Saturday, February 26, 2022

Lagenda Batu Penyu.. & Kampung Penyu, Sandakan.


1. Lagenda Batu Penyu.
Alkisah cerita lagenda yang disampaikan oleh orang-orang tua dari mulut ke mulut, di kawasan persisir Terengganu hiduplah dua ekor pasangan penyu, jantan dan betina. Sepasang penyu tersebut sentiasa hidup rukun dan damai. Ke mana pun pergi, mereka selalu berdua. 

Pada suatu hari, mereka berenang menyusuri pantai Terengganu. Setelah berhari-hari berenang, mereka pun tiba di suatu tempat yang belum pernah mereka datangi.

“Bang, kita sekarang berada di mana?” tanya Penyu Betina.

“Entahlah, dik. Abang juga tidak tahu. Abang belum pernah ke tempat ini,” jawab Penyu Jantan.


Pada saat itu, ada seekor Ikan Buntal melintas di tempat itu lalu bertanya.

‘Hei, kamu berdua hendak ke mana?”

“Sebenarnya kami tersesat,” jawab Penyu Jantan.

“Kalau boleh kami nak tahu, apa nama tempat ini?” tanya Penyu Betina mula gelisah.

“Tempat ini bernama Laut Rantau Abang. Di daratan sana, ada sebuah bukit memiliki taman yang amat indah,” jawab Ikan Buntal.

“Pernahkah kamu ke situ?” tanya Penyu Jantan.

“Belum,” jawab Ikan Buntal singkat.

“Kenapa?” tanya Penyu Jantan ingin tahu.

“Semua jenis ikan, termasuk saya, tidak akan dapat pergi ke tempat itu. Kamu berdua beruntung kerana dapat hidup di darat dan di laut. Sedangkan saya hanya dapat hidup di laut, sehingga tidak dapat menikmati keindahan taman itu,” jawab Ikan Buntal merendah diri.


Mendengar keterangan Ikan Buntal, kedua penyu itu menjadi teruja. Selepas itu mereka pun naik ke darat hendak bermain-main di taman yang terletak di atas bukit itu itu. Dalam perjalanan menuju ke taman, mereka bertemu dengan seekor Ketam.

”Kamu berdua hendak ke mana?” tanya Ketam itu.

”Kami hendak bermain-main di taman itu. Kata Ikan Buntal, pemandangan di tempat itu sangat indah,” jawab Penyu Jantan.

”Memang benar. Tetapi, kamu berdua harus berhati-hati kerana di taman itu ada sebuah pantang larang yang tidak boleh dilanggar,”jelas si Ketam.

”Apa pantangnya?” tanya Penyu Jantan ingin kepastian.


Di dalam taman itu ada kolam, tetapi air kolam yang ada di taman itu tidak boleh diminum. Sesiapa pun yang meminumnya akan terkena sumpahan,” kata Ketam itu mengingatkan.

”Sumpahan?” soal Penyu Jantan sambil tersenyum simpul seolah-olah tidak percaya.


Berlainan pula dengan Penyu Betina, ia sangat khuatir terhadap pantang larang itu. Setelah itu, kedua penyu itu meneruskan perjalanan menuju ke taman. Sebelum mereka sampai, tiba-tiba si Penyu Betina berhenti.


”Kenapa berhenti dik?” tanya Penyu Jantan hairan.

”Bang! Adik takut dengan pantang larang tu. Lebih baik kita pulang saja,” ajak Penyu Betina.

“Tidak, dik! Adik jangan terlalu percaya dengan kata-kata si Ketam. Dia hanya nak menipu kita,” jawab Penyu Jantan tetap bertegas hendak pergi ke taman itu.

”Jangan, bang! Kita jangan pergi ke sana. Mari, kita pulang saja bang!” Penyu Betina terus memujuk Penyu Jantan.

”Kalau adik takut, adik tunggu di sini saja. Abang harus pergi ke taman itu,” kata Penyu Jantan yang begitu teruja mendengar keindahan taman tersebut.

Walaupun telah berkali-kali dipujuk, Penyu Jantan tetap meneruskan niatnya. Akhirnya, Penyu Betina pun mengalah.

”Tapi, jangan lama-lama sangat ya, bang!” kata Penyu Betina dengan nada khuatir.


Sejurus kemudian, Penyu Jantan berjalan menuju ke bukit itu. Sesampai di sana, dia begitu kagum melihat keindahan taman di atas bukit tersebut. Ia pun berjalan disekeliling untuk menikmati pemandangan yang indah. Setelah beberapa lama, Penyu Jantan merasa haus. Ia teringat kata-kata si Ketam bahawa di taman itu ada sebuah kolam yang sangat jernih airnya.


Setelah beberapa lama mencari, ia pun menemui kolam itu. Tanpa berfikir panjang, ia segera mendekati dan meminum airnya.

”Aduhaiii..., segaaarnya,” ucap Penyu Jantan puas setelah meneguk air di kolam itu.

”Ah, ketam itu hanya ingin membohongiku”, Ujarnya. “Setelah minum air kolam ini aku tidak apa-apa. Badanku terasa sihat dan segar” getusnya lagi.

Namun tanpa diduga, tiba-tiba penglihatannya mulai kabur dan kepalanya menjadi pusing.

”Aduuuhhhh, sakitnya kepalaku,” Penyu Jantan menjerit kesakitan.

Perlahan-lahan, seluruh tubuhnya menjadi kaku dan akhirnya tidak dapat bergerak. Walaupun berkali-kali berusaha untuk menggerakkan keempat kakinya untuk melangkah, tetapi tetap tidak boleh bergerak. Beberapa saat kemudian, tiba-tiba langit menjadi gelap. Petir sambar-nyambar. Hujan pun turun dengan lebatnya. Dalam sekelip waktu, tiba-tiba Penyu Jantan berubah menjadi batu. Setelah itu langit pun kembali terang. Rupanya ia benar-benar terkena sumpahan, kerana telah melanggar pantang larang itu.


Sementara itu, Penyu Betina yang sejak tadi menunggu mulai khuatir terhadap keadaan Penyu Jantan.

”Kenapa abang masih belum datang? Jangan-jangan terjadi sesuatu dengannya,” Penyu Betina mula gelisah.


Tidak lama kemudian seekor burung camar menghampirinya.

”Hei, kenapa kamu kelihatan murung?” tanya Burung Camar.

”Iya. Sejak tadi suamiku belum kembali dari taman itu,” jawab Penyu Betina cemas.

”Jadi, penyu di taman itu suamimu?” tanya Burung Camar dengan serius.

”Benar. Ada kamu melihatnya, Camar?” Penyu Betina balik bertanya.

”Ya, tadi ketika melintas di atas taman itu, saya melihat ada seekor penyu berada di pinggir kolam. Setelah saya hampiri, rupanya ia sudah menjadi batu. Rupanya seakan terkena sumpahan kerana meminum air kolam di taman itu,” jawab Burung Camar.


”Ha, suamiku menjadi Batu!” Penyu Betina tersentak seperti tidak percaya.

”Jadi, benar apa yang dikatakan si Ketam,” sambungnya.

Setelah mendengar khabar buruk itu, Penyu Betina sangat sedih. Namun, ia tidak dapat berbuat apa-apa. Akhirnya, ia pun memutuskan untuk kembali ke laut. Setiap musim bertelur, iaitu bulan Mei hingga Ogos, Penyu Betina pergi ke Pantai Rantau Abang untuk bertelur di samping melawat batu penyu itu. Setiap kali mengeluarkan telur, ia selalu menangis karena teringat dengan Penyu Jantan.

Sejak itu, seluruh keturunan penyu itu selalu pergi ke tempat itu untuk bertelur. Setiap kali bertelur, mereka selalu menangis. Menurut kepercayaan masyarakat, mereka menangis kerana merasa hiba terhadap nasib yang telah menimpa nenek moyang mereka, si Penyu Jantan yang terkena sumpahan. Masyarakat setempat memanggil Penyu Jantan yang terkena sumpahan itu sebagai Batu Penyu. Hingga saat ini, Batu Penyu tersebut dapat kita saksikan di Bukit Che Hawa, Rantau Abang, Dungun.


Demikian cerita lagenda Batu Penyu dari Terengganu. Cerita rakyat di atas termasuk di dalam cerita teladan yang mengandungi unsur-unsur moral. Salah satu unsur moral yang terkandung di dalamnya akibat tidak mendengar kata dengan tidak mengindahkan sebarang nasihat. Sifat ini tercermin pada perilaku si Penyu Jantan yang tidak mahu mendengar nasihat si Penyu Betina dan si Ketam untuk tidak meminum air kolam yang ada di taman tersebut yang akhirnya membawa malapetaka kepada dirinya sendiri. 


2. 'Kampung penyu' Sandakan. 
TAPAK penetasan telur penyu untuk melindungi telur sebelum menetas. 

PULAU Penyu atau dikenali sebagai Pulau Selingan di Sandakan, Sabah adalah pulau terbesar dalam Taman Pulau Penyu.

Pulau Selingan antara tempat paling selamat bagi penyu mendarat dan bertelur kerana berada di bawah jagaan pihak Taman-Taman Sabah.

Dua pulau lagi yang termasuk dalam Taman Pulau Penyu adalah Pulau Bakungan Kecil dan Pulau Gulisan yang turut terkenal sebagai lokasi pendaratan penyu.

Terdapat dua jenis penyu yang biasa mendarat di pulau ini iaitu penyu hijau dan penyu karah atau sisik.

Pulau Selingan terletak di dalam kawasan perairan Laut Sulu iaitu lebih kurang 40 kilometer (km) dari pusat bandar Sandakan dan ia boleh dikunjungi orang ramai.

Terdapat sebuah pusat penjagaan dan penetasan bagi telur-telur penyu di pulau berkenaan yang dijaga rapi supaya tidak diambil atau dikacau pihak yang tidak bertanggungjawab.

Malah, kejernihan air laut yang berwarna kebiru-biruan menawarkan kehidupan terumbu karang yang indah dan terjaga sesuai untuk berenang, selam snorkel serta selam skuba.

Pada September tahun lalu, Sumiati Aris bersama rakannya berpeluang ke pulau itu untuk menyaksikan dengan lebih dekat bagaimana penyu bertelur.

Katanya, mereka bertolak dari Jeti Taman- Taman Laut Sabah jam 10 pagi bersama pelancong dari luar negara.

BALAI pameran antara kemudahan yang disediakan kepada pengunjung di Pulau Selingan.

"Perjalanan ke Pulau Selingan mengambil masa kira-kira sejam bergantung kepada keadaan cuaca. Alhamdulillah, perjalanan berjalan lancar dan selamat sampai di pulau terbabit sekitar 11 pagi.

"Sebaik tiba, kami terus ke kafe untuk pendaftaran masuk ke ruang penginapan dan menikmati makan tengah hari yang disediakan," katanya.

Menurutnya, kemudian mereka diberi kebebasan untuk melakukan aktiviti di sekitar pulau termasuk berjalan di sekitar pantai yang mempunyai pasir yang putih dan bersih.

"Bagaimanapun, pengunjung tidak dibenarkan berada di kawasan pantai antara jam 6 petang sehingga 6 pagi untuk mengelakkan gangguan kepada penyu yang ingin mendarat.

"Pada masa sama, pengunjung juga boleh menikmati kejernihan air laut dan keindahan terumbu karang dengan melakukan aktiviti berenang, selam snorkel serta selam skuba.

"Selain itu, pulau ini turut terkenal sebagai 'spot' tercantik untuk melihat matahari terbit dan terbenam. Bagaimanapun, pada hari itu kami tidak bernasib baik berikutan hujan lebat dan angin kuat," katanya.

Katanya, selepas makan malam pengunjung diminta berkumpul di restoran bagi menunggu panggilan daripada renjer sekiranya terdapat penyu mendarat untuk bertelur.

"Sementara menunggu, pengunjung disajikan dengan tayangan video dan selepas itu, kami berpeluang memasuki Balai Pameran yang menyediakan banyak maklumat terperinci mengenai penyu di Taman Pulau Penyu ini.

"Apabila pihak renjer melihat penyu mendarat, pengawal akan menghantar pengunjung ke tapak sarang ibu penyu bertelur.

"Pengunjung dilarang keras menggunakan lampu suluh atau menghidupkan 'flash' pada kamera kerana ia boleh mengganggu penyu yang ingin bertelur," katanya. 

TELUR dipindahkan ke tapak penetasan penyu.

Sumiati mengakui sangat teruja apabila dimaklumkan terdapat seekor penyu sedang mendarat kerana ini adalah kali pertama melihat hidupan marin itu bertelur.

"Sebelum ini saya biasa melihat penyu berenang di laut namun ini adalah pengalaman yang cukup mengujakan apabila dapat melihat penyu bertelur dengan lebih dekat.

"Salah seorang renjer yang bertugas memaklumkan, penyu yang berusia kira-kira 40-an berukuran panjang 104.5 sentimeter (sm) dan lebar 92.5sm itu sebelum ini pernah mendarat dan bertelur di pulau ini berdasarkan tanda yang ada pada haiwan itu," katanya.

Tambahnya, sebaik ibu penyu kembali ke laut, renjer akan mengumpul telur dan memindahkannya ke tapak penetasan penyu.

"Telur itu ditanam semula di dalam lubang sedalam 75sm, ditutup dengan pasir dan dikelilingi jaringan plastik serta ditanda dengan nombor siri sarang, tarikh pengumpulan dan bilangan telur.

"Pada malam itu, sekitar jam 9.30 malam, kami juga diberi peluang melepaskan 63 anak-anak penyu ke laut. Saya difahamkan pada malam itu sahaja sebanyak 1,217 anak penyu dilepaskan ke laut," katanya.

Sumiati berkata, pada keesokan hari, sekitar jam 6 pagi, dia sekali lagi dapat melihat penyu yang baru selesai bertelur.

"Secara keseluruhan sepanjang dua hari satu malam di pulau itu nyata memberi pengalaman yang cukup bermakna sebagai pengembara. 

ANTARA anak penyu yang dilepaskan.

"Pengunjung dapat melihat bagaimana penyu bertelur, telur dikumpulkan dan anak-anak penyu dilepaskan ke laut. Pengalaman ini dapat memberi kesedaran betapa perlunya kita terus menjaga alam sekitar dan tidak membeli telur penyu yang dijual supaya hidupan marin ini tidak pupus untuk tatapan generasi akan datang," katanya.

Disiarkan pada: Januari 12, 2023 @ 7:00am

1 comment:

  1. Bad nya wak seperti beyond beyond. Sebab kupusamy yang terlibat dengan geng berontak pun boleh nampak bad nya wak. Biasa orang bad tak nampak bad orang lain sebab sekapal. Macam puak liberal pun nampak bad nya wak. Beyond beyond.

    Puji melangit dapig, tiba tiba dapig pun rasa macam dukung biawak hidup. Wpun biawak adalah makan exotik bagi sesetengah orang, tiba tiba makanan jadi beban.

    Begitulah hinanya parti yang dah jadi parti kecil. Bukan salah siapa. Tapi salah sendiri. Banyak sangat songlap.

    ReplyDelete