Saturday, October 08, 2022

Bantuan! Nasib baik bawah PM baru, bukan menteri 'tanam buluh'.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mencuba masakan daging lempap ketika hadir Kenduri Sekampung Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Felda Palong hari ini.

Pekebun kecil getah FELDA turut dapat Bantuan Musim Tengkujuh

JEMPOL: Kerajaan bersetuju pemberian Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk pekebun kecil getah akan turut diperluas kepada pekebun kecil getah FELDA di seluruh negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, dasar pemberian yang menetapkan syarat hanya pekebun kecil getah mempunyai tanah seluas di bawah lima ekar (2.02 hektar) sebelum ini akan diubah kepada 10 ekar (4.05 hektar) ke bawah.

Katanya, perubahan itu bagi menjamin pekebun kecil FELDA yang kebanyakan mengusahakan ladang seluas 10 ekar ke bawah akan turut menikmati bantuan itu.

Datuk Seri Ismail Yaakob ketika tiba di Dataran Seri Jempol bagi perasmian sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Sri Jempol, hari ini. - Foto BERNAMA

"Dulu kita susah mahu bagi (pekebun kecil FELDA) sebab (syaratnya) lima ekar ke bawah, sedangkan di FELDA, kebanyakan mereka ada tanah 10 ekar (4.05 hektar) ke bawah.

"Jadi kita minta ubah dasar itu untuk membolehkan mereka dapat (BMT). Kita tahu harga getah turun dan mereka langsung tak boleh menoreh getah sebab musim hujan," katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Program Kenduri Sekampung Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Jempol yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan bantuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) serta masjid-masjid khususnya di bawah Parlimen Jempol.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedar cabaran dan kepayahan yang dihadapi pekebun kecil getah terutama pada setiap kali musim tengkujuh. 

Datuk Seri Ismail Sabri meluangkan masa bersama penduduk Felda Palong yang hadir pada program Kenduri Sekampung Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) hari ini. - Foto BERNAMA

"Menoreh musim hujan tapi susu getah bercampur air hujan. Saya tahu kesusahan dihadapi pekebun kecil termasuk mereka di FELDA.

"Jadi, apa yang pekebun kecil RISDA dapat iaitu sebanyak RM200 sebulan untuk empat bulan maka pekebun kecil getah di FELDA juga akan dapat, inilah kerajaan kita," katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat semalam mengumumkan kadar bayaran BMT dinaikkan kepada RM800 berbanding RM600 sebelum ini.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pekebun kecil getah FELDA turut dapat Bantuan Musim Tengkujuh, al-hamdulillah, nasib baik di bawah PM baru Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Kalau masih di bawah PH 22 bulan ghuyub, bekas menteri tak cerdik itu, FELDA sawit pun nak ditukar kepada 'tanam buluh'.

Bengong!


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Kualiti Alam Sekeliling, makin berkembang. Al-hamdulillah

 

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

1. RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022 lulus

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022 yang meningkatkan penalti sehingga RM10 juta bagi kesalahan termasuk menempatkan, meletakkan atau melupuskan buangan terjadual selain di premis ditetapkan, diluluskan oleh Dewan Rakyat, hari ini.

Selepas 22 orang membahaskan RUU ini, Ahli Parlimen sebulat suara meluluskan pindaan terhadap undang-undang itu.

Ketika penggulungan petang tadi, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyambut baik semua Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan.

Secara keseluruhan, katanya RUU yang dibentangkan ini adalah memfokuskan terhadap penambahbaikan hukuman, penalti serta denda, dan seperti yang dinyatakan sebelum ini, pindaan undang-undang itu yang juga dikenali sebagai Akta 127 akan dibuat secara berfasa.

Mengikut RUU ini yang bertujuan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mana-mana individu apabila disabitkan kesalahan boleh dihukum tidak melebihi lima tahun penjara dan boleh juga dikenakan denda tidak kurang RM100,000.

Selain itu, individu yang melakukan, membenarkan, mengarahkan atau menyebabkan pembakaran terbuka di mana-mana premis boleh, apabila disabitkan, didenda minimum RM25,000 atau maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, mengenai keberkesanan hukuman penjara, beliau berkata kementerian ingin menjelaskan bahawa hukuman, penalti dan denda adalah untuk memberi isyarat dan pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mencemar alam sekitar.

“Statistik menunjukkan kes yang disabitkan di mahkamah pada tahun 2017 sebanyak 218 kes meningkat kepada 405 kes pada tahun 2020. Oleh itu, langkah ini diyakini dapat mengurangkan lagi kes-kes pencemaran alam sekitar,” katanya.

Tuan Ibrahim menegaskan bahawa usaha menjaga alam sekitar harus dijalankan secara bersama dan bersepadu.

Sehubungan itu, katanya mewakilkan kuasa kepada agensi lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah dilaksanakan sebelum ini akan diperluaskan kepada agensi penguatkuasaan lain mengikut kesesuaian dan kemampuan agensi.

Berhubung persoalan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas, Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz, sama ada peningkatan denda bertujuan untuk menampung kos pembersihan, Tuan Ibrahim berkata pindaan Akta 127 Fasa 1 adalah sebagai pengajaran.

Selain itu, katanya ia menunjukkan tindakan tegas dan serius kerajaan dalam usaha menangani pencemaran alam sekitar.

Ketika perbahasan, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan tanggungjawab besar yang akan dipikul oleh kementerian selepas RUU ini diluluskan.

Menurutnya, KASA akan memastikan keupayaan sumber manusia dan kelengkapan logistik dipertingkatkan, terutama bagi meningkatkan keupayaan pasukan siasatan dan pasukan pendakwa.

“Pada masa ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai kekuatan seramai 1,132 pegawai penguat kuasa di seluruh negara.

“Bilangan ini memang tidak mencukupi bagi menangani kes pencemaran alam sekitar yang semakin meningkat dan mencabar. Oleh itu, KASA sedang meneliti keperluan pertambahan perjawatan bagi mewujudkan pejabat cawangan JAS di setiap daerah di seluruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/22

2. Perketat kelulusan EIA Tambakan Selatan P Pinang  


LAJNAH Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) Pulau Pinang mengucapkan tahniah kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kerana telah berjaya membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022 dan telah mendapat kelulusan sebulat suara dalam Dewan Rakyat. 

LATAS Pulau Pinang juga mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Parlimen yang berbahas memberi input, pandangan dan memberi sokongan kepada RUU untuk diluluskan ke peringkat seterusnya. 

Kesungguhan Menteri KASA, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man bersama kementerian dalam meminda RUU Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 amat dipuji memandangkan isu alam sekitar kurang diambil kisah pada hari ini. 

Perkara ini dapat dilihat apabila sebelum ini mana-mana individu apabila disabitkan kesalahan hanya dihukum tidak melebihi lima tahun penjara dan dikenakan denda tidak kurang RM100,000 yang tidak memberi kesedaran kepada industri dan pihak yang terlibat.

Buktinya kita boleh melihat pelbagai kerosakan alam sekitar yang telah berlaku sebelum ini sehingga turut memberi kesan kepada penduduk berdekatan seperti yang pernah berlaku di Sungai Kim Kim pada tahun 2019. 

Dengan ditingkatkan denda kepada tidak melebihi RM10 juta bagi kesalahan termasuk menempatkan, meletakkan atau melupuskan buangan terjadual selain di premis ditetapkan, diharap semua pihak akan lebih serius dalam menjaga alam sekitar.

LATAS Pulau Pinang juga amat bersetuju apabila kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi sesuatu projek seperti perlu diperketatkan agar alam sekitar dan mereka yang berada berdekatan dengan projek tersebut tidak dijadikan mangsa.

Kami risau sekiranya EIA projek seperti Tambak Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) diluluskan, akan memberi kesan yang teruk kepada ekosistem alam di sana, gangguan kepada jaminan makanan (food security), dan menutup periuk sumber rezeki nelayan di sana.

Semoga dengan usaha KASA ini akan memberi impak yang baik kepada negara dalam membentuk sebuah Malaysia Sejahtera yang masyarakat hidup aman di dalamnya dengan khazanah alam sekitar yang terjaga dengan baik.

Sekian, Terima Kasih

“Malaysia Sejahtera”

SAIFUL LIZAN MD YUSOFF
Pengerusi, Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS)
PAS Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 6/10/2022

3. Hukuman lebih berat menanti penjenayah alam sekitar   

Sungai Kim Kim di Johor yang pernah mengalami pencemaran yang serius

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022 yang diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini, akan menaikkan kadar denda minimum tidak kurang daripada RM5,000, denda maksimum tidak melebihi RM10 juta dan penjara mandatori tidak melebihi tempoh 5 tahun.

Selain itu, kadar kompaun ditingkatkan daripada tidak melebihi RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pindaan itu juga menetapkan denda maksimum RM10 juta bagi kesalahan melibatkan pencemaran air, pencemaran buangan minyak serta buangan di perairan Malaysia dan pelupusan haram buangan terjadual.

“Selain itu, penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun boleh dikenakan ke atas kesalahan melibatkan pelupusan haram buangan terjadual, pencemaran air dan ketidakpatuhan keperluan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA),” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yakin RUU ini dapat memantapkan penguatkuasaan, pencegahan pencemaran dan jenayah alam sekitar daripada terus berulang.

Selain itu, katanya RUU ini diyakini akan mendidik pihak industri dan masyarakat untuk bersama melestarikan alam sekitar.

Katanya lagi, ketegasan melalui peningkatan denda ini adalah isyarat komitmen berterusan kerajaan dalam membanteras pencemaran dan jenayah alam sekitar di Malaysia.

“KASA merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penggubalan dan pemuktamadan RUU ini, terutama semua Ahli Dewan Rakyat dan pembahas serta Jabatan Peguam Negara sehingga diluluskan sebulat suara oleh semua Ahli Dewan Rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kualiti Alam Sekeliling, makin berkembang. Al-hamdulillah..

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Ambil Peluang Bajet 2023 -Dr Samsuri. & AS dalang letupan gas..

 


1. Ambil peluang, manfaat daripada Bajet 2023 – Dr Samsuri

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru seluruh jentera kerajaaan negeri, sektor swasta dan rakyat negeri itu agar mengambil peluang dan manfaat daripada Bajet 2023.

“Terlebih dahulu saya ingin ucapkan terima kasih atas beberapa projek yang diumumkan untuk Terengganu antaranya SK Paya Dusun, PPR Marang, penanaman semula ladang Orang Asli di Kemaman, pengurusan sisa pepejal di Pulau Perhentian dan projek pemuliharaan sungai di Muara Sungai Merang,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, malam ini.

Menurutnya, Bajet 2023 juga telah memberikan perhatian serius untuk sektor pertanian terutamanya bagi membasmi kemiskinan, melindungi pesawah padi, meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, mengusahakan pertanian lestari, melaksanakan projek pertanian moden, memberi galakan kepada perniagaan dan usahawan pertanian serta membangunkan infrastruktur adalah sangat tepat dalam menangani isu sekuriti makanan di negara ini.

Selain itu, katanya inisiatif-inisiatif ini juga penting untuk Negeri Terengganu memacu sektor pertanian agar memberi sumbangan yang lebih signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus menjadikan negeri itu lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ketidaktentuan pada masa hadapan.

Tambahnya, pelbagai bantuan tunai yang akan diberi berserta dengan inisiatif untuk memberdaya golongan sasar adalah pendekatan yang sangat strategik untuk kebaikan jangka panjang para penerima.

“Kerajaan Negeri Terengganu menyambut baik pendekatan ini,” ujarnya lagi.

Beliau juga berharap, Negeri Terengganu diberi keutamaan untuk mendapat manfaat daripada dana yang disediakan bagi membiayai infrastruktur pelancongan serta bagi menggalakkan, mempromosi dan memasarkan produk pelancongan di negeri itu.

“Insya-Allah Belanjawan 2023 Terengganu Darul Iman yang akan dibentangkan pada penghujung November nanti pula akan memberikan keutamaan kepada tiga teras.

“Sekali lagi, terima kasih dan tahniah atas pembentangan Bajet 2023 yang menyeluruh. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati negara dan negeri kita,” katanya lagi.

Petang tadi, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat yang keseluruhannya berjumlah RM372.3 bilion. – HARAKAHDAILY 7/10/2022


2. AS dalang letupan saluran paip gas asli Nord Stream? 

Pihak berkuasa Norway mendakwa dron yang tidak dikenali dikesan terbang berhampiran lokasi saluran paip Nord Stream yang pecah, sehari sebelum kejadian pada 30 Sept 2022. (FOTO: Businessinsider)  

Banyak pihak menuduh Rusia bertanggungjawab di sebalik pengeboman saluran paip bawah lautan yang menhubungkan Rusia dan Jerman, di Laut Baltik pada 30 Sept 2022. (FOTO: The Australian)

NEW YORK: Dakwaan seorang profesor University of Columbia, di sini, yang mengandaikan Amerika Syarikat berkemungkinan telah mensabotaj saluran paip Nord Stream di Laut Baltik yang pecah akibat dibom baru-baru ini, kini telah menghalakan jarum syak wasangka dalang kejadian itu ke arah AS – bukan terhadap Rusia seperti yang didakwa sebelum ini.

Ketika muncul dalam wawancara dengan Bloomberg  TV pada Selasa (4 Okt) waktu tempatan, Prof Jeffrey Sachs melayangkan idea bahawa sepasang saluran paip gas asli – Nord Stream 1 dan 2 di bawah lautan yang menghubungkan luar pantai dari Vyborg di Rusia ke Greifswald di Jerman yang pecah dan bocor akibat suatu letupan kuat pada minggu lalu itu, adalah ‘strategi’ AS untuk mengadakan sekatan ekonomi terhadap Rusia. 

Siapakah dalang dan motif di sebalik kebocoran misteri Nord Stream kini menimbulkan banyak persoalan dan perbahasan. (FOTO: TRT World)

Kenyataan kontroversi Sachs itu menyebabkan hos program tersebut bertindak menamatkan siaran wawancara berkenaan dengan serta-merta, lapor New York Post.

Walaupun belum diketahui pihak mana sebenarnya yang bertanggungjawab dalam kejadian itu, yang menurut pegawai kerajaan Eropah merupakan ‘tindakan sabotaj yang disengajakan’,  namun pakar siasatan sebelum ini secara umumnya bersetuju bahawa Rusia adalah suspek utama.

Pengaruh NATO

“Terdapat banyak bukti bahawa pengeboman Nord Stream adalah operasi ketenteraan AS, mungkin dengan negara ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang lain,” kata Sachs kepada TRT World.

“Walaupun tiada yang pasti, bukti pada peringkat ini menunjuk ke arah AS sebagai punca paling mungkin di sebalik kejadian yang berlaku itu,” tambahnya.  

Selain Rusia, kemungkinan dalang yang mensabotaj Nord Stream kini dihalakan kepada Amerika Syarikat pula. (FOTO: YouTube)

Komen Sachs itu muncul apabila dia mengatakan bahawa naratif Barat tentang ‘serangan tanpa provokasi’ oleh Moscow ke atas Kiev adalah hujah yang ‘tidak kuat’. 

“Percubaan AS untuk membawa pengaruh NATO ke Ukraine dan Georgia adalah sebab utama perang tersebut,” tegas Sachs.

Sachs yang lebih daripada sekali telah dinamakan antara 100 pemimpin dunia paling berpengaruh oleh majalah berprestij, Time, memetik pelbagai bukti kenapa dia berhujah  bahawa AS adalah dalang yang mensabotaj Nord Stream. 

Prof Jeffery Sachs (kanan) ketika muncul dalam wawancara di Bloomberg TV pada 4 Oktober 2022 di samping hos program tersebut. (FOTO: Wionews)

“Pada awal Februari tahun ini, hampir tiga minggu sebelum serangan Rusia ke atas Ukraine, Presiden Joe Biden memberi amaran: “‘Kami (AS) akan menamatkan’ Nord Stream jika Rusia menggunakan kekuatan tentera terhadap Ukraine,” jelas Sachs.

Tambahnya, pada masa itu, Biden begitu yakin tentang saluran paip gas asli Rusia-Jerman itu sehingga dia menjawab soalan tentang bagaimana Nord Stream akan berakhir dengan cara yang jelas.

“Biden berkata, ‘saya berjanji kepada anda bahawa kami akan dapat melakukannya’. Ucapan  tahniah melalui Twitter oleh bekas Menteri Luar Polan, Radek Sikorsk pula berbunyi: ‘Terima kasih, Amerika Syarikat’ sudah tentu juga sangat tidak masuk akal,” tambah Sachs. 

Kebocoran saluran paip gas asli Nord Stream dikatakan tidak akan pernah menguntungkan Rusia. (FOTO: Protothema.gr)

Tetapi bukan itu sahaja, ujarnya lagi bahawa terdapat banyak laporan pesawat AS terbang di ruanh udara Nord Stream beberapa jam sebelum letupan itu berlaku. 

“Saya tidak boleh mengesahkan dakwaan ini secara bebas, tetapi ia diperkatakan secara meluas,” ujar Sachs lagi.

Terdahulu, Moscow menafikan meletupkan saluran paip Nord Stream yang menyebabkan bekalan gas Rusia ke negara-negara seperti Jerman tidak dapat beroperasi, yang mana ia sebenarnya adalah sumber pendapatan penting untuk Kremlin. 

Saluran paip gas asli bawah laut sepanjang 1,224 kilometer ini menghubungkan antara bahagian luar pantai dari Vyborg di Rusia ke Greifswald di Jerman. (FOTO: Gulf News)

“Ironinya, jika Rusia meletupkan Nord Stream, ia  tidak akan menguntungkan Rusia, jadi tiada alasan rasional kenapa Kremlin mahu memusnahkannya,” kata Sachs. 

Mengulas lanjut, ujarnya, terdapat sedikit kemungkinan jika ada negara selain AS yang mempunyai keupayaan (dan motivasi) untuk meletupkan saluran paip gas asli berkenaan. 

“AS juga mempunyai rekod prestasi memusnahkan infrastruktur negara lain, termasuk saluran paip Soviet pada 1980-an,” tegas Sachs.

Kebenaran dalam keraguan

“Selepas sebanyak empat letupan berlaku menyebabkan Nord Stream pecah dan bocor, media Barat menerbitkan cerita yang menuding jari kepada Rusia kerana mensabotaj saluran paip berkenaan. 

“Namun sejak awal lagi, kedua-dua media dan pemimpin Barat serta Rusia bersetuju bahawa kebocoran saluran paip Nord Stream itu berlaku adalah kerana sabotaj dan bukan secara tidak sengaja,” ujar Sachs.

Presiden Rusia, Vladimir Putin menafikan Rusia mensabotaj Nord Stream tetapi mendakwa ia adalah angkara sabotaj Barat (FOTO: Edules)

Tambahnya, media Barat ingin menyelaraskan dengan naratif AS mengaitkan Rusia dengan sabotaj terhadap Nord Stream, tetapi ‘fakta perkara itu berlaku di seluruh dunia apabila saya bercakap dengan orang ramai, mereka fikir AS melakukannya’,”  kata Sachs semasa tampil dalam wawancara dengan Bloomberg, sehingga mengejutkan hos program itu.

Dalam pada itu, Gregory Simons, seorang profesor bersekutu di Institut Kajian Rusia dan Eurasia di Universiti Uppsala, adalah antara pakar akademik yang memilih untuk meragui dakwaan Barat berhubung dengan konflik Ukraine, berikutan pepatah terkenal ahli falsafah Perancis, Rene Descartes bahawa “Untuk mencari kebenaran, adalah perlu sekali dalam perjalanan hidup kita untuk meragui, sejauh mungkin, tentang semua perkara.” 

Dua kebocoran dikesan berlaku terhadap Nord Stream pada 30 Sept 2022 yang kini menimbulkan spekulasi siapakah dalangnya. (FOTO: YouTube)

“Jika seseorang melakukan analisis kaitan kos-manfaat tentang siapa yang mendapat manfaat, hanya ada satu penerima yang jelas, terutamanya berdasarkan masa, yang bukan kebetulan,” kata Simons kepada TRT World, merujuk kepada AS. 

“Masa letupan (di Nord Stream) berlaku adalah apabila terdapat perbincangan oleh Jerman untuk melunakkan pendiriannya terhadap sekatan Rusia sebagai balasan untuk gas asli,” jelasnya.

Simons percaya Jerman tiada kepentingan membuat perancangan mensabotaj Nord Stream, kerana ia bukan untuk kepentingan negara itu yang ketika ini berdepan dengan ketidakpuasan yang semakin bertambah dalam kalangan rakyatnya terhadap perkembangan ekonominya, khususnya impak kekurangan tenaga, selain bakal enghampiri musim sejuk. 

“Keganasan polis terhadap orang awam hanya akan berlaku sebelum kos melebihi sebarang faedah daripada langkah keras dan paksaan untuk kekal selaras dengan kepentingan AS,” katanya. 

Beliau  juga mempersoalkan bagaimana kejadian itu akan memberi manfaat kepada kepentingan Rusia. 

Simons menarik perhatian kepada fakta bahawa letupan berlaku di perairan wilayah Denmark dan Sweden, dan bukannya lebih dekat dengan Rusia, bermakna ia secara operasi akan lebih berisiko untuk Moscow. 

“Perlu ingat orang Rusia boleh ‘menamatkan aliran gas’  jika mereka mahu menghukum Barat,” katanya. 

“Dalam situasi letupan Nord Stream ini, Rusia telah kehilangan manfaat  ke atas Jerman dan Kesatuan Eropah (EU) kerana ia tidak dapat membekal atau menghalang gas melalui operasi saluran paip itu. Ia akan menjadi langkah bodoh jika Rusia yang mensabotaj Nord Stream,” hujahnya lagi.

Sejarah AS dan Nord Stream

Membuka semula lipatan sejarah, AS lebih kepada melihat bahawa Nord Stream sebagai lanjutan pengaruh Rusia ke atas Eropah melalui Jerman. 

Pada 2014, bekas Setiausaha Negara AS, Condoleeza Rice, secara terbuka menyatakan AS berusaha untuk mengurangkan pergantungan Eropah pada platform tenaga Rusia dan sebaliknya, meningkatkan pergantungan benua itu pada platform Amerika. 

Kebocoran saluran paip gas asli Nord Stream di Laut Baltik telah menghasilkan pelepasan gas rumah hijau dalam jumlah yang besar. (FOTO: Grid News)

Menariknya, dengan perang Ukraine, senario Rice telah sebahagiannya menjadi kenyataan apabila banyak negara Eropah mula berpindah dari Rusia ke AS, justeru letupan Nord Stream baru-baru ini mungkin mempercepatkan lagi proses berkenaan.

“Ini juga peluang yang besar,” kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, merujuk kepada dakwaan sabotaj Nord Stream dan bagaimana Eropah boleh berpindah dari Moscow ke Washington untuk bekalan gas mereka, pada Jumaat (30 Sept) lalu dalam satu sidang akhbar.

Selepas letupan yang merosakkan saluran paip Nord Stream, tiga negara –  Jerman, Sweden dan Denmark bergerak bersama-sama membentuk unit siasatan bersama untuk menyiasat punca letupan.

“Sudah tentu, kita harus mempunyai fikiran terbuka dan siasatan terbuka dan telus, tetapi itu tidak mungkin dalam keadaan itu. Sekurang-kurangnya masyarakat dunia harus mendesak untuk siasatan terbuka sedemikian,” tegas Sachs lagi kepada TRT World.

“Kemusnahan (kebocoran) saluran paip Nord Stream menimbulkan ancaman besar kepada keamanan dunia (susulan pelepasan gas rumah hijau dalam jumlah yang besar), dan ia segera  harus disiasat hingga ke akar umbi,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2022

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Friday, October 07, 2022

Kedah X bubar DUN tahun ini. & lanun bola sepak..

 


1. Kedah tegas tidak bubar DUN sehingga Mac tahun depan 

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah yang dipimpin PAS kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini sekiranya Kerajaan Persekutuan membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau telah menyembah maklum perkara itu kepada Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Selasa lalu.

“Saya telah sembah maklum kepada Tuanku (Sultan Kedah) bahawa kerajaan negeri tidak akan membubarkan DUN pada tahun ini sehingga bulan Mac 2023, selepas daripada itu (Mac tahun depan) bolehlah dipertimbangkan untuk (DUN) dibubarkan.

“Tuanku titah (bahawa) itu kuasa Menteri Besar, (jadi) terpulanglah kepada pertimbangan Menteri Besar. (Jadi) saya selamat dah (sebab) untuk DUN tak gaduh (tiada) pilihan raya sampai tahun depan,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan program Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kota Setar di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata keputusan kerajaan negeri itu adalah berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia yang menjangkakan cuaca buruk dan risiko bencana banjir mulai November ini hingga Mac tahun depan.

Menurutnya, sekiranya pilihan raya diadakan pada tahun ini ia akan menyukarkan orang ramai untuk keluar mengundi serta mungkin menyulitkan pasukan keselamatan seperti polis untuk menguruskan aspek keselamatan akibat banjir dan pada masa sama memantau perjalanan pilihan raya

PAS sebelum ini membuat ketetapan tidak membubarkan DUN tiga negeri yang diterajuinya (Kedah, Kelantan dan Terengganu) sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat. – BERNAMA


2. Apa perasaan kamu kalau saya kata kamu lanun bola sepak? 
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berucap pada Majlis Penutup Program Jelajah Kedah Sejahtera di Masjid Nurul Ihsan, Langgar, hari ini. - BERNAMA

SUKAN

ALOR SETAR: "Apa perasaan kamu kalau saya kata kamu lanun bola sepak?," soal Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berkata, pelbagai gelaran diberikan kepadanya hanya kerana bertindak mempertahankan sukan bola sepak di negara ini.

Jelasnya, apa yang sebenarnya beliau mahukan adalah sukan bola sepak negara ini mempunyai sistem yang adil kepada setiap pasukan yang bertanding.

"Pemilik kelab JDT (Johor Darul Ta'zim) ini tak boleh orang kata pada dia, dia kata pada orang, apa pun tak apa. Kalau orang kata dia lanun bola sepak apa dia rasa?

"Kata saya badut, pemecah belah. Saya nak kata dia lanun bola sepak, dia nak jawab apa? Apa perasaan kamu kalau saya kata kamu lanun bola sepak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penutup Program Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kota Setar di Masjid Nurul Ihsan, Langgar, yang turut dihadiri EXCO Penerangan negeri, Datuk Wan Romani Wan Salim.

Semalam, pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, meminta pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Daud Bakar agar menasihati Muhammad Sanusi, melalui komen di media sosial peribadinya.

Dalam komen itu, Tunku Ismail turut menggesa Muhammad Sanusi agar dapat menjaga sikap dan menunjukkan keperibadiannya sebagai seorang Menteri Besar.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi menafikan, menjadi pemecah kepada sukan bola sepak, sebaliknya berjaya menyatukan peminat sukan itu di negara ini.

"Saya bukan pemecah, saya menyatukan peminat bola sepak dalam satu kesatuan bola sepak untuk orang ramai di padang yang sama luas, pemain sama ramai dan pintu gol sama saiz.

"Rasanya pemain tak sama ramai jadi apabila pengadil masuk sebelah (pasukan) sana, jadi pemain (pasukan) dia lebih ramai. Saya mahu pemain sama ramai dan pengadil duduk di tengah mengadili," katanya.

Komen Weblog Ibnu HasyimKedah tidak bubar DUN tahun ini, kata MB Kedah, sebagai seorang tokoh politik. 

Beliau juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berkata "Apa perasaan kamu kalau saya kata kamu lanun bola sepak?"

Itulah istimewanya MB Kedah, MB PAS yang bersama rakyat!


 Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails