Saturday, December 03, 2022

Zahid bingungkan Anwar? Anuar Baba 30 penyamun..

 

(DARI kiri) Anwar, Zahid dan Fadillah. FOTO arkib NSTP, Bernama 

1. 'Lantikan Zahid membingungkan, Anwar pegang kewangan cetus kegusaran'

KUALA LUMPUR: Badan pemikir, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menzahirkan kegusaran terhadap pengumuman senarai Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.

Sambil menyifatkan pengumuman itu amat dinantikan baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa, namun IDEAS menyifatkan keputusan Anwar melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri di sebalik pertuduhan sedang dihadapinya di mahkamah amat membingungkan.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Dr Tricia Yeoh, berkata pihaknya juga menggesa pengasingan peranan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana tiada pengawasan terhadap portfolio paling penting dalam Kabinet.

"Walaupun mencapai kestabilan, pelantikan Zahid Hamidi sebagai TPM yang memegang portfolio strategik memberi isyarat salah daripada kerajaan yang berikrar untuk mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.

"Walaupun tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan melalui semua proses rayuan sudah memadai untuk mengekalkan kerusi di Parlimen, ahli-ahli Kabinet yang dilantik perlu mempunyai standard yang lebih tinggi.

"Hal ini penting untuk memastikan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tricia berkata, langkah Anwar melantik diri sendiri sebagai Menteri Kewangan juga tidak selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik yang sebelum ini diisytiharkan beliau sebagai agenda teras Kerajaan Perpaduan.

"Komitmen untuk mengasingkan portfolio juga telah dibuat dengan jelas dalam manifesto pilihan raya PH sebelum ini.

"Skandal rasuah 1MDB, sebahagiannya dipermudahkan dengan membenarkan seorang individu memegang dua jawatan penting Kabinet ini secara serentak.

"Tiga pentadbiran (Perdana Menteri) sebelum ini telah cuba mengubah tradisi ini dengan melaksanakan pengasingan kuasa antara jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Walaupun secara politik sukar untuk menamakan Menteri Kewangan dalam kerajaan perpaduan, peranan perlu diasingkan untuk proses semak dan imbang," katanya.

Beliau berkata, IDEAS mencadangkan Perdana Menteri harus komited untuk mencari seorang Menteri Kewangan yang sesuai; seseorang yang boleh melaksanakan kerajaan yang telus dan bertanggungjawab.

Katanya, Menteri Kewangan juga perlu mengawasi pembaharuan fiskal seperti melaksanakan Akta Tanggungjawab Fiskal yang tergendala sejak sekian lama.

"Perdana Menteri menunaikan sebahagian daripada janjinya ketika sidang media pada 24 November lalu untuk mewujudkan Kabinet yang lebih kecil.

"Kami juga melihat perwakilan wanita, belia dan wilayah yang lebih baik dalam barisan Kabinet ini. Hal ini dicerminkan menerusi lima jawatan menteri dengan lima ahli politik wanita, empat ahli politik belia, dan enam wakil Borneo termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

"Bagaimanapun, kami amat berharap Perdana Menteri tidak mengikut langkah pentadbiran sebelum ini yang melantik timbalan menteri dan duta khas bertaraf menteri, untuk memuaskan hati pelbagai pihak dan menjadikan saiz Kabinet terlalu besar," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, IDEAS mengucapkan tahniah kepada semua menteri yang telah diberi tanggungjawab dan peluang untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat kerana sudah tiba masanya untuk melaksanakan manifesto pilihan raya yang dijanjikan oleh gabungan mereka kepada pengundi.

Katanya, walaupun setiap gabungan menekankan aspek dasar yang berbeza dalam manifesto masing-masing, kebanyakannya berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk meringankan beban rakyat dan mempercepat pembaharuan institusi.

Beliau berkata, IDEAS berharap pembaharuan institusi utama yang disebut oleh BN dan PH ketika tempoh berkempen seperti janji untuk menggubal Undang-undang Pendanaan Politik dan pengasingan kuasa antara peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara akan dilaksanakan dengan pantas.

"Sehubungan dengan itu, kami berharap akan dapat menjalin hubungan rapat dengan Menteri Undang-undang yang baru dilantik serta semoga beliau akan melaksanakan pembaharuan ini secara agresif dalam masa terdekat.

"Selain itu, kami juga berharap untuk meneruskan hubungan dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan berkenaan isu-isu yang diperjuangkan oleh IDEAS mengenai pembaharuan perolehan awam, belanjawan, ekonomi, perdagangan, kesihatan dan pendidikan," katanya.

Pada masa sama, IDEAS menggesa Perikatan Nasional (PN) untuk memainkan peranannya sebagai pembangkang yang berkesan dan adil kepada kerajaan sedia ada.

Katanya, mereka harus melaksanakan rancangan membentuk Kabinet Bayangan tidak lama lagi untuk terlibat secara konstruktif dalam pembuatan dasar.

"Menerusi pembentukan Kabinet Bayangan dan memberikan kritikan yang membina terhadap dasar-dasar kerajaan, PN akan berjasa besar kepada negara bukan sahaja melalui menyediakan mekanisme semak dan imbang kepada kerajaan, tetapi juga dengan mengalihkan naratif awam semasa daripada propaganda politik yang memecahbelahkan.

"IDEAS menggesa semua pihak yang melobi pelantikan politik ke dalam kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun persekutuan (FSB) untuk meneruskan semangat pengorbanan dan kemurahan hati dalam memastikan kerajaan perpaduan yang stabil.

"Kejayaan kerajaan ini bergantung kepada tanggungjawab kolektif setiap Ahli Parlimen daripada parti-parti utama yang telah membentuk kerajaan kerana negara memerlukan kestabilan politik dan juga komitmen terhadap prinsip.

"Oleh itu, sebarang pelantikan di bawah pentadbiran ini pada masa hadapan seharusnya dapat menangani kedua-dua keperluan secara sama rata dengan mengambil kira semua alternatif yang tersedia," katanya.


2. Hikayat Anuar Baba dan 30 orang penyamun  

MAKA tersebutlah al kisah, perihal seorang tua yang bernama Anuar Baba di sebuah kampung yang diberi nama Permatang Mempelam dalam negeri Pasir Tambun. Anuar Baba mempunyai seorang isteri bernama Aziah, yang begitu mahir membuat kuih bengkang ubi. Ada juga saudara terdekat Anuar yang bernama Pudin Baba dan yang bongsu, Piji Baba, juga tinggal agak tidak jauh dari rumahnya, tetapi di bandar sana. Namun Pudin Baba sudah meninggal, kalah berperang baru-baru ini.

Anuar Baba adalah seorang yang bercita-cita tinggi, petah berkata-kata. Dia ingin menjadi kaya dan berpangkat dengan menguasai seluruh negeri. Kata-katanya cukup memukau pendengarnya dengan bahasa yang terkadang jarang diguna orang, beliau praktikkan dalam pengucapannya, menjadikan pidatonya semakin menarik untuk didengar. Akan tetapi sering sahaja kata-katanya itu tidak selari dengan apa yang dia lakukan, walaupun dia cuba menyamar menjadi alim. Inilah masalah terbesar Anuar Baba. Jadi dia perlukan dana untuk membaiki imejnya. Untuk mudah membeli sokongan.

Adindanya, Piji Baba, juga seorang yang sangat pandai bermain kata. Tetapi masalahnya dia juga seperti kekandanya, sering menipu. Hanya sahaja, penipuannya itu, sering dikatakan benar oleh pengikutnya. Mungkin asbab Piji seorang yang kaya, mempunyai harta hampir 20 juta dinar, hasil daripada kejayaannya mencipta formula mencari ibu duit, maka dia berjaya menguasai orang kampungnya dengan ungkapan manis bermadunya.

Nun, di hujung kampung, ada sekumpulan penyamun berjumlah 30 orang. Mereka sering melakukan samun dalam bandar Permatang Mempelam itu. Mereka dibenci rakyat Permatang Mempelam. Keberadaan mereka diketahui, tetapi wajah mereka, tidak dikenali. Mereka cukup pintar menjaga identiti, melaksanakan operasi dalam gelap dan senyap. Sodaldu di situ, semuanya mereka telah rasuahkan, sebagai perlindungan terhadap mereka. Piji Baba yang kononnya anti penyamun, sering berceramah mengutuk penyamun ini, supaya rakyat tidak tertipu, walaupun Piji juga pernah menyamun.

Ketua penyamun bernama Wak, bekas anak murid Anuar Baba, bukanlah seorang yang disegani, tetapi pintar dalam melakukan operasinya. Wak menubuhkan sebuah yayasan, supaya semua hasil rompakannya itu boleh dicuci di dalam yayasan itu. Wak kemudiannya bersama rakan penyamunnya sering juga melaksanakan tanggungjawab sosial, menghulurkan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan. Jadi Wak dilihat sebagai dermawan di kalangan rakyat.

Apabila ketua sodaldu di situ telah bertukar, kegiatan Wak menjadi semakin sukar. Penipuan Wak akhirnya terbongkar dengan usaha ketua sodaldu itu. Wak ditangkap dan rakyat mula mengetahui siapa sebenarnya Wak. Rakyat sungguh gembira dengan penangkapan Wak itu. Biarpun sedih kerana Wak dahulu dikenali sebagai seorang yang dermawan, tetapi jenayah tetap jenayah. Si Piji Baba, apatah lagi, semakin kuat dia berceramah menerangkan kejahatan Wak dan kumpulannya itu.

Wak ligat memikirkan bagaimana cara untuk melepaskan dirinya. Lalu Wak dimaklumkan pembantunya, yang Anuar Baba, yang juga cikgunya dahulu, boleh membantu Wak dengan pidatonya yang memukau itu. Nanti rakyat akan percaya bahawa Wak telah diperangkap, bukan Wak benar-benar melakukan jenayah. Anuar Baba memang pakar dalam mengubah minda masyarakat. Wak segera bersetuju. Apa yang Wak mahukan ialah terlepas dari hukuman itu, Anuar Baba pula memerlukan dana untuk menang sebab dia juga gila kuasa. Ada penawaran dan permintaan, maka berlakulah urusniaga.

Sekonyong-konyongnya, Wak pun pergi berjumpa dengan Anuar Baba secara senyap, kerana takut ketahuan. Berjanjilah mereka untuk saling membantu, tanpa orang mengetahuinya. Sementara itu, para penyamun semua sudah letih mengikut kehendak Wak. Mereka mahu insaf dan keluar dari kejahatan itu. Demi sahaja mendengar penyamun itu mahu berubah, Wak segera mengugut untuk didedahkan identiti semua penyamun itu. Takut Wak bertindak gila, maka mereka semua diam tidak melawan.

Anuar Baba kemudiannya berpura-pura membenci Wak, supaya tidaklah dilihat beliau rapat dengan Wak. Janji Anuar Baba untuk menghukum Wak dan penyamun. Selesai pemilihan ketua negeri, Anuar Baba, tiba-tiba menang secara tidak disangka. Walaupun begitu, dia menghadapi kesukaran untuk mencari kakitangan membantunya bekerja. Lalu dia memanggil Wak untuk menolongnya. Wak segera mendapatkan Anuar Baba dan sanggup mengeluarkan wangnya yang banyak itu bagi menolong Anuar Baba, padahal mereka sudah berpakat. Janji Anuar Baba untuk turunkan minyak dhab, tidak pula dibuat

Sebaliknya, Anuar Baba memberitahu sodaldu dan rakyat, bahawa Wak tidaklah sejahat yang disangka. Wak sebenarnya baik, hanya sahaja Wak diperangkap oleh orang yang dengki dengannya. Penyamun lain hanya menggeleng-gelengkan kepala mereka mendengarkan cerita Anuar Baba itu sebab mereka sendiripun benci dengan Anuar Baba yang pembelit itu. Tanpa Anuar Baba, Wak susah, tanpa Wak, Anuar Baba lagi susah. Begitulah mereka saling memerlukan. Piji Baba sekarang diam apabila mengetahui hubungan kekandanya dengan Wak yang dia selalu kecam kerana kejahatan Wak.

Rakyat sudah pening, dulu Piji Baba kata penyamun jahat, sekarang abangnya Anuar Baba yang berjanji untuk menghukum, kata Wak diperangkap pula. Bagi mereka keduanya menyusahkan semua orang. Mereka sudah jelak dengan keadaan itu. Namun Wak dan Anuar Baba buat bodoh, masih belum sedar akan kebencian rakyat itu terhadap mereka. Mungkinkah antara penyamun itu juga menyampah dengan mereka berdua dan akan mendedahkan segalanya kepada pihak berkuasa pada hari perhimpunan rakyat Pasir Tambun pada 19 hari bulan nanti. Tetapi entahkan jadi, sebab sudah dirasuah oleh keduanya.

Semoga rakyat Pasir Tambun terselamat daripada hipokrit Anuar Baba dan Wak itu. Semoga ada antara penyamun yang sanggup mengorbankan diri menjadi penyelamat rakyat. Piji Baba pula sudah malas mahu melayan, sebab apa yang dia temberang dahulu, dipercayai sebahagian orang sahaja, lebih baik dia cari formula untuk tambah harta. Manakala Aziah, tetap sibuk di dapur membuat bengkang ubi sambil mengipas-ngipas bara dengan kipasnya yang berbunga-bunga itu.

*Cerita ini lebih sedap lagi dibaca jika ada kesan bunyi, tetapi disebabkan ini ialah tulisan, jadi tiada kesan bunyi boleh dimasukkan. Cuma anda dinasihatkan supaya memejamkan mata dan memasukkan sendiri lagu ‘Hoi hoi ya hoi’ versi original dari cerita Ali Baba Bujang Lapok arahan Tan Sri P. Ramlee di permulaan cerita, pertengahan dan perenggan akhir cerita. Semoga bacaan ini akan menjadi lebih seronok dengan adanya kesan bunyi yang anda buat sendiri itu.

MOHD NASIR ABDULLAH 3 Disember 2022 – HARAKAHDAILY 3/12/2022

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment