Tuesday, January 10, 2023

PM: Beri ruang ketua hakim. Pengembara China & Portugal

 

1. PM: Beri ruang kepada ketua hakim, badan kehakiman jalankan tugas dengan bebas

Ketua Hakim Negara dan badan kehakiman perlu diberi ruang untuk menjalankan tugas mereka dengan bebas dan profesional berlandaskan fakta dan hukum, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini penting bagi memberi isyarat yang jelas kepada rakyat bahawa terdapat pengasingan kuasa di antara legislatif, eksekutif dan badan kehakiman dalam menjalankan tugas mengikut kapasiti masing-masing.

“Saya rasa tidak harus perdana menteri itu mencalonkan hakim yang senang dengan dia, walaupun ada satu dua yang saya rasa patut teliti semula, tapi saya fikir lebih baiklah saya beri signal yang jelas beri ruang kepada Ketua Hakim Negara dan badan kehakiman untuk menjalankan tugas mereka dengan bebas dan profesional berlandaskan fakta dan hukum, bukan kerana nafsu, kemarahan ataupun puak,” katanya dalam temu bual Naratif Khas Bersama Perdana Menteri di Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam.

Beliau berkata badan kehakiman yang dulunya tidak diragui dan tidak mungkin disangkal, dianggap berkompromi di bawah penguasaan eksekutif, selain pandangan Majlis Peguam Malaysia dan Suruhanjaya Juri Antarabangsa (ICJ) yang menganggap ada kepincangan dan kelemahan dalam badan kehakiman.

“Tapi kita lihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ada perubahan dan pelantikan badan kehakiman umpamanya, saya belum pernah campur satu pelantikan pun sekali. Saya ikut proses Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan kemudian Ketua Hakim Negara mengemukakan (nama) dan saya terima,” katanya.  (Bernama)


2. Kerajaan perlu halang pelancong China, jaga kebajikan petugas kesihatan   

Pesakit yang disahkan positif COVID-19 di jabatan kecemasan hospital di Shanghai, China. - Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Pertubuhan mewakili petugas dan pengamal perubatan mahu kerajaan menghalang kemasukan pelancong dari China ke negara ini untuk memberi kelegaan dan jaminan kepada petugas kesihatan bahawa kebajikan mereka diberi perhatian.

Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Profesor Dr Azizi Ayob, berkata warga kakitangan kesihatan amat bimbang dengan situasi penularan varian Omicron subvarian BA.5.2, BF.7, yang dilaporkan sedang hebat melanda China.

"Kita masih ingat bagaimana epidemik COVID-19 hampir melumpuhkan sistem kesihatan kita yang tidak dapat menampung kes yang banyak setelah kita terlambat mengambil keputusan menghalang pelancong China pada penghujung 2019 dulu.

"Menghalang kemasukan secara khusus pelancong China secara bersasar juga akan menjadikan gerak kerja semua jabatan terbabit, khususnya khidmat perubatan dan kesihatan di pintu masuk negara kita lebih efisien," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan harus cakna dengan kajian dan faktor yang mempengaruhi lesu upaya (burn out) petugas barisan hadapan di Malaysia, yang dijalankan ketika pandemik dulu.

Dalam kajian itu, katanya, didapati prevalen lesu upaya berkaitan peribadi ialah sebanyak 53.8 peratus.

Justeru, beliau berkata, I-Medik dengan kerjasama The International Women's Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengadakan program jelajah Bantuan Asas Psikologi (#HealHer) ke seluruh Malaysia bagi memulihkan rasa lesu upaya itu.

"Ia bertujuan memperbaiki taraf kesihatan mental petugas barisan hadapan negara," kataya.

Sejak minggu lalu, pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan terkini wabak COVID-19 yang dikatakan kembali mengganas di China.

Lebih membimbangkan, perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut beberapa minggu lagi dijangka akan melonjakkan pergerakan penumpang antarabangsa, seterusnya meningkatkan risiko jangkitan dan penyebaran semula wabak itu.

Terdahulu, kerajaan negeri Sabah mengumumkan prosedur standard (SOP) yang lebih ketat terhadap penumpang yang masuk ke negeri itu dari negara yang mengalami peningkatan kes COVID-19 seperti China dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, di Selangor dan Perlis, kerajaan negeri mensyaratkan pemakaian pelitup muka kepada penyedia, pengendali makanan dan minuman berkuat kuasa 1 Januari 2023, bagi mengekang penularan wabak berkenaan. (BH)


3. Portugal arah pengembara dari China tunjuk bukti ujian COVID-19 negatif  

Foto fail REUTERS

LISBON: Portugal akan meminta pengembara udara dari China menunjukkan bukti ujian negatif COVID-19 dilakukan tidak lebih daripada dua hari sebelum berlepas.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Portugal, peraturan itu dilakukan selari dengan pelaksanaan yang dilakukan oleh negara lain di Eropah bagi mencegah pandemik COVID-19.

"Peraturan itu berkuat kuasa bermula esok (Ahad) dan syarikat penerbangan bertanggungjawab untuk mematuhi langkah semasa menaiki pesawat," katanya dalam satu kenyataan.

Ia berkata bahawa penumpang dalam penerbangan dari China yang tiba hari ini (Sabtu) juga boleh tertakluk kepada ujian rawak saringan COVID-19 bagi penjujukan genomik varian virus berkenaan, untuk menyumbang kepada penilaian yang mencukupi mengenai situasi epidemiologi.

Pihak berkuasa di seluruh dunia mengenakan atau mempertimbangkan sekatan ke atas pelancong dari China kerana kes COVID-19 di negara itu meningkat berikutan kelonggaran peraturan "sifar COVID-19" bulan ini.

China bagaimanapun menolak kritikan terhadap data kes jangkitan harian COVID-19.

Rabu lalu, negara anggota Kesatuan Eropah (EU) bersetuju "menyelaraskan pendekatan langkah berjaga-jaga" berikutan lonjakan jangkitan COVID-19 di China, dengan mencadangkan pelancong dari negara itu mengemukakan keputusan ujian negatif COVID-19.

"Negara anggota digalak untuk meminta semua penumpang dari China yang menuju ke negara anggota supaya menunjukkan keputusan ujian negatif COVID-19 yang diambil tidak lebih 48 jam sebelum berlepas dari China," menurut Presiden Majlis EU dari Sweden dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat kumpulan bersepadu respons krisis politik (IPCR).

Menurut kenyataan itu, negara anggota juga sepakat mengesyorkan kepada semua penumpang dalam penerbangan ke dan dari China supaya memakai pelitup muka selain perlu mematuhi langkah-langkah kebersihan dan protokol kesihatan. - REUTERS

Komen Weblog Ibnu HasyimPM: Beri ruang ketua hakim. Pengembara China & Portugal.

Berbeda dengan Malaysia?

3 comments:

Anonymous said...

Rakyat tertunggu2 apa tindakan seterusnya terhadap Nazlan? Dah lama sangat dah! Ataupun kes ini boleh diklasifikasikan sebagai kes antara dua darjat, kayangan vs marhaen?

Anonymous said...

Pertelingkahan sesama sendiri di Sabah siapa yang nak bunuh UMNo.. Bersatu atau Zahid & The Gangs..!?

5 Orang ADUN UMNO Sabah nampaknya tak bagi muka kat Bung Mokhtar... Mereka mahu Bung Mokhtar Radin meletak jawatan dengan serta merta... Mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Bung Mokhtar Radin dalam UMNO dan BN Sabah...

BN nampaknya sedang goyang teruk di Sabah nih.. Ianya sedang mencetuskan satu ketidakseimbangan dan kecelaruaan.

Mereka kata Bung Moktar sudah mencemar nama baik Umno dengan melakukan langkah untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

Datuk Seri Bung Moktar Radin membawa parti itu bersama UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, sekali gus mendesak beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.

Bung Moktar dan UMNO diterajui Zahid Hamidi sedang berusaha menjatuhkan Kerajaan Sabah dibawah keeajaan perpaduan yang dilaung laungkan ketika ini.

Anonymous said...

Bila se seorang itu menganut liberalisma dan sekularisma, maka berlakulah proses liberalisma dan sekularisma. Kecuali dia seorang yang punya pengajian agama secara formal. Jika tidak sembang kosong jet. Semua agama adalah sama katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails