PONTIAN: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, pertembungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor agak natural dan lateral walaupun Umno mendakwa kuat.
Menurutnya, Umno mempunyai agenda dengan mencetuskan PRN kali ini.
“Saya tengok pada kali ini pertembungan agak natural dan lateral walaupun parti Umno kata dia kuat. Sebab dia kena yakinkan sebab dia memaksa kita untuk menghadapi PRN Johor, yang dicreated oleh Umno.
“Umno yang mencetuskan pilihan raya di negeri Johor ini yang menyebabkan kita pun terpaksa dan rakyat pun belum bersedia dengan pilihan raya kali ini, tetapi Umno ini ada agenda dia,” ujarnya kepada Harakahdaily, di sini.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan akan berlaku perubahan pada PRN Johor kali ini kerana para pengundi merasa bosan dengan keadaan sekarang.
Tambahnya, faktor kedua yang menyebabkan boleh berlaku perubahan itu kerana pengundi dalam kalangan undi 18 kali pertama mengundi pada PRN ini.
“Inilah yang saya kata berlaku perubahan yang saya rasa rakyat Johor yang sudah merasa boring dengan keadaan situasi sekarang, yang kedua undi 18 ini uncertainty,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pendang.
Menurutnya, pengundi 18 tahun juga tidak semestinya mengikut bapanya yang menyokong Umno.
“Maknanya kalau bapa dia Umno, dia tidak semestinya sokong Umno, yang ini sudah berlaku fenomena undi 18.
“Jadi kita tengoklah mana-mana pihak yang boleh menguasai undi 18 ini, mereka akan boleh kelebihan dalam PRN Johor pada kali ini,” katanya lagi.
Pada PRN Johor kali ini, Perikatan Nasional bertanding di semua 56 kawasan DUN melibatkan 33 calon daripada Bersatu, PAS (15) dan Gerakan (lapan).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 3/3/2022