Saturday, March 04, 2023

Anwar rencatkan bumiputera. Pedang kayu haram, & Propaganda.

 


1. Anwar rencatkan pembangunan ekonomi Bumiputera

SETELAH lama rakyat Malaysia ternanti dengan pengharapan Bajet 2023 yang bertemakan Malaysia ‘Madani’ akan mampu memberikan impak dalam cabaran rakyat yang dijangka perlu mendepani krisis ekonomi global yang bakal menghimpit, namun ternyata Belanjawan 2023 Kerajaan Campuran PH-BN ini adalah begitu mengecewakan dengan sekadar hanya retorik kosong!

Khususnya dalam konteks yang paling memeranjatkan utamanya adalah aspek pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang pasti akan membuatkan ramai tertanya-tanya apakah peranan Umno dalam Kerajaan Campuran ini?

Bermula dengan berita yang mengejutkan kepada peneroka Felda yang rata-ratanya adalah orang Melayu, pra pembentangan Belanjawan 2023 telah memberikan indikasi betapa orang Melayu akan dihukum apabila Kerajaan ‘Madani’ telah mengambil keputusan untuk membatalkan agenda yang digerakkan oleh kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghapuskan hutang peneroka Felda sejumlah RM8 bilion! 

Bayangkan dalam keadaan tekanan ekonomi semasa tanpa strategi tuntas bagi meringankan beban masyarakat ditambah idea ‘menu rahmah’ yang sekadar tangkap muat sedang penyelesaiannya bersifat sementara malah turut beri kesan kepada peniaga-peniaga baru dan kecil, orang Melayu warga Felda pula kembali dihukum berhutang!

Kemudian sewaktu pembentangan Belanjawan 2023 sebentar tadi, tampaknya dengan gagap dan berhati-hati tanpa kejelasan dari pernyataannya, Perdana Menteri ke-10 Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan yang begitu mengejutkan yang wajar dipersoal seluruh masyarakat Melayu-Bumiputera dalam negara apabila Anwar Ibrahim menjelaskan hasrat menerusi bajetnya yang ingin ‘menutup’ fungsi yayasan di bawah agensi-agensi yang menggalas tanggungjawab untuk memacu perkembangan ekonomi Bumiputera di negara ini seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) sebagai satu entiti tunggal dengan alasan ‘fungsi yang hampir sama bertujuan supaya lebih efektif dalam menunaikan mandatnya’.

Ini adalah tindakan regresif yang dilihat akan melumpuhkan pemberdayaan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera dengan mengemukakan alasan yang tidak munasabah sedangkan fungsi segenap yayasan mahupun agensi-agensi ini adalah ternyata berbeza antara satu sama lain, sama ada dalam hasrat pemilikan modal saham, pengurusan pembangunan ekuiti, meningkatkan bilangan tenaga kerja Bumiputera termasuk bukaan peluang usahaniaga dengan pemberian geran dalam skop masing-masing yang berbeza sebegitu pengurusan pemilikan hartanah pelaburan Bumiputera.

Orang Melayu perlu bangkit dan tanyakan apakah matlamat yang ingin dicapai melalui agenda ini, kerana menerusi penstrukturan semula yang hanya diperindahkan nama sebagai ‘Reformasi Institusi’, namun kesan yang akan ditanggung kelak adalah ke atas pegangan orang Melayu itu sendiri! 

Termasuk dari jangkaan pengurusan sumber yang tidak efisien dan kebarangkalian peruntukan yang akan mengecil atau terhad! Inilah suatu perkara yang jelas tampaknya betapa Anwar Ibrahim dengan dasar ekonomi liberalnya langsung tidak benar-benar peduli dengan nasib dan kemajuan ekonomi orang Melayu! 

Sedangkan data berkaitan kemiskinan, pendapatan, pekerjaan dan kekayaan modal, kesemuanya menunjukkan bahawa kaum Melayu dalam persaingan global kini masih tetap ketinggalan berbanding kaum bukan-Melayu dalam semua sektor. 

Satu-satunya data yang menunjukkan kedudukan Melayu yang lebih tinggi sudah pastilah kadar kemiskinan! 

Mewakili ARMADA dan BERSATU, suka untuk saya ingatkan betapa sewaktu PERIKATAN NASIONAL menjadi kerajaan peruntukan terbesar ke atas pegangan Melayu telah diberikan yang membawa pulangan kembali bukan sahaja ke atas orang Melayu namun kepada perkembangan ekonomi negara yang memanfaat berbilang kaum. 

Dalam pada selaku Ketua Penerangan ARMADA saya bersetuju untuk cukai orang kaya dan laksanakan percukaian positif melalui cukai barangan mewah sebegitu seharusnya agenda reformasi percukaian yang tampaknya tidaklah lebih difokuskan Anwar sedangkan wajar diterokai percukaian lain seperti cukai warisan, ‘windfall tax’ mahupun ‘capital gain tax’ yang perlu lebih diperhalusi ke sidang Belanjawan! 

Justeru janganlah digadai pegangan orang Melayu dan bawa agenda kesamarataan sedangkan ianya tidak mampu imbangi keperluan nisbah antara agihan sumber dengan jumlah masyarakat Bumiputera yang masih terkebelakang dalam sudut ekonomi! 

Jangan ditarik agenda afirmitif untuk memperkukuh ekonomi orang Melayu yang mana pasca pandemik dan cabaran krisis ekonomi ini akan beri implikasi yang lebih serius dalam pada kerajaan hilang punca untuk mengatasi masalah pegangan kapital oleh pemodal yang menguasai rantaian perbekalan sedangkan ianya tidak ramai diceburi orang Melayu!

Kami di PERIKATAN NASIONAL malah tidak lupa setelah dibongkarkan oleh ramai pimpinan BERSATU khususnya seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Azmin Ali,  Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Radzi Jidin yang pernah menyelamatkan usaha DAP yang dipelopori oleh Lim Guan Eng sewaktu menjawat sebagai Menteri Kewangan yang mahu potong atau menyekat sejumlah peruntukan RM400 juta untuk Melayu-Bumiputera malah Anwar Ibrahim di ketika itu turut berdiam diri atas usaha tersebut! 

Kini akhirnya tanpa perlu Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, namun cukuplah sosok Anwar Ibrahim menjadi ejen dalam melunaskan agenda kesamarataan yang diperjuangkan DAP bermula dengan memperkecilkan peruntukan orang Melayu dan menguncupkan pegangan terkait Bumiputera.

“Melayu Prihatin”

MOHD ASHRAF MUSTAQIM
Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia
24 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 24/2/2023



2. Penganut Islam diharamkan membawa pedang kayu? 

KETIKA penjajah dahulu datang menceroboh dengan senjata moden untuk menakluk tanah air umat Islam seluruh pelosok dunia, umat Islam tidak menyerah kalah sekali-kali. Malah, mereka melawan dengan apa sahaja yang ada di tangan. Maka, penjajah menguatkuasakan undang-undang bagi mengharamkan sebarang senjata kepada penganut Islam. 

Puak mereka dibolehkan memiliki semua senjata, termasuklah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa yang dicipta oleh mereka sendiri. Hakikatnya, undang-undang ini laksana sarang labah-labah yang boleh dikoyakkan oleh mereka, tujuannya hanyalah untuk menghalang penentangan terhadap penjajah yang dilakukan oleh umat Islam dengan gagah berani tanpa menyerah kalah.

Begitulah yang dilakukan di Palestin ketika dijajah British supaya mereka menyerahkan tanah air kepada Yahudi Zionis mengikut terma dalam Perjanjian Balfour 1917. Mereka sendiri dalam keadaan bersenjata, tetapi sebaliknya rakyat Palestin pula diharamkan memiliki senjata.

Oleh itu, dikuatkuasakan undang-undang yang mengharamkan senjata, sehinggalah kepada senjata yang paling kuno, seperti pedang, keris dan lain-lain. Alasan yang digunakan kononnya bertujuan menjaga keamanan dan keselamatan, pada masa yang sama mereka mengganas terhadap rakyat dengan semua senjata yang dimiliki. Maka, jelas sekali bahawa alasan menjaga keselamatan itu hanyalah untuk diri mereka sahaja, tidak bagi umat Islam.

Pada zaman penjajah dahulu, polis Melayu diberikan senjata belantan kayu, manakala polis berbangsa Inggeris pula diberikan pistol. Demikianlah umat Islam begitu sekali dihina.

Teori menghapuskan peperangan juga disebarkan atas nama kemanusiaan, sedangkan mereka bebas menyerang negara lain untuk menjajah dan merompak. Akan tetapi, mereka dianggap pembebas, sedangkan penentang mereka pula dianggap lanun, termasuklah Raja-raja Melayu dan ulama’ yang melawan kedatangan penjajah.

Allah Pencipta manusia itu Maha Mengetahui akan munculnya kalangan manusia yang dirasuk iblis dan bala tenteranya, sehingga sanggup melakukan kejahatan secara melampau terhadap manusia yang lain. Justeru, Islam mewajibkan penentangan, sehingga diizinkan berperang menentang kezaliman tersebut bagi mewujudkan keamanan dan keselamatan yang sebenar. Firman Allah SWT:

﴿وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ٢٥١﴾

“Dan seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan sebahagiannya yang lain (yang beriman dan setia), nescaya rosak binasalah bumi ini. Akan tetapi, Allah sentiasa melimpahkan kurniaan-Nya ke atas sekalian alam.” (Surah al-Baqarah: 251)

Dan juga firman Allah SWT:

﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ١٩٠﴾

“Dan perangilah di jalan Allah terhadap orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas; kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190)

Allah SWT juga memerintahkan umat Islam supaya menyediakan senjata dan latihan untuk menggunakannya bagi menghadapi musuh, hal ini sebagaimana firman-Nya:

﴿وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ٦٠﴾

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain daripada kalangan mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-Anfal: 60)

Walaupun Islam menggalakkan dan mendahulukan perdamaian, namun Allah SWT dan Rasulullah SAW mewajibkan penganut Islam agar sentiasa bersiap siaga dengan senjata yang sesuai pada zaman dan cabarannya.

Hari ini, kita menyaksikan sikap ‘double standard’ negara penjajah terhadap negara Islam dan penganut Islam di serata dunia, dengan mengehadkan kemampuan umat Islam dari segi teknologi persenjataan. Mereka lebih suka umat Islam bertari-menari dan bersukan yang berunsurkan maksiat.

Seterusnya, umat Islam terleka daripada menguasai seni mempertahankan diri dan sukan yang memahirkan pertahanan diri dan kesihatan jasad dan roh seperti memanah, menggunakan senjata, seni mempertahankan diri dan lain-lain. Apa yang dilakukan oleh penjajah adalah semata-mata supaya umat Islam menjadi kaum yang lemah.

Terdapat dalam kalangan umat Islam yang buta al-Quran, penyakit yang lebih berbahaya daripada buta huruf. Golongan itu menjadi bodoh, kerana terpengaruh dengan agenda penjajah yang sebenarnya merupakan musuh Islam dan bersama menyebarkan kefahaman yang salah terhadap umat Islam.

Hakikatnya, umat Islam itulah golongan yang paling beradab dalam menggunakan senjata, kerana hukum syariat Islam telah menentukan sempadan dosa dan pahala dalam semua perkara. Hal ini berbeza sama sekali dengan agama dan ideologi ciptaan manusia yang sangat lemah, sehingga menyebabkan berlaku kadar jenayah yang tidak terkawal sesama mereka, termasuklah sanggup membunuh diri sendiri.

Islam mengharamkan senjata pemusnah seperti bom atom dan senjata nuklear yang lebih ganas daripada binatang. Islam juga mengharamkan jenayah membunuh diri sendiri dan orang lain kerana dihitung dalam perkiraan dosa besar yang keras hukumnya di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT:

﴿مَن قَتَلَ نَفۡسَۢا بِغَيۡرِ نَفۡسٍ أَوۡ فَسَادٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ ٱلنَّاسَ جَمِيعٗا وَمَنۡ أَحۡيَاهَا فَكَأَنَّمَآ أَحۡيَا ٱلنَّاسَ جَمِيعٗاۚ وَلَقَدۡ جَآءَتۡهُمۡ رُسُلُنَا بِٱلۡبَيِّنَٰتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُم بَعۡدَ ذَٰلِكَ فِي ٱلۡأَرۡضِ لَمُسۡرِفُونَ٣٢﴾

“Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya, telah datang kepada mereka rasul-rasul kami dengan membawa segala keterangan yang jelas; kemudian sesungguhnya kebanyakan antara mereka sesudah itu, sungguh-sungguh melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.” (Surah al-Ma’idah: 32)

Adapun mereka yang mempertahankan agamanya, dirinya, keluarganya, hartanya dan haknya yang wajib, mendapat pahala besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

‌مَنْ ‌قُتِلَ ‌دُونَ ‌مَالِهِ ‌فَهُوَ ‌شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ.

“Sesiapa yang mati mempertahankan hartanya, dia syahid (mati mulia), dan sesiapa yang mati mempertahankan agamanya, dia syahid, dan sesiapa yang mati mempertahankan dirinya, dia syahid, dan sesiapa yang mati mempertahankan keluarganya, dia syahid.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 1421)

Begitu juga dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

‌إِنَّ ‌أَبْوَابَ ‌الْجَنَّةِ ‌تَحْتَ ‌ظِلَالِ ‌السُّيُوفِ.

“Sesungguhnya, pintu-pintu syurga berada di bawah bayangan pedang-pedang.” (Riwayat Muslim, no. 1906)

Maka, jika ada orang Islam yang merasa risau melihat replika kayu atau plastik yang tidak boleh membunuh berada di tangan orang Islam, keadaan itu menunjukkan mereka itu sangat jahil murakkab. Adapun buruk sangka daripada kalangan bukan Islam dan munafiq terhadap perkara tersebut, biarkan ia musnah dengan kemarahan yang melulu itu, seperti yang disifatkan oleh firman Allah SWT:

﴿هَٰٓأَنتُمۡ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ١١٩ إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيۡ‍ًٔاۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ١٢٠﴾

“Kamu sahajalah yang menyukai (dan percayakan) mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu, mereka berkata: ‘Kami beriman’, tetapi apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): ‘Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu.’ Sesungguhnya, Allah sentiasa mengetahui akan segala isi hati. (119) Jika kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian), nescaya ia menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan jika kamu bersabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya, Allah mengetahui akan apa yang mereka lakukan. (120)”  (Surah Ali ‘Imran: 119-120)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Sya‘ban 1444 / 24 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 24/2/2023


3. PAS dan keganasan: Propaganda dan stigma yang diulang 

BILA mana timbul isu berkaitan dengan keganasan yang sering cuba dibawakan naratif oleh musuh terhadap PAS, ia sebenarnya, bukanlah isu yang baharu berlaku. Semenjak dahulu lagi, PAS sering ditempelkan dengan fitnah yang PAS adalah sebuah gerakan yang ekstrem, jahat dan tidak bertamadun. Fitnah ini juga akan diserikan lagi dengan kenyataan bahawa PAS tidak tahu memerintah, kolot, bodoh, jahat, pecah amanah dan sebagainya.

Ironinya, semua tuduhan itu, tidak pernah dapat dibuktikan secara fakta akan kebenarannya. Tidak dinafikan, mungkin ada berlaku beberapa kelemahan dalam PAS. Tetapi ia bukan amalan. Maksudnya, ia adalah sesuatu yang bukan boleh dijadikan sebagai ‘trade mark’ PAS. Lainlah kalau orang bercakap mengenai rasuah, ia adalah ‘trade mark’ Umno atau pembohongan, ia adalah hak eksklusif PH sewaktu berkempen.

Pernah PAS kalah teruk dalam tahun 1986. Selain dari isu Memali (yang kemudiannya menjadi menu wajib setiap kali kempen PRU oleh BN kerana keberkesanannya menonjolkan PAS sebagai parti ganas), ada juga peristiwa sekumpulan pemuda yang menyamar menjadi ahli PAS, masuk kampung dengan motosikal, malam sebelum mengundi, melakukan aksi-aksi jahat, bising, ganas yang menaikkan kemarahan orang kampung. Akhirnya, PAS yang disalahkan, walaupun tidak kenal siapa pemuda-pemuda itu.

Al-Maunah yang punah

Bagi pengundi muda, mungkin ada yang tidak pernah mendengar mengenai al-Maunah. Ia adalah kisah mengenai sekumpulan lelaki, diketuai oleh seorang yang bernama Amin, dan menggelarkan kumpulan mereka al-Maunah. Kumpulan ini bercita-cita untuk merampas negara melalui jalan perang. Maka melatalah mereka ke seluruh ceruk alam Malaysia ini, bagi merekrut ahli-ahli baharu.

Kena dengan tema jihadnya, ada segelintir ahli PAS, terpesona dengan janji-janji itu, konon mahu ke syurga kata mereka. Presiden PAS bertindak pantas dengan segera mengumumkan, ahli PAS yang terlibat dengan al-Maunah, mereka boleh keluar dari PAS. Kedegilan beberapa orang ahli PAS, mengatasi arahan Presiden yang juga seorang ulamak untuk menuruti perjuangan seorang yang tidak diketahui mana asal usulnya. Mereka kekal berjuang bersama al-Maunah. Lebih istimewa mereka juga mempelajari ilmu kebal senjata. Tetapi timbul soalan lain, bagaimana mahu mati syahid, jika tidak lut senjata?

Pada hari yang dirancang, Amin telah berjaya membawa beberapa pencinta syahid yang ditipu itu ke Bukit Jenalik, Sauk, Perak, untuk rancangan mereka memulakan perang. Senjata berjaya mereka curi dari dua kem tentera berdekatan, dengan kaedah penyamaran, tanpa disedari. Amin dikira hebat kerana berjaya memperbodohkan tentera yang berkawal di kem itu dengan mudah. Dapatlah mereka 114 laras berbagai senjata dengan 18,000 peluru dikeluarkan menggunakan tiga buah Pajero.

Akhirnya mereka dikepung oleh pihak keselamatan, selepas dengan bodohnya menjalani latihan bersenjata di bukit tersebut yang didengari oleh penduduk kampung. Berlaku satu peristiwa yang menakjubkan, salah seorang ahli al-Maunah itu telah berjaya dipujuk untuk menyerah dengan menggunakan lagu P. Ramlee. P. Ramlee sememang mendahului zaman, pengganas cair mendengar lagu Getaran Jiwa beliau.

Setelah semuanya berakhir, maka acara menempelkan PAS dengan keganasan, ekstremis, dilakukan dengan lebih giat lagi. Dan bagi meyakinkan semua pihak, bagaimana al-Maunah berjaya menyelinap masuk ke dalam kem dan keluar penuh dengan senjata, satu demonstrasi atau lakonan semula telah diadakan. Entahlah kalau mahu dikatakan terdesak. Manakala Mursyidul Am PAS ketika itu, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) meminta agar hukuman gantung sampai mati ke atas Amin, dilakukan di hadapan beliau, yang mana permintaan itu tidak dipenuhi.

PASTI dan SAR semenjak dahulu ditakuti

Tidak puas dengan itu, BN juga sering menyerang PAS menggunakan tema keganasan ini dengan menuduh PASTI sebagai salah satu tempat memupuk keganasan. Bagaimana kata mereka, gambar-gambar pimpinan negara (baca BN) dipijak-pijak oleh anak-anak PASTI. Silibus yang diajar juga tidak sesuai kerana ia menjurus kepada ekstremis.

Ada lagi. Pelajar SAR, yang kita sedia maklum majoriti SAR adalah kepunyaan PAS, turut dituduh sebagai pemuja lagu black metal, death metal dan berbagai lagi genre muzik yang mengagungkan syaitan, serta melahirkan pelajar yang berfikiran ganas. Semua organisasi PAS dikira sebagai ganas.

Anehnya, dalam semua gelaran keganasan yang diberi kepada PAS dengan cara fitnah itu, tetapi yang mati dibunuh berkaitan politik, ialah Dato’ Mohamad Taha Talib (bekas Speaker DUN Negeri Sembilan), Altantuya, As-Syahid Ibrahim Libya, Abdul Samad Gul dan Tragedi Lubuk Merbau. Semua pembunuh itu, ada yang langsung dibuktikan dilakukan oleh Umno, ada yang dikaitkan dengan Umno. Tetapi tiada tuduhan yang PAS pelakunya. Namun orang PAS antara yang menjadi mangsa peristiwa pembunuhan itu.

Apa beza PH dan BN?

Dan kini, semua kerja jahat dan fitnah itu diwarisi oleh PH. Padahal sebahagian mereka yang ada dalam PH dahulu inilah yang yang bermati-matian mempertahankan PAS bukan kumpulan ganas dan berbahaya, sebaliknya BN dan Umnolah yang jahat, Maha Firaun, Maha Zalim, dengan bukti yang ada, kata mereka. Sekarang PH menggunakan semula cara ugut dan fitnah BN itu. Apa beza PH dengan BN dahulu? Tiada beza, kerana kedua-duanya tidak membawa Islam sebagai pedoman dan mereka terbabas.

PAS tetap ‘steady’ dengan semua ini. Presiden PAS mendapat pingat Tan Sri. Kerajaan-kerajaan PAS, mendapat anugerah-anugerah cemerlang. Pertubuhan antarabangsa mengiktiraf PAS. Pihak keselamatan membuka pintu kepada PAS, bagi sebarang kerjasama. Pihak kerajaan menerima pelajar-pelajar lepasan PASTI ke sekolah mereka, sama seperti pihak universiti menerima pelajar SAR. Pemuda-pemudi PAS diterima sebagai ahli profesional atau bukan profesional dalam bidang masing-masing. Bantuan daripada NGO PAS, diterima, malah diiktiraf. Takkanlah pengganas diiktiraf, kan?

PAS dan keganasan memang berpisah tiada, tetapi kenyataan itu hanya bagi otak pemfitnah, bukan kepada manusia normal yang cintakan kedamaian, berakal waras, beriman, tidak mempercayai pembohongan. Begitulah yang terjadi kepada semua pemfitnah, walaupun bukti sudah terbentang di hadapan mata, tetapi apabila iblis dan syaitan penghasut menguasai diri, maka akan berundurlah para malaikat yang menasihati. Isu ini hanya untuk mereka alihkan isu yang lebih besar sekarang bahawa PH lebih teruk dari BN.

Nota tambahan eksklusif:

Dalam al-Maunah, selain ilmu kebal, turut diturunkan ilmu kebatinan iaitu ilmu bertahan lama di ranjang. Lamanya di ranjang itu sehingga isteri minta berhenti. Ilmu ini amat tipikal kepada lelaki, kerana akan melahirkan lagi perasaan yang sememangnya dia adalah gagah perkasa, tulennya kejantanan mereka dibuktikan dengan lamanya di ranjang. Ia juga penambah keyakinan bahawa Ketua al-Maunah, Amin itu, tinggi ilmunya.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 22/2/2023


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Anwar rencatkan bumiputera. Pedang kayu haram, & Propaganda.

Semuanya realiti..

4 comments:

Anonymous said...

Mewujudkan PROTOKOL untuk menyiasat pihak2 tertentu! Ini ke yang kerajaan minoriti PH katakan institutional reform? Kah..kah..kah..

Anonymous said...

Dahulu semasa kerajaan BN (Barang Naik) berkuasa, agak kerap penyokong2 kerajaan madani mengadakan demonstrasi membantah harga barang naik! Kini tak lagi sebab sudah ada pakej nasi rahmah? Benarkah bergitu?

Anonymous said...

bab pedang kayu tu terusterang aku respect sama si Helen Ang pemilik helenang.blogspot.com, walaupun dia cina tapi dia sangat rasional, dia menganjing sakan pada geng² yg islamphobia.

manusia rasional terpelajar tentunya bukan dapigs, pandapigs, umdapigs, pkrpigs dsb.

Anonymous said...

budak madani mentiga terbang dah tayang minum arak pulak dah...
ni dah sama keadaan mcm regim 22bulan dulu atau dah lebih lagi nih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails