeza mengikut zon dan daerah.
Isu telur ayam mula hangat susulan dakwaan bahawa barangan asas itu semakin berkurangan di pasaran sehingga menyebabkan berlaku peningkatan harga.
Dalam pada itu, Anwar turut ‘menegur’ Mohamad ekoran masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran.
“Ini telur tak dak,” katanya kepada Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam loghat utara ketika bersalam dengan Presiden Amanah itu sebelum mesyuarat khas kabinet hari ini.
2. Tin Milo, tabung buluh dan dana syarikat judi
PAS bukan 'pelahap' wang, tak 'kebuloq' duit haram
PAS hingga ke hari ini masih lagi diejek sebagai ‘parti tin Milo’ kerana amalan mengutip derma daripada ahli dan pimpinannya dalam setiap program atau aktiviti dijalankan. Orang luar terutama musuh politiknya PAS menjadikan ini bahan mentertawa, memperlekehkan dan menghina PAS.
Namun, lain sungguh dengan ahli dan pimpinan PAS, derma diberikan itu adalah sedekah, infak dan wakaf yang disungguhkan serta menghadirkan rasa kepuasan sendiri. Ia sekurang-kurangnya menjadi amal peribadi yang diyakini tercatat sebagai bekalan soleh untuk diganjari pahala di Hari Akhirat nanti.
Malah, ia diimani sebagai satu daripada jihad diri ke arah perjuangan meninggikan agama Allah SWT yang termasuk jual beli dagangan diserukan di dalam Al-Quran. Sungguhpun majoriti orang PAS adalah kalangan yang daif harta, tetapi terlihat mereka memenuhi ciri ‘al-masakin wabnassabil’.
Bekas Presiden PAS, Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor bahkan pernah menyifatkan bahawa duit parti itu berada dalam poket ahli-ahli PAS. Pun begitu, dari kemiskinan atau kedaifan itulah PAS memiliki aset-aset sendiri. Usah kata di peringkat Badan Perhubungan Negeri, hatta PAS Cawangan-cawangan juga.
Secara umum, di peringkat organisasi paling bawah pun, PAS memiliki sekurang-kurangnya dua premis iaitu Markas PAS Cawangan dan prasekolah PASTI. Markas biasanya berfungsi untuk kegiatan tarbiyah, pentadbiran dan pilihan raya di mana ada yang berasingan. Begitu juga PASTI, selain pendidikan, dimanfaatkan bagi kegiatan lain.
Itu tradisinya PAS di mana-mana terutama sebelum era 80-an, tetapi setelah itu premis atau aset PAS kian bertambah seperti kewujudan sekolah rendah dan menengah, pusat khidmat wakil rakyat dan lain-lain lagi. Itupun, ada aset pernah ‘dibawa lari’ oleh kalangan mereka yang keluar PAS bertukar parti.
Selain tin Milo, tabungan PAS juga dibuat dengan pelbagai cara yang antara lain turut popular adalah tabung buluh. Selalunya ia dikhaskan sebagai tabungan untuk pilihan raya; banyak negeri berbuat demikian. PAS Negeri Kedah misalnya, mengadakan kempen tabungan 5 kupang (50 sen) sehari.
Ya, kutipan syiling! Kerana itulah pada ceramah PAS dihadiri ribuan orang, biasanya pengutip derma PAS terpaksa pulang menjelang Subuh kerana membuat kiraan dan penjumlahan syiling dan kertas RM1. Jumlahnya jauh lebih besar dari angka kehadiran ke program-program anjuran PAS.
Jarang-jarang menemui wang RM5 atau RM10 atau RM20, apatah lagi RM50 atau RM100 yang dianggap perhatian jika berada dalam karung derma PAS. Tetapi istimewanya kutipan derma sedemikian, terkadang ditemui matawang Riyal, Dolar, Rupiah, dinar, rantai atau gelang emas dan cek dengan nilai ribuan Ringgit.
Tetapi derma ahli atau pimpinan PAS ini tidak terhad kepada syiling atau nilai Ringgit kecil. Sebaliknya ada yang memberi infak tetap secara bulanan dari potongan pendapatan atau bermusim seperti hasil dari sawah padi, kebun kelapa, sawit, getah atau durian. Juga wasiat atau wakaf berupa tanah atau bangunan.
PAS menambah kewangannya dengan potongan wajib ke atas semua Ahli Parlimen, ADUN dan lantikan-lantikan politik. Kerana itu tiada mereka tersebut yang menjadi kaya atau hidup mewah dengan jawatan politik. Jika adapun, biasanya ia dari perolehan pendapatan sedia ada misalnya perniagaan atau profesion lain mereka sedia ceburi.
Bahkan jawatan politik tidak dijadikan kesempatan untuk mengaut projek bagi kepentingan diri. Jika ada yang demikian, mereka biasanya ‘tak tahan lama’, sama ada berhenti atau keluar PAS atau ‘meloroih‘ (kendur) dengan sendirinya dari perjuangan dibawa PAS.
Membanggakan juga, di dalam PAS tiada budaya kepentingan mengaut keuntungan dengan memperalatkan jemaah untuk perniagaan peribadi. Sebaliknya, ramai usahawan dan jutawan di dalam PAS, adalah penyumbang tetap dan besar kepada kewangan parti.
Bahkan sumbangan derma PAS tidak terhad untuk kegiatan parti semata-mata. Setiap kali dicanang kutipan derma seperti membantu kepentingan kemanusiaan sejagat, lebih-lebih lagi umat Islam, orang PAS cepat menghulur. Duit orang PAS telah sampai ke Palestin, Syria, Yaman, Myanmar, Indonesia dan banyak negara lain lagi.
Sampai terkadang, semangat bersedekah dalam kalangan orang PAS hingga ‘bergaduh’ di warung kedai kopi kerana berebut untuk membayar makan menjamu sahabat-sahabat seperjuangan. Masing-masing kejar peluang meraih pahala yang diimani dengan amalan tersebut.
Habis mewah pun orang PAS cari duit adalah melalui penganjuran majlis makan malam yang dibuat di hotel, tetapi sasaran selalunya adalah para hartawan atau korporat. Tetapi lebih banyak melalui majlis makan yang orang PAS sendiri masak ala-kenduri ramai-ramai.
Takwa dan tangani judi
Cermat, teliti dan waspadanya PAS menerima wang juga tidak sewenang-wenangnya, apabila sumber ragu atau ‘shubhah’ tidak diminta-minta melainkan ada pemberian dengan mengisytiharkannya. Ia sebagaimana ditetap syarak, digunakan bagi maslahah ammah dan tidak bagi kegunaan parti secara khas.
Jika begitu sikap PAS dengan wang, sudah tentu untuk ‘kebuloq’ mengambil wang dari hasil atau sumber judi yang sah haram di sisi Islam adalah satu fitnah. Tetapi itulah satu lagi pembohongan terkini diungkap Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas kapasiti Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, semalam.
Namun menariknya adalah reaksi balas para penyokong PAS apabila mempersoalkan logik tuduhan Presiden PKR itu. Ia melucukan kerana PAS diketahui umum cukup tegas dengan hasil dosa seperti itu di mana di negeri ditadbir PAS, lesen premis judi tidak dikeluarkan, hatta arak juga dikawal.
Malah, PAS satu-satunya parti yang mempunyai ‘roadmap’ menghapuskan judi sepenuhnya pada tahun 2025 jika diberi mandat mengetuai Kerajaan Persekutuan. Bukan sahaja PAS akan menutup kasino di Genting Highlands, tetapi tiada lagi lesen kegiatan judi, termasuk akan memerangi judi atas talian dan seumpamanya.
Sudah tentu, satu kebodohan nyata apabila ada tauke atau syarikat judi sanggup memberi derma mendanai PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) pada PRU15 baru-baru ini. Kerana akhirnya nanti, dengan kemenangan itu PAS akan menutup terus semua rangkaian perjudian. Lain kali nak tuduh, biar cerdik!
Mengundang jenaka hiburan kepada penyokong PAS juga dari tuduhan itu, apabila ia dianggap seperti kata-kata bahawa si pencuri menjerit orang lain pencuri agar ia dapat mengalih perhatian untuk dirinya lolos lari. Belumpun Anwar sahkan semakan maklumatnya, beliau sudah menuduh terbuka demikian.
Apakah ‘keyakinan’ dimiliki Anwar itu kerana dalam simpanan memori beliau pihak partinya atau sekutunya pernah menerima sedemikian atau memiliki hubungan dengan pihak judi dimaksudkan? Kamu sendiri tahu sejauh mana sekutu kamu ‘pelahap’ wang daripada sumber seperti itu.
Malang sekali, di sebalik tuduhan dikutip selongkar Anwar entah dari timbunan sampah di mana itu, orang mula melihat cubaannya ‘divert’ isu terhadap tekanan dihadapi beliau ekoran muslihat penipuan dan pelantikan Kabinet dianggotai individu yang mempunyai kes-kes mahkamah.
Tindakan mengurangkan cabutan khas judi diumumkannya juga dilihat tidak memberi sebarang penyelesaian holistik terhadap isu judi dihadapi dalam negara. Sebaliknya dilihat Anwar seperti ‘menghargai’ sokongan dibuat kepada Pakatan Harapan (PH), di mana pengumuman itu lebih menguntungkan pengendali perjudian.
Sebagai menyangkal fitnah di puncak tertinggi kekuasaan negara itu, mari semua yang bersolidariti bersama PAS menjulangkan keikhlasan dan saham Akhirat dengan menambah sumbangan derma kepada PAS. Bersama ini dilampirkan nombor-nombor akaun PAS Pusat, Negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan untuk tujuan tersebut.
IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my – HARAKAHDAILY 6/12/2022
LAMPIRAN
• PAS Pusat: 14023010000885 (Bank Islam)
• PAS Perlis: 09010010005759 (Bank Islam)
• PAS Kedah: 02011010006747 (Bank Islam)
• PAS P. Pinang: 557401508611 (Maybank)
• PAS Perak: 08013010040972 (Bank Islam)
• PAS Selangor: 562106728214 (Maybank)
• PAS W. Persekutuan: 1402301000639 (Bank Islam)
• PAS N. Sembilan: 05030010000462 (Bank Islam)
• PAS Melaka: 04010001489711 (Bank Muamalat)
• PAS Johor: 551593512316 (Maybank)
• PAS Pahang: 06028010000076 (Bank Islam)
• PAS Terengganu: 13017010021328 (Bank Islam)
• PAS Kelantan: 03018010006910 (Bank Islam)
• PAS Sarawak: 11013010023984 (Bank Islam)
• PAS Sabah: 10016010082855 (Bank Islam)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mat Sabu, harga telur? PAS, tin milo, tabung buluh & judi.
Itulah antara politik di kalangan rakyat.
PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015
No comments:
Post a Comment