Monday, October 02, 2023

Beras, Ini jalan selesai Menteri Keterjaminan Makanan..

 


Beras: Monopoli tauke-kerajaan atau pasaran terbuka?

SEKARANG heboh seluruh negara pasal isu beras tak cukup. Kita melihat gambar, video dan berita tular yang pelik-pelik. Misalnya, dalam keadaan beras tempatan yang sudah dijumpai, tiba-tiba ada video menunjukkan begitu banyak paket beras dikeluarkan daripada lori yang mengalami kemalangan. Dan tiba-tiba Menteri Keterjaminan Makanan dilihat bersama timbunan paket beras.

Menteri, Mohamad Sabu kata bekalan beras mencukupi tetapi dia juga berkata bekalan beras tak mencukupi kerana pembelian panik dan perubahan pembeli beras import dah bertukar ke beras tempatan. Kemudian, kerajaan buat dasar catuan. Ada percanggahan di sini. Kalau bekalan cukup, semua ini tak mungkin berlaku!

Pada 12 Julai 2023, Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) memohon kerajaan menetapkan kuota belian padi kepada pengilang-pengilang besar. Menurut mereka, ketiadaan kuota belian padi membolehkan kilang-kilang besar yang berkemampuan membeli bekalan tanpa had di kawasan lain dan ini mewujudkan monopoli. Pengilang besar membayar insentif yang tinggi antara RM150-RM200 bagi setiap metrik tan menyebabkan kilang besar berjaya memonopoli hasil daripada bayaran insentif yang tinggi berbanding ditawarkan pengilang kecil. 

Hanya 10 buah kilang Melayu di negara ini yang masih beroperasi berbanding 103 sebelum ini yang hanya menguasai sekitar 200,000 metrik tan daripada 1.73 juta metrik tan pengeluaran padi setahun iaitu kurang 10 peratus. Ini menyebabkan kilang-kilang kecil semakin ‘lenyap’ disebabkan tidak mampu bersaing dengan kilang-kilang besar.

Monopoli pembelian padi oleh tauke-tauke kapitalis sebenarnya tidak pernah berubah sejak 1950-an. Di negeri jelapang padi pun, sejak dulu lagi tauke kapitalis membolot bekalan beras dan padi dengan memerangkap petani Melayu dengan hutang. Cara yang terkenal ialah sistem ‘padi kunca’. Tauke bukan saja membolot padi tetapi pemasaran beras pun dikuasai kartel mereka. Keadaan ini tak pernah berubah sejak 1950-an kerana tauke kartel kapitalis mahu mempertahankan sumber duit mudah mereka.

Tapi sungguh pelik bin ajaib apabila Menteri Keterjaminan Makanan minta 20 peratus kuota padi dilepaskan oleh pengilang-pengilang tadi kepada BERNAS. Sangat pelik kerana kartel yang tak pernah lepaskan monopoli mereka tiba-tiba sekarang beri sebahagian daripada lubuk emas mereka kepada kerajaan. Langsung tak masuk akal sebab permintaan terhadap beras tempatan begitu tinggi dan tauke-tauke ini tentu untung besar kalau monopoli dikekalkan. Kenapa mereka nak lepaskan kepada kerajaan?

Tanpa memberi penjelasan terperinci, menteri kata kerajaan akan memberikan kuota tambahan ini kepada pemborong-pemborong bumiputera untuk menambah bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) negara. Kerajaan melalui FAMA juga dikatakan akan mengedarkan bekalan beras ke seluruh negara. Ini juga pelik sebab industri pengedaran beras ialah lubuk emas untuk para tauke kerana permintaan beras yang tinggi. Kenapa para kapitalis yang cintakan keuntungan sanggup melepaskan lubuk emas mereka?

Kalau benar kerajaan mahu mengambil alih iaitu:

1) Pengilangan padi kepada beras melalui BERNAS.
2) Pengedaran beras tempatan melalui FAMA. 

Adakah kerajaan mengakui bahawa kartel pengilang dan pengedar beras tak boleh pakai? Bukankah kartel ini dah buat kerja ni lebih 60 tahun? 

Atau kerajaan mahu mengambil alih perkilangan dan pengedaran beras tempatan? Ini tak mungkin kerana ini ialah lubuk emas para kartel. Paling teruk pun tauke kartel pasti menyerahkan sebahagian operasi tadi kepada kerajaan. Monopoli kekal. Kartel kekal. Cuma pada kali ini monopoli dikongsi oleh kartel dan kerajaan.

Kerajaan mesti memilih salah satu. 

1) Pasaran terbuka.

Sama ada memperbaiki rantaian bekalan dengan membuka banyak kilang dan pemborong yang bukan kartel supaya persaingan nanti dapat membaiki pasaran.

2) Monopoli kerajaan.

Oleh sebab sudah ke sekian kalinya, kartel pengilang dan pemborong gagal menyelesaikan isu bekalan beras. Daripada berharap kepada mereka, lebih baik kerajaan membolot semuanya.

Jangan sampai pihak kerajaan bersekongkol pula dengan kartel. Ini ialah anggapan kebanyakan orang Melayu!

YB WAN AHMAD FAYHSAL – HARAKAHDAILY 25/9/2023 

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Beras, Ini jalan selesai Menteri Keterjaminan Makanan..

Lihat komen ini pula..

(i) Seluruh pemimpin dan rakyat M'sia perlu sedar bagaimana T'ganu pecahkan monopoli kartel beras? Sudahlah bodoh, sombong pula tak mahu ambil tahu dari negeri yang telah mempraktikkan.. Lihat ini.


SAWAH padi di Terengganu 100 peratus milik Melayu Islam. Dari 12,000 ha keluasan, 500 ha adalah sawah padi yang mempunyai Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia, MyGAP.

Padi MyGAP yang dituai diproses di Kilang Padi Konsortium LPP Baruh Masin Jabi, juga milik Melayu Islam.

Beras MyGAP dengan jenama BERAS GANU dibungkus oleh TADC sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu di Kilang Pembungkusan Beras TADC Kampung Telaga Papan Setiu.

BERAS GANU diedarkan oleh Ameen Hallmart Kampung Losong Kuala Terengganu, sebuah pasaraya milik Melayu Islam.

Dah jadi BERAS GANU, silakan siapa-siapa pun nak beli. Ini satu-satunya jenama beras 100 peratus tempatan dalam negara yang mempunyai persijilan MyGAP yang telah diuji selamat dari segi kualiti dan biosekuriti.


(ii) Al-hamdulillah, Parti Islam tetap istiqamah berjuang wujudkan  negara berdaulat berciri Islam.


KANGAR: Sifat parti Islam merangkumi empat ciri iaitu berdakwah menyampaikan ajaran Islam, menyuruh kepada kebajikan, mencegah kemungkaran dan wajib lahir negara berdaulat yang memerintah dengan Islam.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, untuk mencapai perkara itu akan ada cabaran yang menanti.

Katanya, umat Islam perlu ambil iktibar dari Surah Al-A’raf ayat 175 hingga 177 yang mengatakan akan adanya penentangan daripada golongan ulama itu sendiri.

“Empat perkara itu ialah sifat parti Islam sebagai syarat kemenangan dengan syarat wala bagi mengisi kemenangan,” katanya pada Liqa’ Fikri di Komplek PAS Negeri Perlis (KOMPAS) di sini, hari ini.

Turut hadir Mursyidul Am PAS, Dato’ Ustaz Hashim Jasin dan Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Hampir 200 ahli PAS yang terdiri daripada ahli Badan Perhubungan PAS negeri, Ahli Jawatankuasa (AJK) dewan-dewan, AJK PAS kawasan dan cawangan mengikuti program tersebut.

Tuan Guru Abdul Hadi turut menjelaskan perkara yang menjadi syarat kemenangan sebagaimana perjalanan dakwah Nabi Muhammad SAW di Makkah dan Madinah.

“Rendahkan diri bagi orang beriman dan kuat menghadapi musuh serta tidak berpecah dalam perkara cabang,” katanya. 

Sekian.

Kesimpulan:

Terima kasih tuan-tuan pengundi. Tuan telah menggunakan tugas tuan sebaik-sebaiknya, bila menyokong perjuangan parti Islam/PN dan rakan-rakan. Umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah puak anti Islam.

Namun, hak orang bukan Islam di negara ini pun wajib dilindungi oleh kerajaan Islam yang memerintah. Sila lihat peraturan dan hukum 'Hak orang bukan Islam dalam negara Islam' yang sebenar. Lihat negeri Kelantan sebagai contoh awalnya. 

Terima kasih juga kepada kawan-kawan kita yang bukan dan belum Islam.

Sekian. Wassalam. 
Maaf zahir batin, dari rakan Islammu Ibnu Hasyim 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails