KUALA LUMPUR: Malam penuh nostalgia bagi vokalis New Boyz, Tomok yang tidak mampu membendung air mata tatkala melihat kesungguhan peminat hadir menyaksikan Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang di Stage 1 Theatre, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) selama dua malam, baru-baru ini.
Terharu sokongan diraih, namun Tomok tidak terlalu larut dalam emosi kerana bimbang persembahan selama lebih dua jam boleh terjejas fokusnya.
Hakikatnya, Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail itu ingin menangis semahu-mahunya dan terharu melihat peminat yang masih mampu menghafal lagu New Boyz meskipun sudah lebih dua dekad berlalu.
Muncul dengan persembahan penuh bertenaga dengan peminat yang seakan naik 'hantu' ketika New Boyz mempersembahkan lagu rancak seperti Lolita dan Iye Iye Iyo.
Malah, ada di kalangan peminat sangat sporting apabila tampil berbaju sekolah sebagai kejutan buat kumpulan yang ditubuhkan pada 1999 itu.
Ketika New Boyz mendendangkan lagu berentak perlahan seperti lagu hit, Sejarah Mungkin Berulang dan Meraung, ada peminat yang dilihat gagal menahan air mata kerana dibuai dengan vokal merdu Tomok pada malam itu.
"Kami sebak walaupun lagu New Boyz sudah berusia lebih 20 tahun, namun peminat masih mampu menghafal dan menyanyi bersama.
"Saya terharu melihat semangat peminat, tak sangka suasana malam ini akan menjadi 'happening'," kata Tomok.
Tambah Tomok, melihat maklum balas peminat membuatkan penat lelahnya bersama rakan-rakan yang gigih berlatih dan merencana konsert sejak setahun lalu hilang serta merta.
Katanya, kesanggupannya mengeluarkan bajet mencecah ratusan ribu dilihat berbaloi.
"Sebenarnya, masih ada peminat bertanyakan mengenai tiket sehingga saat akhir. Sedangkan, tiket sudah habis dijual dalam tempoh 24 jam pada November lalu.
"Memang berbaloi segala pengorbanan mengeluarkan bajet sendiri melihatkan sokongan peminat," kata Tomok.
Melihatkan sambutan luar biasa, timbul keinginan menganjurkan konsert berskala besar, tambahan pula New Boyz bakal meraikan ulang tahun ke-25, tahun depan.
"Ruang dipilih ini hanya mampu memuatkan 1,400 penonton untuk dua malam. Jika ada rezeki, New Boyz akan mengadakan konsert ulang tahun di lokasi lebih besar agar dapat memuatkan lebih ramai peminat.
"Kami berharap, konsert hari ini membuka mata penaja memandangkan saya terpaksa mengeluarkan bajet sendiri sebelum ini.
"Saya mahu penaja tahu New Boyz masih ada peminat dan memiliki banyak lagu-lagu hit," kata Tomok lagi.
Sementara itu, Tomok mengakui sebak dapat menghimpunkan semula rakan-rakan baiknya.
Walaupun tidak berjaya membawa Syuk dan Along, beliau tetap bersyukur dengan kesudian Jay, Lan, Zimi, Afiez, Zack dan Ristoe untuk menyertai dalam Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang.
Selain lagu Sejarah Mungkin Berulang dan Meraung, Tomok dan New Boys turut mendendangkan lagu Marah Bukan Sifatku, Lukamu Lukaku Jua, Ku Miliki Jua, Apa Kau Mau, Khilaf, Qyiam, Hanya Tinggal Sejarah, Norkia dan banyak lagi. (BH)
2. Filem Pulau 'diharamkan' di Terengganu
Sebaik treler filem Pulau yang mengisahkan kembara sekumpulan anak muda ke sebuah pulau berhantu dimuat naik di YouTube, laman sembang kecoh dengan kritikan netizen yang mempersoalkan bagaimana naskhah lulus tayangan di pawagam.KUALA LUMPUR: Penerbit filem, Fred Chong bersedia bertemu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu susulan keputusan kerajaan negeri 'mengharamkan' tayangan filem kontroversi, Pulau di negeri berkenaan.
Menerusi sidang media secara virtual, Chong berkata, surat rayuan sudah siap dan mereka menantikan surat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Chong berkata, dia bersedia terbang ke Kuala Terengganu bersama wakil FINAS dalam masa terdekat untuk membuat rayuan, sekali gus menayangkan filem Pulau kepada wakil kerajaan negeri agar penilaian boleh dilakukan, sama ada filem itu mempunyai unsur 'soft porn' atau sebaliknya.
"Pada 9 Februari lalu, TGV selaku pemamer menerima surat daripada Majlis Perbandaran Kemaman mengenai keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang melarang filem Pulau daripada ditayangkan di negeri ini.
"Keputusan kerajaan negeri menimbulkan kebimbangan. Bagi kami, ia satu gerakkan berbahaya kerana boleh mempengaruhi negeri lain untuk mengambil tindakan sama.
"Kami sedang menanti surat sokongan daripada FINAS. Saya akan ke Kuala Terengganu sebaik mendapat keizinan kerajaan negeri.
"Saya berhasrat menayangkan filem Pulau kepada wakil kerajaan negeri agar boleh membuat penilaian terhadap jalan cerita yang didakwa mempunyai adegan tidak sepatutnya seperti tertera dalam surat yang dihantar kepada TGV," kata Chong,
Menurut Chong, dia berharap kerajaan negeri menerima pelawaan produksi untuk menonton filem Pulau terlebih dahulu bagi berlaku adil kepada kedua-dua pihak.
"Biarpun Terengganu hanya mempunyai tiga panggung, namun ia tetap menimbulkan kebimbangan kerana boleh mempengaruhi keputusan negeri lain.
"Ramai terlalu cepat menjatuhkan hukuman tanpa terlebih dahulu menonton filem Pulau gara-gara terpengaruh dengan treler filem yang dikatakan keterlaluan.
"Semua yang mengkritik belum menonton filem Pulau, tetapi melemparkan pelbagai kritikan. Apa salahnya beri peluang kepada filem ini.
"Sekurang-kurangnya fikirkanlah usaha pelakon dan kru yang bertungkus lumus belajar menyelam dan terpaksa duduk dalam hutan bagi menjayakan filem ini.
"Apa yang ditayangkan dalam treler filem langsung tidak sama dengan keseluruhan jalan cerita dalam filem. Jika mengandungi unsur 'soft porn' seperti didakwa, tentunya filem Pulau tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF), Syarat Wajib Tayang dan FINAS.
"LPF memberikan kelulusan berdasarkan keseluruhan filem, bukan berpandu kepada treler semata-mata. Malah, kami akur apabila empat babak dalam filem dipotong," katanya.
Chong berkata, gara-gara kontroversi treler yang ditayangkan pada Januari lalu, penerbit mengalami kerugian hampir RM500,000 apabila penaja menarik tajaan terhadap filem.
Justeru, katanya, pihaknya bimbang lebih banyak kerugian bakal ditanggung hanya disebabkan masyarakat salah faham terhadap filem Pulau.
"Kami membelanjakan RM4 juta untuk penghasilan filem Pulau. Tetapi, kami terpaksa menanggung kerugian dan kemungkinan besar selepas kontroversi.
"Produksi tidak mampu melabur membeli iklan papan gergasi dan malam gala secara besar-besarkan kerana tiada bajet selepas penaja menarik diri.
"Saya terpanggil mengadakan sidang media hari ini kerana saya perlu bersuara. Kita bangga apabila Tan Sri Michelle Yeoh diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik Komedi/Muzikal, Anugerah Golden Globe Ke-80, baru-baru ini.
"Tetapi, filem tempatan pula diketepikan di negara sendiri sebelum terlebih dahulu ditonton. Jadi, macam mana filem tempatan ingin terus mengorak langkah ke persada dunia," katanya.
Chong menafikan, treler disiarkan di platform YouTube bertujuan sebagai strategi pemasaran, sebaliknya, ia adalah tujuan pasaran ke luar negara.
Filem Pulau arahan Euho dan dibintangi Alif Satar, Amelia Henderson, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Ikmal Amry, Sanjna Suri, Joey Leong dan Harris Anuar.
Turut beraksi, Jazmy Juma, Mark O'Dea, Sabronzo, Evie Feroza, Cedric Loo, Pui Yi dan Vikar.
Pulau diterbitkan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio dan diarah Euho.
Menerusi kenyataan dikeluarkan, LPF mengklasifikasikan filem Pulau sebagai naskhah seram, bukannya filem porno seperti digembar-gemburkan.
Sebelum kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pengharaman filem, Pulau dijangka bakal ditayangkan di 75 pawagam di seluruh negara. (BH)
Seorang bintang Taiwan, Jiang Ping mendedahkan bahawa perkahwinannya berakhir selepas dia berjaya menangkap bekas suaminya curang bersama wanita lain.
Lebih mengejutkan apabila bekas suaminya yang juga merupakan seorang penulis skrip curang dengan ibu kandungnya sendiri (ibu mentua kepada suami).
Menurut Ping, ketika berusia 21 tahun dia telah berkeras untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya meskipun pada ketika itu keputusannya ditentang oleh keluarga kerana bapanya merasakan lelaki terbabit bukan calon suami yang baik.
Namun, selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga, suaminya mula melakukan penderaan secara fizikal dan mental. Malah, lelaki terbabit secara tiba-tiba hilang selera untuk ‘bersama’ dengan isterinya.
Setelah disiasat, rupa-rupanya si suami sedang menjalinkan hubungan terlarang dengan ibunya sendiri.
Apa yang menyakitkan hati, lelaki berkenaan akan berpura-pura ke bilik untuk mengurut ibunya manakala si isteri berada di ruang tamu bersama anak-anak mereka.
Apabila saya tanya kepada buat perkara macam ni, dia kata ‘kalau saya tak buat macam ni, ibu awak akan cari lelaki lain untuk curang’.
Wanita itu cuba untuk memujuk hati serta memaafkan perbuatan si suami, namun Ping tidak mampu untuk menipu dirinya. Walau bagaimanapun, dia membuat keputusan untuk bercerai demi kesihatan mentalnya.
Susulan daripada kisah kecurangan itu, hubungan Ping dan ibu kandung terputus dan bapanya mengalami kekecewaan yang teruk.
Difahamkan, dia berkongsi kisah sedih itu selepas 20 tahun trauma gara-gara perbuatan bekas suami dan ibunya itu.
Sumber : 8day.sg
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ini, mengapa Islam larang? Konsert Tomok, Pulau & selingkoh..
Islam adalah agama yang ingin membawa kebahagiaan penganutnya dari dunia hingga akhirat. Kerana itu Islam menggariskan disiplin 'patuh syariah' kepada pengamal-pengamalnya di negara umat Islam Malaysia ini sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan (perkara 3) seperti yang termaklum.
Maka berlakulah peraturan-peraturan seperti yang ditetapkan.
Dalam kes 'Beri Alasan Nak Urut Ibu Mentua Dalam Bilik, Bintang Taiwan ‘Tangkap’ Bekas Suami Jalin Hubungan Terlarang' itu juga memberi pengajaran kepada manusia mengenai perlunya batas-batas aurat termasuk dalam keluarga, masyarakat, pergaulan, konsert, filem dan sebagainya.
Cuma umat Islam di negara ini jangan terpengaruh dengan dakyah dari parti-parti anti Islam yang ingin memecahkan perpaduan umah dan nasional di negara yang kita cintai ini.
Sekian.
No comments:
Post a Comment