Sunday, January 08, 2023

Vokalis OAG baca al-Quran, walau masih fasa belajar. & Vanessa raikan Krismas

 

Radhi sentiasa mengajak peminat yang hadir ke Konsert OAG 30 Tahun Generasiku berselawat ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW. - NSTP/Hazreen Mohamad

HALAMAN HIBURAN

1. Saya belum pandai membaca al-Quran - Radhi OAG

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan OAG, Radhi, 45, tidak malu mengakui belum pandai membaca al-Quran dan masih dalam fasa belajar.

Menerusi Konsert OAG 30 Tahun Generasiku yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam, Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Razali membuat pengakuan di hadapan lebih 2,000 penonton.

Penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu juga meminta peminat untuk terus mendoakan dirinya agar proses belajar membaca al-Quran dipermudahkan.

"Sejujurnya, saya belum pandai membaca al-Quran dan masih belajar.

"Semoga Allah memberikan peluang untuk saya pandai membaca al-Quran, doakan saya insya-Allah," katanya sebelum memulakan konsert yang turut mendapat sokongan ramai. 


Radhi tidak malu mengakui belum pandai membaca al-Quran di hadapan ribuan peminatnya. - NSTP/Hazreen Mohamad

Dalam masa sama, Radhi secara spontan menyebut OAG yang juga singkatan bagi Old Automatic Garbage itu antara lain membawa erti Only Allah Greatest sebagai tanda mengagungkan Yang Maha Esa.

Malah, pelakon utama filem Antoofighter terbitan 2008 itu sentiasa mengajak peminat yang hadir ke konsert berselawat ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW.

Konsert OAG 30 Tahun Generasiku menjadi konsert berskala besar yang julung kali diadakan selepas tiga dekad band itu berada dalam arena muzik tempatan.

Antara lagu popular dinyanyikan termasuklah 60's TV, Knocked Silly, Slumber, Generasiku, Dayang, PerMYsury, Biru dan Akustatik. (BH)

Al-hamdulillah!


2. Vanessa kenang mangsa tanah runtuh, banjir dalam raikan Krismas

Vanessa yang popular dengan lagu Putus percaya sambutan kali ini akan mengembalikan semula kemeriahan sebenar Krismas. Foto IG Vanessa Reynauld

KUALA LUMPUR : Sambutan Krismas hari ini memberi makna tersendiri buat penyanyi, Vanessa Reynauld, 21, berikutan kelonggaran diberi kerajaan dalam fasa peralihan endemik COVID-19.

Andai dua tahun lalu, sambutan pelbagai jenis perayaan terpaksa dikawal berikutan penularan pandemik COVID-19 yang memuncak, kini Vanessa bersyukur Krismas kembali disambung meriah.

Vanessa yang popular dengan lagu Putus percaya sambutan kali ini akan mengembalikan semula kemeriahan sebenar Krismas.

"Sambutan kali ini meriah. Suasana berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Namun, kami sekeluarga hanya rai sesama sendiri dan tidak secara besar-besaran.

"Persiapan sama sahaja seperti sebelum ini. Kami sekeluarga kemas rumah dan beli hadiah untuk ditukarkan antara satu sama lain.

"Namun, kali ini, kami tidak balik kampung di Melaka seperti selalunya. Kali ini, kami meraikan Krismas di Klang, Selangor.

"Sekarang, ramai tetamu dan saudara mara boleh datang ke rumah. Saya juga boleh pergi ke rumah mereka, jadi ini mengembalikan semula kemeriahan sebenar Krismas," katanya kepada BH Online.

Namun, dalam bergembira, Vanessa yang meraih perhatian menerusi program The Masked Singer Malaysia (TMSM) melahirkan rasa simpati terhadap keluarga yang ditimpa bencana tanah runtuh di Batang Kali dan banjir di beberapa negeri, baru-baru ini.

Vanessa berharap sesiapa sahaja yang terkesan dapat menghadapinya dengan tabah selain mendoakan kesejahteraan buat mereka.

"Bagi saya, tragedi seperti bencana alam yang berlaku ini memang kita tidak boleh nak kawal. Ini adalah situasi mencabar yang perlu dilalui bagi sesiapa sahaja.

"Saya sangat bersimpati dengan nasib mereka. Mungkin ada antara mereka yang dalam perancangan menyambut Krismas bersama keluarga.

"Tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Saya harap mereka yang terbabit terus kuat.

"Saya berharap Krismas tahun ini adalah hari menggembirakan buat saya, keluarga dan sesiapa sahaja yang menyambutnya.

"Bagi mereka yang tidak dapat meraikannya seperti dirancang, semoga terus kuat dan dapat apa yang dihajati," katanya. (BH)


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment