Wednesday, December 21, 2022

‘Pakatan jahat’ MoU -Lapor polis. & Bekalan telur runcing.

 


1. 
Pemuda PN lapor polis ‘pakatan jahat’ MoU mudaratkan demokrasi

Pemuda Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis berhubung ‘pakatan jahat’ antara pemimpin parti-parti pemerintah berkaitan Perjanjian Persefahaman Kerjasama (MoU), yang didakwa merosakkan dan memudaratkan demokrasi.

Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan perjanjian antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan WARISAN itu memudaratkan kerana ia memaksa Ahli Parlimen (MP) gabungan mengundi usul dibawa kerajaan.

“Jadi hari ini kami Pemuda Perikatan Nasional datang ke balai polis Dang Wangi untuk membuat satu laporan berhubung MoU yang telah pun ditandatangani oleh parti-parti yang berada dalam kerajaan pada hari ini.

“Bagi kami MoU yang telah ditandatangani ini merupakan satu pakatan yang mencerobohi hak dan kebebasan ahli-ahli Parlimen untuk mengundi dengan adil dan bebas di dalam Parlimen.

“Dan bagi kami ia telah pun merupakan satu aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen di bawah Seksyen 124b Akta 574 dan percubaan aktiviti memudaratkan demokrasi Parlimen di bawah seksyen 124c Akta 574.

“Ia juga bersalahan dengan undang-undang Malaysia di bawah Seksyen 225b Akta 574 dan memuat seperti perjanjian yang kesan dan objektifnya adalah haram dan tidak sah melanggar Seksyen 24 dan 25 Akta Kontrak 1950 yang merosakkan dan memudaratkan demokrasi Parlimen bercanggah dengan polisi awam dan tidak dibenarkan di sisi undang-undang dan berunsur salah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah mengetuai Pemuda PN membuat laporan hari ini (18 Disember 2022).

Ahmad Fadhli yang juga MPO Pasir Mas berkata Pemuda PN melihat bahawa tindakan itu menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak yakin dengan kesetiaan MP sehingga terpaksa membuat MoU yang jelas sekali mengetepikan hak dan kebebasan MP untuk mengundi

Katanya MoU yang dibuat itu jelas sekali telah mengetepikan kebebasan MP untuk mengundi berdasarkan kepada kebebasan dan juga berdasarkan kepada pemikiran yang bebas daripada MP itu sendiri.

“Kalau macam ni baik tak payah pilih ahli Parlimen… kita kira pergi daftar kehadiran dan terus buat blok-blok sahaja mengundi atau pun tak payah pilih ahli Parlimen terus… sebab ahli Parlimen tak payah bahas… tak payah undi… tak payah habiskan masa untuk buat sidang Dewan Rakyat.

“Jadi yang penting kita minta supaya polis dapat menyiasat laporan ini dan kalau terbukti ia benar-benar melanggar undang-undang kita minta supaya mereka yang merancang, mereka yang bersubahat, mereka yang menandatangani perjanjian seperti ini dapat diheret ke muka pengadilan,” katanya lagi.

Menyifatkan MoU itu juga sebagai tindakan memperdagangkan manusia, Ahmad Fadhli mengambil kesempatan menyeru MP yang ada supaya tidak sesekali membiarkan diri dan maruah mereka digadai pemimpin parti politik.

“Ini lebih daripada memperdagangkan manusia kerana ahli-ahli Parlimen sudah digadai oleh pemimpin parti masing-masing. Tak tahulah berapa nilai yang mereka gadaikan tetapi rupa-rupanya sangat murah harga ahli-ahli Parlimen hingga digadai dengan betitu murah oleh pemimpin parti masing-masing.

“Jadi yang penting kita sebagai ahli Parlimen dipilih oleh rakyat, kita hendaklah berfungsi sebagai wakil rakyat bahas dan mengundi berdasarkan kepada apa yang kita fikir ia baik untuk rakyat, bukannya membuat ugutan kalau mengundi bertentangan dengan pimpinan parti masing-masing kerusi terus terlucut itu satu ugutan yang merendahkan mentaliti dan juga tahap pemikiran ahli-ahli Parlimen,” katanya.

PH, BN, GPS, GRS, dan Warisan yang membentuk ‘kerajaan perpaduan’ menandatangani perjanjian itu kelmarin, menjelang usul undi percaya terhadap Anwar pada Isnin di Dewan Rakyat.

Antara kandungan perjanjian itu ialah kegagalan MP dalam kerajaan PH-UMNO mengundi atau menyokong perdana menteri dalam usul-usul berkaitan dengan usul percaya, perbekalan, atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan, dikira meletak jawatan. (https://www.agendadaily.com)


2. Bekalan telur di lima negeri makin meruncing

KUALA LUMPUR: Bekalan telur ayam di pasar raya dan kedai runcit di lima negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Melaka dilihat semakin meruncing berikutan banyak pihak, termasuk pengguna dan peniaga mengakui berdepan kesukaran mendapatkan bekalan itu ketika ini.

Di Perak, tinjauan Bernama di sebuah pasar raya segar di Bandar Meru Raya, Ipoh mendapati berlaku pengurangan stok telur ayam sehingga tiada bekalan mahupun simpanan di premis itu manakala beberapa kedai runcit pula boleh didapati dalam kuantiti amat sedikit.

Seorang pekerja kedai runcit Muliadi Abdul Jalil, 32, berkata kekurangan bekalan telur berlaku sejak kira-kira tiga bulan lepas apabila premis berkenaan sebelum ini pernah menerima bekalan telur sebanyak 60 papan, tetapi kini hanya memperoleh separuh daripada tempahan atau lebih sedikit akibat ketiadaan stok.

Menurut seorang lagi pekerja kedai runcit Fikri Abdul Rahman, 23, premis itu juga hanya memperoleh separuh bekalan telur iaitu hanya kira-kira 60 papan berbanding 150 papan sebelum ini.

Di Pulau Pinang, pengusaha kedai makan di Bandar Perda, Azhar Basirun, 59, berkata beliau perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 60 biji telur ayam setiap hari untuk perniagaannya, namun terpaksa membeli di beberapa kedai runcit berikutan peniaga mengehadkan pembelian 10 biji sahaja untuk seorang.

Pengguna Muhammad Haris Omar, 42, turut mengakui bekalan telur ayam terhad dan harganya agak mahal berbanding kebiasaan, justeru beliau berharap masalah itu dapat diselesaikan segera oleh pihak berkuasa kerana telur antara sumber makanan yang murah untuk keluarga B40.

Bagi seorang peniaga telur ayam di pasar di Kepala Batas, Amirul Muizz, 45, beliau sendiri mendapat bekalan yang sedikit iaitu kurang separuh daripada biasa dan kadangkala tiada langsung telur ayam yang dihantar oleh pemborong kepadanya.

Di Kelantan, tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasar raya menunjukkan tiada bekalan telur ayam seperti kebiasaannya di rak-rak jualan, sebaliknya masih digantikan dengan bekalan telur ‘omega’ dan telur putih. 

Pekerja pasar raya di Bandar Baru, Hassan Basri, 27, berkata bekalan telur putih dan omega baru tiba di tempat kerja beliau hari ini dan dijangka habis hari ini juga.

Selain itu, pengusaha bakeri Nadia Bustamam, 34, berkata ketiadaan bekalan telur ayam biasa sebelum ini menjejaskan operasi perniagaannya kerana terdapat beberapa jenis kek tidak boleh menggunakan telur lain selain telur ayam berwarna perang. 

Sementara itu di Selangor, tinjauan di sekitar Shah Alam mendapati bekalan telur sukar diperoleh sejak beberapa bulan lepas, terutamanya di kawasan yang jauh dari bandar.

Suri rumah Rosliza Abdul Samad, 40, berkata ketiadaan bekalan sumber protein itu membuatkannya terpaksa pergi ke pasar raya lebih jauh dari kawasan penempatan selain terpaksa membeli telur jenis omega yang jauh lebih mahal kerana susah untuk mendapatkan telur biasa.

Di Melaka, peniaga nasi lemak Muhammad Ismail Sulaiman, 40, dari Klebang Pengkalan Rama berkata beliau telah beberapa kali berdepan kesukaran mendapatkan bekalan telur sehingga menjejaskan jualannya.

“Kadang-kadang saya terpaksa mencari di lebih lima premis untuk membeli telur ayam dan terdapat juga kedai runcit atau pasar raya yang mengehadkan jualan bagi setiap pembeli. Selain bekalan, pilihan gred telur yang dijual kebanyakan gred B dan harganya lebih mahal… namun tiada pilihan,” katanya.

Selain itu, Tan Hock Seng, 34, dari Bachang mengakui turut berhadapan situasi sama berikutan telur ayam di kedai runcit berhampiran rumahnya sering kehabisan bekalan dan ada kalanya hanya boleh dibeli pada hari tertentu. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: ‘Pakatan jahat’ MoU. -Lapor polis. & Bekalan telur runcing.

Walaupun bekalan telur ayam di pasaran Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Melaka dilihat semakin meruncing... Namun timbul pula masalah Pemuda PN membuat laporan polis mengenai ‘pakatan jahat’ antara pemimpin parti-parti pemerintah berkaitan MoU... 

Mereka didakwa merosakkan dan memudaratkan demokrasi. Kita lihat apa tindakan kerajaan baru PM10...

Sekian dulu.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails