يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Maidah: 90)
Arahan supaya menjauhi arak adalah lebih kuat daripada tegahan meminumnya. Hal ini kerana tegahan sahaja tidak termasuk tegahan lain yang berkaitan dengannya, seperti melayan seseorang minum, membeli atau menjualnya.
Sementara, arahan menjauhinya pula bermaksud, amaran supaya menjauhi segala perkara yang berkaitan dengan arak, termasuk minum dan sebagainya.
Setiap Perkara yang Memabukkan Adalah Haram
Ayat al-Quran terdahulu mengharamkan arak yang dibuat daripada anggur sahaja, tetapi pengharaman tersebut termasuklah semua benda yang memabukkan.
Ini berdasarkan hadith daripada Nabi SAW:
كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ
Maksudnya: “Semua yang memabukkan adalah haram.”
Riwayat Bukhari (5263) dan Muslim (2001)
Hadith ini menjelaskan maksud arak, iaitu semua perkara yang memabukkan. Semua benda yang memabukkan walau apa pun namanya, hukum meminumnya adalah sama dengan hukum arak, iaitu haram.
Menurut ijma’ ulama’, pengharaman arak adalah kerana ia memabukkan. Oleh itu, pengharaman tersebut mestilah sama atas semua minuman yang memabukkan tanpa perbezaan walau apa jua asalnya.
Ini berdasarkan hadith daripada Abu Malik bin al-Asy’ari RA, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِى الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya manusia di kalangan umatku akan minum arak yang mereka menamakannya dengan nama yang lain.”
Riwayat Abu Daud (3688) dan Ibn Majah (4020)
Pengertian Mabuk
Maksud mabuk ialah pemikiran terlalu kacau, yang menghalang fungsi akal kerana tidak dapat mengawal dengan bijak dan sepatutnya. Maksud memabukkan pula ialah sesuatu yang diminum itu biasanya menyebabkan seseorang mabuk tanpa mengira kadarnya. Oleh itu, tidak harus sama sekali mengambil sesuatu yang pasti memabukkan peminumnya sama ada kadar yang diminum itu sampai had yang memabukkan ataupun tidak, dan sama ada peminum itu mabuk ataupun tidak.
Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA:
مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ
Maksudnya: “Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram.”
Riwayat Abu Daud (368), al-Tirmizi (1866) dan Ibn Majah (3393)
Hadith seterusnya daripada Aisyah R.Anha, katanya, sabda Rasulullah SAW:
كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ مَا أَسْكَرَ الْفَرَقُ مِنْهُ فَمِلْءُ الْكَفِّ مِنْهُ حَرَامٌ
Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah haram, sesuatu yang kadarnya satu faraq (فرق) boleh memabukkan, maka segenggam daripadanya pun haram.”
Riwayat al-Tirmizi (1867) dan Abu Daud (2687)
Minuman yang Memabukkan Adalah Najis
Menurut Mazhab al-Syafie, arak dan minuman yang memabukkan adalah najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT (yang bermaksud):
“Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji).”
(Surah al-Maidah: 90)
Perkataan rijsun dengan makna kotor dan najis.
Hikmah Pengharaman Minuman yang Memabukkan
Allah SWT mengurniakan nikmat yang berbagai-bagai kepada manusia dan yang paling utama ialah nikmat akal yang membezakan manusia, bahkan memuliakannya berbanding dengan makhluk yang lain.
Kestabilan hidup manusia sama ada sebagai individu atau sebagai anggota masyarakat bergantung kepada kesempurnaan dan kekuatan akal.
Semua minuman yang memabukkan merosakkan akal dan menyebabkan manusia kehilangan banyak faedah dan kelebihannya. Hal ini mengakibatkan jiwa mereka menjadi lemah, dikuasai oleh hawa nafsu, timbul rasa benci-membenci dan persengketaan di kalangan orang Islam, sehingga putus hubungan persaudaraan dan hilang rasa kasih sayang.
Lebih dahsyat lagi, kesan minum arak menghalang manusia mengingati Allah dan menjauhi mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsan-Nya.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”
(Surah al-Maidah: 91)
Begitu juga hadith daripada Rasulullah SAW:
اجْتَنِبُوْا الخَمْرَ فَإِنَّهَا مِفْتَاحُ كُلِّ شَرٍّ
Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan.”
Riwayat al-Hakim (4/145)
Begitu juga, hadith daripada Uthman RA secara mauquf:
اجْتَنِبُوا الْخَمْرَ فَإِنَّهَا أُمُّ الْخَبَائِثِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan.”
Riwayat al-Nasaie (8/315)
Itulah sebahagian hikmah pengharaman arak dan semua jenis makanan atau minuman yang memabukkan.
Hukuman Peminum Arak
Selepas diterangkan maksud memabukkan dan diketahui hukum perkara yang memabukkan. Begitu juga, dalil dan hikmah. Maka di sini, diterangkan hukum berkaitan meminum perkara yang memabukkan. Peminum arak akan menghadapi dua hukuman yang berikut:
Pertama: Hukuman dari sudut perundangan dilaksanakan di dunia, iaitu hukuman hudud.
Kedua: Hukuman dari sudut agama yang dilaksanakan pada hari Kiamat.
Dari sudut agama, hukumnya berdosa. Perlaksanaannya terserah kepada Allah terhadap hamba-Nya yang sedikit pun tiada kaitan dengan undang-undang dunia. Walau bagaimanapun, ulama’ sepakat menyatakan bahawa meminum minuman yang memabukkan dengan sengaja adalah berdosa besar.
Pada hari Kiamat, balasannya amat dahsyat selagi tidak mendapat pengampunan dan kemaafan daripada Allah SWT:
Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA , sabda Nabi SAW:
إِنَّ عَلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ عَهْدًا لِمَنْ يَشْرَبُ الْمُسْكِرَ أَنْ يَسْقِيَهُ مِنْ طِينَةِ الْخَبَالِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَمَا طِينَةُ الْخَبَالِ؟ قَالَ: عَرَقُ أَهْلِ النَّارِ أَوْ عُصَارَةُ أَهْلِ النَّارِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menjanjikan azab kepada peminum arak dengan minuman lumpur kebinasaan (طينة الخبال). Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah lumpur kebinasaan itu?” Baginda menjawab: “Peluh penghuni neraka atau perahan ahli neraka.”
Riwayat Muslim (2002)
Hukuman Had bagi Peminum Arak
Hukuman peminum minuman yang memabukkan sama ada arak atau yang lainnya adalah dengan sebatan 40 kali dengan syarat-syarat yang akan dijelaskan. Pemerintah harus menjalankan hukuman tersebut hingga 80 kali sebatan sebagai tambahan dengan hukum ta’zir (تعزير). Ini berdasarkan hadith daripada Anas RA:
كَانَ يَضْرِبُ فِى الْخَمْرِ بِالْجَرِيدِ وَالنِّعَالِ أَرْبَعِينَ
Maksudnya: “Nabi SAW menyebat peminum arak sebanyak 40 kali sebatan dengan pelepah tamar dan selipar.”
Riwayat Muslim (1706)
Hadith yang lain, daripada Anas RA:
أَنَّ نَبِىَّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَلَدَ فِى الْخَمْرِ بِالْجَرِيدِ وَالنِّعَالِ ثُمَّ جَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ. فَلَمَّا كَانَ عُمَرُ وَدَنَا النَّاسُ مِنَ الرِّيفِ وَالْقُرَى قَالَ: مَا تَرَوْنَ فِى جَلْدِ الْخَمْرِ؟ فَقَالَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ: أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا كَأَخَفِّ الْحُدُودِ. قَالَ: فَجَلَدَ عُمَرُ ثَمَانِين
Maksudnya: “Nabi SAW menyebat peminum arak dengan pelepah tamar dan selipar sebanyak 40 kali. Abu Bakar juga pernah menyebat 40 kali. Pada zaman Umar RA, ramai orang dari pedalaman dan kampung datang ke Madinah, lalu Umar bertanya kepada para sahabat, katanya: “Apakah pendapat kamu tentang hukuman sebat atas peminum arak?” Jawab Abdul Rahman bin ‘Auf: “Aku fikir, kamu menjalankan hukum hudud yang paling ringan.” Abdul Rahman berkata: “Selepas itu, Umar RA menghukum 80 kali sebatan.”
Riwayat Muslim (4551)
Tindakan Umar tersebut menunjukkan bahawa sebatan yang melebihi 40 kali adalah ta’zir dan bukan hudud.
Ini berdasarkan hadith daripada Uthman RA:
فَاجْلِدْهُ يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ جَعْفَرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا. وَعَلِىٌّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَعُدُّ حَتَّى بَلَغَ أَرْبَعِينَ فَقَالَ أَمْسِكْ. ثُمَّ قَالَ جَلَدَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْبَعِينَ وَجَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ وَعُمَرُ ثَمَانِينَ وَكُلٌّ سُنَّةٌ وَهَذَا أَحَبُّ إِلَى
Maksudnya: “Uthman RA memerintahkan al-Walid bin Uqbah bin Abu Muait disebat, lalu dilakukan oleh Abdullah bin Ja’far RA, manakala Ali RA pula mengiranya. Apabila sampai 40 kali sebatan, Ali memberitahu Abdullah supaya berhenti, seraya berkata: “Nabi SAW menyebat 40 kali, begitu juga Abu Bakar, akan tetapi, Umar RA menyebat 80 kali. Semuanya adalah sunnah. Namun, hukuman ini yang lebih aku suka.”
Riwayat Muslim (1707)
Maksud Ali ialah hukuman 40 kali sebatan sudah memadai kerana kadar itulah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Kadar ini lebih selamat dalam pelaksanaan hukum daripada menambahnya yang ditakuti berlaku zalim. Ulama’ fiqh menyatakan bahawa hukuman 40 kali sebatan daripada Rasulullah SAW ialah hukuman asas. Adapun tindakan Umar RA menyebat 80 kali, Ali menjelaskannya seperti berikut:
نَرَى أَنْ تَجْلِدَهُ ثَمَانِينَ فَإِنَّهُ إِذَا شَرِبَ سَكِرَ وَإِذَا سَكِرَ هَذَى وَإِذَا هَذَى افْتَرَى
Maksudnya: “Kami berpendapat, engkau menghukum 80 kali sebatan adalah kerana apabila seseorang minum arak dia mabuk, ketika mabuk dia merepek, seterusnya berbohong.”
Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ (1541)
Hukuman berbohong menuduh orang lain berzina ialah 80 kali sebatan. Justeru, hukuman minum arak yang melebihi 40 kali sebatan, sebagaimana yang dilaksanakan oleh Umar RA adalah sebagai ta’zir. Menurut Mazhab al-Syafie, hukuman yang lebih baik setakat 40 kali sebatan sahaja kerana itulah yang datang daripada Rasulullah SAW.
Ditegah melaksanakan hukuman sebat ketika peminum arak sedang mabuk. Hal ini adalah kerana hukuman yang dijalankan ketika itu tidak mencapai tujuan pencegahan. Oleh itu, pelaksanaannya hendaklah ditangguhkan sehingga dia pulih supaya terhasil pencegahan mengambil arak semula.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Dalam isu ini, hendaklah dilihat antara dua kondisi ini;
- Jika agama-agama selain Islam mengizinkannya, maka ia termasuk dalam kebebasan beragama dan kami tidak ada masalah dengannya.
- Mengadakan pesta arak secara terbuka adalah tidak ada kewajarannya dari sudut pendirian yang matang kerana mempromosikan arak itu sendiri adalah satu hal yang tidak bermanfaat.
Kami mengambil kesempatan untuk menasihat seluruh rakyat Malaysia untuk menghindarkan diri daripada hanyut dengan arak. Arak telah terbukti menjadi ibu bagi segala kerosakan masyarakat, perpecahan dan keruntuhan rumahtangga. Malah di dalam Islam, perbuatan meminum arak adalah satu maksiat yang wajib ditinggalkan.
Di United Kingdom (UK), angka rasmi jenayah akibat meminum alkohol adalah 45-46 % kejadian jenayah, 39 % keganasan rumah tangga dan hampir 1 juta serangan ganas berlaku pada 2007 hingga 2008 berpunca daripada mabuk atau separuh mabuk. Ia jelas menunjukkan bahawa meminum arak bukanlah budaya yang baik dan sihat.
Semoga Malaysia terus maju ke hadapan dan meninggalkan budaya-budaya yang tidak bermanfaat kepada bangsa dan negara. Kami berpandangan, alangkah baiknya masyarakat Malaysia lebih meraikan pesta yang menyemarakkan semangat perpaduan sesama kita seperti pesta makanan dan minuman bangsa-bangsa di Malaysia. Ia juga lebih signifikan dan sesuai dengan masyarakat Malaysia yang tinggi dengan adab ketimuran.
Akhukum fillah
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan