KUALA TERENGGANU: Selepas dua tahun terhenti akibat pandemik COVID-19, kerajaan Terengganu akan menganjurkan semula Majlis Walimatulurus Perdana untuk membantu bakal pengantin berkahwin secara percuma bermula September depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata program itu bertujuan membantu meringankan beban ahli keluarga yang tidak berkemampuan serta menggalakkan perkahwinan semula ibu dan bapa tunggal di Terengganu.
"Majlis akad nikah dan resepsi pengantin akan dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan pengantin yang terpilih tidak perlu mengeluarkan wang perbelanjaan kerana semuanya ditanggung oleh kerajaan negeri.
"Antara manfaat semasa program (majlis akad nikah dan resepsi) yang akan diterima oleh setiap pasangan ialah satu set persalinan akad nikah, khidmat jurunikah, pelamin, kad jemputan kahwin dan khidmat jurugambar, jemputan jamuan khas pengantin bersama keluarga terdekat serta cenderahati untuk tetamu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sejak dimulakan pada 2016 hingga 2019, seramai 1,167 pasangan mendapat manfaat daripada program terbabit.
Hanafiah berkata, bakal pengantin terdiri ibu atau bapa tunggal juga layak menerima insentif RM1,000 setiap seorang.
"Bagi pasangan belia, mereka ditawarkan Skim Pinjaman Modal Perniagaan di bawah Skim Pinjaman Jaya Diri (PJD) dengan jumlah maksimum RM20,000 kepada yang berminat dan layak," katanya.
Bakal pengantin yang berminat boleh melayari laman web rasmi atau menghubungi YPKT daerah masing-masing untuk maklumat lanjut. - BERNAMA
2. Kerajaan proaktif kekang penularan ajaran sesat
REALITI hari ini, umat Islam berhadapan dengan cabaran yang amat berbeza. Pelbagai isu membimbangkan, khususnya ajaran-ajaran sesat yang jauh menyimpang dari akidah berlaku saban hari. Lebih parah, ajaran sesat kini sudah menguasai platform media sosial, yang pastinya mampu mempengaruhi pemikiran anak-anak muda kita, generasi yang bakal mencorak masa depan negara.
Atas dasar itu, pentingnya umat Islam, khususnya anak muda mempunyai kefahaman dan pengukuhan terhadap pegangan ajaran Islam yang sebenar, berasaskan dalil dan nas sahih. Umat Islam harus berpegang dengan ajaran yang benar bersandarkan sanad, bukan hikayat-hikayat dongeng yang dibawa ‘Tok Guru’ tanpa sandaran. Bimbang suatu saat nanti, setiap yang pernah kita haramkan dulu menjadi halal, hanya kerana ajaran-ajaran salah tanpa bersandarkan rujukan dari Al-Quran dan As-Sunnah.
Umat Islam juga harus berpegang dengan Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenar, yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W mengikut manhaj dan kaedah Salaf dan Khalaf (Asya’irah dan Maturidiyyah). Mereka berfahaman sederhana (wasatiyyah), tidak melampau dan tidak terlalu longgar.
Mereka mengutamakan perpaduan dan persaudaraan Islam bukan permusuhan, berpegang kepada prinsip tidak memuja pemimpin, dan tidak taksub sehingga mengkafir atau menyesatkan sesama Islam. Inilah akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenar, yang menjadi pegangan para ashabus samahah mufti-mufti serta alim ulamak kita dari dahulu sehingga kini.
Saya percaya penganjuran Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah peringkat Wilayah Persekutuan oleh JAWI hari ini mampu memberikan kefahaman dan pengukuhan terhadap pegangan ajaran Islam, serta menjadi platform dan benteng kepada ancaman pelbagai ajaran dan kepercayaan yang menyeleweng dari akidah Islam yang sebenar.
Tahniah JAWI atas penganjuran Konvensyen hari ini. Semoga usaha ini akan menjadi suatu manifestasi kerajaan dalam memastikan akidah umat Islam di negara ini terus terpelihara.
YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 1/7/2022
3. Penjualan air zam-zam adalah satu kesalahan
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum isu penjualan air zam-zam secara dalam talian (online) yang disiarkan oleh media tempatan pada 28 Jun 2022. Pemakluman berkaitan kesalahan penjualan air zam-zam ini telah diuar-uarkan kepada orang ramai sejak tahun 2015 lagi dan telah pun terdapat beberapa kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan.
Air zam-zam dikategorikan sebagai air mineral semulajadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-peraturan Makanan 1985. Pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport. Dalam hal ini, Kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zam-zam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan.
KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengesahkan tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang telah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zam zam. Tindakan penolakan konsainan akan dilaksanakan sekiranya terdapat pengimportan air zam-zam yang tidak berlesen. Justeru itu, air zam zam yang diiklan atau dijual di pasaran diragui ketulenannya.
Hasil daripada aktiviti penguatkuasaan yang telah dijalankan sejak tahun 2012 hingga kini, nilai rampasan ke atas air zam-zam di pasaran adalah berjumlah RM83,618.20. BKKM turut menjalankan saringan berterusan ke atas platform dalam talian (online) termasuk e-dagang. Sejumlah 237 iklan makanan telah dipadamkan daripada pelbagai platform e-dagang kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985. Daripada jumlah tersebut, 32 iklan makanan yang dipadam adalah iklan air zam-zam
Manakala hasil pemantauan di media sosial pula pada tahun 2021 dan 2022, sebanyak 23 dan 40 iklan air zam-zam masing-masing telah dipadam daripada media sosial.
Di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, mana-mana orang yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semulajadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun.
KKM menasihati orang ramai agar tidak membeli air zam-zam dari mana-mana kedai atau platform dalam talian (online) terutama pada musim haji ini kerana dikhuatiri ianya air zam-zam tiruan. KKM juga menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penjualan air zam-zam di mana-mana kedai atau platform dalam talian (online) ke Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau melalui laman sesawang aduan awam KKM ( http://moh.spab.gov.my) ; atau Facebook BKKM http://www.facebook.com/bkkmhq.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
1 Julai 2022 – HARAKAHDAILY 1/7/2022
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah! Kerajaan sekarang menangani masalah rakyat. Anjurkan kahwin percuma bagi remaja muda-mudi, duda dan janda. Hindari ajaran sesat dan kebersihan air zam-zam.
Kahwin percuma sudah mula di Terengganu, kalau mahu tersebar di seluruh negara, PRU 15 ini berilah kemenangan kepada parti PAS dan sekutu-sekutunya di tempat anda!
Undilah PAS dan rakan kumpulannya!