Friday, December 30, 2022

'Luar jangka' 4 kerusi parlimen kosong di Sabah -Ronald Kiandee.

 

Empat Ahli Parlimen itu (dari kiri) Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang), bertindak keluar Bersatu, pada 10 Dis lalu.

Bersatu hantar notis pada speaker, maklum kekosongan 4 kerusi di Sabah 

PETALING JAYA: Bersatu sudah menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memastikan bahawa telah berlaku kekosongan “luar jangka” membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah yang didakwa ditandingi sebagai ahli Bersatu, kata naib presidennya, Ronald Kiandee.

Ronald yang juga ketua Bersatu Sabah, berkata permohonan sudah dibuat kepada Speaker supaya kekosongan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.

Katanya, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin telah mengesahkan bahawa keempat-empat Ahli Parlimen itu adalah calon bertanding sebagai ahli Bersatu pada PRU15 merujuk kepada surat bertarikh 3 Nov daripada setiausaha Bersatu Sabah.

“Telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan melibatkan empat daripada ahlinya yang telah bertanding dalam PRU15 sebagai ahli parti Bersatu dengan menggunakan logo parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Keahlian mereka dalam GRS adalah sebagai anggota parti Bersatu,” katanya dalam kenyataan.

Keempat-empat Ahli Parlimen berkenaan adalah Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran, ketika mengulas lanjut, berkata tindakan empat Ahli Parlimen terbabit duduk di blok kerajaan dan tidak menyokong Bersatu merupakan tindakan “crossing the floor” dan ia melanggar janji pilihan raya kepada pengundi.

“Akibat daripada itu, keahlian mereka sebagai anggota parti Bersatu telah gugur mengikut perlembagaan parti Bersatu dan perkara ini telah dimaklumkan melalui surat Bersatu bertarikh 21 Dis 2022.

“Justeru, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan,” katanya.

Pada 10 Dis, Pengerusi GRS Hajiji Noor mengumumkan kesemua pimpinan tinggi Bersatu Sabah keluar parti, termasuk empat Ahli Parlimen itu.

Jelasnya, di peringkat persekutuan, Bersatu adalah pembangkang, manakala GRS telah berikrar menyokong kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi GRS Jeffrey Kitingan, berkata empat Ahli Parlimen itu tidak dikira melompat kerana bertanding atas tiket GRS, sambil menambah mereka menerima ‘surat watikah’ bertanding PRU15 daripada GRS, bukannya Bersatu.

Beliau juga merujuk kedudukan mereka dalam Bersatu terhenti selepas menjadi ahli GRS, pada 27 Okt, memandangkan perlembahaan dalam Bersatu sendiri menyatakan keanggotaan gugur secara automatik sekiranya menjadi ahli parti lain. (IH)

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Thursday, December 29, 2022

Kisah Tabuk, Saudi diliputi salji.. M'sia, telur, belum selesai..

 

- Foto SPA

1. Wilayah Tabuk, Arab Saudi dilitupi salji

TABUK: Kawasan pergunungan Al-Lawz di wilayah Tabuk, Arab Saudi dilitupi salji sejak awal pagi semalam, lapor Saudi Press Agency (SPA).

Kawasan yang dilitupi salji menjadi tarikan pelancong warga Tabuk dan pengunjung yang tiba dari pelbagai wilayah untuk menikmati salji dan keindahan kawasan itu.

Pusat Meteorologi Kebangsaan di Wilayah Utara Alenizi berkata, salji di Wilayah Utara Arab Saudi, terutamanya Pergunungan Al-Lawz dan kawasan bersebelahan, bergantung kepada dua faktor utama.

"Yang pertama ialah tahap kedalaman dan pergerakan lekukan kutub dan ketersediaan lembapan yang sesuai, kerana ia sering menyentuh kawasan barat laut Alkan dan Gunung Al-Lawz, di mana lekukan mungkin semakin mendalam ke selatan dan menjejaskan pergunungan Hasmi di barat Tabuk. 

Seorang penduduk Arab Saudi berehat di atas hamparan putih salji. (FOTO: SPA)

"Kesannya jarang sampai ke selatan Tabuk, di mana Pergunungan Harrah berada," katanya seperti dilaporkan Saudi Gazette.

Beliau berkata, faktor kedua ialah tahap penurunan garisan beku kerana lekukan kutub disertai dengan penurunan tahap tropopause, sekali gus tahap lapisan atmosfera jatuh.

"Penggemar cuaca mencari beberapa baris yang dikenali sebagai garis salji," katanya. 

Arab Saudi kini dilanda salji sejak 27 Dis 2022. (FOTO: Saudi Gazette)
Tepat Apa Yang Dikatakan Rasulullah, Salji Sudah Turun Di Tanah Arab & Gurun Sahara, Masa Dah Tak Lama…



2. Nota: Isu telur dan Laissez-faire 

BAHAN politik

Hari ini kita berhadapan dengan isu ekonomi. Rantaian permasalahan yang bermula sejak PKP, masih belum selesai hingga saat ini. 

Harga naik di seluruh dunia, dijadikan bahan oleh para pembangkang ketika itu, untuk berteori dan beridealisme. 

Namun, apabila mereka menjadi kerajaan, masih lagi mengulangi pendekatan kerajaan sebelumnya yang pernah mereka jenakakan.

Harga telur

▪️

 Naik harga.

Harga telur tidak stabil dikatakan berpunca daripada beberapa perkara. Ada yang mengatakan ia bermula dengan permintaan telur yang rendah ketika zaman PKP.

Lalu, para pengeluar telur (tauke) mengurangkan operasi pengeluarannya. Iaitu dengan tidak membeli anak ayam dari luar negara, yang digunakan untuk bertelur.

Kalau nak beli pun, perlu ambil masa 5 bulan untuk capai umur boleh bertelur. Jadi, makan masa di situ.

Dalam masa yang sama, anak ayam ini makan dedak yang diperbuat daripada jagung dan soya. Harga dedak ni pun mahal.

▪️

 Dedak mahal.

Dulu, dah pernah panas sebentar isu harga dedak meningkat. Sebabnya, jagung dan soya diimport dari luar, dan negara pengeksport itu terpaksa naikkan harga.

https://www.facebook.com/100051781123067/posts/240355611033808/?d=n

Ada yang mengatakan bahawa alasan import dedak kerana kosnya lebih murah berbanding menghasilkan dedak tempatan (local production).

Justeru, apabila negara pengeluar dedak naik harga, maka peningkatan itu menjadi berganda dan berantai. 

Ayam pun perlu dedak, anak ayam penelur pun perlu dedak. Maka, semua yang berkaitan dedak, naik harga (demand and supply).

▪️

 Tauke sakit kepala.

Apabila dah naik harga, tauke sakit kepala, rakyat lagi sakit kepala. Namun, kerajaan bagi subsidi kepada tauke untuk tampung semua perkara itu. 

Harga dedak difahamkan masih dan terus meningkat. Subsidi dah tak dapat tampung sakit kepala para tauke disebabkan kerugian katanya.

Rugi sebab apa? Harga dedak mahal, tapi telur tak boleh jual mahal di Malaysia, sebab kerajaan sekat (kawalan harga). Ya lah, kerajaan lalu dah bagi subsidi dah. 

▪️

 Bagaimana telur jadi tak cukup?

Kalau diikutkan, telur di Malaysia ni cukup saja untuk rakyat Malaysia. Tapi tauke telur, sakit kepala kerana harga dedak import tadi duk naik.

Lalu, tauke-tauke telur tadi, tanak rugi punya pasal, ambil jalan dengan eksport telur-telur itu ke luar negara. 

Tindakan ini menjadikan, telur asalnya cukup, jadi tak cukup. Tauke ini dah la dapat subsidi. Tapi dalam bisnes, takkan nak rugi.

▪️

 Import telur.

Kerajaan macam biasa, sayang kat tauke. Risau tauke-tauke telur ini ‘membungkus’, nanti isu telur semakin teruk. 

Kalau kerajaan tak kawal harga, tauke akan jual mahal, dan rakyat lagi sakit kepala. Jadi, kerajaan sayang juga pada rakyat, sebab dah undi mereka.

Jadi, kerajaan hari ini ambil pendekatan untuk import telur luar. Katanya untuk stabilkan harga telur (demand and supply).

Apabila kecukupan telur mencapai 100 peratus, maka secara teorinya, harga telur akan turun dan stabil. Begitulah yang diamalkan.

Francois Quesnay (1694-1774)

Ok, dah selesai cerita mengenai telur dan dedak. Nanti di hujungnya saya akan ‘ungkit’ balik cadangan lama saya mengenai ‘local production’.

Dalam isu telur + dedak ini, saya teringat kisah Francois. Beliau hidup di zaman Raja Lois XV. Dunia Barat ketika itu sedang dilanda masalah ekonomi, antara puncanya ialah perang.

Ketika Raja bertanya kepada Francois mengenai peranan raja, Francois menasihatinya supaya biarkan sahaja ia ikut aturan semula jadi.

Ringkasnya, nasihat itu memberi kesan kepada Raja. Pada 1754, Raja isytihar bahawa semua sekatan terhadap perdagangan gandum, rai, dan jagung dihapuskan.

Jadi, sesiapa sahaja boleh berdagang ke mana mana sahaja. Namun, idea ini tak lama bertahan. Berlakunya masalah tanaman.

Masalah tanaman memberi kesan kepada pengeluaran. Lalu disebabkan demand and supply, harga barang pun meningkat. Pada 1770 perintah itu dibatalkan.

Laissez Faire

▪️

 Apa itu Laissez Faire?

Laissez Faire adalah salah satu teori yang lahir dari konsep kebebasan kapitalisme. Iaitu semua perdagangan, mesti dibebaskan. Biarkan ia beroperasi secara semula jadi.

Jalurnya dari Liberalisme Klasik yang memperjuangkan konsep Negative Liberty. Iaitu kebebasan itu bermaksud bebas daripada apa sahaja.

Jadi, kerajaan yang amalkan Liberalisme Klasik ini tak letak undang-undang banyak-banyak. Ini kerana, undang-undang ni akan sekat kebebasan orang.

Jadi, rakyat perlu bebas daripada apa sahaja (negative liberty)

▪️

 Turgot.

Anne Robert Jacques Turgot (1727-1781) selalu dikaitkan dengan kemunculan Laissez Faire.

Beliau boleh dikatakan pernah berkenalan dengan Adam Smith (1723-1790) yang merupakan pengasas Kapitalisme.

Zaman itu, banyak teori ekonomi yang diperdebatkan. Apatah lagi ketika itu ekonomi rakyat sedang meruncing.

Termasuk kebuluran, percukaian yang menggila, kemiskinan, para bangsawan pula membolot kekayaan dan macam macam lagi.

▪️

 Penindasan.

Turgot menyaksikan penindasan terhadap para petani. Hidup miskin. Dikenakan cukai pula. Jadi, beliau terfikir nak bantu.

Golongan petani ketika itu ditekan oleh golongan bangsawan. Lalu, Turgot memperjuangkan supaya wujudnya perdagangan bebas.

Iaitu setiap orang (termasuk para petani) bebas berdagang tanpa perlu melalui para bangsawan. Asasnya seperti sama dengan pelaksanaan kerajaan zaman Francois tadi.

▪️

 Percubaan.

Pada 1774, Turgot dilantik Menteri Kewangan Raja. Beliau memansuhkan semua sekatan ke atas industri bijirin yang dikawal ketat. Sebab nak bantu petani pasarkan hasil mereka.

Beliau juga membenarkan import dan eksport antara wilayah, agar beroperasi sebagai sistem perdagangan bebas. 

Tapi, apabila hasil tuaian yang slow, ia menyebabkan pengeluarannya kurang, harga pun melonjak sampai siling (ceiling). Peniaga pun sorokkan bekalan. Ada yang eksport ke negara lain kerana untung lebih.

Jadi, bekalan makanan tempatan pun kurang. Ribuan rakyat Perancis kelaparan. Rusuhan berlaku selama beberapa bulan. 

Pada pertengahan 1775, kerajaan ambil alih balik. Kerajaan kawal pasaran bijirin, termasuk eksport tadi.

Walaupun permulaannya nampak celaru, namun teori ini dikembangkan lagi oleh ahli ekonomi British seperti Smith dan David Ricardo pada zaman Revolusi Industri selepas itu.

▪️

 Kuasa politik.

Banyak lagi sebenarnya yang diperjuangkan oleh Turgot ni. Cuma, hasil hubungannya dengan istana, menjadikan idea-ideanya ada yang diterima pakai.

Sudah pasti tindakan beliau menimbulkan sakit kepala para bangsawan. Para bangsawan sejak sekian lama mengamalkan monopoli.

Monopoli inilah yang menindas para petani. Contohnya rusuhan pada 1775, di Dijon mengenai isu harga roti. Sebagai tekanan kepada golongan bangsawan.

Mereka yang merusuh tu melaungkan ‘monopoli’ dan ‘kebuluran’. Hasil rusuhan ini, Turgot menasihatkan Raja supaya turunkan harga roti dan lain-lain.

▪️

 Kritikan.

Ada ja orang yang mengkritik konsep Laissez Faire ni. Antaranya Jacques Necker (1732-1804) yang menulis artikel mempertahankan sekatan perdagangan bijirin.

Pada abad ke-20 muncul pula John Maynard Keynes, pengkritik terkemuka ekonomi Laissez Faire.

Beliau berhujah bahawa persoalan penyelesaian pasaran berbanding campur tangan kerajaan perlu diputuskan mengikut isu. 

Para pengkritik konsep ini berhujah macam macam. Dari sudut moral, ketidak seimbangan ekonomi, kemiskinan dan lain-lain.

Berbalik kepada isu telur

▪️

 Dilema.

Bagi saya, isu harga telur ini, saya melihat masing-masing terikat dengan teori-teori Barat yang bermacam-macam.

Ada yang nampak Laissez Faire tu penyelesaian. Ada yang nampak ia adalah masalah. Ada yang nampak, perlukan imbangan antara kerajaan dan tauke (ibarat bangsawan zaman dulu).

Masing-masing berdilema. Apa yang saya nampak, tindakan import telur tu pun adalah satu keputusan ‘dalam dilema’. 

Kenapa berdilema? Kerana para tauke ni lah yang bayar cukai kepada kerajaan. Kerajaan dapat duit pun hasil cukai ni.

Rakyat pun nak kena jaga juga. Sebab nanti kalau rakyat marah, risau tak dapat undi. Bak kata mereka ‘suara rakyat suara keramat’.

▪️

 Local Production.

Dalam dilema ini, saya nampak jalur puncanya ialah kebergantungan kita terhadap import. Khususnya import dedak. 

Walaupun ada yang bagi alasan, import dedak ni lagi murah daripada kos penghasilan dedak tempatan, namun, kita perlu fikir masak masak.

Local production ni lah yang menjamin negara kita supaya tidak bergantung pada negara lain.

▪️

 Petani dan penternak.

Yang menghasilkan local production ni ialah para petani dan penternak kita. Inilah golongan yang mesti dijaga baik-baik. 

Jadi, hapuskanlah orang tengah yang ambil kesempatan terhadap peluh petani tu. Kartel kartel yang monopoli ini bukan petani dan penternak pun. Mereka ini orang tengah ja.

Ya, tak nafikan. Memang dah macam-macam usaha kerajaan untuk jaga golongan petani dan penternak ini. Cuma yang menjadi masalahnya ialah orang tengah tu ada kabel dengan politician.

▪️

 Banyak lagi cabaran.

Sebenarnya masalah local production ini bukan orang tengah saja. Termasuk juga para tauke yang monopoli tanah (الحمى).

Termasuk juga politician yang duduk bagi tanah, projek dan monopoli kepada para tauke tertentu. Cuma hal ni agak panjang kalau nak tulis di sini.

Termasuk juga rangkaian oligarki yang sememangnya inginkan kepentingan perut mereka terjaga melalui para politikus.

▪️

 Local Production dalam al-Quran.

Firman Allah S.W.T:

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا 

“Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.”

(Hud: 61)

As Saadi menghuraikan ayat ini bahawa antara  bentuk memakmurkan bumi ialah dengan menghasilkan manfaat daripadanya

Di sini kita faham bahawa kita perlu memakmurkan bumi Malaysia yang disediakan kepada kita ni. Memanfaatkannya untuk menghasilkan local production.

Artikel berkaitan;

https://www.facebook.com/100051781123067/posts/304281137974588/?d=n

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 26/12/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kisah Tabuk, Saudi diliputi salji.. M'sia, masalah telur, belum selesai..

Di Malaysia mana menteri telur ayam? Tak telur sebiji riuh sekampung?

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Haram-halal Hari Natal. Harmoni. Syed Mokhtar bantu pesawah.

 

1. Menjawab fitnah isu 'ucapan' Hari Natal

“ Sambut “ dan “ Ucap “ adalah dua perkataan yang membawa makna atau maksud yang cukup berbeza. Perbezaan ini boleh membawa kepada kekeliruan, membawa maksud yang salah dan malah boleh menimbulkan fitnah jika tidak diselidiki dengan tepat dan benar.

Berita asal yang dikeluarkan Sinar Harian pada 24 Disember 2018 yang bertajuk “ Umat Islam dilarang sambut Hari Krismas “ adalah betul, yang membawa maksud orang-orang Islam dilarang menyambut hari krismas kerana ia adalah bertentangan dengan akidah Islam dan ianya amat jauh berbeza dengan yang dipaparkan oleh The Malaysia Insight.

Tiada langsung dinyatakan dalam berita tersebut bahawa saya menyatakan adalah haram diucapkan kerana ianya dibolehkan kepada orang - orang tertentu seperti pemimpin masyarakat sebagaimana yang diucapkan oleh Setiausaha Agung PAS Dato’ Seri Takiyuddin Hassan baru - baru ini.

Malah kenyataan saya ketika itu turut disokong oleh beberapa orang Mufti termasuk oleh Ustaz Azhar Idrus kerana menyambut Hari Krismas sebagaimana disambut oleh penganut agama Kristian adalah bertentangan dengan akidah Islam dan dilarang oleh agama.

Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai orang Islam dan tahu mengenai hukum Islam memberi peringatan kepada saudara seagama agar berhati - hati dalam masalah agama khususnya akidah dan tidak menyambut bukan bererti tidak menghormati agama lain selain Islam.

Oleh itu usahlah timbulkan isu lama apatah lagi ia jauh menyimpang dari kenyataan mahupun kata - kata asal hanya kerana untuk memperolehi sekelumit keuntungan. Gunakanlah masa dan tenaga yang ada untuk memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Sinar Harian.


2. ‘Masyarakat Siam hidup harmoni, kami bukan Taliban’ 

PASIR MAS: Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang dilaksanakan di Kelantan sejak lebih 32 tahun lalu tidak pernah meminggirkan masyarakat non-Muslim.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, perpaduan antara kaum masih subur di bumi Kelantan.

Katanya, dasar-dasar yang digariskan sejak berpuluh tahun lalu dipasak kukuh merangkumi prinsip toleransi, keadilan, kebajikan dan belas ihsan kepada golongan bukan Islam.

“Prinsip utama melayani orang bukan Islam hendaklah diberi layanan sama rata dengan umat Islam.

“Penduduk non-Muslim berhak mendapat perlindungan dalam negara Islam merangkumi perlindungan daripada pencerobohan luar dan kezaliman dari dalam negara,” katanya pada kenyataan di sini.

Sebelum itu Mohd Nassuruddin yang juga Adun Meranti menyampaikan bantuan kepada masyarakat Siam di Kampung di Lubuk Batil. (Foto atas)

Menurutnya juga penduduk bukan Islam berhak menikmati keamanan dan kestabilan hidup serupa dikecapi orang Islam.

Kata beliau juga penduduk Siam yang terjejas akibat banjir turut disantuni dengan sebaik mungkin.

“Masyarakat Siam hidup harmoni di Dun Meranti. Ini menjelaskan keadaan sebenar kami (PAS) bukan Taliban atau ekstrem seperti yang cuba digambarkan pihak tertentu sebelum ini,” ujarnya.

Ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 seorang pemimpin DAP dilapor memberi amaran Malaysia akan menjadi seperti ‘negara Taliban’ sekiranya dikuasai PERIKATAN NASIONAL (PN). – HARAKAHDAILY 26/12/2022


3. Agih dana sumbangan Syed Mokhtar bantu pesawah  

MACHANG: Dana yang disumbang korporat dermawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kepada kerajaan Malaysia sebanyak RM60 juta wajar disalur kepada golongan pesawah yang terjejas akibat banjir.

Ahli Parlimen Machang Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, ramai pesawah terkesan akibat banjir yang melanda minggu lepas.

“Kita masih tidak tahu ke mana wang itu akan disalur. Bagaimana pula cara pesawah dapat memohon mendapat bantuan tersebut,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Sebelum itu beliau bersama Adun Kemuning Mohd Roseli Ismail meninjau lokasi sawah di Kampung Sungai Hala yang terjejas akibat banjir.

Menurutnya pesawah di kampung terbabit mengalami banyak kerugian di mana beratus ekar bendang rosak sehingga tidak dilakukan aktiviti pertanian dalam tempoh terdekat.

Kata beliau situasi itu menjejaskan punca rezeki pesawah untuk tempoh enam bulan akan datang.

“Ditambah pula dengan kerenah birokrasi melambatkan bantuan yang dipohon melalui borang yang diberi Jabatan Pertanian. InsyaAllah saya akan bertemu dengan agensi terbabit untuk mendapat penjelasan lanjut,” ujarnya.

Menurutnya juga jalan ke sawah rosak akibat arus banjir yang deras sehingga menyukarkan pesawah dan penduduk untuk datang ke bendang.

Pada awal Disember lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor memberitahu Syed Mokhtar bersetuju membayar RM60 juta kepada petani demi kebajikan pesawah terutama yang berada bawah garis kemiskinan.

Menurutnya tokoh korporat itu membayar RM10 juta bulan ini dan RM50 juta lagi tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 26/12/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Haram-halal Hari Natal. Harmoni. Syed Mokhtar bantu pesawah.

Al-hamdulillah!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Sekat pendakwah, & artis pula! ADUN Chenur diarah tangguh kuliah.

 


1. Jangan “tak ada telur” sekat pendakwah dan artis terkenal sokong PN

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyeru pihak berkuasa supaya tidak menyekat pendakwah bebas yang menyatakan sokongan terbuka kepada gabungan pembangkang itu.

Muhyiddin berkata, memandangkan pilihan raya telah berakhir, sewajarnya tiada mana-mana pendakwah yang tidak sehaluan kerajaan disekat daripada menyampaikan ceramah.

"Saya tahu ramai pihak berpengaruh termasuk pendakwah bebas dan artis terkenal yang memberikan sokongan terbuka kepada PN dalam PRU-15 yang lalu.

"Ada juga pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Ini adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.

"Selepas PRU selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik.

“Baru lah boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebooknya.

Sebelum ini, penceramah popular Ridhuan Tee Abdullah mendakwa disekat daripada keluar televisyen bagi rancangan Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan di TV1.

Ridhuan ketika dihubungi Malaysiakini pada 14 Dis lalu mengesahkan dia digam oleh Radio Television Malaysia (RTM).

Bagaimanapun Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bagaimanapun menafikan dia mengeluarkan arahan bagi menyekat pendakwah terkemuka itu.

Muhyiddin juga turut meminta supaya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang berlainan fahaman politik.

Ini kerana pemilihan pengurusan masjid yang dibuat secara demokratik oleh ahli-ahli kariah tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri.

Katanya, pihak berwajib yang mentadbir urusan agama Islam juga tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) secara ketat sehingga menafikan orang Islam menimba ilmu di tempat perhimpunan orang Islam.

"Saya juga melihat video yang viral berkenaan AJK beberapa masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri berkenaan kedudukan mereka yang telah dipilih oleh ahli-ahli kariah.

"Saya berharap pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap para pendakwah dan AJK masjid semata-mata kerana berlainan fahaman politik," katanya. (1Media.my).


2. ‘Pihak atasan’ arah Adun Chenor tangguh kuliah 

Ustaz Mujibur Rahman Ishak

KUALA LUMPUR: Kuliah Maghrib oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak di Masjid As Sobirin Jengka 4, pada malam tadi telah diarahkan tangguh oleh ‘pihak atasan.

Perkara itu dimaklumkan beliau ketika dihubungi Harakahdaily untuk mendapatkan maklumat lanjut, hari ini.

“Saya dihubungi oleh al-Fadil Kadi Daerah Jengka, menyatakan mohon ditangguhkan kuliah Maghrib kerana arahan daripada ‘pihak atasan’,” katanya.

Sebelum itu kata beliau, pihak kadi telah menghubunginya melalui WhatsApp dengan menyatakan; “Assalamualaikum YB, mohon jasa baik ditangguh dulu kuliah di masjid Felda Jengka 4 malam ini, nanti lepas program di PAID (Pejabat Agama Islam Daerah) Maran tengah hari ini, ana call semula.”

ADUN Mujibur merupakan pengkuliah tetap yang menyampaikan kuliah agama di Masjid Jengka 4, Felda Kuala Sentol lebih tiga tahun.

Katanya, jika alasan disebabkan isi kandungan kuliah atau kitabnya tidak sesuai mungkin boleh diadakan perbincangan.

Namun beliau kesal kerana pembatalan kuliah tersebut hanya disebabkan fahaman politik yang berbeza.

Kata beliau, BN yang membentuk kerajaan Negeri Pahang bersama DAP sepatutnya memberi kefahaman tentang ilmu agama.

“Kefahaman ilmu agama itu perlu ditingkatkan bukan menyekat kuliah dan majlis ilmu.

“Saya nampak lebih kepada tekanan dan dendam setelah Umno kecundang 4-0 di Parlimen Maran,” tegasnya.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau turut meluahkan mengenai perkara itu.

“Selaku penceramah, insya-Allah saya memilih untuk profesional,” katanya.

Menurutnya, ketika menyampaikan kuliah, tiada disebut PAS atau mana-mana parti lain.

“Kita sebut tentang al-Quran dan Hadis. Kita sebut tentang Islam dan musuh Islam.

“Mengapa ini terjadi? Tepuk dada, tanya iman,” ujarnya yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Maran. – HARAKAHDAILY 25/12/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sekat pendakwah, & artis pula!  ADUN Chenur diarah tangguh kuliah.

Sudah kembali ke zaman 'Islam dipenjara' di negara sendiri?

As-taghfirullah!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015