Tuesday, February 14, 2023

Dikait menantu Muhyiddin? fiqh dominasi, & topeng madani..

 


1. Penjelasan Muhyiddin isu dakwaan kontrak dikait dengan menantu

SAYA merujuk kepada laporan portal Free Malaysia Today bertarikh 8 Februari 2023 yang mendakwa kononnya saya terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantu saya.

Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini. Ia adalah satu fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruah saya dan keluarga.

Saya sebagai Perdana Menteri pada masa itu sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka. Proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan. Ia bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa saya sebagai Perdana Menteri pada waktu itu.

Selain itu, tiada mana-mana ahli keluarga saya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad samada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.

Bagaimana saya yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarga saya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan keluarga?

Saya percaya ini adalah sebahagian daripada siri tohmahan jahat terhadap saya yang dilakukan oleh kerajaan PH-BN pimpinan Anwar Ibrahim. Tohmahan ini sengaja dibuat untuk menutup kepincangan melampau Perdana Menteri dan anggota kerajaannya melantik anak beranak dalam kerajaan termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan. Amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain.

TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia – HARAKAHDAILY 9/2/2023


2. Kerajaan PH berdepan masalah fiqh dominasi 

GOMBAK: Kerajaan campuran yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dianggap berdepan masalah fiqh dominasi apabila majoriti ahli parlimen kerajaan adalah dalam kalangan bukan Islam.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan fiqh dominasi, sepatutnya yang memimpin kerajaan adalah parti yang mempunyai bilangan kerusi terbanyak dan menggambarkan majoriti rakyat Malaysia.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja Fiqh Al Nasri Wa Al Tamkin (Antara dominasi dan perkongsian kuasa) pada Liqa’ Fikri PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini, hari ini. 

“Sepatutnya kerajaan campuran yang ditubuhkan dipimpin oleh PERIKATAN NASIONAL (PN) yang memimpin, bukan PH. Ini kerana PN didominasi oleh orang Islam apabila 74 kerusi yang dimiliki PN, hanya dua kerusi milik bukan Islam dan bumiputera.

“Berbeza dengan PH apabila 51 kerusi daripada 82 kerusinya adalah milik bukan Islam dan hanya 31 kerusi milik orang Islam.

“Jadi, bagaimana ahli parlimen orang Islam hendak memimpin kerajaan jika sebahagian besar daripada mereka adalah bukan Islam?” katanya. – HARAKAHDAILY 11/2/2023


3. Diskriminasi bertopengkan madani 

KERAJAAN madani yang ada hari ini nampaknya sedang mengamalkan dasar diskriminasi kepada negeri-negeri pembangkang.

Peruntukan disekat, agensi Kerajaan Persekutuan tertentu tidak dibenarkan berurusan dengan Ahli Parlimen Pembangkang termasuk agensi Kerajaan Negeri. 

Mesyuarat berkaitan pembangunan di daerah tidak dibenarkan jemput Ahli Parlimen Pembangkang. 

Semua arahan diskriminasi ini dipercayai berlaku secara lisan daripada YB Menteri berkenaan. 

Ada juga beberapa orang Menteri yang hadir ke negeri pembangkang atas nama Menteri, urusan rasmi kerajaan, tetapi tidak memaklumkan atau menjemput atau bertemu YAB Menteri Besar negeri berkenaan. 

(Hanya YB Senator Dato’ Seri Tengku Zafrul sahaja yang penuh beradab buat kunjung hormat bertemu YAB Menteri Besar Kedah baru-baru ini). 

Adakah konsep ‘madani’ membenarkan kita masuk rumah orang, duduk memasak di dapur, masuk bilik tidur orang, tidur atas katil orang ikut suka hati kita? 

Adakah konsep ‘madani’ hanya menghormati pengundi yang mengundi PHBN sahaja, dan menafikan hak rakyat lain yang tidak mengundi mereka?

Jika benar, maka dasar diskriminasi ini sudah lapuk, kuno dan ditolak oleh rakyat. 

Diskriminasi yang berselindung di sebalik nama ‘madani’ atau Perpaduan ini hanyalah semata-mata helah seolah-olah ada dendam kesumat membara yang sedang menyala dan membakar dengan penuh jahat. Amatlah pelik sekali.

Sepatutnya kita berlumba untuk buat baik. Bukannya berlumba-lumba untuk buat jahat. Melainkan jika memang benar-benar jahat. 

YB USTAZ AFNAN HAMIMI
Ahli Parlimen Alor Setar
10 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 10/2/2023

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Dikait menantu Muhyiddin? fiqh dominasi, & topeng madani..

"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini. Ia adalah satu fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruah saya dan keluarga." Jelas Muhyiddin.

No comments:

Post a Comment