Saturday, August 20, 2022

PN tuntut TPM. PAS pegang keputusaan awal..

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Tuntutan lantik TPM daripada PN: Ini jawapan Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) terus menuntut pelantikan seorang Timbalan Perdana Menteri daripada gabungan parti itu.

Pemimpin PN membangkitkan apa yang mereka dakwa ada perjanjian dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai jawatan itu yang sepatutnya diberikan kepada BERSATU ketika menyokongnya dipilih sebagai Perdana Menteri selepas Tan Sri Muhyiddin Yasin melepaskan jawatanya setahun lalu.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, mendakwa perjanjian di antara PN dengan Ismail Sabri termasuk jawatan itu, sememangnya wujud.

Media sebelum ini pula melaporkan calonnya ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mohamed Azmin Ali.

Namun, dalam sidang media sempena setahun pentadbirannya, Ismail Sabri ketika ditanya berhubung perkara itu menjelaskan belum ada keperluan melantik Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata, ini kerana sudah ada empat jawatan Menteri Kanan yang turut berperanan dan mendapat keistimewaan menyamai Timbalan Perdana Menteri. 

Itu (lantik Timbalan Perdana Menteri) biarlah dulu. Setakat hari ini, seperti kita tahu saya sudah ada empat menteri kanan yang membantu saya dan seolah-olah sudah ada empat Timbalan Perdana Menteri yang membantu saya.

"Faedah yang mereka peroleh hampir sama. Ada pengawal pengiring, polis, macam-macamlah. Lebih kurang Timbalan Perdana Menteri juga. Jadi setakat ini, tidak membebankan saya tanpa Timbalan Perdana Menteri kerana keempat-empat menteri kanan sudah mewakili parti yang sudah ada," katanya.

Beliau juga berkata, PAS yang menjadi sebahagian kerajaan tidak pernah menuntut jawatan menteri kanan.

"Cuma PAS sahaja tidak ada. Kalau tak, PAS pun boleh menuntutlah. Kenapa ada UMNO, ada GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan dua BERSATU. Patutnya satu BERSATU, satu PAS, satu UMNO dan satu GPS.

"PAS tidak pernah timbulkan isu ini. Jadi saya rasa semua orang menerima. Ada sedikit kelebihan dan kekurangan. Tak nak ada isu dan perkara yang boleh jadi isu besar, merosakkan hubungan antara kita, kita selesaikan. Tapi yang cakap banyak itu orang diluar," katanya.

Namun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula dilaporkan berkata, partinya berpegang kepada keputusan awal penubuhan kerajaan pimpinan PN, iaitu tiada pelantikan Timbalan Perdana Menteri dilakukan dan tiada sebarang perjanjian dibuat. (BH)


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Solat Maghrib di Pasar Malam Cina & Silap pilih..

 


1. MP imamkan solat Maghrib di Pasar Malam Cina

KUALA KRAI: Perniagaan di pasar malam yang terjejas teruk ketika penularan pandemik Covid-19 sebelum ini, sekarang kembali menjadi tumpuan orang ramai.

Peniaga dapat mencari rezeki, manakala penduduk tempatan boleh membeli keperluan harian dan pelbagai produk berhampiran dengan rumah mereka.

Begitu juga Pasar Malam Bandar Kuala Krai meriah semula sekarang selepas operasi perniagaan dibenarkan sejak tahun lepas.

Ahli Parlimen (MP) Kuala Krai, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pasar malam itu beroperasi setiap malam Khamis yang lebih dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai ‘Pasar Malam Cina’.

“Ini kerana kedudukannya di tengah-tengah bandar Kuala Krai yang di kelilingi gudang-gudang perniagaan dan pusat membeli belah.

“Biarpun namanya Pasar Malam Cina, namun hampir kesemua peniaga adalah orang Melayu Islam,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sebelum itu beliau mengimamkan solat Maghrib di Pasar Malam Bandar Kuala Krai bersama peniaga dan pengunjung.

Menurutnya amalan solat Maghrib berjemaah di pasar malam dikendalikan Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) bagi memberi ruang peniaga dan pengunjung bersolat.

Katanya MDKK menyediakan tempat solat berhampiran lokasi perniagaan mereka bagi memudahkan menunaikan solat Maghrib memandangkan waktunya begitu singkat. – HARAKAHDAILY 18/8/2022

2. Silap pilih berulang lagi tragedi seleweng wang rakyat  


TENTUNYA ramai bimbang apabila anak-anak muda dikatakan semakin menjauhi politik. Ada kebenarannya. Cuba kita tanya anak-anak sendiri. Tentunya ada yang menjawab tidak berminat.

Biarpun mereka dihidangkan isu semasa setiap detik dan saat, namun ada yang seperti tidak hiraukan. Tidak ghairah seperti sebelum ini. Entah mengapa ia boleh berlaku begitu.

Sekarang mereka sudah bergelar seorang pemilih. Apabila berlaku pilihan raya mereka boleh mengundi. Tidak lagi sekadar menyaksi ibu bapa atau abang serta kakak pergi ke tempat pembuangan undi.

Usia 18 tahun bermakna mereka baru lepas menduduki peperiksaan SPM. Malah ada yang mendapat tawaran melanjut pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

Pada usia itu mereka masih perlu bimbingan ibu bapa bagi membuat sesuatu keputusan. Tiba-tiba sekarang mereka diberi tanggungjawab begitu besar. Menentukan hala tuju politik negara.

Sejak merdeka sehingga akhir 2021, selepas hampir menghabis pengajian di kampus baru mereka berangan-angan mendaftar sebagai pemilih.

Ketika itu usia mereka melewati 21 tahun. Kematangan sudah ada. Anak muda yang berada di kampus menimba banyak pengalaman. Mereka boleh berdebat isu politik, ekonomi dan apa sahaja dengan rakan-rakan.

Malah boleh mendengar kuliah berkaitan politik dan negara disampaikan pensyarah. Sebelum ini setiap pelajar wajib mengambil subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Sekarang dikenali sebagai Pengajian Malaysia dan Hubungan Etnik.

TITAS dan Pengajian Malaysia wajib diikuti semua pelajar tanpa mengira kursus apa sekali pun. Di situlah pelajar dapat mengenali ilmu mengenai politik dan hal ehwal negara.

Pengalaman di kampus boleh mereka gunakan apabila pergi mengundi. Namun sekarang berbeza, sebelum masuk IPT anak muda sudah didaftar sebagai pemilih.

Dalam usia seperti setahun jagung mereka tidak terdedah dengan ilmu-ilmu politik secara formal. Mungkin agak bernasib baik kalau ibu bapa mereka pendukung kuat mana-mana parti.

Cerita rasuah

Ibu bapa yang aktif parti secara tidak langsung mendedahkan anak-anak mengenai sedikit sebanyak hal ehwal politik. Ayah akan bercerita pemimpin mana yang ditahan kerana rasuah atau salah guna kuasa.

Ibu pula bercerita tentang ustazah yang mengajar di surau tentang hukum halal dan haram bagi memilih pemimpin.

Semua pendedahan itu secara tidak langsung memandu anak-anak untuk memilih calon atau parti mana.

Sekarang anak-anak muda usia 18 tahun memikul tanggungjawab penting. Di bahu mereka terpikul tanggungjawab untuk memilih pemimpin.

Anak-anak muda tidak boleh lagi bertindak sebagai penonton di luar padang. Di kaki mereka bola politik yang perlu dirembat, mencari gol. Jadi tanggungjawab itu tidak kecil.

Persoalannya mampukah Undi18 memikul tugas berat tersebut. Tugas itu bukan sekadar mendapat skor A selepas bertungkus lumus sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Peranan anak muda hari ini memilih pemimpin yang akan mentadbir negara. Kalau silap pilih akan berulang lagi tragedi pemimpin yang dibawa turun naik tangga mahkamah.

Seperti juga isu pemerolehan kapal tempur persisir (LCS) yang gegar seminggu dua ini. Menurut laporan media projek itu dilulus ketika Dr Ahmad Zahid sebagai Menteri Pertahanan pada 2011.

Isu tersebut panas selepas didedah Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Kepincangan projek pembinaan kapal pesisir tempur itu bernilai lebih RM9 bilion.

Laporan perolehan LCS setebal 169 muka surat dilapor tidak menunjukkan adanya money trail (rasuah) yang berlaku antara kontraktor dan menteri.
Pengerusi PAC Wong Kah Woh memberitahu laporan yang dikeluarkan berkaitan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir tidak mewakili mana-mana parti.

“Ia berdasar hasil persetujuan bersama 14 ahli Parlimen. Mereka dari BN, Bersatu, DAP, PAS, PKR, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Amanah dan Parti Warisan (Warisan).

Apakah Undi18 faham isu yang berlaku itu. Sekiranya mereka silap pilih mengulangi apa yang pernah dibuat ibu bapa, tragedi penyelewengan wang rakyat akan terus berlaku. – HARAKAHDAILY 17/8/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Antara ciri-ciri kepimpinan Islam ialah sanggup memimpin solat di mana saja seperti MP ini, walaupun mengimamkan solat Maghrib di Pasar Malam Cina.

Dan jangan silap pilih pemimpin lagi, sehingga berulang tragedi seleweng wang rakyat seperti yang berlaku sebelum ini.

Ya, hati-hati..

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Tutup Crackhouse, syabas DBKL! & 3 syor dasar halal.

 

1.  Tutup Crackhouse selamanya: Syabas DBKL

KUALA LUMPUR: “Tahniah dan syabas diucapkan kepada kepada pihak-pihak berwajib yang telah mengambil tindakan segera di dalam menyelesaikan isu-isu seperti ini,” ujar Pengarah Jabatan Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat, Ustaz Noor Najhan Mohamad Salleh.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan bahawa pemilik Crackhouse Comedy Club (Crackhouse) yang telah disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan mana-mana premis di sekitar ibu negara ini.

Ia adalah merujuk kepada kenyataan media Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, semalam yang berkata Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bermesyuarat pada 29 Julai lepas, bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuat kuasa 30 Julai lalu.

Sehubungan itu, DBKL  juga mengumumkan telah mengambil keputusan untuk menyenaraihitamkan pemilik kelab berkenaan daripada mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya. 

“Ini bermakna pemilik kelab itutidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan selepas ini,” ujar Jalaluddin. 

Mengulas lanjut, Ustaz Noor Najhan berkata, keputusan DBKL itu sesuatu yang wajar dan tepat.    

Menurut beliau, tindakan tegas terhadap kelab komedi tersebut perlu dibuat dalam menunjukkan ‘izzah’ agama itu sendiri. 

“Di sini, kita perlu melihat apa jua unsur-unsur atau elemen yang boleh mengganggu kemurnian agama walaupun dilakukan oleh penganut agama tersebut  khususnya agama Islam. 

“Izzah adalah merujuk kepada kesucian atau kemuliaan, sebuah harga diri dan kehormatan perempuan sebagai seorang Muslimah,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Beliau turut memberitahu bahawa tidak dapat dinafikan dalam kehidupan ini, sebahagian daripada masyarakat kita memerlukan hiburan. 

Namun begitu, setiap hiburan yang akan ditayang dan dipersembahkan di mana-mana tempat terbuka mahupun tertutup seharusnya memerlukan garis panduan yang lengkap agar ia tidak menyentuh sensitiviti agama Islam, mahupun agama-agama lain di negara ini.

“Ia bukan perkara yang boleh dibuat main-main,” tegasnya..  

Nuridah Mohd Salleh

Dalam masa yang sama, Noor Najhan  turut menyarankan agar bukan setakat DBKL sahaja yang mengambil tindakan tegas sebegitu. 

“Malah, kebersamaan semua pihak termasuk masyarakat awam juga memainkan peranan penting untuk turut melaporkan kepada pihak berwajib agar diambil tindakan yang sepatutnya.

“Secara tidak langsung ia dapat mencegah perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku lagi pada masa hadapan. 

“Pihak berkuasa tempatan di lain-lain tempat atau negeri juga perlu mengambil tindakan segera yang sama seperti yang telah dilakukan oleh pihak DBKL kepada pemilik Crackhouse Comedy Club,” ujarnya.

Menurut beliau, hal ini supaya perkara ini dijadikan sebagai peringatan kepada pihak yang cuba bermain  dengan sensitiviti agama di negara ini. 

Sehubungan itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh  pula berkata, arahan daripada Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama supaya tindakan tegas dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga membuktikan komitmen untuk mengelakkan agama Islam dipersendakan. 

Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil dengan segera supaya rakyat tidak menjadikan agama sebagai bahan lawak. 

“Syabas atas tindakan pantas DBKL yang telah menggantung sementara operasi premis berkenaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menahan wanita tersebut (Siti Nur Amira Abdullah). 

“Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan menyeru rakyat Malaysia agar tidak menjadikan agama sebagai bahan sendaan dan semua pihak mesti bekerjasama untuk menghalang perkara sebegini dari berleluasa demi keharmonian negara,” katanya menerusi kenyataan di laman sosialnya pada 15 Julai yang lalu.

Nuridah turut menyeru agar semua pihak tidak menjadikan agama sebagai bahan sendaan dan mesti bekerjasama menghalang perkara sebegini dari berleluasa demi keharmonian negara.

Terdahulu pada 13 Julai lalu, media melaporkan Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, yang digantung sementara operasi oleh DBKL pada 10 Julai lalu didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Jalaluddin dilaporkan berkata, pemilik premis itu hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi sebenarnya tidak mempunyai lesen hiburan.

Sebelum ini, media melaporkan pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lalu.

Rizal menjadi tumpuan kontroversi selepas video yang tersebar di media sosial menyebabkan pihak tertentu tidak berpuas hati dengan persembahan komedinya.

Sebelum itu, kontroversi telah dicetuskan oleh Siti Nuramira, 26, yang tular selepas menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi tersebut sebelum wanita itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama dalam  kalangan sesama Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.

Teman lelaki wanita berkenaan, penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial pada hari sama. – HARAKAHDAILY 18/08/2022

2. Bajet 2023: Dewan Melayu saran 3 syor perkasa Dasar Halal Negara  

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disaran membuat penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mempermudahkan perusahaan mikro dan kecil (PMK) mendapat pensijilan halal.

Ia antara tiga cadangan dikemukakan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu) bagi menyokong usaha JAKIM memperkasa ekonomi halal melalui Dasar Halal Negara yang akan dimasukkan dalam Bajet 2023.

Presiden Dewan Melayu, Dr Abdul Halim Husin, berkata cadangan itu berikutan PMK yang merangkumi lebih 76 peratus daripada keseluruhan syarikat berdaftar di Malaysia dan menyumbang lebih 34 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berdepan kesukaran mendapat pensijilan halal kerana keperluan lesen PBT.

"Maka, terdapat keperluan penyelarasan di peringkat JAKIM dan PBT dalam mempermudahkan keperluan ini untuk pensijilan halal JAKIM dengan penetapan prosedur mudah bagi membantu usahawan PMK," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim turut mencadangkan JAKIM melaksanakan audit secara terus di negara pengeluar produk halal luar negara, berbanding melakukannya menerusi badan pengiktirafan halal negara berkenaan.

Katanya, ia berikutan isu pematuhan proses bahan mentah serta penyembelihan yang meragukan dikesan ketika ini, seperti beberapa kes yang berlaku di Australia.

Jelasnya, cadangan itu boleh dilaksanakan dengan JAKIM menawarkan kepakaran dalam bidang pensijilan halal dan meletakkan keperluan syarat untuk mengambil eksekutif halal (HE) dari Malaysia.

"Menerusi kaedah ini, kita dapat meningkatkan peluang pekerjaan HE di luar negara, di samping memantau proses halal di kilang berkenaan. Logo Halal JAKIM juga dapat ditingkatkan dan dijamin mutunya," katanya.

Saran JAKIM iktiraf badan pensijilan halal Asia

Abdul Halim turut menyarankan JAKIM mengiktiraf badan pensijilan halal Asia bagi membolehkan industri di Malaysia membeli bahan mentah dalam kalangan negara Asia, walaupun kilang itu mempunyai sijil halal negara lain.

"Menerusi pengiktirafan ini, langkah penipuan halal dapat dielakkan sama sekali. Contohnya kilang di Vietnam, tetapi sijil halal adalah dari China," katanya.

Tegasnya, Dewan Melayu yakin potensi ekonomi halal bakal melonjak hingga mencecah AS$1.3 trilion (RM5.81 trilion) sekiranya dikembangkan ke luar negara menerusi jaminan pensijilan halal JAKIM.

Katanya, ia selaras dengan peningkatan permintaan dan kunjungan dewan perniagaan negara asing pasca pandemik COVID-19, yang mahu membincang dan mempromosikan produk halal.

Malah, katanya, perbincangan dengan dewan perniagaan asing itu juga menyentuh mengenai kepakaran dalam menyediakan ekosistem halal untuk negara luar, khususnya bagi negara bukan Islam.

"Justeru, Dewan Melayu mengesyorkan kerajaan dapat mengambil kira input ini dalam Bajet 2023, yang akan memperkasakan Dasar Halal Negara secara tuntas," katanya. (BH)


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Artis memaksiatkan, sediakan garis panduan.. & Hedonisme

Gambar hiasan..

HALAMAN HIBURAN

1. Acara maksiat rosakkan program anak muda  

IPOH: Pemuda PAS Negeri Perak kesal dengan penglibatan artis kontroversi yang akan memaksiatkan penganjuran program anak muda Karnival Gen Blu Yamaha berlangsung di Pantai Teluk Batik, Lumut hari ini.

Ketua Pemuda PAS Perak, Hafez Sabri berkata, program yang pada asalnya baik untuk menarik anak muda tidak sepatutnya rosak dengan kehadiran penyanyi dangdut yang sangat tidak senonoh.

“Sebenarnya boleh sahaja anak muda berkumpul atas semangat ukhuwah dan minat bersama.

“Tidak perlu melibatkan artis yang boleh mengundang pelbagai keadaan yang tidak baik untuk masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, memastikan pengisian program yang bermanfaat adalah tanggungjawab penganjur.

“Mereka boleh contohi program-program ‘gathering’ besar anjuran pihak-pihak yang lebih beretika dan bertanggungjawab.

“Boleh juga contohi dan belajar bagaimana Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah anjur program-program besar melibatkan anak muda,” ujarnya.

Jelasnya, Islam tidak melarang hiburan termasuk kesenian dan kebudayaan yang boleh dipelihara selagi mana tidak melanggar syarak.

“Kami mencadangkan agar pihak berautoriti khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyediakan garis panduan program terutamanya yang melibatkan hiburan agar kemaksiatan dapat dibendung,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/8/2022


2. Konsert Hedonisme bukan budaya Malaysia 

PEMUDA PAS menzahirkan kekecewaan atas penganjuran konsert oleh artis antarabangsa di Stadium Bukit Jalil, 18 Ogos 2022 yang lalu. Ternyata program bersifat Hedonisme ini tiada manfaat buat rakyat, dan hanyalah sebuah pembaziran yang nyata.

Kos pembelian tiket bagi konsert ini diletakkan dengan harga yang amat mahal, tetapi penonton mendapat persembahan yang tidak setimpal dengan harga yang dibayar. Berdasarkan keluhan dari penonton yang hadir menyaksikan konsert ini, kedudukan mereka diletakkan terlalu jauh dari pentas utama, dan sistem audio yang dipasang amat teruk.

Konsert Hedonisme yang berobjektifkan hiburan semata-mata tidak lebih sebagai sebuah projek pembodohan minda anak muda. Program-program sebegini hanya melahirkan sekelompok generasi yang leka dengan hiburan. 

Ditambah pula dengan keadaan hari ini, tatkala negara baru sahaja keluar dari pasca pandemik. Masih ramai anak muda yang terpaksa mengikat perut, mengalami tekanan sara hidup akibat cabaran ekonomi. Apakah konsert sebegini dilihat sebagai penyelesaian bagi semua permasalahan ini? 

Walaupun ramai pihak yang melemparkan kecaman kepada PAS atas penganjuran konsert ini, hakikatnya PAS membuktikan konsistensi PAS sebagai parti Islam yang mempertahankan nilai-nilai Islam di bawah negeri pentadbiran PAS. 

Pada malam yang sama dengan penganjuran konsert ini, Kerajaan PAS Terengganu telah melaksanakan program pengisian rohani dengan ikon dakwah Ustaz Azhar Idrus dan artis Zizan Razak yang telah dihadiri ribuan rakyat dan anak muda. Program ini ternyata lebih memberi impak dalam mengisi kekosongan jiwa anak muda, sekali gus memberikan mereka hiburan yang sesuai dengan garis syariat.

Sebagai respon terhadap konsert ini dan mendepani penganjuran konsert-konsert yang akan datang, Pemuda PAS akan menyusun sesi pertemuan dan perbincangan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOMM) bagi menyatakan pendirian dan penolakan PAS terhadap konsert-konsert Hedonisme ini. 

Pemuda PAS juga sekali lagi mendesak KKOM supaya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan JAKIM mesti dilibatkan dalam menyusun garis panduan hiburan dan penganjuran konsert, supaya pelaksanaannya tidak bertentangan dengan syariat. 

PAS akan terus bertindak berlandaskan kuasa yang ada, serta apa yang termampu dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar di negara tercinta ini.

USTAZ AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 20/8/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Artis memaksiatkan, sediakan garis panduan.. & Hedonisme bukan budaya Malaysia. Itu antara saranan Pemuda PAS. Samakah dengan disiplin 'Patuh Syariah'?

Tahniah Pemuda PAS!

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Kunto Aji Artis Indonsia di KL. 'Patuh Syariah' (sangka baik), Insya Allah. (?)

 

Pada persembahan kira-kira sejam 30 minit itu, Kunto menyanyikan lagu popular seperti Rehat, Saudade, Konon Katanya, Akhir Bulan, Salam Pada Rindu, Pilu Membiru dan Terlalu Lama Sendiri. Foto Ihsan Shiraz Projects Sdn Bhd

Kunto Aji terharu konsert di DFP sukses

KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Kunto Aji hampir menitiskan air mata melihat sambutan peminat pada Konsert Fabulous Friday : Kunto Aji di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur City Centre (KLCC), malam tadi.

Penyanyi dan penulis kreatif berasal dari Yogyakarta, Indonesia itu terkejut melihat sambutan yang disifatkan sangat positif daripada peminat di Malaysia."Saya terkejut hingga suara tersekat. Saya cukup emosional malam ini kerana banyak perkara yang saya lewati tahun ini. Akhirnya, ada suatu perkara yang boleh diraikan iaitu malam ini (tadi).

"Terima kasih, saya senang sekali sampai di Kuala Lumpur dan bersama kalian. Ini malam yang sangat istimewa buat saya.

"Terima kasih kalian yang sudah berperang berebut tiket untuk menghadiri persembahan saya," katanya kepada BH Online.

Memulakan persembahan dengan lagu Jakarta Jakarta, kehadiran Kunto buat kali pertama di Malaysia cukup berbaloi hingga tiket habis dijual dalam tempoh 30 minit selepas dibuka.

Diiringi lima pemuzik dan sahabat dari Bandung, Kunto berkata, mereka hanya sempat berlatih sebulan.

"Pertunjukan ini saya sediakan tidak sampai sebulan. Syukur saya dibantu kumpulan dari Bandung. Ini kali pertama saya di DFP dan ternyata saya mampu buat persembahan selepas melihat sambutan.

"Terima kasih kepada Shiraz Projects Sdn Bhd yang membuatkan semua ini terjadi. Semoga kita akan bertemu lagi pada masa akan datang," katanya.

Pada persembahan kira-kira sejam 30 minit itu, Kunto menyanyikan lagu popular seperti Rehat, Saudade, Konon Katanya, Akhir Bulan, Salam Pada Rindu, Pilu Membiru dan Terlalu Lama Sendiri.

Kunto muncul dengan album Generation Y pada 2015 dan Mantra Mantra (2018).

Dia juga pernah memenangi anugerah Breakthrough Artist of the Year pada Indonesian Choice Awards 2015 dan Anugerah Album Terbaik serta Artis Solo Pria/Wanita Alternatif Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia 2019..

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sekadar membaca berita ini 'Kunto Aji terharu konsert di DFP sukses', konsert ini berjalan lancar. Dengan 'sangka baik', seolah-olah tidak berlaku perlanggaran 'patuh syariat'.

Amin! Insya Allah.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

M'sia 'belajar' guna ganja perubatan. Indonesia tolak.

 

Balang berisi ganja di sebuah dispensari di Bangkok, Thailand. - Foto REUTERS

1. Malaysia mahu 'belajar' guna ganja untuk perubatan daripada Thailand

BANGKOK: Malaysia berhasrat untuk belajar daripada Thailand berhubung dasar penggunaan ganja dalam usahanya untuk membenarkan penggunaan dadah itu bagi tujuan perubatan.

Berdasarkan sumber pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, Malaysia kini sedang membangunkan rangka kerja bagi tujuan itu.

"Kami sedang membangunkan rangka kerja kami sendiri untuk penggunaan ganja bagi tujuan perubatan, dan ingin belajar dari Thailand," katanya yang enggan dikenali, kepada Reuters.

Hasrat itu disuarakan selepas Menteri Kesihatan Thailand menyatakan perancangannya untuk bertemu rakan sejawatnya di sini semasa mesyuarat menteri kesihatan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) minggu depan. 

Forum itu akan dimanfaatkan Thailand bagi mempamerkan usahanya dalam 'menghalalkan' ganja bagi tujuan perubatan, sekali gus menjadi komoditi ekonomi yang menguntungkan.

Thailand membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan pada 2018 untuk meredakan kesakitan dan keletihan, sekali gus menjadi negara Asia pertama yang 'menghalalkan' penanaman ganja dan penggunaannya dalam makanan serta minuman.

Penanaman dan penggunaan ganja secara rekreasi kini adalah haram di Malaysia, di mana pemilikan lebih daripada 200 gram dadah itu boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.

Namun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata import dan penggunaan ganja perubatan di bawah preskripsi doktor adalah dibenarkan jika ia berdaftar dan dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Pada April lalu, Khairy berkata, kerajaan mengalu-alukan kajian klinikal untuk kegunaan perubatan cannabidiol iaitu bahan kimia dalam kanabis yang tidak memberikan kesan mengkhayalkan kepada pengguna.

Bulan lalu, agensi berita BERNAMA melaporkan, KKM menyasarkan untuk mula mendaftarkan beberapa produk cannabidiol tahun depan selepas mengkaji keselamatannya, walaupun proses kelulusan untuk penanaman ganja masih panjang.

Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul, selaku individu utama bertanggungjawab dalam pengesahan ganja untuk tujuan perubatan, menganggarkan industri itu boleh menjana sehingga lebih daripada AS$3 bilion (RM13 bilion) dalam tempoh lima tahun.

"Topik perbincangan adalah mengenai cara untuk bersama-sama memajukan dasar seperti ini untuk mendapatkan manfaat, dari segi ekonomi dan perubatan.

"Kami mahu semua orang mengiktiraf manfaat tumbuhan ganja ini. Semakin ramai orang berminat dalam bidang ini, lebih banyak pembangunan dan penyelidikan akan tercipta," katanya pada sidang akhbar di Bangkok.

Menurut Thailand, dasar ganja negara itu meliputi tujuan perubatan dan kesihatan, namun bukan bagi penggunaan rekreasi, walaupun undang-undang yang dikuatkuasakan secara tergesa-gesa itu mewujudkan ruang bagi tujuan berkenaan.-REUTERS


2. Mahkamah Indonesia tolak gesaan benarkan ganja untuk perubatan Julai 20, 2022 @ 4:52pm  

JAKARTA: Sembilan panel hakim Mahkamah Perlembagaan Indonesia hari ini menolak semakan kehakiman terhadap undang-undang narkotik negara yang akan membuka jalan untuk membenarkan ganja bagi kegunaan perubatan.

Pada 2020, tiga ibu kepada kanak-kanak menghidap Cerebral Palsy (CP) yang disokong oleh masyarakat sivil memfailkan semakan kehakiman terhadap undang-undang narkotik yang ketat di negara itu dengan alasan ganja boleh digunakan bagi merawat gejala penyakit.

Kumpulan hakim itu berkata, penyelidikan yang ada tidak mencukupi sebagai justifikasi bagi membolehkan keputusan memihak kepada plaintif.

Bagaimanapun, panel hakim menggesa kerajaan menjalankan penyelidikan segera mengenai penggunaan terapeutik narkotik.

"Mahkamah menekankan supaya kerajaan membuat susulan dalam kadar segera... keputusan yang boleh digunakan untuk menentukan dasar, termasuk dalam kes ini kemungkinan untuk melakukan perubahan undang-undang," kata seorang daripada hakim, Suhartoyo. 

Semua plaintif menyifatkan pengharaman narkotik bagi tujuan perubatan sebagai pelanggaran perlembagaan hak rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan manfaat daripada pembangunan sains dan teknologi.

Negara Asia Tenggara itu memiliki satu daripada undang-undang anti-dadah yang paling ketat di dunia, dengan hukuman memiliki atau mengedar sejumlah besar narkotik adalah termasuk penjara seumur hidup dan hukuman mati.

Bagaimanapun, isu itu baru-baru ini mendapat perhatian selepas seorang wanita, Santi Warastuti, yang anak perempuannya berusia 13 tahun menghidap CP menggesa ganja dihalalkan untuk penyelidikan perubatan di pusat bandar Jakarta.

Kisah ibu berusia 43 tahun itu tular selepas dia memegang sepanduk 'tolong, anak saya memerlukan ganja perubatan' di jalan raya yang sesak.

Parlimen Indonesia baru-baru ini membincangkan bagi pindaan peraturan yang mengawal ganja perubatan, dengan menyatakan akan menjalankan kajian menyeluruh mengenai manfaatnya.

Untuk rekod, Thailand menjadi negara pertama di rantau ini yang membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan pada 2018, kemudian membenarkan penanaman dan penggunaan kanabis pada tahun ini. - REUTERS

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Malaysia 'belajar' guna ganja perubatan dari Thailand. Indonesia tolak, pada hal Aceh terkenal sebagai pusat pengedaran ganja sebelumnya.


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails