Abdul Bari bersama tiga anaknya menceritakan peristiwa gempa bumi yang melanda Turkiye ketika ditemui Sinar Harian bersama Syria Care di Reyhanly.
1. Gempa bumi Turkiye: Sanggup gadai nyawa demi aurat isteri -Sinar Harian
REYHANLI - "Saya tidak kisah kalau mati sekalipun kerana niat saya untuk menjaga aurat isteri yang terdedah selepas berjaya menyelamatkan dari runtuhan bangunan kediaman kami."
Demikian cerita Abdul Bari Yassin, 32, selepas dia kembali memasuki rumahnya, tingkat dua bangunan lima tingkat di Bohsin, Antakya yang sebelum itu 'terbelah dua' akibat gegaran kuat 7.8 skala Richter pada 6 Februari lalu.
Katanya, sewaktu menyelamatkan diri, isterinya hanya memakai baju tidur yang mendedahkan auratnya.
"Sebab itu saya kembali memasuki rumah. ALLAH menjadi saksi segalanya. Kalau mati mungkin saya mati syahid," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah bapa saudaranya di sini.
Mengimbas kembali tragedi hitam itu, Abdul Bari berkata, sebelum kejadian gempa bumi berkenaan, beliau dan isteri bersama tiga orang anak berusia 3, 5 dan 7 tahun berada di ruang tamu rumah.
Sebaik berlaku gegaran, beliau terus mendukung dua anak lelaki, manakala isterinya mendukung anak bongsu perempuan dalam usaha menyelamatkan diri.
"Betapa kuatnya gegaran itu sehinggakan sewaktu melarikan diri, saya terhuyung-hayang sehingga kepala anak terhantuk kuat di dinding.
Keluarga Abdul Bari dan Isa bergambar bersama wakil Sinar Harian dan Syria Care selepas menerima bantuan kewangan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria CareMujur katanya, sepanjang tiga hari, mereka dibenarkan untuk tinggal di dalam kereta milik jirannya.
"Selepas itu kami meminta bantuan bapa saudara kerana tidak tahan dengan suhu sejuk melampau yang mencecah -10 darjah Celsius apabila menjelang malam," katanya.
Sementara itu, Isa Halabi, 30, berkata, beliau sekeluarga bernasib baik dapat menyelamatkan diri walaupun ketika itu dinding dan siling batu mula runtuh.
Ceritanya, dalam keadaan gelap gelita dia gagal mencari kunci untuk membuka pintu rumahnya di tingkat satu bagunan lima tingkat di Kirikhan, antara bandar merekodkan angka kematian yang tinggi.
"Dalam keadaan rumah yang bergoyang kuat, saya menggunakan kudrat sepenuhnya untuk memecahkan pintu rumah. Anak dan isteri pula menjerit ketakutan.
Isa halabi
"Kalau lambat sesaat, saya rasa kami sekeluarga yang terdiri daripada lima orang anak berusia antara dua dan 11 tahun pasti akan terkorban. Begitulah yang terjadi terhadap jiran kami," katanya.
Keluarga Abdul Bari dan Isa antara penerima bantuan kewangan dari Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care bagi meringankan beban yang dialaminya.
Sinar Harian bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.
Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.
Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/
2. Iran International TV di London diarah tutup, terima ancaman dari Tehran
Iran International TV. - Foto Iran InternationalLONDON: Stesen rangkaian bebas, Iran International TV hari ini berkata, mereka dipaksa menutup studio London atas nasihat polis United Kingdom (UK) selepas 'peningkatan ketara dalam ancaman yang disokong kerajaan Iran'.
"Saya tidak percaya ia berlaku. Negeri asing menyebabkan ancaman yang begitu ketara kepada orang awam British di bumi British sehingga kami terpaksa berpindah.
"Mari kita jelaskan, ini bukan sahaja ancaman kepada stesen televisyen kita tetapi orang awam Britain secara amnya.
"Lebih-lebih lagi ini adalah serangan terhadap nilai-nilai kedaulatan, keselamatan dan kebebasan bersuara yang sentiasa dihormati oleh UK," kata Pengurus Besar rangkaian itu, Mahmood Enayat, yang mengesahkan siaran 24 jam diteruskan dari pejabat stesen di Washington.
Satu sumber berkata, keputusan itu dicapai lewat semalam, berikutan penahanan seorang lelaki Austria-Iran di sekitar studio di Chiswick, barat London, hujung minggu lalu.
Kata polis, Magomed-Husejn Dovtaev, 30, didakwa pada Isnin lalu dengan dakwaan 'mengumpul maklumat yang mungkin berguna kepada seseorang yang melakukan atau menyediakan tindakan keganasan'.
Pada November lalu, polis memasang penghadang konkrit di luar studio, sama seperti di bangunan utama kerajaan dan tempat pelancongan di ibu negara Britain, untuk mengelakkan sebarang serangan menggunakan kenderaan.
Hari ini, polis berkata, walaupun lelaki itu ditahan, mereka masih mempunyai kebimbangan serius terhadap keselamatan orang yang bekerja di syarikat itu.
"Ini menyebabkan kami memberi nasihat lanjut dan syarikat itu kini berpindah.
"Situasi yang dihadapi oleh wartawan di seluruh dunia dan hakikat bahawa sesetengah wartawan menghadapi musuh (negara asing) ketika berada di UK adalah realiti mencabar yang kami perlu hadapi," kata Mahmood. - AFP
3. Bagaimana ‘suasana’ Islam wujud di Kelantan?
Ini bererti, bidang pendidikan merupakan teras lembut hingga terbentuk segala tapak dan struktur dalam penerokaan, penemuan, pembangunan, pembinaan dan teknologi yang pesat, hebat dan teguh.
Kerana memahami hal itulah, negara ini pasca-Merdeka telah meletakkan pendidikan sebagai bidang keutamaan di mana bahagian besar kek Belanjawan Negara diperuntukkan kepadanya.
Namun, politik telah mempengaruhi serta mengubah kepentingan pendidikan di mana peruntukan kewangan ke atasnya semakin mengecil berbanding luas dan besar keperluan saiz perkhidmatannya dengan perkembangan masa.
Sebaliknya bidang pendidikan telah dijadikan peluang dan kesempatan dalam meraih laba besar menjana keuntungan kewangan dan kekayaan apabila ia dijadikan sebagai sebahagian perniagaan.
Akibatnya, kerajaan hilang fokus kepada usaha memenuhi tuntutan atau tujuan pendidikan negara, tetapi para politikus berlumba-lumba terlibat dalam bidang pendidikan untuk menerkam duit.
Kesannya, di sekolah rendah dan menengah timbul begitu banyak isu atau bebanan berkaitan pengurusan atau pentadbiran, di mana para gurulah yang terpaksa menanggung atau menangani semua itu.
Masalah telah membelenggu sekian lama ini bahkan terjadi di semua negeri dan daerah, tetapi lebih-lebih lagilah negeri yang sememangnya dianaktiri serta dimomokkan mundur dan miskin seperti Kelantan.
Sedangkan jika kerajaan selaku pemerintah benar-benar memiliki matlamat jelas ke arah membangunkan negara, maka menerusi pendidikanlah sepatutnya mereka ‘keluarkan’ Kelantan dari mundur dan miskin itu.
Tetapi jika di negeri lainpun isu dihadapi kekal berkemelut, sudah tentu di Kelantan tergamak diabaikan sahaja tanpa diusahakan untuk keperluannya dipenuhi atau diselesaikan dari berterusan berlaku.
Contohnya masalah kekurangan guru subjek atau mata pelajaran tertentu, namun sepertimana juga negeri-negeri lain, untuk para pengajar berkenaan masuk mengisi di Kelantan tidak dapat dilaksanakan.
Ia disebabkan kuota ditetapkan kementerian telah penuh yang menjadi antara ‘kayu pengukur’ terang dan jelas betapa pemerintah sebelum ini tidak memperkasakan pendidikan selaras keperluan semasa.
Iktibar pengalaman Kelantan
Satu keadaan unik yang boleh dijadikan pengalaman berguna dalam banyak aspek adalah dari masalah pernah dialami Kelantan satu ketika di mana kekurangan ustaz ustazah Pendidikan Islam.
Namun, negeri ini terbukti berjaya melahir dan membentuk rakyat yang beramal dengan baik agamanya dalam kehidupan harian kerana dipengaruhi oleh persekitaran serta pemerintah kerajaan.
Pemimpin politik yang mentadbir urus dengan membawa dasar Membangun Bersama Islam telah menunjukkan bahawa mereka memiliki matlamat jelas dalam memacu masa depan negeri.
Diketuai ulamak dan semangat ‘Kepimpinan Ulamak‘ secara kolektif di mana ajaran atau mesej Islam berjaya sampai kepada rakyat hingga terbentuk ‘cara hidup’ dan ‘suasana’ menerusi pemerintahan.
Maka biarpun di sekolah berlaku kekurangan ustaz ustazah, tetapi apabila guru sebagai rakyat yang berada di dalam negeri ini telah terbangun dengan peribadi Islam, maka merekalah secara tidak langsung memberikan ajaran agama.
Kekurangan ustaz ustazah mungkin menyebabkan murid atau pelajar mengikuti subjek Pendidikan Islam dengan jam tidak mencukupi dari ketetapan, tetapi agama tetap terbangun dalam diri mereka.
Inilah hasil dari pemimpin yang menerajui pemerintahan kerajaan dengan memiliki dasar dan matlamat jelas di mana kekurangan seumpama itu akan tertampung secara kemasyarakatannya.
Apatah lagi apabila Kerajaan Negeri Kelantan menggembleng pembangunan pendidikan berteraskan agama dengan mewujudkan institusi pengajian tinggi, sekolah, pondok dan tahfiz sendiri menerusi Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Ianya telah memartabat dan memperkasakan lagi Islam dalam kehidupan rakyat dan pembangunan negeri hingga wujud ‘suasana’ sedang dinikmati pada hari ini di bumi Serambi Makkah ini.
Pencapaian ini harapnya sedia diterima sebagai teladan oleh Kerajaan-kerajaan Negeri lainnya, termasuk Kerajaan Persekutuan dalam mendepani masalah atau isu seumpama yang berlaku.
Jangan hanya jadikan sesuatu rujukan, dasar, matlamat atau pendekatan itu sekadar teori, retorik dan slogan puitis serta indah tanpa mematuhi atau berpandukan ia dengan sebaik-baiknya.
Jika tidak, kacau-bilaulah ia sepertimana penerimaan terhadap madani dan rahmah yang dilaung kempenkan kerajaan baharu ketika ini, tetapi jauh dari mengisi atau menurut hakikat sebenar.
NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 16/2/2023
Komen Weblog Ibnu Hasyim: 3 perkara ini, antarabangsa kena tahu... Aurat-gadai nyawa, Iran & K'tan.
3 perkara yang puak-puak antarabangsa kena faham mengenai Islam, iaitu:
(i) Mempertahankan aurat wanita adalah sebuah perjuangan mulia dan boleh mendapat ganjaran 'mati syahid'. Di sini puak-puak belum Islam, dan baruanya mungkin tidak akan faham, perlu difahamkan betul-betul.
(ii) Mengenai Iran, puak-puak antarabanga juga kena sedar, bahawa London yang kononnya mengaku stesen rangkaian bebas Iran sebenarnya penghasut negara sah Iran, dan sentiasa memusuhi negara dan rakyat Iran.
(iii) Pihak antabangsa juga kena sedar, bagaimana ‘suasana’ Islam yang wujud di Kelantan Malaysia, perlu dijadikan iktibar kepada dunia seluruhnya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment