‘QUIS custodiet Ipsos custodes’, satu maxim Latin yang bermaksud ‘siapa penjaga kepada mereka yang menjaga’.
Jika pemimpin negara itu sepatutnya menjaga negara, siapa pula yang menjaga pemimpin negara dari merosakkan negara? Persoalan penting untuk kita semua.
Kelantan dan integriti, dua perkara yang sinonim antara satu sama lain. Hatta musuh politik PAS, benci macam mana pun mereka kepada PAS, terpaksa mengakui Kerajaan PAS Kelantan adalah kerajaan yang dikenali dengan integriti.
Kesungguhan PAS Kelantan terus dibuktikan melalui Pelan Antirasuah Kelantan (KACP) 2020-2024.
Pelan ini dibina atas satu tapak yang amat kukuh, iaitu konsep ‘Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI).
Menarik apabila kita cuba mencari jawapan kepada persoalan di atas, ianya terkandung dalam konsep UMI ini.
Ubudiyyah itu bermakna setiap individu wajib sedar, kita hanyalah hamba, dan Allah itu Tuhan.
Mas’uliyyah itu bermakna setiap individu perlu sedar, tanggungjawab di dunia, pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.
Itqan itu bermakna setiap individu perlu sedar, ketekunan dalam menjalankan amanah, bakal menjadi jawapan di akhirat kelak.
Maka jawapannya, penjaga kepada mereka yang menjaga, adalah Allah S.W.T. Teringat pesan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dahulu, hanya taqwa kepada Allah mampu menyelesaikan masalah rasuah.
Kerana jika takut kepada manusia, akan sentiasa ada manusia yang lebih tinggi kedudukannya, dan akhirnya manusia yang paling tinggi kedudukannya akan merasakan dia tidak perlu takut kepada sesiapa. Taqwa itu kuncinya.
Di United Kingdom, sebuah negara yang maju, mereka ada Ministerial Code untuk menjaga tahap integriti. Tetapi pada 16 Jun 2022, penasihat etika kepada Perdana Menteri UK, Lord Christopher Geidt meletakkan jawatan kerana mendakwa tidak dapat menerima tindakan Perdana Menteri yang seakan sengaja ingin melanggar ‘Ministerial Code’.
Dan lebih malang lagi, perkara itu hanya menjadi sensasi buat seketika, lalu dilupakan oleh sekalian pemimpin termasuk rakyat.
Begitulah hakikat manusia, selamanya tidak akan mampu untuk mencari solusi kepada masalah mereka sendiri.
Hatta negara yang maju seperti UK, yang mempunyai universiti tersohor dunia, ramai cerdik pandai, ekonomi yang kukuh, teknologi yang hebat, tetap buntu akhirnya.
Menjadi bukti kepada kita, hanya dengan penghayatan kepada konsep Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan yang benar-benar akan menjaga pemimpin dan sekalian rakyatnya.
Atas sebab-sebab beginilah, mengapa Kelantan itu ada izzah yang tersendiri. Sebuah negeri yang dikenali meletakkan Islam sebagai asasnya. Pemimpinnya pula, menjadikan taqwa sebagai kunci kepada pentadbiran negeri.
Maha Suci Allah, mengurniakan rakyat Kelantan dengan pemimpin-pemimpin negeri yang jujur dan amanah, tinggi integritinya.
Bukanlah niat ingin mendabik dada, tetapi ingin mengajak umat seluruhnya, agar kembali kepada Islam. Sebagaimana kata-kata yang sering diulang oleh Presiden PAS, ‘Islam adalah solusi’.
MUHAMMAD NABIL ZULKIFLI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 26/8/2022
2. Di celahan kes-kes rasuah, Kelantan tunjukkan contoh integriti
Malangnya hari ini kita lihat pemimpin semua parti telah berhadapan dengan kes korupsi, penyelewengan, pengubahan wang haram dan sebagainya.
Bermula dengan parti yang tertua, hingga parti termuda. Masing-masing pemimpin berhadapan dengan kes integriti ini di mahkamah.
Namun, di celah kekalutan kes-kes yang dihadapi oleh pemimpin politik ini, tertonjol sebuah parti yang sehingga kini masih bersih dan menjunjung tinggi nilai integritinya. Yakni, Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Pentadbiran PAS di Kelantan selama 32 tahun tanpa kes sabitan rasuah, penyelewengan dan pecah amanah merupakan satu pencapaian yang membanggakan.
Prestasi ini wajar dikekalkan, jika anak cucu negara pada masa akan datang bertanya, kita masih mempunyai PAS dan Kelantan sebagai jawapan bahawa nilai integriti masih wujud di Malaysia.
Di bawah pentadbiran YAB Menteri Besar, Ustaz Ahmad Yakob pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjaga nilai integriti ini di Kelantan agar kekal sebagai sebuah warisan dan maruah diri rakyat Kelantan.
Selain daripada Penganjuran Hari Integriti setiap tahun bermula dari 2008, Konvensyen Integriti Negeri Kelantan dan kempen-kempen kesedaran yang lain.
Kelantan juga telah melancarkan Pelan Anti-Rasuah Kelantan (KACP) 2020-2024 yang menetapkan enam strategi utama bagi menangani risiko rasuah dalam bidang yang berisiko tinggi.
Lebih menarik lagi Pejabat SUK Kelantan telah mendapat pensijilan MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (SPAR) daripada SIRIM QAS International.
Pensijilan ini juga meliputi 3 polisi iaitu Polisi Anti Rasuah, Polisi Hadiah dan Polisi Pemberi Maklumat.
Usaha ini telah meliputi proses pendidikan, kempen kesedaran, pembangunan polisi dan pelan, pengiktiran badan autoriti dan penguatkuasaan.
Pun begitu, perkara yang lebih dan paling besar dalam apa jua pendekatan, polisi dan dasar adalah komitmen pelaksanaan daripada kepimpinan.
Alhamdulillah, kepimpinan Kelantan di bawah PAS sangat komited untuk membasmi isu integriti ini dan ianya sudah pun terbukti.
Malah kepimpinan negeri sentiasa membuka ruang untuk sebarang siasatan badan autoriti dalam membasmi masalah rasuah terbuka 25 jam sehari.
Sebagai anak muda kita berharap nilai integriti sebegini dapat diterapkan dalam kepimpinan di peringkat Kerajaan Persekutuan pula. Insya-Allah, PAS dan Kelantan telah menunjukkan contoh yang terbaik dalam perkara ini.
AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 25/8/2022
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ini UMI Kelantan dan Ministerial Code di UK, suatu perbandingan.. Dan di celahan kes-kes rasuah, Kelantan tunjukkan contoh integriti pula.
Cuba renung baik-baik bagi yang mahu 'mengerti'..
Undilah PAS dan rakan kumpulannya!