Thursday, April 20, 2023

Salah 'Jom ziarah gereja'. & Kes G/Eng.

 


1. Kesalahan-kesalahan ‘Jom Ziarah Gereja’

PENDAHULUAN

Di Malaysia pentafsiran dan pemahaman ‘agama’ tidak boleh dibuat secara umum kerana ia telah diikat dengan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11 (1) – (5) . Ia berbeza dengan amalan di lain- lain negara.

Malaysia mengamalkan kebebasan beragama, di mana setiap orang berhak:

i. Menganuti agamanya.
ii. Mengamalkan agamanya.
iii. Mengembangkan agamanya di kalangan mereka yang hanya bukan-Islam sahaja.

Ini bermaksud orang bukan-Islam tidak boleh  mengembangkan atau mempromosikan agamanya atau apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dengan apa-apa cara di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Bahkan Perlembagaan Persekutuan telah memberi kuasa kepada kerajaan negeri-negeri dan Parlimen berkenaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membuat Akta atau Enakmen bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam. Rujuk Perkara 11 (4) Perlembagaan.

Islam agama bagi Persekutuan

Jika diamati dengan sehalus-halusnya inilah maksud Perkara 3 Perlembagaan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Kebebasan ini tertakluk kepada setiap orang bebas menganuti dan mengamalkan agama masing-masing tanpa mengganggu orang Islam dengan apa-apa cara diayah atau mempromosi agama mereka yang  boleh membawa kepada memecahkan keamanan.

Melayu dan Islam

Perlembagaan Persekutuan yang telah dibuat oleh beberapa Suruhanjaya sebelum merdeka yang telah diwakili pihak raja-raja, pihak British, pemimpin kaum-kaum telah bersetuju dengan perkara-perkara tersebut dan sangat memelihara kedudukan orang Melayu sehingga orang Melayu tidak boleh dipisahkan dengan Islam.

Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mengenai tafsiran telah mentafsirkan:

‘Orang Melayu’ ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu…

Kesimpulan

Oleh itu dengan kuasa di bawah Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, negeri-negeri telah mengkanunkan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama bukan-Islam bagi negeri-negeri berkenaan.

Antara kesalahan-kesalahan yang diperuntukan dalam enakmen tersebut adalah:

Kesalahan-kesalahan

1. Kesalahan memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seorang Islam untuk menjadi seorang penganut atau anggota dan sebagainya. Suatu agama bukan-Islam.

2. Kesalahan mendedahkan seorang Islam kepada pengaruh-pengaruh suatu agama bukan-Islam.

3. Kesalahan mendekati seorang Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan mengenai apa-apa perkara berkaitan dengan suatu agama bukan-Islam.

4. Kesalahan menghantar atau menyerahkan terbitan-terbitan mengenai apa-apa agama bukan-Islam kepada seorang Islam.

5. Kesalahan membahagikan apa-apa terbitan atau bahan publisiti mengenai agama bukan-Islam kepada seorang Islam.

6. Kesalahan berhubung dengan penggunaan perkataan-perkataan dan perbahasan-perbahasan tertentu yang bersumber Islam.

Semoga persefahaman masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dapat sama-sama memahami antara satu dengan lain walaupun dari segi akidah kita amat berbeza. Perbezaan tersebutlah menjadikan satu cabaran untuk kita supaya hormat menghormati antara satu sama lain dan menjaga batas-batas yang telah ditentukan oleh Perlembagaan dan perundangan negara dan negeri-negeri.

Salam hormat dari saya,

PROF MADYA DATO’ MUHAMAD ASRI ABDULLAH,
Mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Perak dan Hakim Rayuan Syariah JKSM. 
Kg Keroh Hulu, Padang Rengas, Perak.
Putrajaya – HARAKAHDAILY 20/3/2023



2.  WhatsApp: Bantahan awal pendakwaan kes Guan Eng ditolak 


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak bantahan awal yang dikemukakan pihak pendakwaan terhadap permohonan pembelaan untuk mendapatkan laporan forensik perbualan dalam aplikasi WhatsApp antara dua ahli perniagaan, dalam kes rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shahruddin Wan Ladin dan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim.

Sehubungan itu, Azura menetapkan 23 Mac untuk mendengar permohonan pembelaan yang dibuat mengikut Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah.

Laporan forensik itu membabitkan perbualan antara ahli perniagaan G. Gnanaraja dan pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berhubung pemberian ‘Coklat RM2 juta’ yang didakwa telah diberikan kepada Lim sebagai rasuah.

Perbualan dalam aplikasi WhatsApp itu didedahkan pada perbicaraan sebelum ini melalui keterangan pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penolong Penguasa Wan Mohd Firdaus Wan Yusof.

Terdahulu, Wan Shaharuddin ketika berhujah, mempersoalkan permohonan laporan forensik itu memandangkan saksi pendakwaan iaitu Zarul Ahmad serta dua pegawai dari CZCSB, Azli Adam dan Ibrahim Sahari masih belum menghabiskan keterangan mereka.

“Azli masih disoal balas separuh jalan oleh pihak pembelaan manakala Zarul sehingga sekarang masih disoal balas mengenai RM19 juta yang dibayar kepada Gnanaraja, yang Zarul sendiri mengaku memang dia bayar. Sehingga sekarang mereka masih belum menyentuh isu utama dan kes tersebut. Oleh itu bantahan awal harus dibenarkan,” katanya.

Dalam hujahnya, Gobind mendakwa pihak pendakwaan cuba menyembunyikan bukti yang memihak kepada anak guamnya.

Pada prosiding itu, Wan Shaharuddin dilihat bertepuk tangan dan mengkritik cara pihak pembelaan mengendalikan kes yang disifatkannya suka berdrama, sebelum tindakannya itu ditegur oleh Azura dan memberi peringatan bahawa beliau sedang berada dalam mahkamah.

Gobind yang tidak berpuas hati dengan tindakan Wan Shaharuddin kemudian meninggikan suara dan mempersoalkan amalan dan standard timbalan pendakwa raya sekarang ini.

Wan Shaharuddin bagaimanapun berkata tujuan pihak pembelaan memohon laporan forensik adalah untuk memalukan dan mengugut pihak pendakwaan.

Gobind bangun dan membantah kenyataan itu kerana pihak pembelaan tidak pernah membuat ugutan kepada mana-mana pihak sepanjang kes itu berlangsung dan mengulangi pendirian bahawa Wan Shaharuddin sebagai pegawai mahkamah tidak seharusnya menyembunyikan bukti.

Keadaan kembali tenang selepas Azura meminta kedua-dua pihak menghentikan perbalahan.

Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Salah 'Jom ziarah gereja'. & Kes G/Eng.

Awas juga barua-barua Lim Guan Eng.

1 comment:

Anonymous said...

What. Sifu abam ada kat mahkamah. Mentor abam create islamofobia versi melayu liberal. Tibai ustaz. Tibai jutawan melayu. Tibai orang miskin. Bersumpah tak berani.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails