Tuesday, February 14, 2023

Lagi bahaya pusat hiburan! 5 doktor 12 ditahan.. & ADUN Sungkai.

 

Azmi menunjukkan minuman disyaki berisi dadah yang dirampas dalam serbuan polis, baru-baru ini. - Foto Polis KL

1. Lima 'doktor' antara 12 ditahan proses, edar dadah di pusat hiburan sekitar KL

KUALA LUMPUR: Lima 'doktor' antara 12 yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah di pusat hiburan sekitar ibu negara baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata suspek terdiri yang daripada 10 lelaki tempatan, seorang wanita tempatan serta seorang wanita warga asing ditahan sekitar Lembah Klang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur dan Bukit Aman menerusi tiga operasi dari 7 hingga 9 Feb lepas.
Beliau berkata 'doktor' terbabit bertanggungjawab mencampurkan serbuk dan cecair dadah jenis ketamin ke dalam minuman sebelum ahli sindiket yang lain mengedarkannya ke pusat-pusat hiburan di ibu negara pada harga RM300 sebotol.
"Dalam operasi pertama (yang diberi nama) `Devon Rex,' polis menahan enam lelaki tempatan berusia 22 hingga 39 tahun dan merampas 21 kilogram (kg) dadah ketamin dianggarkan berjumlah RM1.2 juta dan 2kg syabu bernilai RM72,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
"Susulan penahanan itu, polis menjalankan operasi kedua iaitu `Breadnut' pada 8 Feb lepas dan menahan lima 'doktor' iaitu tiga lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga asing berusia 24 hingga 34 tahun.
"Hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah dan rokok mengandungi cendawan sintetik dengan kesemuanya dianggarkan bernilai RM340,000," katanya.
Azmi berkata ia seterusnya membawa polis kepada operasi ketiga `Catclaw' yang menyaksikan rampasan dadah jenis ketamin seberat satu kilogram bernilai RM55,000 dan menahan seorang lagi suspek iaitu seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun.
Beliau berkata ketiga-tiga sindiket yang aktif sejak enam bulan lepas itu menjalankan aktiviti pengedaran dadah secara berasingan namun percaya mereka saling berkaitan.
"Kebanyakan pengguna kenal 'doktor' masing-masing mengikut keperluan mereka. Doktor ini kononnya ada resepi tersendiri. Mereka akan beli dadah berkenaan di premis hiburan dan polis percaya selepas ini, ia mungkin boleh dibeli di luar premis hiburan pula.
"Keseluruhannya, polis telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.1 juta yang dipercayai boleh digunakan oleh 253,000 penagih," katanya.
Azmi berkata 11 daripada individu ditahan memiliki rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -- BERNAMA
2. Mahkamah Persekutuan kenakan semula denda RM10,000 terhadap ADUN Sungkai  
Pada Februari 2021, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan lembaga tatatertib yang mendapati Sivanesan bersalah atas salah laku profesional. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mengenakan semula denda RM10,000 yang dikenakan oleh lembaga tatatertib peguam bela dan peguam cara terhadap bekas peguam A. Sivanesan, yang kini Exco kerajaan negeri Perak, kerana salah laku profesional, 13 tahun lepas.
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal yang membuat keputusan itu setelah membenarkan rayuan oleh Majlis Peguam Malaysia dan K. Pathmanathan.
Majlis Peguam Malaysia dan Pathmanathan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Dis tahun lepas, yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan lembaga tatatertib itu.
Dalam penghakimannya, Nallini berkata Mahkamah Rayuan seharusnya lambat campur tangan terhadap penemuan fakta yang dibuat oleh jawatankuasa lembaga tatatertib peguam bela dan peguam cara.
Beliau berkata nota prosiding Mahkamah Perusahaan mengesahkan asas bagi penemuan fakta jawatankuasa tatatertib, sambil menambah bahawa tiada sebab bagi Mahkamah Rayuan untuk membatalkan penemuan fakta jawatankuasa tatatertib berhubung perkara yang berlaku pada 6 April 2010 semata-mata atas keterangan saksi lain.
Nallini berkata Mahkamah Rayuan gagal melihat Sivanesan bertindak untuk Pathmanathan malah memberi aku janji untuk memfailkan borang yang diperlukan untuk pelantikannya walaupun tidak mempunyai arahan untuk berbuat demikian.
"Oleh itu, jawatankuasa tatatertib mempunyai justifikasi dalam membuat keputusan," katanya.
Hakim itu berkata Sivanesan, yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri Sungkai, sepatutnya menghubungi Pathmanathan berhubung tarikh perbicaraan baharu yang ditetapkan oleh Mahkamah Perusahaan tetapi gagal berbuat demikian.
Mahkamah memberikan kos RM20,000 kepada Pathmanathan.
Pada Februari 2021, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan lembaga tatatertib yang mendapati Sivanesan bersalah atas salah laku profesional. Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan saranan jawatankuasa tatatertib.
Prosiding tatatertib telah mendakwa Sivanesan melakukan beberapa pelanggaran terhadap Akta Profesion Undang-undang 1976 dan peraturan etiketnya yang termasuk antara lain, memperdaya Mahkamah Perusahaan untuk mempercayai bahawa beliau bertindak bagi pihak Pathmanathan.
Pada 13 Jun 2016, Pathmanathan telah memfailkan aduan terhadap Sivanesan selepas Mahkamah Perusahaan membatalkan tuntutannya untuk pemecatan tidak adil kerana ketidakhadirannya di mahkamah.
Beliau mendakwa, antara lain, bahawa Sivanesan gagal memaklumkan tarikh perbicaraan kepadanya.
Sivanesan diwakili oleh peguam yang diketuai oleh R. Kengadharan manakala peguam Heng Yee Keat mewakili Majlis Peguam Malaysia. Pathmanathan mewakili dirinya sendiri. -- BERNAMA
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Lagi bahaya pusat hiburan! 5 doktor 12 ditahan.. & ADUN Sungkai.
Rakyat mebunggu bila lagi pihak kerajaan nak kaji balik konsep hiburan maksiat bertopeng kononnya hiburan untuk rakyat? Mengapa kerajaan tidak peka tetapi masih pekak?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails