Friday, May 26, 2023

Membangun bersama kasino.. Pili George Town & buli K'tan

 


1. Kasino di Sarawak: Apa pandangan anda?

BARU-baru tok kita dengar daripada pihak Menteri di Sarawak, bahawa sebuah pusat rekreasi akan dimajukan. Dan dimaklumkan juak bakal menjadi Genting Highland yang kedua.

Aokbena ya. Yang dimaksudkan adalah Borneo Highlands, dan isunya dalam perihal tok adalah pembinaan, pembukaan kasino di Sarawak.

Okaylah, camtok… kamek maok kongsikan empat perkara yang menyebabkan kita orang Sarawak perlu berfikir semula, walaupun keputusan ya di tangan Menteri tapi kenak ingat undi dan gaji Menteri adalah dari orang Sarawak.

Pertama sekali, kita nangga Sarawak dari sudut ekonomi, atau lebih tepat lagi eko-pelancongan, seperti yang ditekankan oleh Menteri. Bukan nak madah Sarawak tok sik membangun, ekonomi kita lemah. Sarawak tok kaya. Kaya dengan hasil, kaya dengan tenaga kerja. Bahkan kaya dengan produk-produk masyarakat di beberapa tempat. 

Kamek kedirik pernah ke Belawai, Pusa, dan tempat-tempat yang ‘terpencil’ di Sarawak. Dan banyak alu produk-produk tempatan yang boleh dipasarkan dan dikomersilkan. Tapi sayang, produk dan usaha orang kampung hanya terhenti di kampung ajak

Sik sampey keluar dari kampung. Bayangkan mun ekonomi macam tok digemblengkan, apa jadi dengan masyarakat di tempat ya? Dan apa bakal jadi pada Sarawak? Kamek ambil contoh di tempat kamek kedirik, Miri. Miri tok bandar tepi laut. Tapi eko-pelancongannya sik dimajukan. Sedangkan laut dan pantai Miri tok kacak, bersih dan landai gik. Boleh dibangunkan eko-pelancongan, khususnya perusahaan kecil-kecilan di pantai Miri. 

Keduanya, peluang pekerjaan. Point tok akan berkait dengan point kamek yang ketigag lekak tok. Apabila kita bukak sigek tempat kerja, sudah pastilah kita perlukan kepada pekerja dan ya akan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Sama juak dalam hal kasino tok. Memang akan membuka peluang pekerjaan pada orang Sarawak, cuma dari sudut kebaikan apa yang akan diberikan kepada pekerja dan masyarakat? 

Orang Sarawak masing-masing tauk yang Sarawak tok besar, banyak sumber, banyak ruang dan peluang pekerjaan. Apa jadi dengan anak muda kita yang masih mencari dan menunggu tawaran pekerjaan? Justeru di sitok, kamek mencadangkan agar difokus kepada pembangunan kerjaya anak muda yang boleh membina dan membawa negeri Sarawak ke tahap yang lebih baik dan lebih tinggi daripada zaman hari tok

Peluang seperti teknologi dan maklumat, keperluan kehidupan seperti Foodpanda dan Grab dan lain-lain, boleh dipelopori oleh anak-anak muda sama ada lelaki mahupun perempuan. Menjadikan anak-anak muda Sarawak sebagai pelapis dan peneraju utama Sarawak di masa depan adalah lebih utama berbanding pembukaan kasino di Sarawak. Kenak kamek padah giya? Kamek akan sambung pada point  seterusnya  lekak tok. Jadinya, tumpukanlah peluang pekerjaan orang Sarawak kepada peluang yang lebih baik. IKBN, ILP, Kolej Komuniti, Kolej Vokasional, PPKS, IKM dan yang sewaktu dengannya adalah lubuk untuk kita mengeluarkan tenaga-tenaga kerja yang pure dari Sarawak. Bukan dengan kasino.

Ketiganya, yang berkait dengan point kamek keduak tok tek adalah dari sudut sosialnya. Mudah kata, dengar jak nama kasino, apa yang terlintas di fikiran kita? Roti canai? Nasi goreng kampung? Atau, teh tarik panas, mila tarik, mee jawa? Atau, tempahan futsal, bola sepak? Atau orang bertandak? Atau main layang-layang? Ataukah, sebaliknya yang seratus peratus semua yang kamek sebut di atas ya memang sik wujud dalam dunia kasino. Kamek sik maok pake ayat ‘bayangkan’ kerana ya terlalu tinggi untuk sama-sama kita fikirkan. 

Cuma, perlu kita tangga. Mun benar Sarawak nak buka kasino, apa jadi dengan masyarakat kita? Apa jadi dengan budaya sosial kita? Anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin negeri kita? Adakah akan lahir daripada generasi lekak kita tok, generasi yang masih berpegang dengan budaya Timurnya? 

Masih mengekalkan adab dan tatasusilanya? Atau macam ne? Pembukaan kasino tok juak, suatu masa kelak dikhuatiri akan menyebabkan keluarga porak peranda. Kerana ketagihan berkasino dan aktiviti dalam kasino ya kelak. Nak tok la dibingong oleh segelintir netizen Sarawak, khususnya dari generasi yang senior. Tok menjadi kerisauan utama kita semua, bukannya ekonomi Sarawak yang bakal nait hasil dari kasino ya kedirik.

Baiklah, point kamek yang keempat, pandanglah dari sudut agama. Kamek sik menjurus pada agama Islam. Kerana bila sebut agama jak, mesti kita nuju Islam. Alhamdulillah, memang benar Islam ya agama. Cumanya maksud saya tadik, cuba nangga isu kasino  tok dari sudut agama lain di Sarawak. Netizen dan Menteri kata, Islam bukan agama rasmi di Sarawak. Jadi, kamek nak tanyak sebagai penganut agama lain di Sarawak, ada sik agama kita mengajarkan kita untuk membawa diri kita kepada perkara yang sik bait

Kamek bukan nak menyentuh isu sensitif atau mencari ‘crowd’, hanya maok kita semua berfikir dari sudut agama masing-masing. Sikda agama yang mengajar penganutnya polah benda sik bagus, hanya penganutnya ajak yang polah benda sik bagus. Bena sik? Kerana asal semua agama dan kepercayaan adalah untuk membawa seseorang yang ke ara lebih bait

Kasino, dari sudut agama, bukanlah benda yang bait. Kerana banyak lagik benda bait, yang kita belum teroka, belum polah untuk menjadikan kita insan yang lebih bait dalam beragama. Di sine keburukan kasino, kita boleh nilai kedirik. Cuma, kamek menyatakan pandangan kamek pada point terakhir tok dari sudut agama Islam, kerana kamek Muslim. 

Cumanya, kamek sik menyentuh bab hukum, hanya sedikit teguran kepada kesan kasino ya kedirik. Dalam al-Quran dan agama Islam, dah dipadah arak, judi, khinzir ya haram. Bila dipadah giya dalam al-Quran, maka adalah sebabnya dari Allah. Nya lebih tauk segala-galanya. Dan segala yang berkait dengan ketiga-tiga perkara ya tadik, arak, judi, khinzir, juga adalah haram. Ambik contoh, arak kedirik. Bagi orang Islam, bukan sekadar minum arak ya berdosa tapi tukang hantar, tukang tuang, tukang pass botol arak, semuanya akan dapat dosa. Ya diriso kita juak. Kita niat bekerja nak carik duit tapi kita dapat dosa dari-Nya, maka rugilah kita.

Jadi ya-lah empat perkara kamek maok  ketengahkan. Kamek hanya orang biasa yang riso    benda tok dalam Sarawak. Kemajuan kita bukan mengikut landas orang lain. Biarlah orang lain, negeri atau negara lain maju dengan kasino. Sarawak, majulah dengan benda lain. Kamek yakin, Sarawak boleh maju tanpa kasino. 

Dan kepada Menteri-menteri Sarawak, Muslim atau non-Muslim, khususnya kepada YAB Premier Sarawak, nilailah isu tok dari sudut generasi dan kesan kepada masyarakat Sarawak. Mun ada sebahagian masyarakat kita sik selesa dengan cadangan macam tok, bermakna adalah yang sik kenak di sia. Sayangilah anak bangsa kita dengan membuat pilihan untuk membatalkan cadangan buka kasino di Sarawak.

Saya bukan sapa-sapa.

Saya orang Sarawak, anak Sarawak. 
Saya menulis dan bersuara untuk Sarawak kerana saya sayangkan Sarawak dan orang Sarawak.

SAHRUL KHAIR OSMAN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak
Miri, Sarawak – HARAKAHDAILY 5/5/2023


2. Apa beza guna pili Bomba di George Town dengan Rantau Panjang? 

RAKYAT membaca laporan berita berkaitan ‘masalah kerosakan komponen tangki air’ yang dihadapi Penduduk Blok D Fasa II Flat UDA Tanjung Tokong, George Town sejak Mac hingga April baru-baru ini.

Mereka terpaksa mencuci peralatan memasak di pili bomba berhampiran berikutan masalah pam air yang rosak setelah pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) membuka saluran pili bomba sebagai alternatif bagi kegunaan penduduk.

Seramai 1,200 penduduk di flat berkenaan terjejas bekalan air susulan berlaku kerosakan pada komponen di tangki air sebelumnya, namun kerjasama pihak PBAPP, Uda Holdings dan pihak bomba telah berjaya menyelesaikan masalah rakyat. 

Jadi apa isunya pula di Rantau Panjang apabila YB Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersungguh-sungguh ‘menyiasat’ YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff di atas isu dan permasalahan yang sama di Georgetown? Sikap ‘double standard’ jenis apakah yang mahu pemimpin DAP itu mainkan?

Memang Kelantan sentiasa ‘mengalu-alukan’ apa jua jenis siasatan jika musuh politik kelihatan lapar dan desperado politik. Sejak zaman Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi kita sebutkan mana-mana pintu terbuka 25 jam sehari dan 8 hari seminggu untuk ‘siasatan’ apa pun. Dan terbukti sehingga kini, 33 tahun Kelantan ditadbir dengan Islam, tiada seorang pun pimpinan PAS yang terpalit kes rasuah atau salah laku serta guna kuasa.

Jauh berbeza dengan pimpinan DAP yang memerintah sekejap sahaja di Pulau Pinang, terus terpalit kes pembelian banglo mewah di bawah paras harga pasaran. Kes itu kemudian digugurkan sewaktu PH memerintah 22 bulan dahulu. Apapun pemimpin DAP jangan lupa bahawa ia ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’. Begitu juga isu rasuah terowong bawah tanah dan lain-lain skandal. 

Itu sudah cukup membezakan PAS dengan DAP.

ABDULLAH FARHAN
Darulnaim Research Center – HARAKAHDAILY 8/5/2023 


3. Kor Ming DAP cuba buli Kelantan seperti Umno-BN 

KERAJAAN Pusat zaman Umno-BN dahulu terang-terangan membuli Kelantan dalam aspek pembangunan air negeri. Selama 16 tahun lebih Kelantan hadap ‘lost development years’ akibat federalisma ala Umno-BN yang ke laut.

Selepas itu pun, kewangan Pusat yang turun hanya berbentuk pinjaman, bukannya geran seperti negeri lain diperintah BN. Pinjaman pula sikit demi sikit diberikan, bukan secara ‘lump sum‘ untuk memudahkan proses pemulihan dan pembangunan air negeri. Pendek kata Federal buli Kelantan cukup teruk zaman itu.

Nga Kor Ming dari DAP pula beberapa hari ini dilihat tidak jauh beza dengan BN zaman dahulu. Ya memang tidak bezalah, sebab mereka tidur sebantal, mimpi mungkin lain-lain, tapi perangai sudah jadi sama. Sepadanlah dengan Kerajaan Perpaduan PH-BN saat ini. 

Kenyataan media seakan menekan dan menyiasat di mana dilihat secara jelas membuli Ahli Parlimen yang kuat bekerja untuk rakyat diwakilinya iaitu YB Dato’ Siti Zailah Yusoff atau Kak Lah adalah satu kesilapan besar. Jelas bergambar sebagai bukti nyata dalam media sosial, menyaksikan pihak bomba setempat yang membuka pili untuk dimuat naik air ke dalam lori air kontrak AKSB yang seterusnya diagih kepada rakyat. Jadi, apa isunya Kor Ming?

Merujuk kepada kenyataan Pengarah Bomba Negeri, ramai yang menyarankan agar dirujuk kepada persefahaman lama yang telah wujud antara AKSB, pihak syarikat Lori Air Kontrak dan bomba dalam isu penggunaan air di pili bomba ini. Ia telah lama ‘selesai’, insya-Allah.

Seharusnya dalam kegetiran rakyat memerlukan air untuk pengurusan rumahtangga masing-masing, isu pili bomba di Rantau Panjang ini tidak diperbesarkan. Apa Kor Ming ingat rakyat Kelantan akan menyokong DAP yang dilihat galak membuli YB Kak Lah atau rakyat akan gembira dengan huluran air hasil kerjasama YB dan bomba setempat? Jawapan itu YB Menteri sedia tahu bukan?

Atau Kor Ming mahu mengalihkan pandangan umum kepada perkara-perkara besar yang lain? Antaranya pengumuman Perdana Menteri ke-10 (PMX) akan laba besar yang akan Kerajaan Pulau Pinang perolehi dalam projek LRT? Dan mungkin tidak lama lagi juga projek tambak laut dan terowong bawah tanah? Pukul kepala gosok paha?

Apa sekalipun diharap agar orang awam tidak terkeliru dengan laporan MalaysiaKini berkait ‘penafian Pengarah Bomba Negeri’ iaitu:

i. menurut Seksyen 42(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, AKSB selaku pemegang lesen perkhidmatan air hendaklah membenarkan Jabatan Perkhidmatan Bomba untuk mengambil air untuk memadamkan kebakaran daripada mana-mana sesalur air utama atau paip lainnya yang dipasang dengan pili bomba;

ii. Seksyen 23(1) Akta Perkhidmatan Bomba 1998 membenarkan pihak berkuasa air dan ejennya (AKSB) untuk menggunakan mana-mana pili bomba atau saliran air kepadanya;

iii. Persefahaman dengan Jabatan Bomba & Penyelamat telah dibentuk berkenaan hal ini khususnya dalam menghadapi saat-saat kecemasan dan atas kepentingan awam.

Di dalam Seksyen 42(1) itu, AKSB perlu memberi kebenaran kepada bomba; maknanya jika AKSB tidak beri kebenaran, bomba tidak akan dapat guna air walaupun di dalam pili bomba yang mana di sini rakyat tahu siapa ‘tuan air’ dan siapa ‘tuan pili’. Asas sahaja. 

Manakala Seksyen 23(1) jelas menyatakan pihak berkuasa air (Kerajaan Negeri Kelantan) dan ejennya (AKSB) boleh mengguna mana-mana pili bomba – sekali lagi menjelaskan siapa ‘tuan’ kepada bekalan air. 

Seksyen 23 juga menyatakan adalah menjadi kesalahan sekiranya mana-mana pihak menggunakan air di dalam pili bomba tanpa kebenaran pihak bomba (mana-mana pihak itu ialah selain daripada pihak berkuasa air dan ejennya) ~ jelas di sini pihak-pihak lain perlu mendapat kebenaran bomba, tetapi Kerajaan Negeri dan AKSB tidak perlu mendapat kebenaran bomba. 

Isunya di sini adakah YB Kak Lah itu ‘mana-mana pihak’ atau YB itu ‘AKSB’? Kalau lori yang YB Kak Lah guna itu sudah sememangnya lori kontraktor AKSB, maka lori itu tidak lagi termasuk dalam ‘mana-mana pihak’ yang memerlukan kebenaran bomba. Bahkan lori itu ialah ‘AKSB’ yang boleh ambil air dari pili bomba tanpa perlu dapat kebenaran bomba pun.

NAZMAN CHE IBERAHIM

Darulnaim Research Centre -HARAKAHDAILY 8/5/2023

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Membangun bersama kasino.. Pili George Town & buli K'tan

Semuanya ini berlaku, apabila bumiputera dan Islam  tidak berkuasa di bumi sendiri. Oleh itu, kembalilah kepada Islam, berilah kuasa supaya Islam memerintah di bumi sendiri melalui peti undi.

 INI MODEL NEGARA ISLAM MALAYSIA..

Sila lihat model negara Islam Malaysia yang di bawa oleh PAS/PN  



Bersambung..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails