Saturday, January 08, 2022

Demam Babi Afrika jangkiti 16 ladang di Paya Mengkuang. Sial, jijik?

 


MELAKA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) telah menjangkiti 16 ladang babi komersial di Paya Mengkuang di Masjid Tanah, di sini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Dr Norlizan Mohd Noor berkata bagi mengawal dan mencegah rebakan penyakit ASF, JPV telah menguatkuasakan stamping out policy menerusi pemusnahan babi ladang yang telah disahkan positif ASF.

“Pemusnahan babi itu juga menggunakan kaedah gas CO2 (berkepekatan tinggi) berasaskan garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan-Pengurusan Pelupusan Haiwan, sebelum ditanam secara sempurna.

“Sehingga semalam sejumlah 1,864 ekor ternakan babi yang disahkan positif ASF di kawasan Paya Mengkuang itu juga telah dimusnahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norlizan berkata aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan semua ladang ternakan babi di Paya Mengkuang terus aktif dijalankan bagi mengesan jangkitan penyakit ASF di semua 35 ladang babi di kawasan tersebut.

Beliau berkata aktiviti pemantauan dan pemeriksaan juga diaktifkan melibatkan semua ladang penternakan babi di seluruh negara.

“Penternak dan orang awam diminta segera melaporkan sebarang kematian pada babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri yang berdekatan atau menerusi hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya (03-88702041),” katanya. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: “Penternak dan orang awam diminta segera melaporkan sebarang kematian pada babi hutan, babi kampung atau babi komersial..", sial.. jijik. Tanya juga DAP, jaguh pertahan babi dan 'barua'nya??

Minyak masak kurang di Pulau Pinang. Penyelewengan...

 

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar (kiri). (Gambar: BERNAMA)

BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengenal pasti punca berlaku kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi di negeri itu berikutan terdapat kegiatan penyelewengan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata berikutan itu, pihaknya meningkatkan risikan dan intipan di gudang serta kilang yang menjalankan pembungkusan serta pemborong bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan barangan itu.

"Kami ada terima aduan berhubung kekurangan bekalan minyak masak paket sama ada melalui media sosial atau secara rasmi. Saya memandang serius mengenai perkara tersebut, malah kami akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab melakukan penyelewengan,” katanya kepada pemberita hari ini (8 Jan).

Beliau ditemui selepas membuat tinjauan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekarangan Masjid At-Taqwa di Mak Mandin di Butterworth.

Mengulas lanjut, Encik Mohd Ridzuan berkata terdapat 25 syarikat yang menjalankan pembungkusan minyak masak paket dan 500 pemborong di Pulau Pinang ketika ini, dengan pemantauan serta risikan turut dijalankan ke atas mereka bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan.

"Hasil maklumat dan risikan yang dibuat, baru-baru ini (24 Dis) kami telah menyerbu sebuah premis tidak berlesen di Bagan Ajam di sini yang menjalankan kegiatan pemindahan minyak bersubsidi membabitkan 20 tan minyak masak dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan pihak yang terlibat.

Menurut beliau, modus operandi yang digunakan sindiket itu ialah dengan mengupah pihak ketiga bagi menguruskan pemindahan minyak dan mereka dipercayai menjalankan kegiatan tersebut lebih tiga bulan lalu.

Mengenai PJKM, beliau berkata sebanyak 13 program jualan berkenaan sudahpun diadakan di Pulau Pinang sejak Disember tahun lalu. Ia akan diteruskan sehingga Mac berikutan sambutan yang memberangsangkan.

"Penganjuran PJKM akan diadakan dua kali sebulan secara bergilir di setiap Parlimen dengan menumpukan lokaliti penduduk dalam kalangan B40 dan M40. Sambutan diterima sangat menggalakkan daripada penduduk setempat dan ramai tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan yang dijual murah antara lima hingga 20 peratus," ujarnya. (
Sumber : Bernama/FZ/fz)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah, bongkar segera, demi rakyat..

Musuh PAS kelupur, Jepun ingin kongsi kepakaran urus bencana..

 

1. Musuh PAS Terengganu sedang menggelupur

MEI nanti, akan genaplah ulang tahun ke-4 Kerajaan Negeri Terengganu. Berbagai isu yang berlegar sepanjang tempoh ini, bertarik-tarikan antara kerajaan dan pembangkang bagi menyerang ataupun menerang. Ada yang fitnah dari pembangkang, dan yang benar dari Kerajaan Negeri. Semua ini adalah warna-warna politik yang dipersembahkan oleh kedua belah pihak.

Pembangkang amat berharap Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, gagal menunaikan hampir kesemua manifesto yang dijanjikan PAS dahulu. Terbeliak mata mereka, melihatkan, rupanya boleh janji-janji pilihan raya ditunaikan. Ia bukan kisah dongengan. Ia adalah satu realiti. Hampir semua manifesto telah ditunai.

Dengan masih mengekalkan imej bersih, tanpa salah guna kuasa, PAS menepis semua serangan lawan yang dilihat semakin bertalu-talu. Mungkin terdesak dengan pencapaian PAS, berbagai cara batil yang mereka cipta bagi menjatuhkan PAS. Namun sia-sia kerana kejayaan yang dicapai oleh PAS, bukan sekadar cakap mulut, tetapi dengan angka dan data yang tidak ternafikan.

Terbaharu, kadar pengangguran di Terengganu, semakin menurun 3.5, menghampiri kadar nasional 3.3, setelah enam tahun sehingga 2018, dalam trend menaik (2.9 – 4.8). Di sebalik semua ujian seperti COVID-19 banjir dan berbagai lagi, Kerajaan Negeri berjaya menyediakan peluang pekerjaan untuk diisi oleh rakyat Terengganu yang layak. Duyung Marina Resort pula yang sudah belasan tahun rugi, mencatat keuntungan sejuta lebih. Kerajaan bukan hanya memberikan bantuan-bantuan one-off, tetapi juga peluang-peluang membebaskan diri daripada kemiskinan dengan berbagai skim-skim yang membantu rakyat.

Disebabkan inilah maka musuh PAS, merasakan perlunya membuat serangan demi serangan untuk mengatakan bahawa PAS ini jahat, PAS gagal, PAS begitu dan begini. Semua yang negatif, ditempelkan kepada PAS. Sebaliknya PAS pula terbukti menggunakan dengan betul wang royalti yang dahulu pernah diberikan kepada pihak yang bukan berhak. Mungkin benar strategi jahat mereka dahulu, sekat royalti supaya Kerajaan PAS sesak, senang mereka merampas semula Terengganu. Bila dapat royalti, susahlah musuh PAS, semua ditadbir dengan baik.

Beza pengurusan negeri oleh dua kerajaan ini, dapat dilihat jelas oleh rakyat. Musuh yang masih mencuba untuk merampas kembali kuasa, sebenarnya tidak tahu, apa lagi isu yang mahu dimainkan bagi menjatuhkan PAS. Dek kerana kebingungan itulah maka musuh sanggup mengitar kembali isu kafir mengkafir, Amanat Haji Hadi, Memali dan sebagainya. Ada juga mengungkit semua projek adalah daripada mereka dahulu, hanya disempurnakan oleh PAS. Ini adalah petanda tandusnya isu mereka. Jika ada salah laku, pasti mereka sudah membuat laporan SPRM atau PDRM, mana mungkin dilayan isu lapuk itu. Orang PAS jangan cepat melatah.

Kerajaan Terengganu begitu tenang, menjawab dengan angka. Auta mereka dibalas dengan fakta jelas. Banyak isu yang diberikan musuh PAS ialah isu yang tidak boleh dijangkau dengan angka. Contohnya mahal bayaran, berapa mahal, tidak dijelaskan, padahal naik 10 sen sehari. Orang PAS main projek, tidak dinyata apa salahnya, konon nak timbulkan isu kroni. Orang PAS ambil duit rasuah, mana laporannya? Tiada. Bantuan tidak cukup. Berapa? Mereka diam. Begitulah terdesaknya mereka, guna ayat umum membuat tuduhan dan disambut oleh ‘fake account’.

Musuh PAS tahu, jika kali kedua berturut-turut Terengganu kekal di tangan PAS, mereka akan menghadapi masalah yang amat besar. Ia akan memberikan isyarat bahawa Terengganu bakal kekal lama dalam genggaman PAS, sebagaimana Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Oleh itu, PRU15 ini amat penting setelah peluang untuk muafakat telah dibuang oleh musuh, kerana kepentingan peribadi, bukan rakyat. Apa lagi yang mampu mereka buktikan setelah rakyat melihat jelas perbezaan cara pemerintahan yang membazir dengan berhemah.

Untuk itu, bagaimana sekalipun, PAS mesti dihapuskan. ‘By hook or by crook’ mereka akan mengambil Terengganu. Adakah mereka membuat perbandingan kejayaan mereka memerintah dengan kelemahan PAS mentadbir? Tiada, kerana rakyat akan nampak buruk mereka. Yang ada hanyalah isu-isu fitnah lama yang dikitar semula untuk PAS dilihat sama seperti mereka. Isyarat ini perlu difahami dengan jelas oleh penyokong PAS bagi mempersiapkan diri masing-masing, berada pada posisi yang sepatutnya.

Kita sedang mara untuk kemenangan kali kedua, insya-Allah. Musuh PAS juga sedar, sebab itu mereka menggelupur bagai terkena sawan. Nanti mereka akan jadi seperti Kelantan, sudah tepu untuk melawan kerana integriti PAS amat kukuh. Mereka akhirnya menempel diri untuk muafakat dengan PAS… alhamdulillah.

MOHD NASIR ABDULLAH
7 Januari 2022 – HARAKAHDAILY 7/1/2022

2. PAS dan NGO bantu bina semula rumah  dihanyut arus 


TEMERLOH: Musibah banjir terbaru sememangnya telah memusnahkan banyak kediaman di mana sebanyak 15 rumah bukan sahaja ditenggelami bahkan ada yang runtuh dan dibawa arus deras di Kampung Insaf, Lanchang, di sini


Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu dengan kerjasama PAS DUN Bukit Payung, Khidmat Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Alternative Riding Club (ARC) serta beberapa lagi NGO dari Terengganu berusaha membina kembali salah sebuah rumah telah dihanyutkan itu.

Menurut Pengerusi Persatuan Prihatin, Mohd Asmawi Mokhtar, ini adalah kali keempat pihaknya ke Temerloh sejak air surut dengan misi membina semula rumah yang dihanyut arus deras dan berusaha menyiapkan rumah itu dalam tempoh 2 hari.

Turut hadir membantu ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh, Hasan Omar.

Menurut Hasan, kerjasama antara NGO ini bukan sahaja membawa beberapa tukang mahir dan puluhan petugas, bahkan turut membawa kelengkapan dan peralatan, jentera backhoe, kewangan termasuk pasukan memasak. 

Manakala penghuni rumah tersebut, Md Johar Kasim melahirkan rasa syukur kepada Allah dan penghargaan kepada PAS dan NGO yang sangat prihatin dan bertindak segera membantu mangsa-mangsa banjir kali ini.

Beliau berasa sangat lega apabila rumah beliau sedang dibina semula hasil usaha gotong-royong dan sikap dermawan semua pihak.

Ir Khairil Nizam juga merakam penghargaan kepada semua pimpinan dan ahli PAS termasuk NGO seperti Khidmat Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Bridged Muslimat, ARC dan pelbagai lagi yang sentiasa memikirkan sumbangan kepada mangsa banjir.

Katanya, semoga semua jenis bantuan dan sokongan dari semua pihak, akan mendapat keberkatan dari Allah S.W.T. – HARAKAHDAILY 8/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=227418976221533&id=100068602959772

3. Jepun ingin kongsi kepakaran urus bencana dengan Malaysia

Takahashi Katsuhiko

KUALA LUMPUR: Kerajaan Jepun menyatakan hasrat untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran di bidang pengurusan risiko bencana dengan Malaysia dalam usaha mengurangkan kesan bencana ke atas manusia di peringkat global.

Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko berkata Negara Matahari Terbit itu berharap untuk membangunkan kerjasama selanjutnya dengan Malaysia dalam bidang pengurusan risiko bencana yang akan menjadi tonggak penting kerjasama antara kedua-dua negara.

“Seperti banjir besar yang melanda Malaysia baru-baru ini, saya harap kita dapat menjalin kerjasama lebih lanjut memandangkan kerajaan Jepun giat berkongsi pengalaman dan kepakaran sedemikian di peringkat global dalam usaha mengurangkan kesan bencana kepada rakyat di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media Misi Bantuan Pascabanjir Kedutaan Jepun dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Pusat Pelancongan Malaysia di sini hari ini.

Takahashi berkata penilaian lanjut diperlukan untuk mewujudkan strategi jangka panjang dalam kerjasama pengurusan risiko bencana antara kedua-dua negara.

“Masih terlalu awal untuk menyatakan secara khusus apa yang kita (kerajaan Jepun) boleh tawarkan… Kita perlu berbincang dengan kerajaan Malaysia bagi mengetahui apa yang boleh dilaksanakan di sini,” katanya.

Sementara itu, Takahashi berkata Malaysia dan Jepun telah melalui hubungan dua hala yang sangat baik melalui Dasar Pandang ke Timur yang akan menyambut ulang tahun ke-40 tahun ini.

Beliau berkata dasar berkenaan menyediakan peluang untuk mengeratkan lagi hubungan menerusi program latihan dan interaksi di peringkat akar umbi serta pertukaran budaya dalam kalangan rakyat Malaysia dan Jepun.

“Saya yakin hubungan ini terus berkembang pada tahun mendatang dan saya tidak sabar-sabar untuk berbincang dengan rakan-rakan Malaysia cara meningkatkan hubungan ini untuk generasi masa depan,” katanya.

Takahashi hari ini menghadiri majlis Misi Bantuan Pascabanjir iaitu kerjasama antara Kedutaan Jepun dan MOTAC, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun, Alumni Program Persahabatan ASEAN-Jepun Abad Ke-21 Malaysia dan Homestay Malaysia.

Misi yang dirasmikan oleh Takahashi dan Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Noor Zari Hamat telah mengumpul sejumlah RM150,000 dan akan diagihkan dalam bentuk wang tunai dan bantuan banjir di lapan lokasi di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan pada 8 dan 9 Jan ini. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tahniah PAS/Malaysia, Al-hamdulillah!

Asean, 7-Eleven didenda, sempadan Indo-M'sia &Myanmar-Thai.

 

Denda kira-kira 150,000 yuan (RM99,001.32) telah dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan Beijing terhadap Seven & i. - Foto AGENSI

1. 7-Eleven didenda kerana gambarkan Taiwan sebagai negara bebas

BEIJING: Kedai serbaneka Seven & i Holdings Co yang berpangkalan di China didenda kerana menggambarkan Taiwan sebagai negara bebas di laman sesawangnya, tindakan keras terbaru republik itu ke atas syarikat berhubung pendiriannya di wilayah dipertikaikan.

Jurucakap peruncit Jepun itu berkata, denda kira-kira 150,000 yuan (RM99,001.32) dikenakan pihak berkuasa tempatan Beijing terhadap Seven & i, mengesahkan laporan akhbar Nikkei sebelum ini.

China menganggap pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya dengan syarikat kebiasaannya mematuhi dan menerimanya sebagai sebahagian daripada kos menjalankan perniagaan di China.

Pada Disember lalu, pihak berkuasa perbandaran Beijing mengeluarkan denda dan amaran, menurut laman sesawang maklumat kredit berkaitan kerajaan.

Seven & i juga gagal meletakkan nama cina untuk beberapa pulau di Laut China Selatan serta pulau Diaoyu yang dipertikaikan, dikenali sebagai Senkaku di Jepun.

Peta itu mengandungi kesilapan dalam melabel beberapa sempadan di sepanjang Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang dan Wilayah Autonomi Tibet, kata laporan di laman sesawang itu.

Kerajaan Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen menegaskan pulau itu adalah negara berdaulat de facto, menunggu pengiktirafan antarabangsa yang lebih luas dan bukan sebahagian daripada wilayah China, seperti didakwa Beijing.

Namun, pentadbirannya mengelak pengisytiharan rasmi kemerdekaan yang boleh mencetuskan perang.

Walaupun Hong Kong dan Macau adalah wilayah pentadbiran khas yang menikmati autonomi lebih besar, Beijing juga sering membantah rujukan menunjukkan bahawa mereka bebas.

China meningkatkan tekanan ketenteraan dan politik terhadap Taiwan melalui pertambahan rondaan tentera di sekitar pulau itu yang dijangka lebih banyak tahun ini. - AGENSI

2. Indo mahu selesai masalah sempadan M'sia tahun ini 
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi. - Foto REUTERS

JAKARTA: Rundingan mendalam bagi menyelesaikan isu sempadan antara Indonesia dan Malaysia akan dipertingkatkan pada 2022 berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, kata Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi.

Beliau berharap Perjanjian Sempadan Maritim antara Wilayah membabitkan Laut Sulawesi dan Selat Melaka dapat dirunding dan ditandatangani oleh kedua-dua negara berdasarkan Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 berhubung kawal selia penggunaan laut dan sumbernya.

"Bagi sempadan darat, keutamaan akan diberikan untuk menyelesaikan Masalah Garis Sempadan Tertunggak termasuk Pulau Sebatik," katanya dalam satu kenyataan mengenai pencapaian diplomasi 2021 dan sasaran 2022.

Pulau Sebatik terletak di Daerah Nunukan Wilayah Kalimantan Timur yang berkongsi sempadan dengan Malaysia.

Indonesia mengadakan 17 rundingan sempadan tahun lalu dengan Filipina, Malaysia, Palau dan Vietnam, berbanding hanya tujuh rundingan pada tahun sebelumnya.

Mengenai ASEAN, Retno berkata perpaduan blok itu mesti diperkukuh untuk menghadapi pandemik COVID-19, ketidaksamaan kadar vaksinasi, bencana alam, krisis pelarian dan perubahan iklim.

Rantau itu juga menyaksikan persaingan yang semakin meningkat antara negara-negara utama di rantau Indo-Pasifik.

"ASEAN mesti terus meningkatkan peranannya dalam membangunkan komunitinya dan mewujudkan rantau Indo-Pasifik yang aman, stabil dan makmur," jelasnya.

Retno berkata, Indonesia akan terus aktif dalam mempromosi keamanan dan diplomasi kemanusiaan, termasuk di Afghanistan, Palestin, isu Rohingya dan krisis politik di Myanmar.

- BERNAMA

3. Kemiskinan Myanmar dorong ribuan rakyatnya berhijrah ke Thailand 
Pendatang Myanmar duduk di atas tanah selepas ditahan oleh anggota tentera Thailand di wilayah Kanchanaburi, bersempadan dengan Myanmar. - AFP

KANCHABURI: Pasangan suami isteri mengharungi perjalanan melelahkan untuk ke Thailand apabila perlu merentas hutan tebal dan kawasan pergunungan pada waktu malam bagi mengelak ditahan demi mencari bantuan ketika tiada pekerjaan negara mereka yang dilanda rampasan kuasa.

Myo Chit dan isterinya adalah antara ribuan pendatang membuat perjalanan beberapa bulan lalu, didorong krisis ekonomi berkembar akibat pandemik COVID-19 dan kegawatan dicetuskan oleh penggulingan kerajaan sivil Aung San Suu Kyi.

Perjalanan selama dua hari dari Wilayah Tanintharyi, Myanmar membawa mereka melalui ladang jagung dan getah serta hutan tebal sebelum tiba ke sempadan di mana lokasi untuk ke wilayah Kanchanaburi, Thailand dengan bantuan penyeludup.

Di sana, mereka berisiko ditangkap dan diproses segera untuk dihantar pulang oleh polis Thailand. Pasangan itu mengembara ke wilayah Samut Sakhon di Bangkok, lokasi pendatang Myanmar mendapat pekerjaan.

Bagaimanapun, kehidupan pendatang asing tanpa izin di Thailand adalah suram. Ramai menghabiskan malam mereka di perumahan sesak atau di rumah rakan dan saudara-mara dan setiap hari mengelak daripada pihak berkuasa.

"Namun, kami tidak boleh tinggal (di bandar kami)... kami terpaksa memikirkan masa depan anak," kata Myo Chit, 45, kepada AFP.

Dia akhirnya mendapat pekerjaan di kilang pewarna pakaian dan memperoleh AS$10 (RM42.09) sehari.

Myo Chit yang terpaksa berpisah dengan anak berusia enam tahun dan seorang bayi itu berkata, ia sukar tetapi perlu dilakukan dan mereka kini dijaga mentuanya di Myanmar.

"Kami tidak dapat tinggal di sana kerana kos yang tinggi dan terpaksa tinggalkan kampung. Kami datang ke sini hanya untuk mencari wang," katanya. - AFP

Friday, January 07, 2022

PAS menang 3 negeri? Polemik Dr Kamarul Zaman (UUM)

 

PAS masih mampu menang 3 negeri tanpa Umno, kata penganalisis
-Kamarul Zaman Yusof (UUM)
-Ahmad Atory Hussain (b/USM)
-Iskandar Hasan Tan Abdullah (UiTM) K'tan

PETALING JAYA: PAS masih mampu menguasai tiga negeri yang ditadbirnya ketika ini, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah walaupun parti itu bertembung dengan Umno dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15), menurut penganalisis politik.

Kamarul Zaman Yusof dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika mengulas masa depan kerjasama antara PAS dan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) mempersoalkan sama ada ia mampu bertahan sehingga PRU15 atau sebaliknya selepas parti Islam itu menegaskan mahu mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan memperkukuh MN.

Katanya, PAS bagaimanapun boleh menang tanpa berdepan saingan sengit untuk kekal mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah jika ia bekerjasama Umno dalam pilihan raya.

“Walaupun begitu, jika mereka (PAS) bekerjasama dengan Umno tentulah laluan PAS untuk mengekalkan kemenangannya di negeri tersebut akan menjadi lebih mudah kerana biasanya kerjasama akan mengekalkan status quo.

“…ini kerana jika ia tidak bekerjasama dengan Umno maka sudah pastilah PAS akan menghadapi saingan sengit daripada Umno yang menyaksikan kekalahan parti itu dalam PRU14 lebih banyak dipengaruhi oleh faktor nasional.

Oleh itu, pilihan terbaik bagi memastikan PAS kekal selesa di Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam PRU15 ialah untuknya menjalinkan kerjasama politik dengan Umno di negeri tersebut,” katanya kepada FMT.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain turut senada dengan berpandangan bahawa PAS boleh menang mudah terutamanya di Kelantan selain Terengganu dan Kedah, manakala Pakatan Harapan (PH) sukar menembusi tiga negeri itu.

“PAS dijangka menang mudah di Kelantan, manakala di Terengganu Umno dan PAS dijangka bertarung sengit, sementara di Kedah PAS dijangka menang mudah bersama Bersatu melalui PN.

“Secara umumnya Umno ‘sakit’ untuk menang secara solo dalam PRU15 kecuali bersama PN. Kalau Umno bersama PH juga sakit, sebab PKR dan DAP sudah mula ditolak majoriti pengundi, Anwar Ibrahim pun pengaruhnya sudah merudum teruk akibat tindakan ‘flip flop’ beliau,” katanya.

Sementara itu, Iskandar Hasan Tan Abdullah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan berpandangan walaupun mengakui kekuatan PAS menang secara solo di tiga negeri itu, ia tidak bermakna status quonya tidak mampu digugat oleh Umno jika dua parti itu bertembung dalam PRU15.

Katanya, kebanyakan pucuk pimpinan Umno negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah telah berubah selepas kekalahan parti itu dalam PRU14 dengan menawarkan muka baharu, muda dan bertenaga.

“Faktor kemenangan PAS bukannya datang daripada kekuatan pertambahan ahlinya, tetapi disebabkan pada masa itu, majoriti orang Melayu yang berada dalam ketiga-tiga negeri ini melihat keupayaan PAS sebagai pemerintah yang lebih berintegriti dan adil.

Beliau bagaimanapun berkata, Umno mempunyai peluang untuk menumbangkan PAS di ketiga-tiga negeri majoriti Melayu itu tetapi perubahan mood pengundi sentiasa berlaku mengikut perubahan politik semasa juga perlu dilihat.

“Untuk mengatakan PAS mampu mentadbir semula ketiga-tiga negeri ini juga adalah benar jika dilihat dari aspek akar umbi yang menyokong PAS tidak pernah berubah. Tetapi segala-galanya akan ditentukan oleh pengundi perantauan dan juga mood dan persepsi yang wujud semasa tempoh berkempen.

“Pilihan terbaik PAS ialah memilih satu gabungan parti sahaja antara BN atau PN. Ini disebabkan gerak kerja dan guna tenaga untuk fokus kepada satu gabungan parti lebih baik daripada bertaut kepada dua gabungan parti yang sentiasa bertentangan antara satu sama lain.

“Umno akan bertentang dengan Bersatu begitu juga MCA akan bertentang dengan Gerakan. Kedua-dua parti, iaitu Bersatu dan Gerakan adalah dalam PN. Ini bermakna BN tidak akan menerima PN semasa berlakunya pertandingan kalah mati dalam PRU15 nanti.

“Jadi, kaedah terbaik PAS adalah memilih yang paling ringan mudarat politik berbanding bertaut kepada kedua-dua gabungan parti yang dilihat kurang mesra dalam PRU15 nanti,” katanya. (my-news.online)

Lihat juga

Bangladesh arah lebih 2,000 pasar haram Rohingya ditutup

 
Gambar fail tapak kedai haram pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh selepas dirobohkan pihak berkuasa awal bulan lalu. - Foto AFP

DHAKA: Pihak berkuasa Bangladesh mengambil tindakan menutup lebih 2,000 pasar haram yang dikendalikan pelarian Rohingya di Cox's Bazar.

Lapor Arab News, pasukan penguat kuasa terpaksa menutup beberapa kedai atas pelbagai sebab termasuk perniagaan produk haram yang dijalankan di kawasan itu.

Pada masa sama, kumpulan penjenayah turut menggunakan premis perniagaan berkenaan bagi tujuan pengedaran dadah dan bahan larangan lain.

Pesuruhjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Shamasud Douza, berkata pelarian Rohingya tidak dibenarkan menjalankan sebarang kegiatan perniagaan di kawasan kem pelarian.

"Kedai haram dirobohkan dari masa ke masa sejak 2018 kerana kita juga memerlukan lebih banyak ruang kosong bagi menampung pelarian baru.

"Kini kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di kawasan tanah kosong bagi membina penempatan baharu dan pusat rawatan pelarian Rohingya," katanya.

Disebabkan itu, pelarian Rohingya mengeluh mereka kehilangan sumber pendapatan dan sumber keperluan harian di kem pelarian berkenaan.

Awal Disember tahun lalu kira-kira 1,000 kedai milik pelarian Rohingya dimusnahkan, namun kebanyakannya dibina dan beroperasi kembali, sekali gus mendorong pihak berkuasa merobohkannya lagi.

Bangladesh menerima kemasukan lebih 1.1 juta pelarian Rohingya dari Myanmar akibat tindakan zalim pihak tentera sejak 2017 dan jumlah itu dijangka semakin meningkat berikutan tidak banyak negara lain yang mahu menerima mereka.

Kini terdapat sekitar 34 kem pelarian Rohingya di seluruh Bangladesh, dengan kerajaan cuba memindahkan mereka ke penempatan baharu di pulau buatan manusia, Bhashan Char, di Teluk Benggala.

Bagaimanapun, penghantaran ke kem pelarian di Teluk Bengala dibantah kerana kawasan itu terdedah kepada bahaya ancaman cuaca termasuk taufan dan banjir.

Bangladesh setakat ini mengaturkan penempatan semula kepada hampir 19,000 Rohingya di Bhashan Char. - AGENSI

Komen Weblog Ibnu HasyimWalaupun di sana terdapat operasi pembunuhan, penghijrahan dan pengusiran, sesungguhnya orang Islam adalah saudara kita seakidah.

Firman Allah: ﴿إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ ﴾ [الحجرات: 10]

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara”. (Surah Al-Hujurat: 10)

Firman Allah:

﴿وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ﴾ [التوبة: 71]

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain…”. (Surah At-Taubah: 71)

Sabda Rasulullah S.A.W.:

المسلم أخو المسلم لا يظلمه ولا يسلمه (رواه الشيخان وأبو داود)

“Orang Islam adalah saudara orang Islam yang lain. Dia tidak akan menzaliminya dan tidak akan membiarkannya”. (Riwayat As-Syaikhan dan Abu Daud)

Sabda Baginda S.A.W.:

مثل المؤمنين في توادهم وتراحمهم وتعاطفهم مثل الجسد إذا اشتكى منه عضو تداعى له سائر الجسد بالسهر والحمى. (رواه مسلم)

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam berkasih sayang, berlemah lembut dan berbelas kasihan sesama mereka adalah seumpama satu jasad. Apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh jasad akan merasainya dengan berjaga malam dan demam”. (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah S.A.W.:

المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضًا. (متفق عليه)

“Orang mukmin dengan mukmin yang lain seperti satu bangunan yang memperkuatkan antara satu sama lain”. (Muttafaq ‘Alaih)

Sabda Nabi S.A.W.:

وكونوا عباد الله إخوانا (رواه مسلم)

“Jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara”. (Riwayat Muslim)

Mereka mempunyai hak persaudaraan ke atas kaum muslimin kerana orang-orang mukmin seumpama satu jasad.

Sesungguhnya ikatan iman lebih kukuh daripada ikatan keturunan dan kenegaraan. Walaupun pada zaman ini adanya kejahilan bagi orang yang tidak beroleh keuntungan daripada Islam, maka setiap kita hendaklah menjadi penolong dan penyelamat bagi mereka.

Adapun isu ini adalah antara sisa-sisa penjajahan yang mesti diselesaikan dari peta dunia. Tetapi kita juga perlu menghadapi dunia Islam yang bersaing di antara negara-negara dan kerajaan-kerajaannya.

Harap maklum.

Antara kedai milik etnik Rohingya yang di bina atas tanah kerajaan di Ukhia, Bangladesh dirobohkan pihak berkuasa. - Foto AFP

Presiden PAS, Ekonomi matang &T'ganu sedia 21,977 peluang kerja..

 

1. Ekonomi matang, bijak dan sejahtera

AL-QURAN merupakan petunjuk sepanjang hayat dan sepanjang zaman bagi manusia, maka ia wajib diyakini oleh setiap orang yang beriman. Bahawa Allah SWT yang Maha Adil menunjukkan Maha Kebijaksanaan-Nya. Firman Allah SWT: 

وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَكِنْ يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ٢٧ وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ مِنْ بَعْدِ مَا قَنَطُوا وَيَنْشُرُ رَحْمَتَهُ وَهُوَ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ٢٨

“Dan jikalau Allah melapangkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, sudah tentu mereka akan melampaui batas di muka bumi; tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya), lagi Maha Melihat (dengan nyata). (27); Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Dia pula menyebarkan rahmat-Nya. Dan (ingatlah) Dialah jua Maha Pelindung, lagi Maha Terpuji. (28)” (Surah al-Shura: 27-28)

Perkara yang dinyatakan dalam ayat di atas menunjukkan betapa Allah SWT itu Maha Bijaksana sebagai Pencipta alam termasuk makhluk manusia yang ditugaskan supaya memakmurkan alam dunia di muka bumi ini. Seterusnya diuji akal dan ilmu mereka yang telah dikurniakan Allah SWT, termasuk dalam menguruskan rezeki kurniaan-Nya yang disebutkan dengan aspek ekonomi bagi memakmurkan bumi Allah SWT.

Manusia dikurniakan akal dan ilmu, di samping adanya nafsu yang mendorong aktivitinya supaya tidak melampau dan berlaku kesaksamaan. Perkara ini membezakan antara manusia dengan para malaikat yang tidak bernafsu dan berada di alam ghaib.

Sekali gus membezakan binatang yang bernafsu tanpa akal sehingga bertindak rakus merosakkan diri sendiri dan kawanannya. Malah, binatang juga hidup bukan secara bermasyarakat madani, kerana binatang itu digunakan faedahnya oleh manusia. Manakala tumbuh-tumbuhan, galian dan sumber-sumber lain yang tidak bergerak pula diterokai dan digunakan oleh manusia.

Oleh itu, Allah SWT menetapkan rezeki dengan kadar yang patut sehingga ia tidak melimpah-ruah melampaui keperluan manusia. Hal ini demikian kerana, sekiranya ia melimpah tanpa batas dan kadar yang berlebihan daripadanya, nescaya mereka akan bertindak melampau.

Sehingga akhirnya boleh merosakkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan alam sekitar. Keadaan ini adalah berpunca daripada nafsu yang melonjak apabila mereka menyalahgunakan akal dan ilmu kurniaan Allah SWT, lalu menyalahgunakan juga rezeki yang dikurniakan kepadanya.

Dengan kadar yang terhad, kurniaan Allah SWT adalah mencukupi bagi memakmurkan dunia yang ditugaskan kepada manusia. Hal ini dapat dilakukan sekiranya diuruskan dengan baik berpandukan petunjuk Allah SWT, ilmu dan akal yang dimanfaatkan dengan betul.

Terdapat kalangan manusia yang bijak mengurus dengan kadar kurniaan Allah SWT sehingga menjadi kaya-raya yang mempunyai budiman. Namun, ada juga sebahagiannya yang menguruskan kurniaan Allah SWT itu tanpa akal yang bijak.

Sehingga akibat daripada kekayaannya itu merosakkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan alam sekelilingnya. Akan tetapi, keadaan yang berlaku itu tetap ada hikmahnya kerana faedahnya bukanlah untuk dirinya tetapi untuk orang lain.

Bahkan, ada juga kalangan manusia yang merosakkan dirinya dan orang lain apabila mereka diberikan kekayaan. Semua perkara tersebut menjadi ujian yang akan dihisab oleh Allah SWT kelak, sama ada mereka bersyukur kepada kurniaan-Nya ataupun kufur terhadap ni‘mat-Nya.

Selain itu, terdapat kalangan mereka yang tidak tahu mencari dan menguruskan rezeki pula menjadi miskin. Walau bagaimanapun, perkara tersebut juga mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

Antaranya mereka dapat berkhidmat kepada yang golongan kaya, namun ada juga rezekinya sekadar untuk meneruskan kehidupan. Jika diberikan kekayaan kepada mereka boleh merosakkan dirinya dan orang lain, di samping mendapat kelebihan bekerja dan bersabar. Hal ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُمْ مَعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَتَّخِذَ بَعْضُهُمْ بَعْضًا سُخْرِيًّا وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ٣٢

“Adakah mereka berkuasa untuk membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad). Kami telah menentukan bagi mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini (sebahagiannya Kami jadikan kaya-raya dan sebahagiannya miskin menderita); dan juga Kami telah meninggikan darjat sebahagian daripada mereka daripada darjat sebahagian yang lain dengan beberapa darjat; (semuanya itu) supaya sebahagian daripada mereka mendapat manfaat daripada sebahagiannya yang lain. Dan rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) itu lebih baik daripada perkara yang mereka kumpulkan.” (Surah al-Zukhruf: 32)

Dan juga firman Allah SWT:

انْظُرْ كَيْفَ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَلَلْآخِرَةُ أَكْبَرُ دَرَجَاتٍ وَأَكْبَرُ تَفْضِيلًا٢١

“Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian daripada mereka ke atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu). Dan sesungguhnya kehidupan di akhirat lebih tinggi tingkatannya dan lebih besar keutamaanya.” (Surah al-Isra’: 21)

Adapun di akhirat kelak, mereka yang bersyukur lebih tinggi darjatnya daripada mereka yang sabar kerana kesyukuran itu lebih mencabar diri seseorang. Firman Allah SWT:


وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ١٣

“Dan sememangnya sedikit sekali daripada kalangan hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah Saba’: 13)

Allah SWT juga memberikan petunjuk dalam menguruskan harta kekayaan dengan firman-Nya:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ٧٧

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu akan (kebahagiaan) Hari Akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (keni‘matan) duniawi; dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas: 77)

Sehingga ditunjukkan suatu pendekatan yang bijak melalui firman Allah SWT:

وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَى عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَحْسُورًا٢٩

“Dan janganlah kamu menjadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu, dan janganlah pula kamu terlalu menghulurkannya (boros); kerana akibatnya kamu akan menjadi tercela dan menyesal.” (Surah al-Isra’: 29)

Allah SWT membawa cerita Rasul-Nya, Nabi Yusuf AS yang menasihati pemerintah Mesir supaya berjimat cermat dalam menguruskan rezeki supaya mengambil kira cabaran kemarau yang akan ditempuhi. Hal ini berlaku setelah Baginda AS meramalkan bahawa Mesir akan mengalami kemarau panjang, sebagaimana yang dijelaskan melalui firman Allah SWT:

قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدْتُمْ فَذَرُوهُ فِي سُنْبُلِهِ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّا تَأْكُلُونَ٤٧ ثُمَّ يَأْتِي مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ سَبْعٌ شِدَادٌ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّا تُحْصِنُونَ٤٨ ثُمَّ يَأْتِي مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ النَّاسُ وَفِيهِ يَعْصِرُونَ٤٩

“Yusuf menjawab: ‘Hendaklah kalian bercucuk tanam dalam tujuh tahun berturut-turut sebagaimana biasa, kemudian apa yang kalian tuai itu hendaklah dibiarkan pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit daripada bahagian untuk kalian makan. (47); Kemudian, akan datang sesudah itu, tujuh tahun yang amat sulit (kemarau yang besar), yang akan menghabiskan makanan yang kalian simpan bagi menghadapinya (tahun sulit); kecuali sedikit daripada apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). (48); Kemudian, setelah itu akan datang pula tahun yang padanya manusia beroleh hujan, dan pada waktu itu mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya).’ (49)” (Surah Yusuf: 47-49)

Nabi Yusuf AS menasihati kerajaan yang bertanggungjawab agar menjaga rakyat supaya berhemat dalam mengurus kerana akan menghadapi masa depan yang tidak menyenangkan. Maka, jangan terpengaruh dengan kalangan mereka yang berakal sempit dan tidak berfikir untuk jangka masa yang panjang disebabkan mereka akan lebih menyusahkan rakyat pada masa hadapan dan kebanyakan rakyatnya pula jahil.

Lebih malang lagi, mereka hanya berfikir untuk membeli rakyat dengan kesenangan jangka masa pendek dan membuli mereka pada masa hadapan. Kelakukan mereka hanya bagi mendapatkan sokongan tanpa merancang masa depan yang lebih mencabar.

Sepatutnya ketika usia muda dirancang untuk mengharungi hidup pada masa tua, manakala ketika badan sihat untuk masa sakit dan bencana yang menimpa. Begitu juga, memanfaatkan waktu yang senang untuk menghadapi saat susah, dan bertugas untuk menghadapi masa bersara setelah tua dan uzur.

Adapun konsep ekonomi Islam adalah berasaskan konsep wasatiyyah yang tidak bebas dan terlepas sepertimana liberal kapitalisme dan tidak mengongkong sepertimana sosialisme dan komunisme. Konsep ekonomi Islam juga dikawal oleh aspek rohani iaitu beriman kepada adanya pahala dan dosa serta berwawasan Hari Akhirat yang tiada dalam semua konsep ideologi yang lain.

Contohnya, dalam menjaga hubungan bermasyarakat dari aspek ekonomi Islam maka riba itu diharamkan sekeras-kerasnya, kerana sifat ideologi yang lain tidak berkebajikan dan bertolong-menolong dalam menjana ekonomi. Maka, Islam menyalahi konsep liberalisme yang hanya mengejar keuntungan tanpa perhitungan dosa dan pahala, di samping kurang bersimpati terhadap masyarakat yang lebih besar jumlah mereka yang tidak berpendapatan tinggi.

Selain itu, Islam juga menolak kongkongan yang keras terhadap pemilikan individu dalam konsep sosialisme dan ekstrem sepertimana komunisme. Demikian itu disebabkan percanggahannya dengan fitrah manusia yang bersifat ananiyah atau kedirian (individualistik).

Islam membawa konsep wasatiyyah memberikan hak kepada individu dalam kegiatan ekonomi dan hak milik. Pada masa yang sama, diwajibkan hak bermasyarakat dalam kegiatan ekonomi dengan sempadan halal dan haram serta pembahagian kekayaan mengikut kewajipan agama seperti zakat dan lain-lain.

Justeru, Islam adalah berbeza dengan semua ideologi dan teori yang lain kerana adanya aspek agama dan akhlak dalam kegiatan ekonomi. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا٢٩

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kalian saling memakan (menggunakan) harta-harta sesama kalian dengan jalan yang batil (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kalian, dan janganlah kalian saling berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kalian.” (Surah al-Nisa’: 29)

Dan sabda Rasulullah SAW:

رَحِمَ ‌اللَّهُ ‌رَجُلًا ‌سَمْحًا ‌إِذَا ‌بَاعَ، وَإِذَا اشْتَرَى، وَإِذَا اقْتَضَى.

“Allah memberikan rahmat kepada seorang yang bersifat penyayang (bertimbang rasa) ketika menjual, membeli, dan mengendalikan urusan (menagih hutang).” (Riwayat al-Bukhari 2076)

Ideologi kalangan yang tidak beriman, sama ada haluan kanan mahupun haluan kiri, tidak mampu mengawal nafsu manusia dengan kemampuan akal dan ilmunya sahaja. Maka, terserlah segala kelemahan ideologi tersebut yang tidak mampu mengawal nafsu kemanusiaan, sehingga manusia menjadi tidak berperikemanusiaan terhadap diri sendiri dan masyarakat dalam aspek ekonomi.

Malah, memesongkan manusia daripada tujuan hidup yang betul iaitu menggunakan harta sebagai alat untuk mencapai matlamat keredaan Allah SWT, bukannya ekonomi menjadi tujuan hidup sehingga memuja kebendaan tanpa batasan. Dalam bahasa yang lebih mudah, manusia itu makannya hanya untuk hidup dan beramal soleh, bukan hidupnya untuk makan sahaja sehingga hilangnya nilai kemanusiaan. Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ١٥

“Dialah Tuhan yang menjadikan bumi itu mudah digunakan bagi kalian, maka berjalanlah di segala penjurunya, dan makanlah sebahagian daripada rezeki yang dikurniakan-Nya; dan kepada Allah jualah (tempat kembali kalian sesudah) dibangkitkan semula.” (Surah al-Mulk: 15)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 4 Jumada al-Akhirah 1443 / 7 Januari 2022 – HARAKAHDAILY 7/1/2022

2. Kerajaan Terengganu sedia 21,977 peluang kerja sejak 2018

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menyediakan sebanyak 21,977 peluang pekerjaan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata jumlah itu sekali gus berjaya melepasi sasaran menyediakan 20,000 peluang pekerjaan seperti yang dijanjikan PAS dalam manifesto parti itu.

“Angka ini (21,977 peluang pekerjaan) adalah data Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) yang dikongsikan daripada Jabatan Tenaga Kerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 10,122 penempatan pekerjaan telah dibuat di Terengganu pada tahun 2019, diikuti 3,487 pekerjaan pada 2020 dan 8,368 pekerjaan sehingga Oktober lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan pembangkang kononnya kerajaan negeri gagal mencapai sasaran manifesto tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata sehingga 10 Dis lepas, masih terdapat 8,917 kekosongan jawatan aktif di Terengganu yang boleh diisi oleh rakyat di negeri ini.

“Ini semua adalah hasil usaha serius semua pihak terutama THRDC yang bekerjasama erat dengan agensi kerajaan Persekutuan seperti Perkeso dan Jabatan Perangkaan Negara untuk berkongsi data yang lebih terperinci dan bersasar dalam mengatasi masalah pengangguran.

“Walaupun pasaran buruh merosot teruk akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, kadar pengangguran di negeri ini masih terkawal pada kadar 4.1 peratus pada 2020 dan antara 3.7 peratus hingga 4.4 peratus pada suku pertama hingga suku ketiga tahun 2021,” katanya. – BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails